Showing posts with label muzik. Show all posts
Showing posts with label muzik. Show all posts

Friday, July 22, 2011

Oh, Jakarta.

* Loudness, perkarangan Soekarno-Hatta.

Kali kedua menjejak kaki di Jakarta. Bandara Soekarno-Hatta petang tadi basah. Jam 6, tetapi suasana mula suram. Dua jam di dalam pesawat, di barisan paling akhir yang ruangnya sempit, itu betul-betul memenatkan. Dalam tempoh itu, saya terlelap-terjaga berulang2 kali. Segar sekejap untuk membaca Out - Natsuo Kirino yang mengkagetkan.

Berjalan perlahan melepasi setiap pos imigresen tanpa diperiksa (kerana semua sudah siap di atur - jolok duit agaknya). Di luar, terserempak dengan rombongan band metal lagenda Jepun, Loudness yang juga baru tiba dari Kuala Lumpur, kalau tak silap. (Hari sebelumnya mereka menggegar pentas di KL, dan kemudian meneruskan tour ke Jakarta).

Mulanya malu-malu dan sekadar memerhati, tetapi tak tahan untuk merapat juga. Bertanyakan dalam bahasa yang saling tak difahami. Bersalam sedikit dan selebihnya memotret. Untuk ahli-ahli band ini, yang ketika itu sudah berada di atas bas tour mereka, dah memilih untuk turun semuanya hanya untuk memenuhi permintaan bergambar oleh beberapa orang dari Malaysia itu amat mengharukan. Kerana, Loudness adalah sebuah nama besar. Tetapi tak berkepala besar. Terima kasih mat-mat metal cool Matahari Jepun.

Kemudian, mengharungi trafik sesak ke tengah kota. 2 jam di dalam bas kecil.

Malamnya, saya merayap ke Hard Rock Cafe. Kebetulan, satu showcase ringkas berlangsung, sebelum acara muzik independen terbesar katanya - Rockvolution - hujung minggu nanti di Senanyan. Dua band sempat ditonton persembahannya; Tonight Alive (ala Paramore, dari Sydney, Australia) dan kemudian The Datsuns (band rock keras dari New Zealand). Dalam penat kaki-kaki ini tetap bergoyang-goyang juga. Cari dan dengarkan band-band ini di internet.

The Datsuns agak tidak mengecewakan. Tetapi Tonight Alive muziknya terlalu kosong dan kering. Mujur penyanyi perempuannya cantik.

Oh, Jakarta. Kamu penuh dengan warna-warni muzik minggu ini. - 21 Julai 2011.

Wednesday, July 20, 2011

Bon Iver, Fleet Foxes


Sejak minggu lalu, dua CD muzik daripada band luar negara yang sangat menyenangkan saya ketika ini, sampai ke meja ruang kerja. Kehadiran yang banyak meregangkan kepala daripada urusan-urusan lain yang kebelakangan ini amat menyesakkan.

Dua album yang dimaksudkan ialah Fleet Foxes - Helplessness Blues dan Bon Iver (Self-titled), kedua2nya kumpulan pemuzik independen dari Amerika yang mula menempa nama melalui album pertama masing-masing. Fleet Foxes dengan sampul CD dalaman hitam dan sekeping poster kredit saiz besar dengan lakaran tangan yang dicetak semula. Bon Iver seperti dulu, tampil dengan imej bersih, dengan satu booklet untuk lirik, yang juga dengan tulisan tangan yang dicetak digital semula.

Muziknya, bagi saya, cukup menggenggam. Tidak ada persamaan keterlaluan dengan muzik-muzik yang kebanyakan bermunculan di sebelah sana. 'Musang' masih lagi kekal dengan arah muzik asal album terdahulu, tetapi Bon Iver melangkau lagi, dan memperdaya jangkaan saya sendiri. Kali ini mereka dengan muzik aneh cakrawala yang meruntun, beremosi dan hidup; walaupun kini tampil dengan susunan muzik yang dominan dengan peran mesin synthesizer. Modern, tetapi tak seperti muzik yang selalu kedengaran.

Kedua2 band ini membayangkan muzik dengan mata yang lain, tetapi tidak mekanikal dan natural alir bunyinya. Perlahan, mengugut faham muzik dan menghidangkan dengan penuh warna dan seperti ingin memberitahu, muzik ini bentuknya mengalir. Saya akan mendengar berulang-ulang lagi album-album ini dan larut untuk satu tempoh panjang.

