Monday, February 13, 2006

KONTROVERSI KARIKATUR: APA PENDIRIAN MALAYSIA?

Terdetik rasa terkilan dalam diri ketika saya membaca laporan tentang paparan figura Nabi Muhammad SAW dalam media di Barat baru-baru ini. Di pelusuk lain dunia juga sedang berkocak, arus gelombang kebencian umat Islam sedang meluap-luap membakar jiwa.

Barat terus-terusan mempamerkan sikap kurang ajar mereka dan menginjak-injakkan kehormatan umat Islam seluruh dunia. Pendekatannya, akhbar-akhbar harian mereka. Antara akhbar yang dimaksudkan dengan insiden ini ialah Jyllands-Posten (Denmark), France Soir (Perancis), Sarawak Tribune (Malaysia) dan Al-Mehwar (Jordan). Sebelum itu, karikatur tersebut juga difahamkan telah lama berkitar di kalangan penerbitan media Barat.

Pagi ini, ketika membuka email, untuk pertama kalinya saya melihat sendiri kartun-kartun yang dimaksudkan itu. Saya tidak melihat dari sudut pandangan emosional, tetapi tahap penghinaan mereka-mereka ini sememangnya sudah melampaui batas-batas toleransi. Jika anda tidak percaya, cuba layari laman web
http://cartoonjihad.com. Di sini anda akan lihat kebiadaban melampau kaum kafir Barat. Sebenarnya perkara ini telah lama berlaku. Tetapi umat Islam sendiri terlalu daif untuk bangun bersatu!

Kini saya faham kenapa kemuncak sabar umat Islam dunia tidak dapat dibendung lagi. Walaupun telah lama berlarutan, Barat masih lagi tidak tahu menghormati kesucian sesebuah agama! Saya tidak melihat isu ini sebagai krisis agama, tetapi sebagai kuasa pertembungan tamadun Islam dan Barat. Pastinya, bagi puak-puak Barat, mereka mengheret sekali agama kerana mereka tiada asas langsung untuk bermain polemik. Jadi, sensitiviti agama sahaja yang dapat membakar kesedaran masyarakat mereka, dan mereka berseronok dengannya!

Sebab itu, saya berfikir ketika menyaksikan kebangkitan amarah umat Islam seluruh dunia. Libya menutup kedutaannya di Denmark dan Arab memboikot produk-produk keluaran Denmark. Itu belum lagi golongan-golongan yang bangkit dan berdemonstrasi yang sampai ke tahap ganas dan radikal. Kelam-kabut jadinya mat saleh Denmark ini bila kedutaan-keduataan mereka diserang. Lihat sahaja di Pakistan dan jiran terdekat kita, Indonesia. Lari tak cukup tanah dibuatnya orang putih ini! Yang paling saya tabik adalah Iran. ‘Lembut’ sahaja reaksinya. Mereka lantas menganjurkan pertandingan melukis berlatarkan insiden Holocaust. Haha!

Saya langsung tidak menyokong sebarang tindakan ganas oleh umat Islam. Tetapi, itu dalam keadaan normal. Yang berlaku sekarang ini adalah situasi yang saya sifatkan seperti Barat “meniup angin pada bara api”. Saya sedar, sememangnya telah sedia ada jurang antara Islam dan Barat, maka perlulah persefahaman dua hala diamalkan. Islam agama yang bertoleransi. Tetapi bagaimana jika pihak lain hanya tahu menggunakan kesempatan itu dan terus-terus menindas Islam? Sebagai manusia biasa, bagaimana rasanya jika ada orang yang bergurau, katanya, dengan mengencing kepala anda? Adakah anda akan berdiam diri? Jika benar, andalah manusia yang paling mulia!

Dalam seribu kekalutan yang tercetus, Denmark semakin terhimpit. Sehinggakan skuad Olympic mereka diberi ekstra-perlindungan dalam acara musim sejuk Torino 2006. Mengapa perlu rasa takut itu? Berani buat beranilah tanggung! Dalam pada itu, sempat juga Denmark menalifon Syed Hamid Albar agar Malaysia memainkan peranan selaku pengerusi OIC (Organization of Islamic Conference) dalam persidangan tergempar yang bakal diadakan.

