Friday, December 15, 2006

cekik leher aku

Aku...
Bukan orang kaya
Bukan anak orang kaya
Tapi aku bukan BODOH

Samy...
Pakai rambut palsu
Perangai pun macam hantu
Kecik darah aku

Tol punya duit...
Samy kasi naik lagi...
Siapa punya untung itu?

Sial campur babi...
MRR2 tak pernah siap...
Jalan lubang sikit punya besar
Macam lubang hidung kau Samy...

Itu pun kau tak sedar?

Duduk dekat JKR lama sangat
Itu yang boleh buat suka hati mak bapak dia...

Samy kata Kerajaan tanggung beban
Apa kau bodoh tak boleh nak bezakan
Antara beban dan tanggungjawab
Ke kau yang nak duit lebih?
Sial betul!

Wednesday, December 13, 2006

aku yang hilang

Lama sungguh aku tak berkesempatan meluangkan masa untuk mengemaskini laman yang tak seberapa ini. Tuntutan hidup yang terlampau pantas menyebabkan aku hilang rasa sebagai seorang manusia yang sepatutnya. Semua pantas... orang hilang akal!

Banyak betul isu menarik berlegar sekeliling aku dalam tempoh ini. Suka aku coretkan sedikit sebanyak untuk diri sendiri dan kepada yang ingin berkongsi...

1. Berhari raya di atas jalan ke Selama, Perak. Taubat tahun depan aku dah tak larat nak ke sana. Ingatkan tak jauh mana, sekali pergi... sendiri mau ingat. Perut kenyang jadi lapar, kenyang sekejap.... lepas tu lapar balik semasa dalam perjalanan pulang. Meor... Meor... Jauh sunggung istana dunia kau... Terima kasih untuk Chiep yang sanggup hantar aku sampai ke pintu rumah hari Jumaat itu... malam-malam buta, walaupun esoknya dia dengan rombongan keluarga dia nak pergi meminang ke Baling nun! Darah manis, nasib baik semua ok.

2. Dr. Mahathir Menggila. Aku yang naik bingung dengan dakwaan-dakwaan dia yang ada dalam suratkhabar. Rasuah (kes sampul coklat dan RM200), nepotisme (anak dan menantu Pak Lah), negara polis... apa selama ni orang tua ni mabuk ke? Tak sedar diri? Ini semua acuan dia yang pasang dulu... 22 tahun bang, bukannya 22 jam! Apa pun, perkembangan ini memang meletakkan orang-orang muda yang tak cukup maklumat terpinga-pinga ternganga! Cerita dia macam syok saja bagi Amitabhachan buat skrip... macam Hindustan. Entahah... mengelamun sampai terhantuk.

3. Kedua-dua orang tua aku dibuat orang. Habis sakit dan herot muka! Dah dasar bangsa Melayu, hati perut memang busuk! Eloklah generasi-generasi baru belajar melihat dunia dengan pandangan yang luas, jangan jadi macam generasi sebelum-sebelum ini. Memang ramai yang belajar tinggi, tapi masih gagal untuk merealisasikan hakikat kehidupan nyata. Bodoh! Lagi nak bersembang cara nak majukan Melayu!

Cukuplah... pasang telinga, buka mata dan perhatikan... mata hati juga yang boleh digantung harap...

Friday, October 20, 2006

ford telstar

Beberapa minggu terakhir ini, puas saya dedikasikan masa untuk memahami jiwa halus peminat-peminat kereta, terutamanya dalam bab modifikasi. Saya bukan dari kelompok yang sama, tetapi usaha yang diunjurkan untuk mendekatkan diri dengan golongan 'gila kereta' ini semakin dapat saya ertikan.

Pengalaman sehari-hari telah membuatkan saya jatuh cinta dengan kereta. Lebih mengasyikkan bila melihat kereta-kereta generasi lama yang diubahsuai. Itu fokus saya, walaupun saya tidak tahu-menahu tentangnya... sekadar minat dan suka saja. Peluang mencuba sendiri Mitsuoka MPV pun teramat puas. Selama ini hanya mampu merenung. Kereta kotak yang unik tetapi mahal... aduh, materialisme!

Petang tadi saya menemuramah Lan D, pemilik kereta Ford Telstar 1990. Siap diubahsuai dalam masa empat tahun. Kos termasuk penjagaan dan selenggara dari tahun 2000 hingga 2006 mencecah RM38K. Fuhh... Melihat kepada kesungguhan dan cinta yang mendalam, saya sedikit akur dengan jiwa mereka. Dunia mereka adalah kereta, dan saya perlu mengiktirafnya secara peribadi dan menghormatinya.

Turut ditemui siang tadi, Mr Brendan - AutoChild. Memberangsangkan cara kerjanya. Ketika dibawa menaiki kereta projek bengkel mereka - Putra 460 kuasa kuda - kecut perut yang amat. Di celah-celah jalan kecil dia memecut enjin turbonya! Gila mat saleh ni... layan walaupun saya cuak!

Apa pun, dunia baru ini tambah menyeronokkan saya. Kena pula bila ada majlis yang dianjurkan oleh kelompok-kelompok industri yang kaya-raya ini. Ada habuan, tumpang sekaki. Peluang ini terasa seperti ingin dimanfaaatkan. Baik dari sudut ilmu pengetahuan, kenalan, mahupun peluang bereksperimen dengan kereta sendiri (belum ada lagi la!).

Selamat Hari Jadi & Selamat Hari Raya Aidilfitri 2006! 1427 Hijrah

Saturday, September 23, 2006

hamba yang merdeka

Semalam, 22 September 2006, saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Configuration Engineer di Pentasoft. Lebih kurang tujuh bulan saya menyandang pekerjaan tersebut. Selama itu juga tidak banyak perkara yang saya rasa boleh dipelajari. Ramai yang dapat menjangkakan saya berbuat demikian, cuma masanya sahaja yang tiada siapa mampu meneka... termasuk saya sendiri.
Kalau dirujuk cakap-cakap bos dan penyelia, posisi itu mampu untuk membina laluan kerjaya yang baik. Terima kasih, dan saya tiada pula keinginan untuk menyelami norma-norma yang semungkinnya ada dalam menjalankan pekerjaan itu. Sebagai makluman, tugas saya adalah sekitar memastikan produk perisian insurans (yang mana itu merupakan fokus firma ini) tidak terdapat sebarang cacat cela sebelum ianya sampai ke tangan pelanggan mereka. Apa pun yang pengurusan cakap, baik dari segi pengalaman yang bakal ditimba, peluang mempelajari teknologi yang bakal mereka naik-taraf dan sebagainya, saya cuma dapat rasakan seperkara sahaja; mereka memerlukan seseorang untuk berada di posisi itu dan hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan sahaja - macam robot. Gembar-gembur manis mulut itu selebihnya sekadar mengaburi mata staf seperti saya ini - kerana tiada orang yang mahu berada di tempat saya tersebut.
Pertama, kerana sang pekerja lama yang seorang sahaja itu seperti cipan. Bagi saya, dia pandai membelit lidah dan cuba sedaya - upaya menyelamatkan diri sekiranya berlaku kesilapan di pihak kami. Badut sungguh makhluk itu. Saya sendiri, hanya sebulan pertama sahaja mengikut telunjuknya. Selepas itu... jangan harap. Sebab itulah dia suka benar jika ada staf yang baru masuk ke posisi itu! Tiga orang baru termasuk saya yang sempat saya jumpa, saya yang paling lama bertahan, seorang perempuan itu lekat tak sampai tiga bulan dan seorang lagi baru saja masuk - belum pun dapat gaji pertama - yang saya kira tidak akan bertahan lama! Haha.
Kedua. Untuk tanggungjawab dan waktu kerja yang tak tentu arah dan tak mampu dijadualkan, saya merasa gaji yang dibayar itu amatlah tidak wajar. Walaupun agak ok, tetapi tidak setimpal dengan komitmen, beban dan waktu bekerja yang saya lakukan. Itu pandangan saya sahaja... Tiada imbuhan lain selain gaji pokok semata-mata, tiap-tiap bulan! Ubat bolehlah minta ganti.. Kerjalah tunggang-langgang macam mana pun, jangan harap dapat lebih-lebih...
Baiklah, jangan meracau! Cukup-cukuplah. Perasaan saya dapat saya gambarkan seperti seorang hamba sahaya yang baru merdeka. Seronok bagai nak rak! Pagi jam 8.48am saya bersemuka dengan HR dan bos, secara terang saya kata dan terus hulurkan surat "cinta". Tidak banyak reaksi mereka, sekadar menerima sahaja keputusan saya - tersengeh-sengeh dan berkerut-kerut. Lega, tidak perlu bersoal panjang lebar. Ketika itu tiada seorang pun yang saya maklumkan.
Selepas saja kembali dari Solat Jumaat, bermulalah sesi mendapatkan kepastian daripada teman-teman sepejabat. Seorang demi seorang datang bertanya, talifon bukan main lagi sibuk dengan pertanyaan-pertanyaan yang sama. Ada yang ucap tahniah sebab akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti! Sukar diramal. Ramai yang bunyi macam terkejut. Ada yang naik atas untuk bergambar. Semasa nak balik petangnya, saya turun ke tingkat bawah, pening juga nak melayan. Dah macam ada keraian, semua bertanya dengan penuh curiga mengapa saya tiba-tiba angkat kaki. Di tambah pula yang minta email dan nombor talifon... sekelip mata itu saya menjadi figure. Tatkala itu juga saya senyum kambing kerana terasa diri seperti seorang artis kontroversi yang sedang dikerumuni wartawan dan mak nyah! Haha. Oh, hampir terlupa. Sempat juga saya bertekak sambil memaki hamun seorang manusia yang tak sedar diri dia yang buat salah. Sudahlah beradap, datang terjah sambil meninggikan suara. Silap oranglah kawan! Saya tempis segala tuduhannya, berdiri dari kerusi dan kemuncaknya saya maki dia. Saya buat begitu bukan sebab kurang ajar, tetapi saya yakin teramat yang saya dipihak yang benar. Bila keadaan makin panas, dia terkebil-kebil cakap perlahan menyuruh saya merendahkan suara... siapa yang mulakan? Memang sangat-sangat puas hati semalam... sungguh.
Apa pun, saya kini hamba yang merdeka. Untuk rakan-rakan yang masih di sana, saya ucapkan selamat maju jaya. Teruskanlah usaha untuk mencapai misi hidup kalian semua. Sampai berjumpa lagi...
- 23 September 2006 : 11.38pm - Sitiawan

ramadhan

Ramadhan menjengah kita lagi tahun ini. Tadi itupun baru saja selesai solat Tarawikh untuk malam pertama. Terasa tenang jiwa ini bila mengenangkan pertemuan ini. Cuma satu persoalan yang timbul: Mampukah aku menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya?
Bulan yang penuh keberkatan dan 1001 macam kebaikan. Di dalamnya, semua urusan Sunat akan diangkat menjadi Fardhu. Yang Fardhu pula semakin tinggi letaknya... semua perkara Fardhu itu dilipat-gandakan menjadi 70 kali balasannya daripada biasa. 15 Syaaban lalu - hari pertukaran buku amal semua manusia - yang lama digantikan dengan yang baru, 17 Ramadhan nanti pula adalah Nuzul Al-Quran, hari kitab Allah itu diturunkan kepada manusia.
Lainnya, ada janji Allah untuk kita bertemu pula dengan malam Lailatulqadar, malam dengan 1000 keberkatan. Dengan segala bentuk kebaikkan yang ada, berazamlah untuk kita akan terus mencari keredhaan Nya. Semoga tahun ini kita semakin dirahmati... dan yang paling penting jangan lupa diri. Kerana kita hidup untuk mati, hanya itulah tujuan hakiki.
-menjelang 1 Ramadhan 1427 H (Sitiawan)

Monday, September 11, 2006

GONG BERDENGUNG...

Jangan pergi menonton filem Gong di pawagam! Mengapa? Kerana anda tidak akan mendapat apa-apa pun kepuasan yang setimpal dengan bayaran tiket di kaunter. Saya bukan anti filem tempatan, tetapi setelah membayar sendiri untuk menonton filem ini, selepas lebih kurang dua jam tersadai di depan layar, saya keluar dengan satu perasaan kerugian!

Saya mungkin tidak akan menonton filem ini sekiranya ia di filemkan di Malaysia. Tarikan yang menyebabkan saya terdetik untuk pergi mononton adalah kerana pengambarannya dilakukan di Indonesia. Suspen? Tidaklah banyak mana yang hendak di suspenkan...