Sunday, June 26, 2011

40 tahun Sweet Charity




Sebuah kaset berplastik putih tertutup. Dengan logo WEA. Dengan judul-judul lagu yang masih bercetak di atasnya. Lama dulu, saya menemukan kaset berkenaan, tanpa kulit, tetapi masih berkenaan baik. Di dalam bunyi tersangkut-sangkut yang kedengaran dari corong pembesar suara, pita coklat gelap yang lama tidak dimainkan itu seperti terseksa. Kulat barangkali sudah berakar di dalam.

Saya temukan kaset itu di dalam bekas simpanan bapa, berserta sepasang kaca mata hitam Ray-Ban Aviator yang sebelah kantanya tercabut dan hilang. Kalau tak silap, album itu berjudul Penunggu. Atau, mungkin saya sudah tak mampu mengingatinya. Saya bersihkan serba sedikit pitanya dengan alkohol pencuci kepala radio, dan irama-irama dari dalamnya sejak itu mula meresap ke dalam diri. Nama Sweet Charity mula mendengung.

Awal sebelum itu, saya mencuri sebuah lagi kaset – Deep Purple The Greatest Hits – dari koleksi bapa juga. Dan, oleh kerana sejak awal bertemu dengan material-material serupa itu, saya akhirnya terjebak dengan virus-virus muzik. Lebih tepat, muzik-muzik dari angkatan dan generasi itu. Walaupun melangkau satu atau dua generasi dari usia saya, muzik-muzik rock barat terasa dekat, sejuk di halwa telinga untuk terus melekat.

Saya tak pernah menonton aksi mereka sebagai sebuah band dipentas. Yang ada hanyalah cerita-cerita bapa, yang dulu katanya amat menggemari dua band ini, menyaksikan mereka di pentas-pentas kecil, mendengarkan orang menyanyikan lagi mereka di kenduri kahwin dan lain-lain. Dan memang, muzik awal Sweet Charity mengambil acuan yang sama dengan Deep Purple sebelum menjelajah jauh dengan norma-norma yang lebih berpijak di rantau ini.

31 Mei 2009 adalah hari bersejarah band ini. Di Dewan Konsert, Esplanade – Theathre At The Bay, Singapura, mereka berhimpun semula untuk sebuah konsert meraikan usia 40 tahun keberadaan mereka, dengan musik yang dilagukan, tanpa lelah. Saya, sekali terlepas untuk menyaksikan Sweet Charity secara live. Saya fikir, saya meminati band ini pertama sekali kerana muziknya. Kedua kerana bapa juga meminatinya. Ketiga, kerana mereka memang menunjukkan semangat dan kecenderungan luar biasa tentang muzik. Dari dalam tv (dan DVD), saya menyaksikan rakaman live konsert berkenaan.

Ruang audiens penuh. Sorakan tak putus-putus, walaupun kebanyakan yang hadir dan duduk selesa dikerusi empuk dewan itu kebanyakannya sudah berusia. Yang datang kerana ingin mengingat kembali memori lama melalui lagu-lagu yang dipersembahkan secara langsung. “Sweet Charity adalah permulaan perjalanan saya,” bergema sekejap dewan mendengar cerita dari salur mikrafon di tangan Ramli Sarip.

Menarik juga untuk disebut, di setiap senggang persembahan malam itu, Ramli turut bercerita tentang sejarah panjang band yang menjadi separuh daripada nyawanya itu. Cerita lisan ini barangkali sangat berharga kepada penikmat-penikmat muziknya, terutama dari generasi yang lebih baru, untuk sedikit-sebanyak belajar tentang perjalanan penuh warna Sweet Charity. Dari Kampung Wak Hassan hingga ke pentas besar, barangkali semangat yang tertanam di dalam tubuh setiap mereka malam itu tak mampu ditahan-tahan lagi, walaupun usia semakin meningkat. (Dua daripada anggota asal band berkenaan telah kembali menghadap Tuhan ketika konsert berkenaan berlangsung.)