Malaysia pun antara entiti yang menghuni kotak fikiran saya berkisar isu ini. Selaku pengerusi OIC, dan Negara yang mengistiharkan dirinya Islam, saya masih ragu-ragu dengan tindakan Malaysia. Saya tidak hanya merujuk kepada kepimpinan negara, tetapi juga masyarakat dan rakyat dalam negara Islam ini. Apa pendirian kita bagi membela maruah suci agama Islam? Saya puji reaksi Malaysia yang mengutuk tindakan media Barat dalam isu ini. Begitu juga dengan persidangan dialog antara pemimpin-pemimpin berpengaruh dunia Islam dan Barat minggu lepas.

Tetapi dari satu sudut yang lain, ia jelas menampakkan sikap sebenar kita sebagai satu negara bangsa yang runsing. Saya berkata runsing kerana kita, kebanyakkannya tidak tahu atau tidak terasa apa-apa dari isu ini. Kita hanya terkebil-kebil melihat arus-arus jahat yang datang melanggar kita tanpa mengetahui apa yang patut dilakukan. Memang kita berada dalam negara Islam, tetapi Islam yang bagaimana? Individu yang bagaimana ingin dilahirkan oleh negara Islam kita? Sikap yang terlalu berlembut masyarakat kita saya yakin akan menampakkan kita sebagai nagara bangsa yang lemah. Satu tindakan tegas pun tidak diambil oleh pemerintah. Rasa saya, ketegasan itu perlu terlebih dahulu berbanding dengan langkah ‘membina jambatan’ untuk persefahaman Islam-Barat itu sendiri. Ini kerana, sudah banyak dialog sebegini dianjurkan tetapi kesannya sama sahaja!

Persekitaran umum Malaysia hari ini adalah refleksi daripada segala sistem yang kita gunapakai setakat ini. Dari sistem politik, sistem pentadbiran, pelajaran dan lain-lain dasar yang seharusnya diteliti dari semasa ke semasa, inilah hasilnya. Masyarakat yang hidupnya dihampar dengan kesenangan berlebihan yang secara drastik mengubah persepsi mereka melihat realiti dunia hari ini. Lahirnya lapisan masyarakat yang mengejar kebendaan, yang secara langsung memupuk sikap individualistik dan tak ambil peduli. Sampai ke tahap orang memperlekehkah kemurnian agama sendiri pun tidak ada apa-apa reaksi dari kita!

Saya melihat masalah ini dengan maksud yang amat besar, meluas dan mendalam terhadap integriti masyarakat pelbagai lapisan di negara Islam kita ini. Bukan dengan niat memburukkan mana-mana pihak. Yang benar akan tetap benar, tetapi percaturan politik sering menidakkan kebenaran. Maka bersedialah kita menanggung akibatnya. Kalau pun tidak di dunia, balasan di akhirat kelak akan tetap setia menanti kita.

Lihat sahaja Sarawak Tribune. Kita masih lagi gagal untuk membentuk kesedaran masyarakat majmuk Malaysia tentang peri pentingnya persefahaman. Tambahan pula dalam isu yang melibatkan sensitiviti agama. Saya percaya ini berlaku disebabkan tindakkan lembik dan terlalu mahubertolak-ansur sehingga orang berani cuba-cuba untuk mempersendakan kredebiliti Islam. Mungkin pihak pemerintah perlu menjelaskan pendirian mereka. Bukan setakat memberi kenyataan akhbar untuk mengutuk tindakkan tersebut, itu saya hargai, tetapi saya percaya umum juga mahu melihat tindakkannya. Ya, TINDAKKAN!

Saya menyeru semua pihak untuk mula membuka minda dan memahami realiti kita hari ini. Kita kini hidup dibawah sedar. Kerana terlalu hendak mengejar dunia, kita sanggup hidup tanpa maruah diri! Individu yang bagaimana yang berdiri di bawah panji Negara Islam Malaysia ini? Saya khuatir nanti kita langsung tidak mampu berdiri lagi… bila agama kita diletakkan dibawah segala kepentingan dan kesesatan rimba dunia!
- 13 FEBRUARI 2006

BLACK METAL = ILMU HITAM?

Roda masa terus berpusing. Pentas kita sama sahaja seperti dulu, cuma dekorasi sosial dan visual yang ada perubahan. Patah balik, balik-balik, isu yang tercetus pun sama sahaja, dari satu kerangka tandus yang kontroversi. Malaysia terjerumus lagi ke dalam kekalutan masyarakat akibat sentimen Black Metal! Ini BUKAN satu lagi laporan ‘renggang’ tentang itu, tetapi kritis tajam yang ‘ketat’.