Perjalanan kisahnya menghampakan saya. Perjalanan lima anak muda yang digambarkan itu seharusnya lebih adventurous. Tetapi, tidak ada menariknya pun pengembaraan mereka ini, itupun kalau saya boleh mengata begitu. Slot hanyalah banyak di rumah, muzium,kampus dan serba sedikit imbasan lalu. Kombinasi ini terlalu cliche, tiada apa yang istimewa. Watak-watak pelakonnya pun tidak banyak membantu untuk melonjakkan suasana seram yang ingin disampaikan. Apa yang dilihat oleh pengurus produksi filem ini ketika mengambil keutusan untuk memilih Jehan Miskin memegang watak agak besar dalam Gong? Bagi saya, Jehan itu terlalu 'miskin' pemahaman emosi untuk menjayakan misi Gong. Dia hanya on-par sahaja untuk bercemas. Keras sangatlah... Dia sepatutnya hanya disenaraikan untuk model bagi tujuan promosi, itu saya rasakan sesuai.

Plot pun berkancah gulana. Walaupun saya faham dengan apa yang diceritakan, tetapi ia belum cukup kuat untuk 'melekatkan' saya pada layar.Dan yang paling mengharukan, anda juga pasti akan dapat mengagak jalan ceritanya. Ada elok kalau anda tulis cerita sendiri.

Maaflah, saya bukan ingin menjatuhkan kredibiliti Gong. Tetapi saya tidak boleh menipu diri sendiri. Gong seolah-olah menipu khalayak penonton negara ini. Mungkin Dukun nanti mampu menyanggah pandanagan saya tentang filem seram tempatan?

Saya ternanti-nanti standard filem Rahsia Rumah Tua.

Wednesday, August 16, 2006

MUSIC FOR WHAT?

by hazril hafiz mohd. hassan

I was only 10 when I first bought my first record. It was from a local band, lining up a very young and talented bunch of boys offering their best to the public. I never was so impressed by any musical forces back then. I was too young to really cope with those colorful sounding material that soon will my major interest.

Start with my father. I learned some basic “introduction” from him. During his younger days, I heard some truthful moment of him involving himself with music. I understand, from him and my mother, he loved rock music… though he never told me directly. The band, two of them I would like to mention here – Sweet Charity and Deep Purple were on his top list. On the radio, perhaps during that time in the 80’s, this (rock) type of music was dominating.

There were so many names to reflect this era, merely from Malaysian local act and mostly those international big names in the whole music business. With it came along the most fearful thread, the western culture. Music was seen as the most powerful influence to spread the western culture. For most of us, music - in particular rock music – is some kind of pollution to whatever customs that we had, especially for the Malays. Also, I was too young to really view this as a thread. I never thought of how the outside world when its shows its true color.

Then, on the age of 13, I start to dig much deeper on music. I started to know names such as Nirvana, Weezer, Green Day – just to name a few. On the same time, at school we were thought about halal (…) and haram (forbidden/prohibited) and music is one of the effected subject. I began to understand. I agree and I could see the fact that western music consists of the negative aspect that could impact our nature as a Muslims. Drugs, free sex, free-thinker, no faith in God and whatever terms that may cross our mind right now. I was young and little by little, I realize I was thinking. I took this thing seriously from that turning point.

As decent as I was, I am lucky that my parents sent me off to a boarding school in Sarawak, the huge land on our Borneo Island. There, I spent almost eight years of my life living in which I describe as more open society. I had grown up with the surrounding where Islam was not the only religion. There was Christian, Buddha and Baha’i which share the day to day living. The sub-culture of the Sarawak origin also taught me the values which were impossible for me to gain if I was fated to stay in Peninsular.

I saw that in this type of environment, each of the sub-religion can easily and openly influence the other. I mean, if we are afraid of the Christianity taught might have an impact on our Islam’s believe, I came to realize that we cannot point a finger to the other parties. We should strengthen our religious believe and practice toward Islam, in order to defend our faith - not by putting a blame on someone else. With the same idea here, we can look into the challenge on western music on our culture.

Honestly, on music, I never interested on the lifestyle that those rock bands promote. I do not see music as a medium of entertainment. I see it as a form of art. Art that can reflect the good and positive vibe of our life. Music can liberate people for goodness. It happens to be just because how we view it. I listen to music – rock music, I sing the song and I play music… my own music. But I never consume drugs; I never drink alcohol, never slept with a girl and never forget who I am. Why? It is because I respect my religious believe. I practice the taught, although not from every aspect. I lay my whole life to walk the line of Islam. I believe there was nothing wrong with music in any kind. The only source of insecurity feeling is from us, human.

I am 24. Now that I am frustrated on how things is going on, especially in Malaysia. Music equal to entertainment… and only entertainment! There is less conscious of those who so called modern artiste wannabe on the responsibility that should be hold by music. We felt on the west definition of music. Listening to current music I felt hopeless and soulless…

For us to understand our surrounding, we should first understand ourselves. It seems that music has drown our integrity as a highly regard society. If we just let this to happen, it will ruin our future as a respectable community in this society. Music seems to left damage on us. Music now is some form of lifestyle. It seldom contains those valuable thought which suppose to reshape the listener’s awareness. More and more people are into music now, but they tend to get lost.

My father has slowdown himself for music now. I derive the rock soul from him. But for me music is for good. I don’t give a damn on what trend is exploding in the music industry nowadays. I am only the observer, and I gain only the best for me. I would share it with anyone who really wants it… or feel the same like I do. A good Muslim will always obey to what Islam taught his people. They know the boundaries of ‘just enough’ and ‘too much’. Where are you standing now?

-16th August 2006, pantai dalam.

Wednesday, August 09, 2006

“Kita mesti jual…”

Oleh: Hazril Hafiz (8 Ogos 2006 ; 10:53pm)

Saya sudah dua kali menghadiri temuduga sebagai penulis di dua buah syarikat penerbitan terbesar negara. Penulis kerana saya suka menggunakan perlambangan sebegitu. Rasminya, jawatan itu mereka rujuk sebagai wartawan. Saya tidak suka! Wartawan bagi saya, dalam konteks industri penerbitan di Malaysia… hampas. Mereka hanya tahu melaporkan berita semata-mata, tiada gaya, tiada luahan tulen… dan yang mengecewakan saya adalah kebanyakan mereka ini haprak.

Saya tidak pernah cuba untuk memahami situasi ini. Lihat saja gaya penulisan mereka, tidak banyak yang mengunjurkan keutuhan pandangan yang tersendiri. Daripada membaca laporan harian di dada akhbar harian, saya lebih senang membaca kolum Mazlan Nordin (Tan Sri) - salah seorang penulis / wartawan / pemikir angkatan lama – di Mingguan Malaysia setiap Ahad.

Sehinggalah saya berpeluang untuk mengikuti proses temuduga tersebut, setelah habis dan saya merenung kembali, saya sedikit sebayak mendapat jawapan untuk soalan saya sendiri ini. Masih jelas dalam memori saya, satu pagi dalam tahun 2005, saya hadirkan diri di syarikat yang terletak di sekitar Maluri ini. Permulaan hari yang menarik… niat saya, jika ada rezeki di sana elok juga sebagai kesinambungan kareer. Calon yang hadir ada dalam 15 orang pagi itu.

Penilaian agak ketat juga. Kami diarah untuk melalui tiga (3) ujian kalau tak silap. Soal jawab sidang media, terjemahan teks dan mengarang. Saya sungguh-sungguh terasa lucu mengenangkan diri saya sendiri yang telah melalui sesi tersebut. Sebagai seorang yang sedikit sebanyak telah ada asas journalism versi sendiri, saya terasa bosan. Bosan dengan tahap keseriusan – yang kononnya perlu – bagi kami yang masih baru. Seolah-olah sudah ada acuan yang diberi dan kami perlu mengikut saja tanpa perlu banyak soal. Segala aspek, melapor, mengarang… semuanya tipikal. Seminit itu saya rasakan tiada ruang untuk saya berkreatif! Ajaib dan kurnia! Saya lulus kesemua ujian itu tanpa banyak masalah.

Tambah menghiburkan ketika sesi temuduga. Saya difahamkan yang mereka-mereka ini – lima (5) orang semuanya - antaranya ialah pengurus besar atau ketua pengarang pelbagai penerbitan di bawah syarikat tersebut. Saat ini sememangnya saya menyampah. Padangan saya, untuk penerbitan besar seperti ini, kami akan di asak dengan soalan yang mampu menggoyah integriti dan pengetahuan… juga kemampuan berfikir dan berhujah. Saya menjangkakan setidak-tidaknya akan ada soalan berkaitan isu-isu semasa dunia. Tahu apa yang mereka soal?

Penemuduga: Sepanjang kamu terlibat dengan dunia hiburan ini (satu lagi terma yang saya tidak suka dikaitkan dengan saya!), siapa artis wanita yang paling cantik kamu rasa?

Hazril: Sepanjang saya menulis, saya tidak pernah ambil kisah secara serius tentang itu.

Penemuduga: Alah, takkan tak ada yang kamu rasa cantik.
(Saya mula rasa menyampah dan menjawab dengan tuli…)

Hazril: Dayang… Siti… (mungkin itu yang mereka ingin dengar…)

Di atas meja mereka, saya sogok dengan majalah ROTTW ini. Ada yang tak pernah tahu dengan kewujudan majalah ini pun. Reaksi mereka bersungguh-sungguh. Membelek setiap muka dari awal. Ada juga yang kagum. Kebanyakkan masa habis untuk saya menjelaskan tentang perihal ROTTW. Satu soalan yang saya masih ingat:

Penemuduga: Apa yang cuba kamu lakukan dengan majalah ini?

Hazril: Kami cuba membuat counterculture terhadap khalayak pembaca. (Ini pandangan peribadi saya saja, bukan mewakili pendirian ROTTW ya..)

Jawab saya ringkas, disusuli dengan hebahan idea yang sedikit menggugat peluang saya untuk diterima bekerja di situ! Saya secara terbuka mengkritik cara penulisan di dalam penerbitan arus perdana, yang antaranya turut melibatkan penerbitan mereka. Saya sama sekali tidak setuju dengan cara mengetengahkan berita-berita picisan, gosip dan sensasi secara berlebihan untuk meraih untung semata-mata. Jawapan mereka, “Kita buat bisnes, mesti kena fikir untuk… produk kita mesti kena jual, baru boleh hidup.” Hah! Meluat saya mendengarkan tafsiran mereka-mereka ini.

Pada ketika itu, riak wajah saya sudah berkerut. Situasi juga seingat saya semakin tegang. Saya mengambil keputusan untuk menamatkan sesi temuduga tersebut. Dengan senyum sinis saya bingkas bangun dari tempat duduk dan terus ke arah meja panjang panel-panel tersebut… ada dalam empat lima meter di hadapan saya.

Saya mengambil semula fail sijil dan juga naskah-naskah majalah ROTTW tadi dan beredar dari situ. Keputusannya… saya tidak diterima bekerja dengan mereka… tetapi pada masa yang sama saya juga tidak menyesal.

Saya belum habis di sini. Pengalaman temuduga kedua lebih panas. Saya akan kupaskan untuk dikongsi bersama pada keluaran hadapan. Saya juga akan membuat kesimpulan yang mana merupakan niat sebenar saya menulis makalah ini. Ketika ini idea saya sedikit beku dek lagu-lagu dari Arch Enemy, album Anthems Of Rebellion (tumpuan terarah kepada lagu-lagu ini sebenarnya…)

Saturday, July 29, 2006

Gig Malaya Dilemma 14/7/2006

Oleh: Hazril Hafiz Mohd. Hassan

Ini kali pertama kami membuat persembahan ditempat sama yang pernah melakar sejarah hitam perjalanan muzik anak-anak muda tempatan awal 2006 lalu. Tetapi berbeza kini, Paul’s Place sedikit berupah wajah. Di tingkat bawah sekali terdapat kafe mereka, dan pentas muzik masih lagi di tingkat paling atas.

Seawalnya saya seperti kurang yakin dengan gig yang bakal kami sertai ini. Pemain dram tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur. Plan kedua untuk bermain secara akustik juga tidak menunjukkan tanda-tanda memberangsangkan. Malam sebelum hari gig tersebut menyaksikan kegawatan kami bermain sebagai sebuah band, gara-gara sesi akustik di bukit nostalgia, Universiti Malaya yang serba tak kena. Alam jadi saksi, seorang dua rakan yang ada pun pasti risau…

Terima kasih kepada penyelamat kami, Zap yang muncul pada pukul 11 lebih malam itu untuk sesi jamming yang menentukan perjalanan esok hari. Aku tidak lagi kecewa dengan perkembangan terbaru itu. Lapang dada aku selepas sesi latihan di Der Schatten Studio, TTDI awal pagi Jumaat tersebut. Semua bersemangat dan sanggup berkorban tenaga untuk sebuah persembahan muzik kecil… Terima kasih kepada semua rakan-rakan band yang memberi komitmen!