Dan persembahan malam itu diabadikan di dalam sebuah rakaman khas; Edisi Terhad – Sweet Charity 40 Tahun Bagaikan Bermimpi. Di dalamnya, dua CD audio berserta satu DVD persembahan malam itu disediakan sebagai tanda terima kasih kepada setiap orang yang selalu mendoakan dan menyokong perjalanan mereka. 17 lagu termuat kesemuanya, dengan set sokongan oleh pemuzik orkestra pimpinan Eddie Marzuki, album ini mungkin saja merupakan tanda aras yang sukar ditolok banding, sekurang-kurangnya untuk lanskap muzik rock Malaysia-Singapura.

Sebuah booklet istimewa 64-mukasurat dengan cetakan berwarna turut termuat, dengan foto-foto aksi konsert yang dirakamkan secara rasmi oleh Syamsul Bahri Muhammad dan beberapa jurufoto lain.

Dan, paling penting, konsert serupa akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini. Dari ruang dewan tertutup Singapura di bawa ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, tempat sama konsert 2 Raksasa bersama Blues Gang pernah menggegar dulu pada 1986.

Untuk saya, tak ada nostalgia atau memori untuk diingati. Cuma, harapnya, persembahan besar kali ini tidak terlepas lagi. Kerana mungkin 40 tahun lagi Sweet Charity hanya akan meninggalkan lagu-lagu di dalam CD untuk dinikmati. Tidak lagi akan ada persembahan pentas dengan riuh adrenalin muzik rock berskala sama. Siapa tahu.



* Sweet Charity dan Blues Gang akan bergandingan di dalam Konsert 2 Raksasa, 9 Julai 2011 (telah ditunda pada tarikh 1 Oktober) di Stadium Merdeka. CD Edisi Terhad berkenaan, setakat tulisan ini ditulis, masih belum dijual dipasaran. Kalau berminat untuk memilikinya, emel ke jelirda@gmail.com. Ia dijual pada harga RM100.


Friday, June 24, 2011

sore di kuala lumpur


Sore, band jazz-fusion (kalau boleh disebut begitu) akan bertandang dan melagu di Kuala Lumpur 7 Julai ini, dua hari sebelum konsert raksasa Sweet Charity + Bluesgang (dan perhimpunan mega Bersih 2.0). Dalam tempoh itu agaknya kota kecil ini akan jadi begitu sarat dengan acara-acara besar yang bermacam. Harapnya kota yang disayangi ini mampu untuk menampung setiap tenaga yang terbit ditengahnya nanti.

Kalau tak ada aral, saya akan mewawancara ringkas penganjur konsert mini ini minggu depan dan terus menyambung untuk bertemu dan berbual kasual dengan satu daripada band Indonesia yang saya fikir cukup unik dengan faham muzik mereka, yang sudah mengidangkan dua album sebelum ini (dan mungkin sudah ada yang ketiga).

Saya kembalikan ingatan kamu dengan ulasan album kedua mereka - Ports Of Lima - yang saya tulis hampir dua tahun dulu.

Buat masa ini, selamat menikmati. Klik di sini untuk tulisan berkenaan.


Tuesday, June 14, 2011

konsert sweet charity + blues gang



Selamat kembali dan berdendang.

Monday, June 13, 2011

Nada



Catatan ringkas tentang single baru Society, dan beberapa muzik-muzik baru kota ini. Baca di sini.

Monday, September 27, 2010

Album Kompilasi Meor


Malam minggu. Ruang tertutup Galeri Annexe awalnya agak meresahkan. Tak ramai orang yang hadir untuk sesi persembahan Meor & Friends di situ. Persembahan direncanakan sempena pelancaran album kompilasi terbaru Meor Yusof Aziddin - Kompilasi Kompilasi.

Ketika Arctop Soul di pentas, tak ada apa yang bakal berubah. Kerusi masih kosong. Tapi, katanya, persembahan masih berterusan. Mujur ada Via dan mungkin juga Hidayah, dua kuntum bungan yang sedikit membuat orang terjerit-jerit, setiap kali kelibat mereka di pentas, sehingga habis persembahan. Tetapi, entah disebabkan apa, ruang itu semakin dipenuhi perlahan-lahan.

