Wednesday, April 30, 2008

keganasan, penipuan & internet


Keganasan, Penipuan & Internet - Hegemoni media daulah pecah
Hishamuddin Rais
SIRD
2008

Untuk beberapa ketika dan waktu-hari tertentu dalam tahun 1974, jalan-jalan raya di tengah Kuala Lumpur di penuhi oleh tunjuk perasaan besar-besaran. Ini tidak dianggap biasa mungkin waktu itu – atau mungkin kemuncak kepada sesuatu. Tambah merunsingkan, gerakan pelajar – antaranya dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Teknologi Mara (waktu itu) – adalah penggerak utama gelombang ini.

Tidak ada apa-apa krisis di KL. Demonstrasi yang ada itu pun mula memeningkan banyak pihak – terutama pemerintah yang dalam kehairanan. Hanya kerana mahu menunjukkan sokongan mereka kepada perjuangan kaum tani nun jauh di utara – Baling, Kedah. Dan ancaman kebangkitan ini jugalah yang membawa kepada tindakan pihak berkuasa merempuh masuk universiti-universiti pada satu malam dan menangkap berpuluh-puluh aktivis pelajar di bawah ISA.

Cerita-cerita ini, sedikit sebanyak tercatat di dalam buku baru Hishamuddin Rais ini, yang waktu itu bertindak selaku setiausaha Persatuan Mahasiswa UM (PMUM). Pada malam tangkapan itu, dia melarikan diri dari UM – bersembunyi dan hilang ke luar negara – dan memulakan siri kehidupan baru di luar sana untuk 20 tahun seterusnya.

Di dalam himpunan tulisan terbaru beliau – pasca koleksi ‘Pilihanraya Atau Pilihan Jalan Raya (2002)’ – Isham menukilkan sorotan hal-hal semasa yang berlaku di Malaysia dengan sentuhan ‘popular anak muda’, dan ini adalah sesuatu yang menarik. Di setiap baris ayat-ayatnya akan ada ‘komedi’ yang akan membuatkan orang ketawa. Sifat humor di dalam tulisan-tulisan ini meletakkan pembaca buku ini pada satu keadaan sub-concious yang cukup enak untuk dinikmati.

Kekuatan Isham terletak kepada pijakannya pada bumi Malaysia, membawa insiden-insiden bosan – politik – yang kini dipopkan dalam nada yang ringan dan seronok untuk diikuti. Ini dilihat dari corong mata anak-anak muda kebanyakan yang ada di kota kita ini. Mereka biasanya tidak suka ambil pusing hal-hal isu semasa. Dan dengan tulisan serupa ini, Isham berdepan dan menjambatani jurang berkenaan.

Garapan pengalaman-pengalaman hidup beliau yang dipaparkan jelas dan diharap tanpa sensor menyediakan satu santapan cerita semi-biografi cara tak langsung yang pada setengah-setengah tempat amat kuat menggambarkan idealisme seorang anak muda. Dan Isham belum mahu meninggalkan itu semua. Dia masih mahu menjaja untuk sesiapa saja yang mahu meneylongkar rahsia hidupnya.

Ada antara rakan-rakan yang tidak menyukai buku ini. Pada asasnya, mungkin disebabkan personal Isham yang tidak disenangi – mungkin. Dia kiri, sosialis, Marxis, sekular atau apa saja yang mungkin difikirkan mereka. Tetapi untuk menolak daripada membaca buku ini di atas alasan-alasan seperti itu bagi saya adalah satu tindakan tidak matang. Dalam keadaan begitu, emosi mengatasi rasional - dan itu tidak sihat.