Hari persembahan, aku dikhianati oleh gitarku sendiri. Sehingga tarikh itu, ada hampir enam bulan aku tidak pernah usik alat muzik elektrik ku itu. Definisi bunyi gagal untuk aku bentuk malam itu. Sesi sound-check aku rasakan seperti terawangan dalam kebahlolan!

Orang tidak ramai dan aku jangkakan gig bakal batal. Namun ia tetap dimulakan… walaupun agak lewat. Jam 10.30 malam baru band pertama memulakan persembahan. Kami band kedua malam itu. Mujur, dengan berbekal sedikit kesungguhan yang tersisa, aku rasakan yang persembahan kami tidaklah mengecewakan. Bunyi yang keluar dari gitarku yang rosak pick-up itu pun lebih molek berbanding semasa soundcheck! Dengan tali putus, kami teruskan saja perjalanan muzik ‘kebas’ kami, satu persatu hingga tamat. Keseluruhannya, aku mampu berlapang dada selepas memekak di atas pentas malam itu. Keserasian dapat dirasakan, cuma kegusaran diawal tadi sedikit membayar harganya.

Enam band membuat persembahan, dan hanya hampir pukul 1.30 pagi baru selesai semuanya. Kesemua yang terlibat memberikan yang terbaik. Terima kasih kepada Hasbee dan band-band yang berkongsi pentas malam itu. Kami berlalu dari ruang Paul’s Place dengan wang kocek RM12 yang diraih… cukup bermakna walau jumlahnya kecil. Jumpa lagi di lain waktu!

Setlist Pax De Parma:
“Belum Berjudul” (E)
Cermin
Dunia Hampir Qiamat

Wednesday, July 05, 2006

ANTARA JIMI HENDRIX, P. RAMLEE DAN MAWI

Di komputer lama saya ketika ini terpasang lagu Crosstown Traffic, Jimi Hendrix dari album Electric Ladyland. Puas rasanya meluangkan masa mendengar lagu ini. Apatah lagi dengan headphone yang jelas memberi dentuman kental, menghentam dinding-dinding telinga dan gegendang kenyal saya.

Idea saya mula terarah tentang bagaimana Hendrix mengakhiri kareer muziknya. Sebagai sesorang yang muzik mendahului zamannya, saya sedikit kecewa dengan penghujung tragik yang dilalui orangnya. Hendrix mati kerana mengambil dadah berlebihan! Berakhir riwayatnya bagaimana pun tidak mengakhiri gagasan pengaruh muziknya. Karya Hendrix masih lagu berkitar dikalangan peminat muzik generasi kini, sama seperti saya sendiri. Saya benar-benar merasa kagum ketika menonton dokumentari muzikal yang merujuk kembali Hendrix pada masa rakaman album agungnya ini, pastinya yang dimuat-turun seorang rakan dari internet.

Lamunan saya seterusnya mula disapa oleh kelibat Allahyarham P. Ramlee. Istimewanya insan ini tidak boleh disangkal. Saya bukan peminat karya-karyanya, tetapi pengkagum individu yang bernama P. Ramlee ini. Saya terpesona dengan segala daya kehendak yang ada pada insan ini sehinggakan beliau dapat melangkau segala keterbasan yang ada untuk meletakkan dirinya terasing di tempat teratas persada seni kita. Ah, selamat semuanya P. Ramlee…

Melompat lagi angan-angan saya. Terus ia jatuh ke susuk yang dikenali dengan nama Mawi. Kontroversi terbarunya memang hangat dijual oleh media massa. Saya mula teringat, beberapa bulan lepas ketika bertemu Prof. Dr. Hussain di UM. Perbualan yang bermula daripada perjalanan ringkas muzik Malaysia tidak semena-mena terkeluar nama Mawi ini. Ketika itu pensyarah ini telah meluahkan rasa kecewanya terhadap tunang Mawi. Katanya, eloklah Ina ini merubah imej dari seorang perempuan kampong kepada seorang yang lebih up-to-date. Pandangannya adalah, biar Mawi membelanjakan sedikit daripada wang jutaan ringgitnya itu untuk menaik-taraf tunangnya itu. Saya hanya tersengeh kerana malas nak fikirkan tentang itu semua.

Cuma beberapa hari ini akhbar banyak memperkatakan tentang kisah Mawi putus tunang. Hah, ini pun jadi berita besar! Yang menariknya, apa yang saya perasan, si Ina ini perlahan-lahan mengubah penampilannya. Fikir saya, mungkin betul ramalan Dr. Hussain tentang perkembangan ini. Ina mula meletak make-up pada rupanya. Pakaian pun sudah maju. Terakhir yang saya perasan dia dihias adalah ketika menjadi cover majalah mingguan Wanita, itupun yang saya tengok dipejabat – dibeli oleh rakan.

Tetapi pelik. Cerita Mawi nak putuskan tunang membuatkan saya terfikir kembali. Dari pemahaman saya, Ina itumengambil inisiatif sendiri untuk merubah penampilannya, bukan dengan bantuan Mawi. Ini kerana, sejak Mawi mahsyur sedari alam AF lagi, mereka tidak bersua muka. Kasihan Ina. Apa yang sebenarnya terjadi, hanya mereka dan Tuhan saja yang tahu, akhbar anda tak usah percaya…

Saya terasa seperti Mawi telah tersilap percaturan. Imej baiknya – yang menjadi nadi penerimaannya dari khalayak peminat – sudah menjunam ke lembah paling busuk. Gambaran yang sudah pasti terbit dari insiden ini adalah, mungkinkah Mawi semakin hanyut dan lupa daratan? Jangan tipu, saya yakin sangat persolan ini bermain dibibir peminatnya.

Populariti Mawi akan jatuh sedikit sebanyak. Simpatisan tehadap Ina akan bertambah. Untuk Mawi menjelaskan situasi ini adalah amat sukar. Untuk dia terus diam juga bukanlah satu jalan bijak. Untuk berdepan dengan peminat-peminat muzik di Malaysia bukanlah mudah, perlu ada mekanisme yang sistematik untuk menhadapi masyarakat yang sukar menyelami dan memahami pokok sebenar komplikasi Mawi-Ina ini. Jika ada yang rapat dengan Mawi yang membaca tulisan ini, suruh Mawi sendiri jenguk-jenguk sama.

Peminat-peminatnya ramai yang bingung, terutama makcik-makcik yang ramai menyokongnya dari awal. Perwatakkan yang baik, latarbelakang agama dan penampilan fizikalnya yang tenang ini benar-benar menimbulkan kemelut kepercayaan di kalangan peminat. Mawi, anda perlu telus dan jangan berselindung. Jangan belajar memakai topeng dan selalu-selalulah merenung sejenak harapan ramai orang diluar ini yang disandarkan dibahu anda. Mereka tidak mahu melihat Mawi yang semakin hanyut, atau sekurang-kurangnya pada pandangan mata mereka begitu. Anda ‘berdiri’ hari ini oleh faktor besar penampilan dan perawakkan anda, bukan kemampuan nyanyian anda. Jangan cabar saya untuk menyanyi, kerana saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi penyanyi pun! Terimalah kritikan ini secara bijak dan positif…

Luangkanlah sedikit masa Mawi, untuk telek hidup sendiri. Mahsyur boleh datang dan boleh pergi. Duit pun sama. Tapi siapa yang bakal tinggal dengan anda nanti bila pangkat ‘artis popular’ itu tercabut dari baju anda nanti? Saya cuma khuatir yang bintang anda yang sedang bergemerlapan itu mula suram. Suram bukan kerana diselubungi awan hitam, tetapi anda sudah semakin jauh dilangit luas.

4 Julai 2006, 1.27pagi – pantai dalam

Friday, June 30, 2006

MALAYSIA – DI DALAM KANCAH SERABUT

Saya ada berbual-bual dengan teman sepejabat berbangsa India beberapa hari ini. Katanya, “ maaf saya cakap, tetapi orang Melayu memang tak tahu berterima kasih dengan apa yang mereka ada. Kami ini nak dapat tempat di universiti pun payah. Walaupun banyak A, belum tentu boleh masuk. Tapi Melayu senang saja. ” Perbualan ini tercetus selepas saya menunjukkan tajuk akhbar berkenaan Dr. Mahathir, beserta isu besar yang timbul susulan daripada cakap-cakap beliau kebelakangan ini.

Dia menyampaikan lagi buah fikirannya. “Kalau bukan kerana Dr. Mahathir, saya rasa orang Malaysia masih lagi hanya bertani dan berkebun… potong getah. Tak ada orang yang masuk kerja pejabat macam kita ini…” tegasnya sambil saya hanya termangu merenung kata-katanya tadi. “Melayu patut bersyukur dan berterima kasih pada dia…” sambungnya lagi. Begitulah sedikit sebanyak tekstur ayat rakan wanita India ini.

Saya tidak cuba menjawab, kerana pada pandangan saya, cara dia melihat polemik tersebut – dari satu sudut – ada kebenarannya. Namun jelas juga, dia bukanlah seorang yang memerhatikan senario politik Malaysia secara dekat (begitu juga saya!). Maka dengan itu, pandangannya bagi saya… hanya menyentuh perkara-perkara zahir yang terlihat oleh pandangan matanya sahaja. Mengapa begitu banyak pihak bertindak balas terhadap dakwaan-dakwaan Dr. Mahathir itu? Saya pula melihat isu ini sebagai satu cebisan politik yang cuba di api-apikan. Bukan pertikaian antara polisi-polisi besar pemerintah dengan rakyat. Tetapi lebih kepada legasi dua kuasa yang masih lagi relevan hari ini. Tidak perlulah saya huraikan kronologi ‘persengketaan’ ini, kerana ramai yang sedia maklum. Namun ia tetap menarik untuk direnung-renungkan.

Perkara pertama yang saya kagumi, akibat daripada insiden ini, media cetak Malaysia sedikit ‘terbuka’ untuk menjadi platfom perbahasan isu ini. Agak pelik juga pada mulanya membaca laporan-laporan sebegini, kerana pada dasarnya, hanya laporan membosankan saja yang di ketengahkan. Melihat Pak Lah dikritik hebat di dada-dada akhbar memang menakjubkan. Tambahan pula Pak Lah hanya mendiamkan diri, lagi bertambah misteri. Persoalan yang saya tidak faham, mengapa bersunguh-sungguh Dr. M bersungut tentang pengantinya itu? Ada sesuatu yang tersirat untuk kita selongkar di sini…

Malaysia juga tiba-tiba berada dalam konfrontasi politik merbahaya di era Pak Lah. Dengan spontan itu juga ada padang tempur dibuka dalam arena politik Malaysia. Ramai yang berminat mengikuti sketsa ini. Dikala Dr. M menghentam lawannya, pak menteri semakin ramai menyebelahi Pak Lah, tunjuk sokongan masing-masing. Apapun - pada saya yang terhad pemahaman politik tempatan ini – pasti ada juga makhluk-makhluk yang bersorak ria, kerana mungkin membuka jalan politik yang lebih lebar untuk diri sendiri.

Saya bersetuju juga dengan rakan India tadi. Kata-katanya mungkin benar. Tetapi dia juga harus ingat yang setiap manusia itu ada kelemahan. Dan saya menyanjungi segala apa yang Dr. M taburkan untuk Malaysia selama 22 tahun kuasanya itu. Mungkin, sekadar mungkin di sini, kelamahan yang dahulu yang tersorok dek kuasa gah mula menampakkan susuknya sekarang. Beliau menjadi tidak senang duduk akhirnya. Entahlah… saya bukan nujum.

Seperkara lagi yang menarik perhatian ialah, reaksi orang-orang politik lainya. Terasa mereka-mereka ini kelakar juga, macam budak-budak. Semua ingin tunjuk hebat. Ketika membaca temuramah Musa Hitam (Tun), jelas kelihatan isi jawapannya seolah-olah serangan peribadi, ingin mengunakan kesempatan itu untuk menghentam bekas bosnya kembali. Eloklah, seorang jerit, yang lain sahut. Kita dengar bunyi siapa yang paling kuat.

Subjek – Dr. M – juga tak kurang menarik. Dia meramalkan yang media akan memainkan isu berkenaan untuk suatu jangka masa lagi. Tetapi dari apa yang dapat kita perhatikan, dia sendiri yang cuba mencanangkan kembali polemiknya sendiri. Terbaru yang saya maklum, dia mengadakan forum bersempana dengan isu tersebut dan mula sekaki dengan pembangkang. Tapi tak juga perlu dihairankan, bukan pertama kali Dr. M ambil jalan ini.

Sambil pada itu, saya juga terfikir akan implikasinya insiden ini. Apa keuntungan yang diperoleh rakyat biasa? Melopong melihat permainan baru ini sambil melupakan seketika realiti hidup masing-masing. Mengelamun bersama-sama hantu politik ini yang tidak memberikan faedah barang sedikit pun kepada produktiviti golongan tengah sederhana. Isu yang menjadi buah mulut ini semakin menambah serabut kepada masalah-masalah yang sedia ada. Yang rugi adalah manusia-manusia yang tercengang ini!