Black Metal begitu taboo dalam masyarakat kita. Adakalanya perkembangan isu ini seperti sengaja disensasikan oleh media. Mulalah ramai yang melenting. Ada juga suara yang menyatakan bahawa media mengekploitasikan situasi dan sekali gus memberi gambaran negatif tentang Black Metal. Tetapi bila pihak media tampil dengan laporan yang disahkan, temubual dengan apa yang di katakan sebagai ‘pengikut-pengikut terpesong akidah’ kelompok ini, maka masyarakat mula meraba.

Benarkah semua ini? (baca : Black Metal - Yang Berat Dan Yang Hitam, Hishamuddin Rais) Apa yang diperhatikan, setiap kali timbul isu ini, akan adalah pendedahan demi pendahan yang disertai dengan penafian demi penafian pihak terlibat. Sementelah itu jugalah akan kedengaran fahaman-fahaman baru yang tercetus, yang terkini adalah J.I.T (Jangan Ikut Tuhan). Ni dari mana datang ni? Panas seketika, kemudian kembali sejuk. Barangkali akan timbul semula nanti. Di mana kesungguhan kita dalam isu sebegini?

Yang terbaik, semua jangan melenting dahulu. Hakikatnya, permasalahan ini serta penyelesaiannya ada dalam diri kita sendiri! Dalam isu ini, Black Metal hanyalah satu perlambangan semata-mata, tidak lebih dari itu. Individu tidak perlu mengikut Black Metal untuk sesat atau runtuh akidah. Mengapa? Jika diamati, dari kesucian sesebuah agama juga telah terbukti kewujudan ajaran sesat, inikan pula satu aliran muzik yang bersifat duniawi! Jika kita tidak dapat menerima kenyataan ini, komuniti kita ada masalah.

Yang mengepalai anasir-anasir seperti ini adalah mereka yang tidak cukup ilmu. Yang mengikut pula adalah ‘keldai-keldai’ dungu yang ghairah tak tentu pasal! Black Metal bukan masalahnya, tetapi segelintir individu di dalam kerangkanya yang menimbulkan masalah.

Kepada peminat muzik Black Metal dan yang seangkatan, cukuplah muzik itu sendiri diangkat, jangan budayanya sekali. Ini adalah kerana, jiwa kita sudah tersemat satu budaya, tak perlulah kita tambahkan lagi. Kerana sekiranya berlaku, jiwa akan berkecamuk, celaru dengan gejolak yang tiada arah tuju! Jangan pula kita ada agama sekadar pada nama!

Mereka di Barat, muzik itulah agama mereka. Tetapi berbeza dengan kita di sini. Semakin kita mencuba menjadi mereka, semakin jauhlah kita daripada diri kita sendiri. Biarkanlah Black Metal itu sebagai satu entiti muzik semata-mata, janganlah sampai dijadikan ‘agama’ kerana ketaksuban yang membawa kepada kehancuran.
- Versi 'Unedited', Dewan Masyarakat, Februari 2006

Friday, February 03, 2006

LIVE 8 - NILAI SOKONGAN BOB GELDOF DAN MUZIK DUNIA

Pada 13 Julai 1985, satu persembahan pentas muzik antara terbesar di dunia terus berada dalam lipatan sejarah. Live Aid, yang diadakan di Kota London dan Philadelphia, adalah simbolik kepada sokongan dunia dengan muzik sebagai medium. Antara pendokong acara ini adalah Bob Geldof, seorang penggiat muzik Irish yang semakin dikenali sebagai seorang aktivis dan juga campaigner.

Ketika itu, Live Aid diilhamkan sebagai sebuah persembahan amal untuk untuk mengumpul dana bagi membasmi kemiskinan. Subjeknya… Afrika yang terhimpit teruk dengan permasalahan ini. Konsert ini berjaya menarik perhatian jutaan pemerhati dan jumlah kutipan dana mencecah $100 million!