Isham, seperti yang tergambar melalui catatan-catatan di dalam buku ini, adalah seorang pemerhati yang akrab dengan persekitarannya. Kritik humor tentang sosio-budaya masyarakat – paling banyak tentang politik - yang disampaikan jelas sekaligus tidak menjengkelkan. Sebagai seorang warga yang kerap merewang dengan berjalan kaki di mana-mana, Isham dapat mencoret perkara-perkara remeh dan sekecil-kecilnya yang diperhatikan dan kemudiannya digaul dengan kisah-kisah semasa dan pengalaman peribadi yang tak ramai antara ahli masyarakat hari ini beri perhatian. Corong pemerhatiannya berbeza daripada yang stereotaip.

Buku ini menghimpun catatan dari seorang lagi anggota masyarakat yang peka dengan perkembangan dan kontroversi setempat. Ia juga menyimpan kisah Malaysia yang sedang dalam proses berubah kepada satu tahap yang lain yang diharap lebih matang. Sepanjang saya membacanya beberapa malam, hampir setiap kali itu juga saya ketagih bergelak sakan sampai mata berair. Woody Allen belum tentu dapat berbuat demikian.

Ini kitab komedi kota baru barangkali, yang didalamnya ada kisah-kisah tentang kebodohan, mistik moden, misteri pembunuhan, skandal dalam kain sarong, kelucahan (tidak melampau) dan sebagainya. Ini buku untuk orang Malaysia, terapi untuk jiwa vakum.


* Buku ini dilancarkan secara rasmi pada 1 Mei 2008 di The Annexe, Pasar Seni.
30 April 2008

Monday, April 28, 2008

mencari jalan pulang

Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialisme kepada Islam
Kassim Ahmad
ZI Publications Sdn Bhd
2008
.
Entah macam mana, susuk tubuh yang membelakangi rak himpunan buku, dengan ambien hitam-putih itu memberi rasa yang impresif untuk sebuah buku. Dan, mungkin juga disebabkan susuk tubuh itu sendiri – Kassim Ahmad – yang merupakan tokoh intelektual publik sekali gus kontroversi yang pernah Malaysia saksikan.

Bagi yang berusia dalam lingkar 20-an, waktu-waktu polemik perdebatan yang pernah disumbui oleh tokoh ini dulu mungkin tidak sempat diikuti, begitu juga dengan kerja-kerja awal beliau yang pernah dihasilkan. Mencari Jalan Pulang – walaupun bukan rujukan paling lengkap – banyak menyimpan kisah suka-duka perjalanan dan perjuangan tokoh ini. Mungkin juga – buku ini hadir sebagai sesuatu titik tolak permulaan yang ringkas untuk suai-kenal dengan penulisnya.

Kassim Ahmad melalui memoir ini mengakui bahawa beliau telah gagal dalam perjuangan politik – ataupun secara umum, penglibatan beliau dalam politik keseluruhannya. Beliau bercerita, antara lain bagaimana pada mulanya beliau terpaut dengan dengan fahaman sosialisme, terbabit sama dengan gerakan pelajar di Universiti Malaya Singapura. Begitu juga dengan perkenalan awalnya kepada dunia sastra sejak menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, di mana beliau mula asyik dengan karya-karya sastra ketika menyandang jawatan pustakawan sekolah – minat yang entah dari mana datang dan bersarang dalam benaknya.

Ini disusuli dengan melanjut pengajian dan mengajar di UK sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia pada 1966. Antara perkara awal yang diterajuinya di Malaysia ketika itu ialah menjadi pemimpin kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) selama 18 tahun. Kemudian, noda-noda hitam mula hinggap di dalam diari hidupnya apabila ditahan di bawah Akta ISA pada 3 November 1976 (sewaku pemerintahan Tun Hussein Onn) sehinggalah dibebaskan pada 1981, 15 hari selepas Mahathir Mohammad mengambil alih pemerintahan kerajaan Persekutuan.

Selepas dibebaskan, Kassim Ahmad mengejutkan banyak pihak dengan tindakannya untuk menyertai UMNO, yang dilihat sebagai ‘pengkhianatan’ terhadap ideologi sosialisme dan PSRM yang kuat beliau perjuangkan awalnya. Siri kontroversi ini diteruskan lagi dengan penghasilan buku Hadis – Satu Penilaian Semula, yang turut mengundang label negatif – anti-hadis – kepada dirinya.