Isu ini akan terus menyelinap di mana-mana media untuk beberapa ketika lagi jika watak utamanya tidak mengambil langkah untuk berhenti berbicara. Jika sejarah telah melihat camput tangan Mahathir dalam pentadbitran Tunku Abdul Rahman dahulu sehingga Tunku turun dari jawatan Perdana Menteri, tidak semestinya peranannya kali ini akan membawa kesan yang sama. Bagilah ruang untuk orang yang diberi mandat itu mentadbir urus negara ikut cara sendiri.

Memang Pak Lah bukan yang terbaik. Tetapi siapa lagi nak diharapkan buat masa ini? Najib…? Lagi elok Pak Lah saja yang mengurus. Dr M…? Masa dia sudah tamat. Elok juga dia belajar-belajar untuk menerima kenyataan. Kesan daripada kontroversi yang dicetuskan ini jika dilihat betul-betul, mampu memberi impak buruk kepada keselamatan negara! Habis porak-peranda broker-broker politik ini dengan konco-konco mereka sekali. Berani pakai ISA?

30/6/2006 - pantai dalam

Monday, June 12, 2006

NOTA DARI SEREMBAN

Pagi itu (3 Jun 2006), aku turun di stesen KTM Seremban. Teman wanitaku ada bersama menemani. Oh, sebetulnya, aku yang menemaninya yang ingin pulang ke Juaseh dari Kuala Lumpur hari yang sama. Dari KL Sentral, berpusu-pusu umat manusia bertebaran membawa arah masing-masing. Sebenarnya kami kecewa pagi itu. Yang dirancang, kami mahu ke Seremban dengan bas sahaja. Jimat sedikit dan masa perjalanan lebih pendek jika dibandingkan dengan komuter. Tapi apakan daya, kami dilayan serba tak acuh oleh ‘orang-orang bas’ yang tak faham bahasa!

Sesampai saja kami di stesen itu, aku bergegas melepaskan gian – melampiaskan mekanisme memetik punat kamera – yang telah lama rasanya aku tidak lakukan. Bertubi-tubi lensa kamera Minolta itu berketib. Apa saja yang aku terasa ingin diambil gambarnya… akan aku turuti. Mujurlah hanya objek pegun, bukan perempuan seksi!

Menelusuri lorong kecil ke Teminal One dibawah panas terik kemudiannya membuatkan aku ingin lekas sampai ke sana. Sempat aku berbisik kepada si dia. “Rasa macam dekat Jakarta…”, begitulah lebih kurang. Aku merujuk kepada betapa ramainya warga asing itu, sehinggakan aku naik rimas. Kalau mereka duduk diam, mungkin aku tidak terasa. Tetapi kesnya di sini, segala perlakuan dan cara mereka itu menggangu orang lain! Aku benar-benar merasakan aku bukan lagi berada ditempat sendiri…

Di tembok kompleks bas itu pun sama keadaannya, malahan lebih menyesakkan nafas. Berlonggok manusia-manusia warga asing ini bertenggek dan ‘bikin wilayah’ di serata ceruk. Aku bukanlah penentang kemasukan warga asing ini. Sumbangan mereka dalam sektor pekerjaan di sini tidak pula aku nafikan. Maklumlah, kita serumpun kata orang. Tetapi melihat perkembangan ini aku sedikit tersentak. Apa yang patut aku fikirkan ini?

Dipendekkan cerita.

Aku mengambil bas untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas makan tengahari di Seremban. Ketika bas belum bergerak, aku mengambil ruang mencoret serba-sedikit catatatan yang sedang anda tatap ini. Jam lebih kurang pukul tiga, aku sampai di Central Market. Ada persembahan live band diperkarangannya sempena World Press Day rasaku, maaf aku tidak ingat nama penuhnya.

Sekali lagi, pandangan aku berselerak diperkarangan Pasar Seni itu, sedikit termanggu melihat lautan manusia Indonesia di situ. Ah, makmur sungguh Malaysia. Pemurah sungguh Malaysia. Sambil aku berjalan, fikiran aku kembali berkisar tentang mereka ini. Aku sendiri tidak jelas samada ini adalah satu masalah, fenomena, kebiasaan atau ancaman psikologi. Entah apa-apa lagi yang aku khayalkan…

Tak lama aku di situ. Sempat menonton persembahan Lurk dan Farasu, aku naik mendapatkan CD Tool Aenema dan kemudiannya melangkah pulang. Aku meninggalkan kegusaran hatiku terhadap kebanjiran warga asing tadi di sana. Biar ia terus terlarut dalam udara sesak Pasar Seni atau mungkin aku akan kembali menjamah persoalan aku sendiri itu dengan pelbagai definisi dan sudut pandangan yang lebih segar.

7/6/2006 - pantai dalam

Friday, May 19, 2006

Satu desawarsa yang penuh pancaroba…

Tahun ini sudah 10 tahun umur majalah yang sedang anda tatap ini. Setiap yang terlibat secara langsung atau tidak, pasti ada kenangan tersendiri yang terpendam. Bagi saya sendiri, ketika mula-mula menelaah – ketika itu baru belasan tahun – terasa amat gembira dengan kehadiran ROTTW di kalangan majalah lain yang ada di kedai-kedai mamak.

Muzik bagi saya sesuatu yang menarik untuk diselami ketika itu. Duit poket banyak dihabiskan untuk membeli kaset-kaset era itu. Adakala kaset yang saya rasa tidak ‘berharga’ saya jual untuk membolehkan saya membeli kaset dari band-band yang diminati. Sumber biasa hanyalah majalah luar negeri seperti Guitar World, Kerrang! dan lain-lain yang amat sukar didapati (kalau adapun harganya mahal… terlalu mahal untuk budak sekolah!).

Namun, membelek majalah seumpama itu tidak terasa keghairahannya. Semuanya band-band luar yang hanya mampu kita dengar nama dan materialnya dari jauh saja. Ia tidak meransang pertumbuhan gerakkan muzik tempatan. Wujudnya ROTTW ketika itu saya lihat seperti ‘tapak’ baru untuk menyatukan gerakan-gerakan muzik Malaysia yang terlalu banyak sub-sub alirannya. Dan ini kekal sehingga hari ini.

Sepanjang rangka masa itu jugalah saya melihat perubahan demi perubahan telah tercetus dalam konteks kandungan majalah ini. Dari permulaan sebagai majalah yang teknikal, kandungan ilmiah yang padat, mencakupi semua aspek dalam muzik. Kemudian penerbitan yang ‘terpecah’ dua dengan kehadiran Gitar & Bass. Bermula dari titik ini, ROTTW yang tinggal adalah lebih kepada kaedah ‘penyampai berita terbaru’. Apapun hujungnya, saya tidak mencuba untuk membandingkan kandungannya. Apa yang saya lihat, evolusi itu ada, perubahan sentiasa mendapat tempat sepatutnya di dalam majalah ini.

Saya juga kagum dengan kesungguhan Abg. Rom dalam meneruskan perjalanan ROTTW sehingga tahap ini. Pelbagai onak sudah diharungi, pernah ditempuh dan bakal sentiasa diuji lagi! Pasti anda masih ingat insiden pejabat ROTTW dipecah masuk dan komputer di curi. Semua itu bukan pematah semangat tuannya, tetapi pematang prinsip yang sedia ada.

Saya sendiri ada pengalaman-pengalaman pahit manis bersama ROTTW ini. Dan saya yakin, perkara yang sama juga akan di akui oleh mereka-mereka yang pernah berteduh di bawah atap ROTTW itu sendiri. Saya bukanlah individu yang selayaknya untuk mengupas liku-liku perjalanan majalah ini. Namun, pengalaman yang hampir setahun sebagai ‘in-house force’ banyak mengajar saya. Terima kasih Abg. Rom kerana peluang yang diberikan!

Bukan senang untuk memanjangkan hayat majalah yang berkisarkan muzik di Malaysia. Kita pernah dengan nama TONE, Dragon dan lain-lain. Tetapi di mana nama-nama itu sekarang? Masalah utama ialah khalayak yang sanggup menyokong produk-produk seperti ini adalah dalam bilangan yang minoriti. Jualan adalah faktor utama kelangsungan hidup majalah yang tidak mendapat tajaan dari mana-mana pengaruh besar! ROTTW masih di sini. Dan jika anda sayangkan majalah ini, terus tunjukkan sokongan. Tenaga kerja di sebalik nama itu acapkali memberiakn yang terbaik. Kearahan tenaga sebegini belum tentu ramai yang mampu memikulnya. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri …

Tunjukkanlah sokongan anda untuk ROTTW terus mampu bernafas. Kita juga sudah banyak menyaksikan band-band baru yang diketengahkah, semakin hari semakin gah namanya. Anda perhatikan sendiri, dan anda akan faham apa yang saya maksudkan. Jika anda bermain band, membawakan ekpresi ‘merapu’… majalah mana yang sanggup memberi ruang dan laluan bagi menonjolkan bakat anda?

Akhir sekali, saya masih merasakan yang senantiasa ada ruang untuk ROTTW ditambahbaik. Pembaca juga wajib berkomunikasi dengan majalah ini. Syabas ROTTW… terima kasih semua. Selamat tahun lahir yang ke – 10. Semoga kita akan terus dapat melihat lagi ROTTW dengan evolusi selanjutnya di masa akan datang.

ELLE J
15/05/2006

BUNG PRAM, AKU BARU MAU KENAL KAMU…

Luruh hati aku pagi itu. Cerita kecil muka depan Utusan Malaysia tercatat berita perginya Pramoedya Ananta Toer. Pramoedya itu - atau panggilan ringkasnya Bung Pram – meninggal pada usia 81 tahun kerana sakit jantung dan diabetes. Begitulah seperti yang dikhabarkan.

Aku tidak mampu bercerita panjang tentang latar belakang hidupnya. Aku baru saja mahu berjinak-jinak dengan penulisan karyawan agung ini. Aku mula mengenali nama Bung Pram ini pun hanya daripada bacaan-bacaan aku sebelum ini. Fathi Aris Omar seingatku mengkritik Bung Pram kerana pendapatnya tentang ketelusan dan keterbukaan media di Malaysia. Said Zahari – di dalam Meniti Lautan Gelora – juga kalau tak tersilap ada menyatakan nama ini. A. Samad Said juga, ketika aku berbicara pendek tidak lama dulu, menyebut-nyebut Bung Pram ini. Tetapi sekadar mendengar cerita orang tidak membawa sebarang makna pun, melainkan kita sendiri yang turut sama merasakan!

Dikesempatan yang tak sengaja, aku terlihat beberapa buku Bung Pram ini terpamer. Antaranya Gulat Di Jakarta, Subuh, Cerita Dari Blora dan Rumah Kaca (buku ini siri ke-empat Karya Pulau Buru yang terkenal itu), Perburuan dan banyak lagi. Aku mencuba satu. Dan aku mencuba Cerita Dari Blora. Nukilan yang terdapat di dalamnya kebanyakkan ditulis pada tahun 50-an dan berlatarkan cerita beliau semasa kecil di Tanah Jawa itu. Di saat itulah aku mula merasa penangan penulisannya. Bahasanya bagi aku, ringkas. Walau ditulis dalam bahasa Indonesia, tidak banyak masalah untuk memahami konteksnya.

Ketika membaca kisah-kisah yang ditulis, terasa seperti tuannya sedang duduk disebelah dan bercerita. Emosi, cinta, kasih saying, kerakusan, terhimpit, jahil… semuanya terasa begitu ketara. Aku mula kagum dengan caranya. Bung Pram telah dicalonkan untuk Hadiah Nobel tiap-tiap tahun, sedari tahun 80-an lagi. Bukunya yang kurang lebih 30 buah, kebanyakkannya diterbitkan semula dan diterjemahkan ke dalam hampir 40 bahasa seluruh dunia. Dia mula diangkat sebagai Albert Camus untuk Asia!

Apa yang aku rasa menarik perhatianku terhadap insan ini adalah, dia – hampir separuh daripada usianya – dipenjara. Ini yang aku lihat sebagai nafsu syaitan manusia, mengekang insan lain untuk kepentingan sendiri. Bermula dari penjajah Belanda, Jepun, Belanda kembali dan akhirnya semasa rejim Soeharto, Bung Pram yang keding ini terus-terusan menjadi mangsa. Buku-buku yang ditulisnya hampir semua diharamkan di sana oleh Kerajaan Indonesia waktu itu. Segala kisah penderitaan dan realiti hidupnya sudah cukup menceritakan ketempangan dunia buatan manusia.Oleh yang demikian, ramai yang mengiktiraf segala coretan Bung Pram ini sebagai gambaran jelas tentang kebangkitan revolusi Indonesia dahulu.