Namun begitu, setelah 20 tahun, kemiskinan di Afrika masih lagi satu wabak yang mengancam pembangunan masyarakat di sana. Di atas dasar inilah, sekali lagi Bob Geldof bersama angkatan aktivis lain seperti Bono (U2) mengatur satu lagi sejarah yang bakal tertulis, Live 8. Subjek masih sama, kemiskinan Afrika, tetapi matlamat mereka bukan lagi duit untuk dana, tetapi individu itu sendiri. Memetik ulasan Bob, “LIVE 8 is about justice not charity…” dan “This is not Live Aid 2”

Live 8 merupakan titik tolak kepada kempen The Long Walk To Justice. Acara ini bertujuan mengumpulkan seberapa ramai orang dari seluruh dunia untuk berarak di Gleaneagles, Scotland pada 6 hingga 9 Julai lalu di mana persidangan G8 (Negara-negara maju) diadakan. Objektifnya untuk mendesak ketua-ketua negara maju membatalkan semua hutang-hutang negara dan sebaliknya mengambil langkah tegas untuk menangani isu pembasmian kemiskinan ini. “The public have shown how important this is to them, now it is time to get governments to act…” komen pihak penganjur.

Dengan itu, pada 2 Julai 2005, 10 siri konsert ini diaturkan di bandar-bandar besar dunia. Siri ini dimulakan di Makuhari Messe (Tokyo, Jepun). Siri ini terus menerus disambung di seluruh dunia seperti di Hyde Park (London), Circus Maximus (Rome),
Palais de Versailles (Paris), Siegessäule (Berlin), Museum of Art (Philadelphia), Park Place, (Barrie,Canada), Mary Fitzgerald Square (Newtown, Johannesburg), Red Square (Moscow). Kemuncaknya adalah pada 6 Julai 2005 di Edinburgh. Acara ini simbolik kepada berakhirnya siri The Long Walk To Justice dan bermulanya persidangan Negara-negara maju yang di pengurusikan oleh Perdana Menteri Britain, Tony Blair. “Kami telah memainkan peranan kami… begitu juga dengan penduduk dunia. Kini semua mata tertumpu kepada mereka(G8). Semua menanti mereka untuk bertindak, bukan sekadar duduk berbincang” ulasan dari laman web mereka.

Senarai artis yang terlibat kali ini tidak perlulah dinyatakan. Ini kerana setiap nama yang mungkin terlintas di fikiran anda barangkali ada mengambil bahagian. Dari rocker, penyanyi pop, dance dan segala macam lagi bersatu dibawah payung Live 8 untuk menjayakannya. Bukan secadar persembahan muzik semata-mata, ucapan-ucapan dan dokumentari “realiti” di Afrika turut ditayangkan. Sir McCartney juga turut mengambil peluang berhujah. Live 8 merupakan kempen aktivis kemanusiaan yang ditelusuri oleh penggiat-penggiat seni. Mereka komited dengan fokus mereka, walaupun muzik masih lagi disisi. Kesedaran sosial amat perlu dikala dunia berada dalam fasa kelam-kabut kini.

Live 8 mengajak semua dari seluruh dunia untuk bersatu, atau sekurang-kurangnya memberi perhatian terhadap perkara ini. “…dalam tahun 2005, suara anda yang kami perlukan, bukan lagi wang!” Sejarah sudah terpahat, kini tinggal kita yang mampu memastikan kesinambungannya pada masa akan datang. Jika Woodstock dilihat sebagai persembahan muzik berskala besar, siri Live Aid dan Live 8 ini pula lebih besar “NILAI”nya pada dunia.
- ROTTW, Julai/Ogos 2005

budaya membaca atau membaca budaya

Idea saya terperangkap di antara dua isu ini. Saya sendiri juga berkecamuk memikirkan dari sudut mana seharusnya dilihat dan dikupas tajuk di atas. Secara meluasnya, saya secara peribadi merasakan yang kedua-dua perkara asas ini releven dengan masyarakat kita.

Saya ingin membawa anda menyoroti realiti aktiviti pembacaan generasi kita kini. Saya berani mengatakan yang rata-rata masyarakat Malaysia masih lagi ketandusan perkembangan pemikiran. Saya tujukan ini kepada semua golongan, baik masyarakat moden, ahli akademik, sasterawan, mahasiswa mahupun puak-puak politikus. Kebanyakannya sama saja.

Dalam diri kita secara plural, boleh dikatakan dengan peratusan hampir total tidak gemar kepada ilmu yang disampaikan melalui pembacaan. Membaca tidak dilihat sebagai satu aspek pengantara ilmu yang paling berkesan. Saya ambil contoh daripada ceramah-ceramah politik. Bila saja ada tokoh-tokoh politik yang bakal mengadakan acara ceramah atau pidato, pasti berduyun orang yang mengunjunginya. Berjam-jam lamanya mereka menadah telinga mendengar apa saja perkara yang dihujahkan oleh sang penceramah tersebut.