Memoir ini menceritakan secara ringkas perjalanan hidupnya. Ada juga nama tokoh-tokoh lain yang tercatat, contohnya Shahnon Ahmad, Anwar Ibrahim, Syed Husin Ali, Harun Din – sekadar beberapa nama – yang masing-masing ada pengisahan peribadi kepada Kassim Ahmad, kebanyakannya merupakan teman-teman ketika di sekolah dan juga universiti. Mereka-mereka ini juga ada peranan tertentu pada kejadian, polemik dan perlakuan tersendiri pada waktu-waktu tertentu.

Penceritaan di dalam memoir ini berselerak – tidak disusun mengikut periode atau rangka waktu tertentu yang selari mahupun berperingkat. Jika ada ‘kekecewaan’ pada catatan ini, ia adalah ketika insiden dan kejadian-kejadian penting yang tidak diceritakan dengan detail. Ini mungkin juga disebabkan telah ada buku-buku Kassim Ahmad sebelum ini yang menjelaskan perkara-perkara tersebut*.

Juga, keghairahan untuk terus menelusuri kisah-kisah di dalam ini agak terganggu disebabkan oleh kesilapan ejaan – ‘typo error’. Ia mungkin subjektif kerana mungkin ada orang yang tidak ambil peduli. Tetapi kesilapan-kesilapan ini masih ada pengaruhnya kepada rancaknya pembacaan. Pembaca pruf tidak membuat kerja yang baik dan tidak bersikap adil kepada buku ini.

Kassim Ahmad, turut secara simbolik memberi isyarat bahawa tulisan beliau ‘Bermaknanya Kehidupan’ yang termuat di dalam Majalah Pemikir (Okt-Dis 1997) sebagai kemuncak kepada perjalanannya mencari erti hidup – dan itu ditemakan dan dirujuk kepada Islam. Maksud sebenarnya hanya beliau yang boleh huraikan.

Lewat beberapa ketika sebelum ini, beliau juga merupakan antara suara yang lantang menemplak golongan atheis baru dari Barat yang diwakili dengan vokal sekali oleh biologis Richards Dawkins melalui bukunya – The God Delusion. Dari rantau ini, jika anda pernah mengikuti debat tersebut, suara yang kedengaran untuk menyanggah teori Dawkins itu hanyalah Goenawan Mohamad – atau mungkin itu saja akses yang ada setakat ini – selepas tiada satu pun usaha serius yang dimainkan oleh media perdana di sini untuk memberikan platform sepatutnya. Kelompok media ini lebih senang dengan peranan untuk membekukan perdebatan isu serius – dan hanya mengangguk. Namun, Kassim Ahmad tidak lama dulu turut membalas panjang kepada tulisan Dawkins tersebut melalui artikel bahasa Inggeris yang berjudul ‘Of Evolution and the Existence of God’ yang termuat di laman blognya.

Apa pun halnya, memoir ini perlu dihadam. Nota seteru politik beliau dulu (meminjam ayat beliau sendiri) – Mahathir Mohammad – turut membuka lembaran-lembaran awal. Mungkin, seperti apa yang dapat digambarkan buku ini, sosialisme akan cepat dapat meresap dalam jiwa muda yang rebel dan penuh tenaga kudrat. Tetapi, setelah semakin dewasa dan matang, sosialisme yang sama semacam sudah tidak dapat memberi tahap kepuasan yang sama lagi.

Entah ya atau tidak, pengalaman menggengggam sosialisme tidak pernah pula membuang Islam dan keyakinan beliau terhadap kebenaran. Dan dalam memoir ini, cebisan-cebisan gambar dan maksud itu ada tercatat.

- Buku ini akan dilancarkan secara rasmi pada 2 Mei 2008.