Aku terus menggali khazanahnya. Kuartet siri Pembebasan Pulau Buru yang mahsyur itu aku miliki. Namun masih belum sempat menamatkan kesemuanya. Aku juga ada menanam benih angan-angan untuk ke seberang dan bertemu dengannya. Perangkaanku, dalam hujung tahun ini atau tahun depan… aku akan usahakan juga. Namun Tuhan lebih sayangkannya, aku redha. Mungkin aku masih boleh ke sana dan berjumpa dengan waris-warisnya… itu aku kurang pasti. Walau apa pun kesudahannya, Bung Pram telah banyak mencoret kisah-kisah peribadi dan imaginasinya untuk dikongsi bersama. Aku akan terus mencari lagi segala tinggalan beliau untuk aku ceduk pengajaran-pengajaran hidup yang tidak diajar di sekolah… dan amat rendah nilainya pada pandangan mata warga moden hari ini.

Seorang tokoh lagi telah pergi. Dia aku anggap sebagai perakam masa dalam seluruh usianya. Apa yang dilihat, baik tragis mahupun manis, semuanya dicatatkan secara asas pada keeping-keping kertas. Ketika dalam penjara, dia dinafikan hak untuk pendapatkan pensel dan kertas. Lihat, betapa pengecutnya orang-orang disekelilingnya dahulu. Maka dia pun mula melakar kisah-kisah tersebut dalam kepalanya saja. Kurniaan Allah memang tiada tanding dan tiada siapa dapat menghalang! Ada juga catatan yang diseludup keluar dari penjara. Semua itulah yang mendewasakan Bung Pram.

Tulisannya menjadi pedangnya. Pedang yang mencarik dan membogelkan segala kepincangan dalam masyrakat waktu itu. Kekejaman penjajah juga adalah penentangan kerasnya. Salah guna kuasa yang kemudiannya timbul oleh bangsa sendiri turut digasak habis-habisan. Manakala terkurung diri di dalam tahanan, pemikirannya masih bebas dan semakin matang, tidak ada siapa-siapa yang boleh menangkapnya!

Koreklah rahsia si tua ini yang telah pergi dan meninggalkan segala macam pengajaran kepada generasi-generasi kita. Tiada salah kita mengangkat orang yang benar-benar menghambakan diri untuk bangsanya. Dia tidak punya kemewahan, harta apatah lagi. Tetapi jiwa kentalnya sukar dicabar, digoyah dan disogok. Belajarlah daripada kisah-kisah ini. Bung Pram, aku baru mau kenal kamu. Namun bukan kudratku semua itu… Damailah engkau di sana… perhatikanlah terus anak bangsamu.

Pramoedya
Aku kalung khazanah tinggalanmu
Buat pedoman diri dan bangsaku
Kerna tiada semangat sekuat dikau
Tiada hidup derita itu
Tanpa pengorbanan

Laluan usiamu penuh liku dan sembilu
Namun kau tetap pasrah
Kau tetap terkujur di situ

Ketika aku baru mahu kenal
Siapa itu Pramoedya
Kau terlebih dahulu menyahut
Seruan Ilahi

Aku akan tetap membaca dan belajar
Aku tetap akan berdoa
Agar engkau di sana
Diberkati dan diredhai…





ELLE J. HAFIZ 1 MEI 2006

Sunday, May 07, 2006

Tekap plastik

Aku lagukan ribut dalaman ku
Kerna mungkin… aku… jiwa
Dan kau… fesyen glamor kosmetik
Tapi kau juga ada jiwa
Ya… jiwa
Jiwa plastik!



22 APRIL 2006 @ bilik sewa, atas tilam wakaf… DI PANTAI DALAM.

Aku membayangkan diriku berada di atas pentas AIM 13 bersama-sama Ramli Sarip dan A. Samad Said. Maka lahirlah coretan spontan ini…

KEJORA DI SAUJANA MALAYA

(PUISI BUAT MAK SALAMAH)

Dikau membuka lembaran baru
Lahirmu sebetulnya untuk dunia
Untuk diselami hati nurani mu
Oleh mereka-mereka yang tahu menghargainya

Ku baca kisah pengorbanan mu
Meruntun jiwa nan lara
Kau api yang membakar semangat juang
Angkatan suamimu
Terus tabah dan dikesampingan

Dikau hampari lembaran-lembaran sejarah
Dengan segala perih-jerih kehidupanmu
Bersama anak-anak kecil yang belum pun kenal dunia
Waktu itu
49 tahun yang sudah

Kini… dalam lipatan sejarah jua…
Namamu terukir
Namamu harum semerbak
Walau tak ramai yang tahu
Tak ramai yang menyanjungimu
Tidak secara terbuka

Namun tetap ada insan-insan yang tahu
Nilai payah kehidupan yang pernah kau lalui

Dan… ku kutip kembali tinggalan-tinggalan mu
Dalam lipatan sejarah nan terlipat
Untuk pedoman bagi diriku
Untuk tatapan anak-anak hari ini

Daku cuba salami segala resah dan seksa yang dikau tanggungi
Namun aku tiada daya
Masih belum sampai ke dasar lempah itu

Kerna hanya bahumu yang memikul bebannya
Dan hanya dikau yang mengerti
Tersimpan kejap jadi rahsia
Terus jadi misteri

17 tahun
Dikau kemudi berseorangan
Teguh yakin nalurimu menemani suami mu yang dikurung di dalam
Dikau di luar
Tetap meredah onak dan ranjau
Menjinakkan kebuasan kehidupan
Binatang-binatang manusiawi!

Daku belajar erti kesetiaan, pengorbanan dan kehidupan dari kisah mu…

Yang Liar


Hari siang semalam, saya menonton wayang gambar. Ceritanya, animasi budak-budak, The Wild. Seawalnya, saya biasa-biasa saja, sekadar ingin berhibur kosong melayan karektor-karektor kartun yang ada. Saya agak meminati animasi ringan seperti ini.

Kisahnya jika diperhatikan, sama saja seperti kartun-kartun lain sebelum ini. Dalam skrip cerita ini, seekor bapa singa berusaha untuk mencari anaknya yang secara tak sengaja dibawa pergi dari zoo tempat mereka menginap buat sekian lamanya. Nama watak-wataknya saya tidak ingat semuanya; Sammy si bapa singa, Nigel si beruang Koala, Ryan si anak singa… dan ada tupai serta zirafah yang saya lupa namanya. Mereka ini satu kumpulan akrab.

Catatan ini tidaklah bertujuan untuk membuat ulasan tentang filem tersebut. Sebaliknya saya ingin menceduk intipati yang di bawah sedar daripada cerita ini untuk dikongsi bersama. Ketika menyaksikan disebalik tabir pembikinan filem ini, para pendokong yang menjayakan plot-plotnya menyatakan yang ada terkandung nilai-nilai murni cuba ditonjolkan. Tetapi di sini saya ingin pusing lagi sudut pandangan tersebut, walaupun ada kebenarannya!

Hidup mereka adalah di zoo. Dipamerkan kepada orang ramai, dilayan dengan begitu manja… makanan disediakan dan habitat yang direka khusus untuk tujuan itu. Ada pula si bapa singa ini sering mengaum untuk dipersembahkan kepada pengunjung. Ramai yang kagum dengan ngaumannya; baik pengunjung dan juga binatang lain. Hakikatnya, si bapa singa menyimpan satu lipatan hitam sejarah hidupnya. Dia bukanlah raja rimba, kerana dari kecil sudah diambil untuk menjadi singa sarkis. Dia tidak tahu realiti sebenar yang sepatutnya di harungi oleh singa… yang tulen. Ngaumannya hanya untuk dipertontonkan!

Kini, dilemma yang sama dihadapi oleh anaknya. Tidak seperti anak-anak singa liar, dia langsung tidak pandai mengaum. Tidak pernah digunakan ngaumannya itu untuk menakutkan binatang lain. Tepatnya, dia tidak pernah langsung berada dalam keadaan terancam untuk membolehkannya belajar menjadi singa dalam erti kata sebenar. Dia malu… dan sentiasa mencari-cari jawapannya.

Sampai satu ketika, dia terpisah dari bapanya. Dia cuba mencari jawapannya sendiri. Ingin mencabar dirinya dan memahami dunia hakikat, dia masuk kehutan dengan peluang yang ada. Masih bingung, dia merayau-rayau seorang diri. Di sini maka bermulalah pengertian seekor singa itu. Terlalu banyak perkara baru yang nyata berlaku ke atasnya. Dia kaget!

Dalam keadaan itu, dia sembat bertemu bapanya, yang ketika itu bersama kumpulan akrabnya turun mencari si anak. Namun, di kala merasakan dirinya selamat dengan kehadiran bapa, mereka telah diserang binatang buas. Emosi mula terasa bila si anak ingin melihat bapanya yang selalu mengaum itu membuktikan keperkasaannya agar boleh dituruti oleh si anak. Namun kisah silam menghantui si bapa. Dia tidak berani berdepan dengan musuh-musuh yang mengancam sebagai seekor singa yang gah. Kenangan lama dan ketakutan mula jelas. Dia serba salah; pertama kepada diri sendiri; kedua kerana gagal mempertahankan si anak; kedua kerana menipu si anak yang menganggap dia sebagai raja rimba. Selama ini si bapa hanyalah ‘perhiasan’ yang gah ngaumannya untuk dipertontonkan di zoo. Akhirnya mereka terpisah buat kali kedua, kali anaknya jatuh ketangan musuh.

Sehinggalah mereka pertemu semula di kawasan musuh, dalam keadaan terancam dan mendesak, akhirnya si bapa mula mencari kejantanannya dari dalam diri. Maka dapatlah dikumpulkan segala kekuatan, pengalaman hitam, kebaculan, hipokrit dan segala macam anasir lagi, lalu terhasillah ngauman ancaman juga. Musuh kecut, namun dengan jumlah yang banyak, tetap menyerang. Si anak mula terinspirasi dengan keberanian si singa bapa yang baru saja disaksikannya. Dia cepat menangkap cabaran-cabaran sebenar hidup singa liar, yang sepatutnya dirinya juga begitu! Akhir yang paling akhir, mereka bersama kembali…

Begitulah pengajarannya yang saya rasa boleh kita ceduk. Pantulkan kisah ini ke dalam kehidupan moden hari ini. Manusia hidup dalam senang, mewah yang sebenarnya melarat. Kita lupa tentang hakikat kehidupan sebenarnya. Kita, selama bertahun-tahun lamanya merasakan diri kita betul. Terus diulit mimpi indah kebendaan, pangkat, kuasa sehingga menjadikan kita buta. Kemudian kita wariskan kepada generasi mendatang, yang turut sama membayangkan keagungan dunia ciptaan kita. Tetapi, dunia kita dunia plastik!

Bila berdepan dengan dugaan, manusia hilang akal… jadi gila. Mula menyalahkan keadaan. Tapi sebenarnya yang berlagak, manusia itu sendiri. Maka, dengan segala kemanjaan dan kebendaan yang maha mewah melenyapkan nilai-nilai abstrak kemanusian manusia itu sendiri. Kartun ini dilayarkan untuk menghibur, tetapi terselit juga maksud-maksud lain secara tidak langsung melanggar keegoan manusia. Itupun jikalau kita mahu menyelami jurang-jurang gelap yang tiada cahaya dalam jiwa masing-masing.




Thursday, April 20, 2006

SENI MUZIK MALAYSIA LEMAS DALAM KHAYAL


Suka atau tidak, hakikat sekitar muzik Malaysia kita masih tidak memberansangkan. Kewujudan situasi yang kondusif untuk muzik ini beredar masih lagi terhad, malahan wujud hanya dalam sisa-sisa hampas bagi kebanyakkan kelompok. Masih ditakat lama, kalaupun tidak terus terjerumus menjunam! Yang ada cuma gembar-gembur, angkat bakul, gosip picisan, publisiti maksimum… dan mugkin juga “macam bagus”. Ketelusan kebanyakkan penggerak-penggerak muzik ini masih samar. Apa sebenarnya yang kita cari?

Saya keberatan untuk membandingkan dengan Indonesia dalam tulisan ini. Tetapi saya tidak mampu, ia relevan! Semuanya kerana keunikan majalah mingguan bernama Tempo dari negara sebarang itu. Saya terpaksa kaitkan juga mereka ini.

Mungkin ramai yang tidak mengenali majalah ini. Saya sendiri pun hanya selalu mendengar namanya saja. Namun, tidak beberapa ketika dahulu, saya dapat menatap dan memiliki naskah pertama saya untuk majalah ini.

Dari satu sudut, mungkin pandangan saya ini sempit. Sempit kerana menilai situasi muzik – yang cuba saya kupas – dua negara ini dengan hanya dengan senaskah majalah. Entahlah. Mungkin ini merupakan jajahan baru dalam cermin pandangan saya ketika ini.