Azmyl Yunor, dengan wit dan humornya tetap ceria walau hanya dengan dua anggota sahaja. "Biasalah, ada yang kenduri kahwin, ada yang sakit dan macam-macam..." katanya kepada ahli band Warga Kita (yang selalu mengiringi) yang tak ada malam itu. Tetapi, penyanyi folk ini tetap dengan semangat dan fokus tersendiri. Lagu-lagu dari album Warga menggema ruang dan gegendang orang malam itu.

Cats In Love mengubat jiwa-jiwa rock klasik (menurut mereka, muzik yang dimainkan 'mungkin cheeky rock'), dinikmati terutama oleh orang-orang seperti Peter Hassan Brown, Markiza dan juga Paul (Paul's Place). Kekal energetik, nada-nada ringkas rock masih membuatkan orang berdiri bulu roma. Bassistnya, Zul, mungkin karektor yang paling menarik untuk ditonton.

Dan, set Meor kemudiannya dibantu oleh rakan-rakan. RS Murthi (gitar), Jazlan (bass) dan Paul (dram) mengiringi persembahan santai mereka. Album berkenaan hanya diselitkan dengan satu lagu baru, Selapis Kaca. Lagu oleh Meor dan lirik oleh Jimadie Shah Othman. Kata Meor, dia memilih lagu berkenaan disebabkan ada perkataan 'Jibrail dan Syaitan' di dalamnya. "Untuk lirik bahasa Melayu, perkataan-perkataan macam ini jarang-jarang didengari," tambahnya.

Dari pentas, dengan sepatah dua kata yang tersekat-sekat antara lagu, sesi jamming malam itu melabuh tirai dengan keriuhan - termasuk persembahan impromtu instrumental blues dengan melodian - menggamat, sekali lagi turut berseri dengan penampilan Via dan Hidayah.

Album penuh terbaru Meor dijangka akan disiapkan dan dilancarkan penghujung tahun ini, mengikut perancangan. Disertakan juga dengan pelancaran buku autobiografi Meor yang akan diterbitkan sendiri; buku keduanya selepas Sembang Tepi Jalan.

* Album Kompilasi Kompilasi dijual RM15.







Tuesday, June 26, 2007

warong muzik KsJT

Sembang warong Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) minggu lalu – 23 Jun 2007 – antara yang paling hangat sambutan saya kira. Bentangan empat meja, lebih dari 20 orang barangkali (dengan pelbagai latar individu; termasuk seorang ustaz yang sedang merakam EP lagu-lagu berorientasikan gitar…) dan berlangsung selama kurang lebih empat jam – tambahan dua jam lagi untuk sesi borak-borak ‘bebas’. Sekitar enam jam! Panorama malam minggu yang indah di Bangsar Utama – penuh warna-warni.

Saya kira, perbincangan topik muzik yang dipandu oleh Mahdzir Ibrahim merupakan satu faktor ‘penarik minat’. Walaupun dua sesi perbincangan, muzik dan siri penutup bagi perbincangan isu kenegaraan dari buku Joseph Strayer, borak muzik inilah yang paling dominan. Pertama – saya rasa – kerana isu muzik sendiri itu sudah cukup disenangi, dan kedua adalah perhatian khusus apresiasi (meminjam kata Mahdzir) berkenaan tertumpu kepada dua buah lagu yang banyak membentuk arus gelombang masa kini – Mabuk (Spider) dan Dewi (Dewa 19).

Penerangan Mahdzir banyak berkisarkan tentang komposisi kedua-dua lagu ini – atau sekurang-kurangnya, begitulah saya melihat perjalanan topik berkenaan. ‘Sifat-sifat lagu moden’ yang ada pada struktur dua lagu ini banyak diperkatakan olehnya. Banyak terma-terma baru yang saya sendiri pelajari – elok untuk orang yang tidak mengaji muzik secara formal!

Apa pun, isi komposisi yang dimaksudkan ringkasnya sama saja seperti pemahaman saya sebelum ini. Bezanya cuma istilah. Format biasa – contoh; verse, bridge, pre-chorus, chorus dan sebagainya. Di dalamnya, Mahdzir ada menjelaskan istilah konteksnya seperti kontradiksi idea (faham saya sebagai bridge) dan ekstensi idea (faham lain sebagai chorus) sesebuah lagu itu. Penjelasan panjang lebar juga ada diberikan berkaitan tempo, melodi, mode, mood dan sebagainya berkaitan pembinaan sesebuah lagu.