* Bacaan lanjut:

Universiti Kedua (1983)
Hadis – Satu Penilaian Semula (1986)
Hadis – Jawapan Kepada Pengkritik (1992)

28 april 2008

Wednesday, April 23, 2008

tentang mahathir (pandangan terakhir Rustam A. Sani)

Kepada Allahyarham Rustam A. Sani, semoga rohnya dicucuri Rahmat. Anak kepada nasionalis besar Ahmad Boestamam, intelektual publik dan individu yang rancak dengan penghasilan tulisan-tulisan ilmiah ini sempat memberi komentar terakhirnya; mengenai Mahathir Mohammad. Ulasan berkenaan (yang ditampal di bawah dan ditulis dua hari sebelum beliau meninggal dunia awal pagi tadi) di kutip dari laman Suaraku - Rustam A. Sani mungkin boleh dirujuk untuk memahami apa yang sedang berlaku kini - bagi mereka-mereka yang pening dan runsing dengan kelibat dan tindak-tanduk Mahathir ini. Juga, dua buah tangan terbaru Allahyarham - buku “Failed nation: Concerns of a Malaysian nationalist” dan juga “Social roots of the Malay left” baru saja diterbitkan oleh SIRD.

Al-Fatihah.

Mahathir lagi: Bilakah semua ini akan reda?
Saya benar-benar kagum akan Mahathir, khususnya terhadap kemampuan dan kedegilannya untuk menyatakan pandangannya. Dia akan terus bertakata-kata, meskipun sudah tidak ada lagi orang yang mau mendengar pandangannya itu – kecuali mungkin beberapa orang yang mau memperalatkannya sebagai sumber “pendapat” bagi maksud tertentu – untuk menyerang Abdullah Badawi, misalnya.

Dan bagi tahap umurnya, tenaga Mahathir memang luar biasa. Suaranya masih lantang, sebutannya masih jelas – meskipun daya ingatannya ternyata sudah kabur (banyak yang tidak diingatnya atau sudah tersalah ingat), daya analisisnya sudah longgar, rasa hormatnya terhadap lojika, etika, maupun kebenaran jelas sudah berkecai.

Namun, bagi saya, apa yang lebih menakjubkan ialah masih banyak antara kita yang masih sanggup mendengar racauannya itu. Oleh itu, bila Mahathir akan diwawancara untuk rancangan “Hard Talk” baru-baru ini saya menjadi kebanjiran dengan pesanan SMS maupun posting blog tentangnya. Memanglah Mahathir merupakan seorang yang degil, yang tidak puas-puas meracau di mana sahaja. Dia akan berceramah di majlis ceramah anjuran PROWARIS atau bahagian-bahagian Umno yang tertentu, berdebat dalam forum anjuran laman blog MyKMU, ditemuramah oleh Malaysiakini.com, malah menulis kata pengantar untuk buku Dr. Collin Abraham.

Tidak ada sesuatu yang baru dalam apa yang diperkatakannya, namun orang tetap akan mendengar malah melaporkannya kembali di tempat lain, di muka akhbar maupun di laman blog. Tidak ada yang mendalam atau profound dalam analisisnya, namun masih banyak yang menganggap kata-katanya sebagai semacam mutiara ilmu. Dan inilah yang menakjubkan saya. Apakah yang menarik tentang Mahathir ini: mutiara ilmu yang keluar dari mulutnya atau sekadar personanya? Dan apakah yang menarik tentang persona itu – auranya atau sekadar latarbelakang dirinya yang pernah menjadi ahli politik yang memberontak terhadap establishment Umno tetapi kemudiannya bertukar menjadi establishment itu sendiri yang amat menindas?

Baru-baru ini Mahathir tampaknya telah berhasil pula menjaja misteri dirinya itu ke luar negara. Dia sanggup ditemuramah di ruangan “Hard Talk” BBC yang terkenal kerana soalan-soalan mendalam lagi kasar terhadap sesiapa sahaja – khususnya para pemimpin negara dunia ketiga.