Tempo ini saya jadikan sebagai kaca pantulan kepada tahap keterbukaan masyarakat dua negeri ini. Walaupun pada asasnya majalah ini lebih terlihat sebagai sebuah makalah politik di sana, paling dekat yang pernah kita hasilkan seperti ini adalah dengan majalah Massa. Massa sudah berkubur! Tetapi Tempo ini masih terus menghirup udara percuma dengan lebih selesa.

Membelek di ruang dalam, saya sedikit kaku sebenarnya. Hanya cerita-cerita korporat mereka dan politik. Namun, semakin dalam, semakin jauh ketengah, persepsi saya mula berubah. Di celah-celah keseriusan isinya, terselit lembaran-lembaran iklan tentang aktiviti-aktiviti muzik di sana. Dalam bahasa mudah, ada flyer-flyer gig yang di muatkan. Bukannya nama-nama besar, tetapi band-band baru yang independent kebanyakkannya yang menghiasi pampangan advertensi tersebut! Pelik sungguh. Anda faham ditakat mana penerimaan bangsa mereka terhadap muzik sebegini?

Platform itu menjadi sangat terbuka. Saya kagum sebentar. Jika di sini, di mana kita dapat lihat “pencapaian” seperti ini? Pernah gig-gig kecil ini mendapat war-war yang massa? Jarang sekali! Yang ada adalah pementasan muzik besar yang komersil dan ada “politik” kuat dibelakangnya. Mengapa kurang sokongan terhadap muzik-muzik independan, muzik-muzik jalanan dan seni itu sendiri di sini? Yang kita ada hanyalah Muzik-Muzik. Itupun eloklah juga…

Saya kupaskan lagi isi Tempo ini. Lainnya, ada termuat seksyen sastra yang memberi kredit kepada penggiat-penggiat sastra siber. Yang mana acara kecil mereka ini turut mendapat tempat. Karya-karya mereka hasil daripada perkembangan ini, walaupun ada yang menganggapnya separuh masak, masih juga diberi jalan. Ada antologi atau jilid yang terhasil daripada daerah siber ini. Bukan tidak terdapat seperti ini di sini. Permasalahan yang saya timbulkan di sini adalah keterbukaan secara umum komuniti masyarakat setempat terhadap perkara-perkara ini. Perlakuan kita seolah-olah meletakkan darjat seni itu ditempat yang paling rendah, tiada nilai-nilai positif barangkali.

Antara lainnya juga, Tempo turut memuatkan temuramah dengan tahanan-tahanan politik, pesalah rasuah dan apasaja yang berkubang dalam metafora masyarakat di sana. Semuanya mereka ceritakan, tanpa selindung-selindung. Ruang diberikan secara saksama kepada semua dengan sebaik mungkin. Tanpa prasangka, sulamilah pengamatan anda tentang perkara yang cuba saya cetuskan ini.

Di mana nilai seni kita? Mungkinkah ia tidak diletakkan ke tempat sepatutnya? Bila kita dapat melihat seni yang betul-betul berseni, yang tidak diiringi oleh objektif tipikal bertopengkan dunia hiburan yang memualkan? Bila bangsa di sebelah sini mampu mencerna semangat seni lagu dan seni muzik yang dibincangkan di sini dengan penuh penghayatan? Seni adalah abstrak, yang kadangkala tidak mampu dihuraikan… hanya dapat dirasa.

Selamanya kita tidak akan faham apa ini seni. Berapa nilainya pun kita tidak tahu. Kerana kita tidak merasakannya. Kita hanya menanggapnya pada tahap hiburan semata-mata, lantas hanyut dalam kelaihan jiwa lembik kita sendiri. Kita khayal dalam lamunan sengeh muzik hiburan semata-mata, bukan muzik seni. Sekali lagi saya nyatakan, unsure-unsur ini ada dalam perjalanan muzik tempatan, tetapi di mana tahapnya? Kita tidak berada dalam hidup budaya seni itu, tetapi kita tinggal di dalam apa yang terlintas dalam fikiran saya sebagai the hype of art.

Maka itulah, Tempo ini saya jadikan cermin untuk melihat rupa kita semula… dan ianya saya rasakan relevan. Bagi mereka di sana, muzik mungkin sebati dengan lubuk jiwa yang paling dalam. Tetapi bagi kita di sini, muzik juga sebati dengan jiwa, tetapi masih agak cetek agaknya. Sampai bila-bila pun muzik akan dianggap sebagai suatu prospek negatif produk Barat. Tempurung otak kita amat keras acuannya, ditambah dengan segala tekanan-tekanan yang datang dari pelbagai sudut. Terus terbantutlah kreativiti yang sepatutnya berwarna girang itu.

HAZRIL HAFIZ HASSAN
18/04/2006



Sunday, April 16, 2006

Patah Duka Lara : 26 Des

Hari ini, suram mungkin menerjah
Menempelak garang… mengejutkan dari lena
Sekian lama dibuai mimpi, sekali-sekala tersentak apa salahnya?
Siapa kita untuk menolak… tanda sayangnya PENCIPTA kepada kita?

Esok lusa bukan milik kita, bukan juga milik sesiapa
Kita pun bukan milik kita, apalagi yang diharapkan?
Kita milikNYA, biar kita diuji
Dan ujian itu yang akan menguatkan kita… Kerna dalam hidup ini… HIDUP INI… kita tidak mempunyai apa-apa selain segala nikmat yang dipinjamkan… maka manusia itupun silapnya kufur nikmat… Bersyukur kerna kita diperingatkan…

Belum hebat nakhoda kapal ditengah lautan itu jika belum dipukul ombak, belum agung kesatria itu jika belum ke medan perang… bumi mana yang tidak ditimpa hujan?

Jika hari ini kita diuji, terasa diinjak-injak gelora jiwa, terasa kelam sekeliling…
Ingatlah, pandanglah… tinjaulah sekeliling… ada lagi yang lebih malang
Malahan jauh lebih malang daripada kita…

Patah biar patah, tapi semangat jangan patah…
Patah balik… toleh belakang…
Setahun mereka telah ditelan air hitam ombak besar… tapi kelangsungan hidup masih di sana…
Kedamaian kunjung tiba, kesatuan terjalin… Dunia jadi saksi, kita jadi saksi…
Kuasa alam… kita kerdil…

Itu mereka… mereka telah diuji… mereka ada pengajaran hidup yang sungguh berharga… tak ternilai
Tapi kita… lain pula caranya…
Setiap dari kita lain-lain kisahnya… susah senang… buat bekalan…
Bekalan yang tak dijual dengan wang…

Siapa hebat? Kita hebat… yang cekal itu hebat… yang berani itu hebat… kebenaran itu hebat…
Kerna yang Maha Hebat adalah sang PENCIPTA…
Salut! Salut untuk kita! Salut untuk mereka!

- 26 Disember 2005 – untuk Bulat yang patah kaki.

Operator

Aku termanggu di sini
Di tempatku
Kiri ku hilang… kanan ku hilang
Mereka sentiasa hilang
Tinggal aku seorang saja di sini
Masih setia

Bilakala ada deringan talifon
Akulah yang tinggal
Akulah yang jawab
Tetapi mereka-mereka ini bukan mencariku

Maka terjelepuklah aku di sini
Jadi operator
Bukan kerjaku
Tapi itulah dia
Tetap jadi operator
Kebas otak, terbius telinga
Menghadap suara-suara dari insan pelbagai warna
Putih, Hitam, coklat
Aduh…
Bila kau mahu mencariku?

- 6 April 2006 @ ruang pejabat

Dari Tingkat Lapan


Aku berdiri di tingkat lapan..
Menara Ambank, Petaling Jaya
Pandangan ku hunuskan ke Lebuhraya Persekutuan

Sesak – Bingit – Semak – Hingar – Siren – Jemu – Sakit – Marah – Hon – Hujan – Radio – Bodoh – Bangang – Penting – Diri – Sendiri – Langgar – Tidur – Tunggang – Langgang – Berterabur – Melayang…

Nah, ambil… semua ada di situ
Natijah warga moden – yang tua dijalanan…

- 6 April 2006 @ ruang pejabat.

Thursday, April 06, 2006

ROCK @ ERA - Layar Rostam

Saya jarang-jarang menjengah slot rancangan radio Rock@Era. Namun, pernah juga curi-curi dengar ‘jiwa’ rancangan tersebut. Tengah malam, nak masuk hari Ahad… itulah waktunya. Kredibiliti program ini juga lantas melonjak, ketika slot ini bersama penyampainya – Rostam – atau lebih selesa dengan panggilan Pak Tam, dianugerahkan Rancangan Hiburan Radio Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa 2005 tidak berapa lama dahulu. Bagi yang menonton, pasti tersengeh melihat seorang mat rock kental naik pentas pakai baju batik… sempoi! Selamba Pak Tam…

Dalam kereta Pak Tam, dari hotel Ritz Carlton, Bukit Bintang… ke pejabat Astro di Bukit Jalil, kami bersembang panjang. Isu-isu sekitar muzik rock, jiwa rocknya, muzik Malaysia – Indonesia, filem dan pelbagai lagi kami soroti. Namun, diruang terbatas ini, tidak semua pertuturan akan dapat tercatat.Hanya sisi-sisi ‘masak’ dan relevan dari temuramah itu cuba saya nukilkan. Selebihnya, biar ia berada di mana saja mahunya…

ROTTW: Muzik baru apa yang Pak Tam dengar sekarang?
Rostam: Kalau yang baru-baru ni, band macam Muse, My Chemical Romance memang okey. Tapi setakat dengar, sebab nak catch up perkembangan muzik. Kena tengok jugalah, yang too light tak best, macam Simple Plan…

ROTTW: Kalau band tempatan?
Rostam: Saya baru dengar Barongan. Album baru ni lagi heavy… musicianship tu saya suka. Lain… mungkin band baru, Six Sense. Band ni ada main lagu cover 'Hari Ini Dan Semalam'. Lagi yang paling saya suka Pretty Ugly. Tapi sayang, orang Malaysia susah nak tangkap muzik macam ni. Saya sendiri memang enjoy dengar lagu diorang… agak revolutionary jugalah!

ROTTW: Bila mula masuk ERA?
Rostam: Dalam dua tahun lepas. Jadi DJ dalam jangka masa tulah. Tapi sebelum tu suara saya memang dah selalu masuk radio, sebab banyak buat iklan dan jadi copywriter untuk ERA. Saya banyak ikut kerja-kerja belakang tabirlah masa baru mula dulu.

ROTTW: Pak Tam punya rock tahap mana agak-agak?
Pak Tam: (Sambil tegelak) Tahap macam mana tu? Kalau pengetahuan tu tak lah luas sangat. Kalau tengok dalam ROCK@ERA pun, lagu-lagu yang saya mainkan pun… banyak lagu-lagu yang saya dengar dulu. Contoh band-band macam Iron Maiden, Metallica (untuk pengetahuan, Pak Tam pernah bersemuka – satu lawan satu – dengan James Hetfield di Leeds, England dua tahun sudah), RainbowGary Moore. Itu contoh-contoh dialah. Era-era 80an masa tu…

ROTTW: Macam mana pula band-band tempatan era tu, mana yang menonjol?
Rostam: Tahun 85, Search baru keluar. Jadi, masa tu, kira Search ni jadi satu landmark baru dalam muzik kita. Banyak lagi band-band sezaman dengan Search, tapi saya tengok band yang betul-betul bagi kesan pada suasanan muzik umum waktu itu. Tapi kumpulan yang paling aku minat masa tu, Belantara. Band ni tak terkenal, tapi muzik mereka menarik, obsecure. Lain-lain… band yang aku minat sound dia masa tu… aku boleh kata Burnmark.

ROTTW: Cerita sikit pasal Rock@ERA ni?
Rostam: Asalnya, program ni Khairil yang buat. Tapi sebab dia kena jaga rancangan Pagi Di ERA, jadi saya ambil alih. Bila saya ambil alih, saya tukar format. Band-band yang selalu keudara pun lain, sebab selera kami lain-lain. Jasi, saya susun baliklah rancangan ni. Itu yang seronok, sebab kita boleh buat apa yang kita suka, kita minat. Tambah maklumbalas pendengar lagi… permintaan lagi. Dalam masa yang sama, saya pun belajar dari pendengar-pendengar ni. Ada band-band yang saya sendiri tak pernah dengar. Tapi bila ada permintaan, saya sendiri yang akan cari dan dengar sekali. Secara tak langsung boleh berkongsi pengetahuan dan luaskan pendengaranlah. Cuma satu saja susah… nak dapat balik material-material lama! Memang payah…

ROTTW: Sebagai orang radio, lagu macam mana yang layak dimainkan?
Rostam: Disebabkan radio ni bergantung kepada tahap peneriamaan pendengar, kenalah kita tengok kualiti lagu-lagu dulu. Maksud saya, kualiti ni dari banyak sudutlah. Rakaman… cara nyanyian, sebutan… banyaknya lagu yang catchy… sebab itu yang pendengar suka.