Namun di sini saya ingin menyoroti persoalan ini; mengapa hasil karya lagu yang terhasil oleh dua kumpulan yang berasingan titik geografi serta latar budaya terbentuk dalam formasi akhir yang sedemikian rupa?

Saya setuju dengan pendapat yang mengatakan lagu Dewi itu lebih ‘berwarna-warni’ sifatnya – digambarkan dengan penggunaan elemen muzik tambahan seperti brass di hujung lagu berkenaan.

Berbeza dengan lagu Spider – walaupun masih sedap didengar halwa telinga – ia muncul lebih ringkas dan sedikit kering. – (Ini merujuk kepada eleman yang membina lagu itu) Spider, lagunya lebih selesa bergerak secara terus dan bergantung kepada muzik asas mereka semata.

Dua lagu ini bukanlah sebagai satu contoh mutlak, namun ia boleh dianggap sebagai perlambangan kepada dua budaya serumpun ini.

Harus juga ditekankan di sini, kedua-dua lagu yang dibincang ini masih sedap didengar, juga menerapkan pendekatan ‘berulang-ulang’. Bagaimanapun, lagu Dewi itu saya lihat dan rasa lebih rencahnya.
Ini bukanlah berniat untuk mencari siapa lebih bagus daripada siapa, tetapi sekadar melihat dengan mengkaji perbezaan yang timbul dari sudut sosio-budaya dua kumpulan ini.

Mengapa lagu Dewi adalah ‘lebih’ daripada lagu Mabuk dalam konteks konstruksinya saya lihat begini; Spider muncul di dalam masyarakat sekelilingnya yang kurang menghargai seni itu sendiri. Maksud saya, untuk konteks lagu, masayarakat di Malaysia lebih melihat ia sebagai satu bentuk hiburan semata-mata dan bukan dari sudut pandangan kesenian.

Dewa 19 itu pula lahir dari kelompok masyarakat yang sosio-budayanya tidak pernah lari dari erti seni – walau dalam format apa sekalipun. Maka, dalam keadaan seperti itu, mereka perlu melahirkan satu-satu karya yang betul-betul baik untuk dinilai oleh khalayak yang celik dan menghargai seni.

Berbeza dengan situasi di Malaysia. Di dalam kelompok masyarakat yang ‘buta’ seni, kecelakaan paling besar adalah apabila ia dilihat sebagai satu keperluan untuk bermalas-malasan dalam menghasilkan kerja yang kelak mahu diangkat sebagai karya. Ini penyakit masyarakat. Maksudnya, penerbit, pemuzik, seniman dan sebagainya juga adalah sebahagian daripada masyarakat itu. Jadi, mereka ini juga secara langsung menyumbang kepada kebekuan hasil produksi yang benar-benar menggoncang dari sebelah geografi sini berbanding dari negara seberang.

Saya tidak melihat kumpulan dari Indonesia – contoh di sini Dewa 19 – ini lebih bagus daripada kumpulan dari Malaysia (Spider). Tetapi, jika di amati secara dekat, yang membezakan dikalangan mereka ini adalah hasil kerjanya. Mungkin, di Indonesia, penggiat-penggiat muziknya – dari segenap lapisan – tidak punya alasan untuk bermalas-malasan dalam berkarya. Mereka sedar akan tanggungjawab seni di dalam masyarakat. Seni muzik mereka juga – mungkin – ketika ini mereflekskan situasi dalam masyarakat di sana.

Ini yang menjadikan muzik dari Malaysia kering dan seolah-olah tidak cukup pengertian. Melalak dipermulaan dan dihujungnya melopong. Penyumbangnya? Sama juga, segenap lapisan pemuka dalam kelompok seni muzik ini, baik dari pendengarnya, pemuziknya, penerbitnya (yang lebih kepada bisnes semata!) dan pengajarnya.

Ditambah pula dengan yang mendegar muzik di sini – bahasa mudah; konsumer – juga tidak mampu untuk menjadi pengkritik yang baik. Semua format ini dianggap hiburan semata-mata, menjadikan mereka tidak mampu melihat sesebuah karya muzik lebih daripada itu. Besar dan tinggi tembok yang terpaksa mereka lepasi untuk menyedari hakikat ini.