Mahathir memang tahu tentang reputasi rancangan Hard Talk itu, namun naluri dan semangatnya untuk terus berkata-kata itu ternyata tidak akan dapat diredakan. Otot di sekeliling mulutnya yang overdeveloped itu tampaknya tidak akan dapat dilemahkan. Satu sifat dan sahsiah Mahathir yang asasi sehubungan dengan nalurinya yang mau terus berkata-kata ini ialah sifatnya yang combative – yakni dia akan menyerang bila dia mendapati dirinya terdesak oleh serangan orang lain khusus pihak yang mempersoalkan kredibiliti hujah dan kata-katanya. Dan apabila Mahathir mulai menyerang, dia akan melakukannya secara dogged (hantam keromo, membujur lalu melintang patah). Bila Mahathir menyerang, maka jelaslah terserlah sifatnya yang samasekali tidak menghormati dan mengendahkan kebenaran, fakta, logika atau malah urutan dan tertib hujah yang siuman.

Saya telah melihat perkara ini berlaku beberapa kali sewaktu Mahathir diwawancara oleh media antarabangsa (Mahathir dalam nada prasangkanya sendiri akan mengatakannya “media barat”). Beberapa tahun lalu, sewaktu Mahathir ditemuramah oleh Zain Verge dari CNN, bila dia didesak dengan soalan-soalan yang hangat dan pedas, dia akan segera menjadi combative – menuduh sipenemuramah itu sebagai mewakili prasangka “orang putih” yang senantiasa memandang rendah terhadap orang kulit berwarna seperti dirinya.

Hakikat yang tidak diendahkan Mahathir ialah hakikat Zain Verge merupakan seorang wanita keturunan Pakistan yang dibesarkan di Afrika – hanya kulitnya sedikit cerah berbanding Mahathir. Kali ini sewaktu menghadapi asakan soalan-soalan panas dari Stephen Sackur, hos rancangan Hard Talk ini, huraian Mahathir tentang prasangka orang Barat terhadap orang pribumi kita tampaknya diasaskan pada ikhtisar pandangan beberapa tokoh pegawai penjajah British satu dua abad lalu seperti Swettenham, Winstedt.

Pandangan berprasangka seperti itu sebenarnya sudah tidak kedengaran lagi hari ini, dan malah hujah seperti yang dikemukakan oleh Mahathir itu juga sejak lama sudah tidak digunakan lagi oleh para pembahas dan sarjana anak negeri. Namun demikianlah adanya vintage Mahathir: dia tidak teragak-agak menggunakan hujah dan mauduk dari dua abad lalu untuk memenangi perdebatan hari ini. Mahathir agak beruntung bila berhadapan dengan para wartawan seperti Zain Verge dan Sackur itu. Mereka ini sebenarnya tidak begitu tahu tentang realiti politik di Malaysia, oleh itu tidak dapat terus bertanya (probing) bila Mahathir memberikan reaksi yang sebenarnya tidaklah seratus peratus tepat.

Huraiannya, misalnya, tentang penyingkiran para hakim, tentang pita V. K. Lingam, tentang keadilan yang diterima Anwar dari sistem kehakiman Malaysia sudah pasti akan mengundang asakan yang malah lebih kuat lagi dari seorang wartawan yang lebih tahu tentang Malaysia berbanding Zain maupun Sackur.

Namun Mahathir, bagi saya, tetap merupakan seorang watak awam yang bijak lagi licik. Dia pandai menggunakan segala macam helah dan permainan citra untuk mempertahankan dirinya dan mengelirukan para pendengarnya. Sebab itulah setiap gerak geri maupun kata-katanya akan menarik perhatian, meskipun tidak terdapat barang seurat ketulusan maupun kebijaksanaan dalam penampilan citra dan cendekianya itu.

Bilakah permainan penampilan dirinya yang penuh helah ini akan reda – demi menjaga kewarasan dan kesehatan minda (mental hygiene) masyarakat kita sendiri?