ROTTW: Keanapa radio banyak mainkan lagu-lagu dari Indonesia?
Rostam: Memang ada kebenaran juga hal ini. Tapi pada pendapat saya, Malaysia kekurangan band-band berkualiti. Bilangan band yang betul-betul aktif pun tak banyak, balik-balik band yang sama, tukar-tukar lagu. Mungkin kena banyak lagilah material kita yang betul-betul berkualiti. Band-band baru pun, kebanyakkannya ada tempias bunyi Indonesia. Ini hakikat…

ROTTW: Apa objektif Pak Tam dengan slot Rock@ERA? Apa sumbangan yang diharapkan?
Rostam: Dengan ROCK@Era ni saya nak perkenalkan material-material lama yang orang mungkin dah lupa. Bukan perkenalkan apa, Cuma lebih kepada berkongsi muzik-muzik zaman saya dengan pendengar-pendengar baru dan orang muda sekarang. Lagi satu, saya tak suka mainkan lagu-lagu yang orang dah tahu. Saya banyak mainkan lagu-lagu yang kurang dikenali tetapi sememangnya ada standard tersendiri. Saya cuba ketengahkan lagu-lagu macam ni…

ROTTW: Okey Pak Tam, apa definisi rock sebenarnya? Rock tu apa?
Rostram: Definisi rock… hmmmm… (lama juga kami berhenti untuk soalan ini, sambil Pak tam mencari jawapan- jawapan yang sesuai… haha.) Susah nak jawab soalan ni, tak pernah orang tanya saya pasal definisi ni … (kami sama-sama gelak sambil saya mematikan dulu perakam suara). Okey, macam inilah. Rock tu pada saya… adalah sesuatu yang boleh bagi kita semangat (merujuk kepada muzik). Bagi saya itu definisi dia…

ROTTW: Rock ni hanya pada lagu ke? Hanya dengan muzik?
Rostam: Tak. Rock itu personality. Bukan luaran semata-mata, tapi benda tu dating dari dalam diri kita sendiri. Itulah… bagi saya, personality, perawakan dan perwatakan seseorang itu juga.

ROTTW: Hanya satu band dalam peta muzik sebagai memberi kesimpulan kepada jiwa muzik Pak Tam, band mana yang boleh bagi gambaran tu? Okeylah, satu tempatan dan satu antarabangsa…
Rostam: Tempatan… Search… dan antarabangsa… hmmm… Deep Purple.

Sebenarnya terlalu banyak yang kami bualkan. Catatan ini saya harap dapat memberi sedikit pengenalan kepada insan disebalik tabir ROCK@ERA ini. Saya bertanyakan tentang pengalaman paling manisnya setakat ini. Dijawabnya, “Saya dapat menemuramah James Hetfield (Metallica) selama setengah jam… one on one masa bawa pemenang ERA ke Leeds, England dua tahun lepas. Sesi tu tak dirangcang pun, dah rezeki saya… haha. Dalam bas sebelum berjumpa tu, jenuh saya sediakan soalan apa nak ditanya… haha” Semoga Pak Tam terus membuka jajahan-jajahan baru untuk rock di corang suara radio arus perdana…

Temuramah: ELLE J HAFIZ. - 29 March 2006

Monday, March 27, 2006

PANAH BERDARAH WAKTU

Aku susuri denai ini
Buat sementara waktu
Kerna aku belum berada dipersimpangan
Walau aku sedar aku diperjalanan

Jiwaku perit dipanah-panah
Kerna kedegilanku untuk melawan fitrah dan tiupan angin
Aku ingin terus mengikut petunjuk hati
Yang jelas menyanggah norma-norma kebiasaan

Terhimpit diantara harapan dan cita-cita
Walau tersemat keyakinan dalam hidup
Aku juga orang biasa, mudah goyah pendirianku
Maka terus-terusanlah aku dihantui dua unsur bayang itu

Apapun, jauh didasar sana, aku ada kesedaran
Kesedaran yang menjurus aku kepada keyakinan dan kekuatan
Hanya semangat nan tekad sahaja
Dan juga masa dan waktu membatas
Yang mampu membawa aku ke tujuan itu
Ataupun aku masih di sini mengelamun
- 19 Mac 2006 @ ruang pejabat, pj

NAIK

Aku kini terjerut
Di alam dunia batu yang semakin menghimpit
Ruang yang ada semakin sempit, menyukarkan lagi sudut-sudut kehidupan fana ini
Bukan aku saja, tetapi juga mereke-mereka itu
Malahan lebih teruk adanya…

Mereka ini sama sepertiku
Menggadai berkorban demi kelangsungan hidup
Mereka teraniaya… namun mereka tiada upaya untuk bangkit melawan

Di sisi-sisi sempit dan gelap di sana
Ku lihat masih ada juga yang bersenang-lenang
Tidakkah mereka ini prihatin?
Prihatin terhadap kerakusan yang meragut segala sisi kehidupan orang-orang sekeliling mereka?

Kasihanilah mereka kalaupun kau membenciku
Belalah nasib mereka itu, kerana mereka tiada apa lagi untuk disandarkan

Kerana merekalah engkau di situ
Dan kerana mereka jugalah engkau mungkin termanggu..

Ya ALLAH ya tuhanku
Berilah petunjuk dan kekuatan kepada kami semua
Dalam menghadapi kebuntuan ini…

- 20 Mac 2006
@ ruang pejabat, pj

ALAM KABUT

Meniti alam-alam kabut
Dengan mata tertutup
Ku cuba melihat dengan mata hati dan fikiran
Tanpa ada sebarang kefahaman

Secalit itu ada petunjuknya
Tetapi diri terlalu daif untuk menafsirkannya
Maka tersadailah satu jiwa tanpa pengertian
Satu jiwa yang kosong longlai menjadi bangkai

Di tengah-tengah ketempangan hukum dunia
Pasrah dan terus juga mencari dan menduga
- 20 Mac 2006

"HEY SEMMI, APA SUDAH JADI?"

Suatu malam, di sebuah estet, saya terserempak dengan Semmi. Dia kawan lama, berasal pun dari estet itu juga. Masih kuat ingatan saya mengenangkan sikap kelam-kabut si Semmi. Tapi itu dulu. Namun, saya tetap khuatir dengan personaliti yang seorang ini. Manakan tidak, buatnya dia terbawa-bawa sikap lamanya dalam kedudukannya sekarang, habis! Dulu hanya ketua estet, tapi sekarang, dengan megah dan perasannya dia sudah menjawat kedudukan sebagai ketua eksekutif di firma Jambatan Kena Runtuh. Bukan kepalang!

“Hey Semmi, apa sudah jadi?”, sergah saya. Terkejut beruk buatnya si Semmi. Ketika itu, dia sedang menghirup kopi hitam panas, dekat kedai Ah Leong, bersebelahan semak tepi kubur. Dengan riak mukanya, ditambah dengan fesyen rambut atap meruncing, naik bedekah saya dibuatnya bila melihat. Berkerut seribu dahinya, terus nampak macam cipan! “Apa sudah jadi apa?”, dengan lantang Semmi membalas sergahan saya tadi. Dari aura pertuturannya, dapat dirasa yang dia tidak puas hati. Walaupun saya sendiri kurang pasti kenapa. Tiada langsung kemesraan diantara dua kawan lama ini. Pada firasat saya, dia sedang resah agaknya.

“Jangan marah la, saya tanya saja… Bukan apa, itu hari saya tengok you dalam tv, bagi nombor telefon apa pasal?” lanjut soalan saya. Mana taknya, pelik juga. Entah tersapa angin mana entah, keluar tv tersengeh-sengeh… lepas tu bagi nombor talifon. Ni nak publisiti murahan ke apa… Sekali imbas, macam orang sasau. Dua kali kilas, ambik kau… macam orang tua nyanyuk… Haha…

You jangan sindir-sindir I aa, you apa tau…” marah si jambul rata tu kepada saya. “Saya punya kerja, saya tau la…” tambahnya lagi. “Aik, dia pula yang marah kita.” Bisik benak saya. Sepatutnya kitalah yang marah dia. Sudahla projek jambatan, yang menjadi kebanggaan dia dulu dah bertukar menjadi mimpi ngeri sampai tak tidur malam. Boleh pulak buat kenyataan dalam paper yang hand phone dia rosak sebab orang ramai sangat yang hantar sms. Kalau iya pun nak klentong, selidiklah dulu. Orang sekarang ni bukannya bodoh macam dia. Siapa suruh bagi nombor talifon kat orang!

Ada sekali tu, dikatanya speaker Plolaris tak baca paper. Logikla si Plolaris tu tanya keputusan siasatan jambatan retak. Dahlah pakai duit orang, bayar pula kat mat salleh, lepas tu boleh pula nak nafikan hak orang yang nak tahu cerita sebenar. Biol betul. Sudahnya, dia yang macam anjing gila, berpusing-pusing dalam cakap-cakap dia sendiri. Dahlah cakap pun belit-belit, tak serupa bikin, ramai orang marah ooo…

“Ok, I tak sindir. Straight forwardYou ingat orang sekarang ni bodoh ke? You punya reason tu buat-buat saja, konon nak tunjuk yang you buat kerja. Memang betul you buat kerja, tapi cara you yang tak betul. Tapi bila ada ada problem, you kasi alasan budak-budak. Hey, orang sudah bijak pandaila. Sekejap you cakap lain, esok lain, hari lain lagi lain… orang banyak menyampah sama you tau! You punya salah, you kata orang punya salah Mula-mula bukan main you nafikan yang projek itu tarak problem, selamat… semua orang boleh guna. Yang I tak tahan, you lagi tau daripada pakar. Pakar kata jambatan rosak, bahaya… you selamba saja kata tak ada apa-apa. Apa punya orang you ini? Apa kata you sendiri lalu itu tempat hari-hari, baru you tau macam mana orang sabung nyawa. Cakap saja pandai!” Nah, bagai nak termuntah muka Semmi menadah peluru kata dari saya.

Terus terkedu Semmi dibuatnya. Ecece… dan-dan tu juga dia buat gaya berfikir. Harap-harap betul lah dia memikirkan kata-kata itu.

“Apa pasal, you ingat I makan rasuah ka?” soal Semmi balik. Bijak dia ni. Bijak belit-belit cakap orang. Saya tak kata dia rasuah, tapi dia yang cadangkan. Apa tandanya tu? Anda yang budiman sajalah pertimbangkan sendiri. Si Semmi ni mereng sikit, selalu nampak macam dah tak waras.

Ketika seronok tengok muka pahit Semmi masa itu, saya teringat juga satu insiden lain. Baru-baru itu juga, Semmi ni ada buat patung berhala besar dihalaman rumahnya. Saya Tanya juga, orang kampong tak bising ke, buat berhala besar-besar ni. Yalah, majoriti orang Islam, mana tau ada yang melenting.

Jawabnya ringkas; “Saya punya suka la. Tanah rumah saya ni saya sudah beli dari ketua kampong dulu. You apa kesah!” Hai… rasa macam nak lempang saja mulut si Semmi ni. Anda pernah tak tengok berhala tu? Besar betul, saya tak tipu. Senang-senang nanti cubalah lawat-lawat “istana” si Semmi ni, tengok sendiri macam mana dia berbangga dengan patung emas tersebut.

Saya memanjangkan lagi akal, lantas bertanya pula berkenaan pemilihan wakil estet puak-puak mereka. Saya ada terdengar, dah lama dah, yang penolong dia memang tak sebulu. Tapi jawapan Semmi saya dah boleh agak, mesti nak bangga diri punya. Tak payah tunggu dia jawab, saya jawab sendiri. Dia rasa dia masih lagi relevan dikalangan kaum dia, tu yang berani celupar. Dikatanya dia tak kisah langsung tentang cabaran penolongnya tu. Sekali memang betul pun, dia masih lagi kekal jadi ketua kaum untuk upacara solek diestet itu. Gasaklah Semmi, kau punya suka.

Otak saya masih lagi berputar-putar mencari topik perbualan seterusnya. Sekilas itu juga saya teringat tentang dapur rumah Semmi. “Eh, macam mana dengan you punya kebinet dapur? Jadi tukar ke?”soal saya. “Apa you merepek ni? Kabinet dapur saya mana ada orang boleh tukar. Itu banyak rahsia oo, sama itu kenangan lagi. Mana boleh tukar, tak siapa berani tukar pun. Nanti kalau saya rasa patut tukar, saya tukar sendirilah…” bebelnya kembali. Hati saya ketika itu bertambah berasap! Tapi, suka hatilah Semmi, kau punya untung badan.