Tapi, mengapa pula dalam masyarakat yang ‘buta seni’ ini, mereka lebih senang untuk ‘menghargai’ hasilan muzik dari seberang? Ini saya ada jawapan mudah; trend. Konsumer di Malaysia mahu dilihat sebagai trendy. Maka mereka akan mencari substance atau inti yang boleh memperlihatkan mereka seperti itu. Di rantau ini, mana tempat lagi yang mempunyai pengaruh dan pasaran besar untuk seni muzik kalau bukan Indonesia?

Dengan itu, secara tidak langsung, di dalam buta mereka meraba,lantas terjumpa satu deria cahya atau kiblat muzik mereka itu – dari Indonesia.

Inilah yang dapat saya cernakan dan uraikan daripada kemelut yang dibincang diwarong (setakat ini). Saya juga sebenarnya berminat untuk melihat dari sudut lirik kedua-dua lagu ini, juga apa yang meyebabkan ‘kandungan’ muzik dari seberang lebih pejal berbanding kita. Mungkin dikelapangan yang lain saya berpeluang berbuat demikian.


- 26 jun 2007 – 12.30pm

Tuesday, January 24, 2006

kelam-kabut media raya

Kalendar muzik tanah air tahun ini dibuka dengan satu catatan menarik bagi kebanyakan kita. Paul’s Place menjadi tumpuan, Black Metal juga terus-menerus membayangi golongan marhaen Malaysia. Malam tahun baru 2006 menjadi satu landmark baru dalam peta muzik tempatan, mungkin?

Jika ada yang aktif di ruang siber, pasti ‘kecoh’ suasana di sana. Baik blog, forum malahan email tak putus-putus dihujani dengan perbincangan dan penjelasan serta perbahasan pemuzik-pemuzik dan penggemar muzik muda. Media-media besar juga tidak lepas peluang menonjolkan pemahaman masing-masing tentang Black Metal. Semua terkena tempias mereka, hentam sana-sini. Sekali gus memperlihatkan kebodohan dan kebiadaban mereka!

Aktivis sosial juga memainkan peranan. Saya difahamkan ada saluran-saluran tertentu seperti ‘legal action’ (perundangan) turut digunakan. Mereka secara terbuka mengkritik cara polis memperlakukan individu yang ditahan dan juga proses penahanan hari itu. Seperti biasa musim kali ini, polis mengklasifikasikan insiden ini dengan gejala Besi Hitam yang datangnya juga bermusim. Bermula dari titik itu, satu persatu pertuduhan lain dibangkitkan. Tiada permit sah, mencetak barangan terlarang (zine mungkin), mengadakan perhimpunan haram, dadah dan alkohol dan bermacam-macam lagi karut-marut mereka ini (mungkin juga ada yang betul, ingat tu!).

Berita Mingguan, 1 Januari 2006 menyelitkan berita kecil tentang raid tersebut. Ketika saya meneliti laporan berkenaan, ada satu ayat yang menarik perhatian. Bunyinyanya lebih kurang begini “… hampir 400 remaja ditahan ketika mereka sedang berseronok dihidangkan dengan muzik Black Metal (yang memuja syaitan!) di dalam ruang gelap yang sempit. Salah seorang yang ditahan juga merupakan wartawan sebuah majalah Black Metal yang berpusat di Kuala Lumpur.” Wah… ini silap-silap wakil ROTTW yang dimaksudkan tu. Bila pula majalah ni jadi majalah Black Metal? Suruh orang-orang ni baca dulu…

Keesokkan harinya, Harian Metro pula dengan megah memaparkan insiden tersebut di muka hadapan. Oh ya, bukan setakat paper, TV pun buat liputan. Tak apa lah, publisiti percuma, untung badan! Berhari-hari lamanya isu Black Metal ini menjadi modal mereka. Di selit juga sedikit berita sidang media oleh pengamal muzik bebas (saya meminjam pengenalan diri yang mereka gunakan) ini. Tapi yang paling emosional sekali bagi saya adalah laporan yang mengaitkan gig ini dengan pesta seks di Pantai Cenang, Langkawi yang berjaya dipatahkan dengan tindakan pantas polis. Taglinenya lebih kurang beginilah gamaknya; “Tidak dapat menganjurkan pesta seks, remaja lepas geram malam tahun baru dengan konsert Black Metal pula…” Haiii orang media… kalau betul nak jilat bontot pun, pandang-pandang la dulu. Jangan nak terjah suka hati saja, takut orang lain nampak! Kalau pun nak menaikkan kredebiliti polis yang dicarik tak lama dulu, janganlah sampai menampakkan kebodohan diri. Hishhhh… buat malu!