Wednesday, April 16, 2008

larung

Larung
Ayu Utami
Kepustakaan Populer Gramedia
2002

Larung bermula dengan kegelapan. Dalam bayang-bayang igau seorang realis, ada perencanaan mahu berbunuhan. Ada rasa yang mahu mengikat mati. Bukan untuk diri sendiri tetapi untuk seorang individu yang lain. Tetapi dalam fikiran menerjah kemungkinan-kemungkinan hitam itu, pertalian paling erat – zuriat dari satu darah yang bertali-kait antara mereka – menjadi benteng paling membingungkan. Bagaimana mahu mendepani itu? Tambah runsing bila ada suara-suara mendesak dari dalam kotak fikiran dan juga kehadiran hantu jembalang dalam susuk tubuh yang mengingkari perintah untuk manusia itu mati.

Di tanah yang lain, terhimpun kisah-kisah selingkar seks yang menjadi geromolan empat wanita – Yasmin, Cak, Shakuntala, Laila – masing-masing dengan keangkuhan, gelisah dan ego tersendiri. Berdirinya tema ‘seks’ itu bukanlah seperti yang tergambarkan oleh perlakuan zakar menusuk masuk vagina, tetapi ia lebih besar maksud dari itu. Ia melekat pada sisi realiti dan permasalahan yang dilalui oleh ramai orang dari mana pelusuk dunia pun jua – yang semua manusia tidak boleh berhipokrasi.

Ada perempuan yang hadir di dalam gugus-gugus perasaan seorang lelaki. Ada seorang isteri yang kini bahagia dan masih mampu terkenang kisah-kisah berahi lama dengan lelaki lain – yang masih mahu diulangi, ada kisah cinta yang cuba menyelam di lubuk paling dalam di mana kata ‘cinta’ itu berdiri dalam-dalam. Semuanya mahu merungkai satu-satu penglaman yang menyasyikkan, tapi dalam waktu-waktu yang ia juga menyeronokkan dan ada kala menyakitkan sekaligus meresahkan.

Sehinggalah rantai yang menyatukan mereka semua mula bertemu. Berlatarkan semangat-semangat imbauan kisah lampau, dengan warna-warni Indonesia – Jalan Diponegoro, Jakarta – pada rusuhan tanggal 27 Julai 1996 atau yang lebih mesra dikenali ‘Sabtu Kelabu’.

Kemudian, Saman – antara watak yang disebut – ketika ini banyak mengundang perhatian. Dia diburu pihak berkuasa kerana terlibat dalam usaha-usaha mempengaruhi massa untuk merusuh. Dia lari, diburu juga oleh ingatan kepada Yasmin. Diselamat dan menyelamat. Dan entah dari mana, nama penyair mereka yang besar - Wiji Thukul - yang hilang sehingga hari ini dan tersenarai di dalam senarai 'Daftar Orang Hilang' seperti diberi peringatan khusus dengan penuh tanda hormat.

Plot-plotnya sehingga ke hujung pengisahan, menjalar tanpa segan-segan. Keliaran imajinasi juga turut sama berdampingan dengan jalan ceritanya. Dalam senario yang ‘celaru’, kisah ini menemukan empat pemuda dalam situasi tegang – dihambat dan dikepung polis.

Panik, lolosan diri dan kemudian seperti menghampiri janji manis malam perawan untuk melangkah kepada sisi bebas, semua keindahan yang hadir dari dalam banyangan itu bertukar menjadi kusut dengan gejolak rasa yang hangar. Tengakaran yang semakin memuncak yang akhirnya mengundang rasuk sehingga mambawa kepada insiden tak sepatutnya – seorang ketua polis yang dihumban semula ke dalam sejarah silamnya merelakan emosi memenangi diri. Lalu, satu das tembakan di kepala menghantar mesej sunyi sepi untuk sekalian alam di ceruk itu. Sebuah kisah tragik untuk umat manusia.

16 april 2008