Hisshh… menyampah pula terkenangkan si Semmi ni. Munkin dia dah lupa yang satu hari nanti kita semua akan mati. Tapi itulah, manusia ni ada macam-macam jenis. Bila ada kuasa sikit, mula lupa daratan, buat ikut suka hati dia saja! Semmi, Semmi… hiduplah semahu kau, Biarlah orang lain yang mati akibat dari tindakan kau! Seronoklah tu…

- 18 March 2006

Tuesday, March 14, 2006

Health Care vs. Health Business

My attention was attracted by the cover headline which appears in Aliran Monthly’s magazine, issue 2005:Vol.26No.1. The wording is huge and clear, stated “Health or Money”. I come to realize, even before I grab the magazine, that this issue of health will and has become a central-core in our daily account.

I might not be in the right situation or position to talk about this issue. But I still want to share my point of view regarding this as we are… all of us actually, are bound directly and have a full responsibility of our own health. I am not trying to re-write what has been written in Aliran Monthly. In fact, I have no direct contact towards all the facts and figures to support me. What I have, in common, is only a thought of my own. It could be simplistic, childish or anything that might come across your mind.

I suggest that you refer to the stated magazine for details. At a glance through, here is more or less what they have to offer. In September 2005, our Ministry of Health had presented a new proposal towards our health policies for enhancement. The wrap-up is, if the proposal being approved, we are going to have what they call ‘The National Health Fund’. From my understanding, the mechanism is, more or less, just like what we already practicing for our fund in KWSP.

We will have a compulsory monthly contribution towards the funding. For sure, this will bring a very critical debate and should involve the public and should not being kept just as a close discussion. My concern here is, health in our ages has been a crucial for human living and also, on the other hand, a profitable trading in health industry. Here comes the question, is health should be seen as a deep hollow for those in health industry to dig money out of people or should it be seen as a moral aspect that it is everyone rights to have a better health treatment?

I left the question for you to answer. As for me, I saw it as a crisis. A crisis we are directly affected by, with or without our willingness. So how could we survive? In today’s living, our amount of expenses has been mounting. We are now being narrow down in life as the rapid and rigid changes took place in our environment.

We have to create the awareness starting from this point. We have to take charge of our own life, not the other elements around us. On the event of hiking prices, the rise of inflation, increase in cost of living and the manipulation of open market toward its customer is really worrying us. And now, when worse come to worse, we have to put our health issue into gamble!

Materialism is no longer can be put as a marking point of our prosperity life. We are now being strangled by the situation. Nowadays, even we earn quite a number of money; the value which can be attained for it is so little. The gap is much clearly seen from the lower income household. Beside, it is even worse when it comes to the poor. There is something should be done, and we are the one who should take action!

In our modern life, the tendency to be selfish is just right there in every corner. We are less living as a community but more in an individual context. If we let this to continue, it will suck our life one day. Change that! Now, take care of the people around you, your family, neighbors and community. Also, change the habit of our stubbornness and egoistic and start listen to some advice from other people. Be positive. Why can’t we share our wealth with some other people in need? Why we have to keep it for ourselves? How do we felt when one day we are the one who needed help?

These questions should be asked to ourselves. I am not urging you to do an exercise. I am not begging you to save money for yourself and I am not asking for your money here. It is too narrow. Without we know it, all such reaction imply to the picture of individualistic. And this is the thing that I wish to break in me. So do you.

From now onwards, let us provoke out mind and our thought. Start to think outside the interest of our own. There are so many people need our attention out there, but we just close our eyes. Many people could not afford the cost of medication.

How we could play our role? Before we get to the answer, let us think of one cliché phrase; prevention is better than cure. To prevent, we need to have the awareness. That’s it! No big deal, we have to create the awareness within ourselves first. In the era of the health capitalist is exploiting the issue to dig consumer’s money, we have to be clever enough to control it. Now health business is just like a shark waiting to bite the victims, we are all over-expose to this reality. It is hard to deal with a shark, but it is easier to deal with ourselves. These sharks are hunting our blood, or in equal, health business is hunting our money!

Now, we will see how this approach will work. First we are aware of this issue, than we apply a method to face it down (no need to mention the approach). Later, we exchange this reality with other people around us. Also we can start an open debate among our closes buddies. Of course it will cost time, but sooner or later it will affect the way we see our life.

If this phase works well, then our burden for the cure could slightly be lighter. We just need to put some effort on this, and then it will cost us less money.

After all, my concern is not on how to escape from health problem or whatsoever. My concern is how to create a society, with a high awareness among them and would take care of each other in any means. Health business is always there to rip us off, but it is only the collective forces that can balance the tidal wave.
– 14 Mac 2006

Monday, February 13, 2006

KONTROVERSI KARIKATUR: APA PENDIRIAN MALAYSIA?

Terdetik rasa terkilan dalam diri ketika saya membaca laporan tentang paparan figura Nabi Muhammad SAW dalam media di Barat baru-baru ini. Di pelusuk lain dunia juga sedang berkocak, arus gelombang kebencian umat Islam sedang meluap-luap membakar jiwa.

Barat terus-terusan mempamerkan sikap kurang ajar mereka dan menginjak-injakkan kehormatan umat Islam seluruh dunia. Pendekatannya, akhbar-akhbar harian mereka. Antara akhbar yang dimaksudkan dengan insiden ini ialah Jyllands-Posten (Denmark), France Soir (Perancis), Sarawak Tribune (Malaysia) dan Al-Mehwar (Jordan). Sebelum itu, karikatur tersebut juga difahamkan telah lama berkitar di kalangan penerbitan media Barat.

Pagi ini, ketika membuka email, untuk pertama kalinya saya melihat sendiri kartun-kartun yang dimaksudkan itu. Saya tidak melihat dari sudut pandangan emosional, tetapi tahap penghinaan mereka-mereka ini sememangnya sudah melampaui batas-batas toleransi. Jika anda tidak percaya, cuba layari laman web
http://cartoonjihad.com. Di sini anda akan lihat kebiadaban melampau kaum kafir Barat. Sebenarnya perkara ini telah lama berlaku. Tetapi umat Islam sendiri terlalu daif untuk bangun bersatu!

Kini saya faham kenapa kemuncak sabar umat Islam dunia tidak dapat dibendung lagi. Walaupun telah lama berlarutan, Barat masih lagi tidak tahu menghormati kesucian sesebuah agama! Saya tidak melihat isu ini sebagai krisis agama, tetapi sebagai kuasa pertembungan tamadun Islam dan Barat. Pastinya, bagi puak-puak Barat, mereka mengheret sekali agama kerana mereka tiada asas langsung untuk bermain polemik. Jadi, sensitiviti agama sahaja yang dapat membakar kesedaran masyarakat mereka, dan mereka berseronok dengannya!

Sebab itu, saya berfikir ketika menyaksikan kebangkitan amarah umat Islam seluruh dunia. Libya menutup kedutaannya di Denmark dan Arab memboikot produk-produk keluaran Denmark. Itu belum lagi golongan-golongan yang bangkit dan berdemonstrasi yang sampai ke tahap ganas dan radikal. Kelam-kabut jadinya mat saleh Denmark ini bila kedutaan-keduataan mereka diserang. Lihat sahaja di Pakistan dan jiran terdekat kita, Indonesia. Lari tak cukup tanah dibuatnya orang putih ini! Yang paling saya tabik adalah Iran. ‘Lembut’ sahaja reaksinya. Mereka lantas menganjurkan pertandingan melukis berlatarkan insiden Holocaust. Haha!

Saya langsung tidak menyokong sebarang tindakan ganas oleh umat Islam. Tetapi, itu dalam keadaan normal. Yang berlaku sekarang ini adalah situasi yang saya sifatkan seperti Barat “meniup angin pada bara api”. Saya sedar, sememangnya telah sedia ada jurang antara Islam dan Barat, maka perlulah persefahaman dua hala diamalkan. Islam agama yang bertoleransi. Tetapi bagaimana jika pihak lain hanya tahu menggunakan kesempatan itu dan terus-terus menindas Islam? Sebagai manusia biasa, bagaimana rasanya jika ada orang yang bergurau, katanya, dengan mengencing kepala anda? Adakah anda akan berdiam diri? Jika benar, andalah manusia yang paling mulia!

Dalam seribu kekalutan yang tercetus, Denmark semakin terhimpit. Sehinggakan skuad Olympic mereka diberi ekstra-perlindungan dalam acara musim sejuk Torino 2006. Mengapa perlu rasa takut itu? Berani buat beranilah tanggung! Dalam pada itu, sempat juga Denmark menalifon Syed Hamid Albar agar Malaysia memainkan peranan selaku pengerusi OIC (Organization of Islamic Conference) dalam persidangan tergempar yang bakal diadakan.

Malaysia pun antara entiti yang menghuni kotak fikiran saya berkisar isu ini. Selaku pengerusi OIC, dan Negara yang mengistiharkan dirinya Islam, saya masih ragu-ragu dengan tindakan Malaysia. Saya tidak hanya merujuk kepada kepimpinan negara, tetapi juga masyarakat dan rakyat dalam negara Islam ini. Apa pendirian kita bagi membela maruah suci agama Islam? Saya puji reaksi Malaysia yang mengutuk tindakan media Barat dalam isu ini. Begitu juga dengan persidangan dialog antara pemimpin-pemimpin berpengaruh dunia Islam dan Barat minggu lepas.

Tetapi dari satu sudut yang lain, ia jelas menampakkan sikap sebenar kita sebagai satu negara bangsa yang runsing. Saya berkata runsing kerana kita, kebanyakkannya tidak tahu atau tidak terasa apa-apa dari isu ini. Kita hanya terkebil-kebil melihat arus-arus jahat yang datang melanggar kita tanpa mengetahui apa yang patut dilakukan. Memang kita berada dalam negara Islam, tetapi Islam yang bagaimana? Individu yang bagaimana ingin dilahirkan oleh negara Islam kita? Sikap yang terlalu berlembut masyarakat kita saya yakin akan menampakkan kita sebagai nagara bangsa yang lemah. Satu tindakan tegas pun tidak diambil oleh pemerintah. Rasa saya, ketegasan itu perlu terlebih dahulu berbanding dengan langkah ‘membina jambatan’ untuk persefahaman Islam-Barat itu sendiri. Ini kerana, sudah banyak dialog sebegini dianjurkan tetapi kesannya sama sahaja!

Persekitaran umum Malaysia hari ini adalah refleksi daripada segala sistem yang kita gunapakai setakat ini. Dari sistem politik, sistem pentadbiran, pelajaran dan lain-lain dasar yang seharusnya diteliti dari semasa ke semasa, inilah hasilnya. Masyarakat yang hidupnya dihampar dengan kesenangan berlebihan yang secara drastik mengubah persepsi mereka melihat realiti dunia hari ini. Lahirnya lapisan masyarakat yang mengejar kebendaan, yang secara langsung memupuk sikap individualistik dan tak ambil peduli. Sampai ke tahap orang memperlekehkah kemurnian agama sendiri pun tidak ada apa-apa reaksi dari kita!

Saya melihat masalah ini dengan maksud yang amat besar, meluas dan mendalam terhadap integriti masyarakat pelbagai lapisan di negara Islam kita ini. Bukan dengan niat memburukkan mana-mana pihak. Yang benar akan tetap benar, tetapi percaturan politik sering menidakkan kebenaran. Maka bersedialah kita menanggung akibatnya. Kalau pun tidak di dunia, balasan di akhirat kelak akan tetap setia menanti kita.

Lihat sahaja Sarawak Tribune. Kita masih lagi gagal untuk membentuk kesedaran masyarakat majmuk Malaysia tentang peri pentingnya persefahaman. Tambahan pula dalam isu yang melibatkan sensitiviti agama. Saya percaya ini berlaku disebabkan tindakkan lembik dan terlalu mahubertolak-ansur sehingga orang berani cuba-cuba untuk mempersendakan kredebiliti Islam. Mungkin pihak pemerintah perlu menjelaskan pendirian mereka. Bukan setakat memberi kenyataan akhbar untuk mengutuk tindakkan tersebut, itu saya hargai, tetapi saya percaya umum juga mahu melihat tindakkannya. Ya, TINDAKKAN!

Saya menyeru semua pihak untuk mula membuka minda dan memahami realiti kita hari ini. Kita kini hidup dibawah sedar. Kerana terlalu hendak mengejar dunia, kita sanggup hidup tanpa maruah diri! Individu yang bagaimana yang berdiri di bawah panji Negara Islam Malaysia ini? Saya khuatir nanti kita langsung tidak mampu berdiri lagi… bila agama kita diletakkan dibawah segala kepentingan dan kesesatan rimba dunia!
- 13 FEBRUARI 2006