Nak dijadikan cerita, pada hari Rabu 4 Januari, sedang saya asyik layari internet, saya pun jenguklah laman Harian Metro ni.Ya lah, takkan nak beli tabloid macam ni, bazir duit. Tiba-tiba saya terbaca artikel pasal insiden ni. Tapi kali ini lain pula ceritanya! Dengan tajuk ‘Edisi KL: Serbuan Bukan Kerana Black Metal’, ACP Mohd. Dzuraidi Ibrahim, Ketua Polis Daerah Brickfields memaklumkan yang serbuan hari itu bukanlah kerana Black Metal. Menurut laporan itu, dia menyatakan yang kesalahan sebenar adalah mengadakan perhimpunan haram dan aktiviti tanpa permit, termasuklah bahan-bahan cetak yang dibawa. Apa semua ni? Berhari-hari lamanya slogan Black Metal ni disogok dalam media mereka, muka golongan muda ini diludah, tiba-tiba boleh tukar ikut suka mereka pula! Mereka-mereka ini datang menjilat balik ludah mereka. Woaa… ini jelas memperlihatkan bahawa, dalam komuniti tempatan Malaysia, siapa yang ada kuasa boleh buat ikut suka mereka. Yang kita macai-macai ni ternganga mulut tak tahu nak cakap apa… Haaaiii, kesian pengamal muzik bebas yang terpaksa berhempas pulas mempertahankan keadaan.

Kepada orang media, nasihat saya… cubalah bertanggungjawab sedikit. Menulis tu biar kritis dan ada analisis, barulah ada integriti. Inilah hakikat sekarang, semua kerana duit. Dapat duit, kerja asal siap. Tak membantu perkembangan minda masyarakat langsung. Janganlah jadi wartawan haprak!

Kepada pihak polis, selamat menjalankan tanggungjawab dengan penuh beretika. Saya bukan hendak mengajar, tetapi sekadar memperingati. Kuasa itu amanah, dan amanah itu dari ALLAH. Dalam kes seperti ini, wajarkah polis memberi komen atau sidang media sebelum tamat menjalankan siasatan? Siasat habis-habis dulu, baru buka mulut kepada wartawan. Dah la wartawan tu bebal, ditambah pula keterangan dari polis… makin la dia terketar-ketar. Erk… polis, tapi bukan dalam kes ni sahaja, tetapi dalam semua-semua kes tau.

Kepada pengamal muzik bebas, teruskan usaha untuk menjernihkan keadaan. Jangan melenting. Ambil apa saja langkah yang dirasakan patut dan rasional. Educate the people! Tapi sebelum tu kita kena perbetulkan apa yang tak betul dalam diri kita dululah…

Kepada masyarakat marhaen, kesian sebab anda tak mendapat laporan berita yang adil. Kadang-kadang, yang dilaporkan tu taklah seburuk yang disangka… dan selalunya, berita itu cuma menampakkan yang baik-baik belaka, yang mana pada hakikatnya perkara itu amatlah buruk! Tidak wujud laporan media yang adil, percayalah. Jadi apa tindakan yang perlu di ambil? Senang saja, berkongsi suratkhabar dengan orang lain. Beli satu, baca ramai-ramai. Buat apa nak beli sorang satu? Membazir tu… Kalau kepingin sangat nak membaca, beli buku-buku yang berilmiah, baca pun puas hati. Dapat juga pahala sebab menuntut ilmu. Ini baca paper, silap-silap bersubahat dengan berita-berita fitnah… mana kita tahu kan…

Kepada semua, inilah harga yang perlu kita bayar… saya bukannya pandai, tak pula nak memandai-mandai. Cuma yang saya tahu hanyalah menulis, menulis dan terus menulis… dan terbuka menerima kritikan. Semua seharusnya pun begitu! Sekian dulu. - 5 Januari 2006