Saya optimis, dengan cara sebegini, pasti mudah untuk membuka fikiran orang-orang ini dengan teks-teks ucapan tersebut. Bezanya, golongan kebayakkan dalam masyarakat kita akan menelan bulat-bulat perkara-perkara yang didengar. Tidak timbul langsung persoalan untuk mencabar perkara-perkara yang didengari tadi. Jika ada yang cuba berbuat demikian, dengan pantas label-label politik kepartian dilemparkan kepada mereka.

Sama saja keadaannya dengan ceramah agama. Kecenderungan untuk terus meyakini sesuatu perkara tanpa banyak soal sangat tebal. Kita beranggapan yang ilmu agama itu khas untuk mereka-mereka yang berpendidikan agama semata. Benar, kita harus merujuk hal ehwal agama kepada mereka-mereka yang berkenaan. Tetapi, masalah masyarakat kita adalah takat mentality dihadkan pada satu takuk rendah dan lapuk sahaja. Bahayanya nanti, kita akan beramal secara membuta tuli sebelum kita sendiri benar-benar faham dengan apa yang kita lakukan. Perkara ini tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat serba moden sekarang. Tetapi itulah hakikatnya. Perkambangan ini sudah lama wujud, dan masih menjalar dalam diri kita!

Kita hilang terus perasaan ingin mencabar balik perkara yang disampaikan. Pemikiran kita, apa yang kita dengar itulah gambaran sebenar. Tidak perlu disanggah lagi. Perkembangan ini saya sifatkan sebagai jumud. Hari ini, biar setinggi manapun pendidikan yang diterima, masih belum dapat mencerminkan keupayaan pemikiran seseorang itu!

Percambahan minda dan ilmu tidak berlaku dalam masyarakat madani kita. Proses – proses ilmiah ini hanya berjalan dikalangan golongan yang telah sedar dan mula mahu memupuk kesedaran yang sama kepada persekitaran. Namun begitu, masalahnya, tahap pemikiran kita belum terbuka dalam erti kata sebenar. Dalam konteks berfikiran terbuka ini, pencapaian paling tinggi yang diklasifikasikan sebagai ‘open minded’ ini adalah bila sesorang itu bersetuju dengan idea sekularisme kosmopolitan. Begitu juga sekiranya seseorang itu mampu berbicara tentang seks secara terbuka dan berkongsi masalah ‘dalam kain’ dengan orang lain. Ini saja definisi keterbukaan fikiran dalam masyarakat kita, bayangkan!

Budaya membaca ini ingin saya kaitkan dengan kematangan berfikir. Kita sering terlupa yang kita sebenarnya dikurniakan akal fikiran oleh Allah S.W.T. Itu adalah kurniaan yang terindah dimiliki setiap manusia. Namun, kecenderungan masyarakat kita untuk menggerakkan akal ini sungguh-sungguh mengecewakan!

Ceteknya ruang berfikir kita, pada pandangan saya, berpunca dari penafian aktiviti-aktiviti pembacaan bahan ilmiah. Ini masalah besar. Dalam indeks kajian yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1996 (saya lupa nama kajiannya), purata rakyat Malaysia membaca hanyalah dua buah buku setahun. Ya, hanya dua buah buku setahun! Bagaimana kita ingin melahirkan pemikir bangsa jika ini situasi hakikinya?

Benar, Malaysia ramai golongan professionalnya. Tetapi, mereka ini hanya pengguna-pengguna teknologi dan sistem sedia kala sahaja! Ini cukup untuk menjana bangsa yang tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dunia. Tetapi, ia belum cukup untuk membangunkan sekali pemikiran dan budaya masyarakat. Sebab itu, kita hanya tahu menggunakan sahaja ilmu-ilmu yang diperoleh, yang kebanyakannya dari Barat, tidak lebih dari itu. Kemudian, kita berbangga dan megah dengan pencapaian tersebut. Betapa daif sebenarnya kita ini…

Berbalik kepada indeks tadi, saya ada satu persoalan yang ingin dibangkitkan. Dalam dua buah buku yang dibaca, berapakah peratusan dari bahan bacaan tersebut yang mendorong kepada terdetiknya minda terhadap isu-isu serius? Saya mengagak, bahan yang dibaca itu hanyalah cetakkan picisan yang kandungannya remeh-temeh dan mengkhayalkan! Golongan menengah Malaysia memang menggilai bahan-bahan ringan sebegini.

Saya khuatir… saya resah. Jika ini yang kita sandarkan untuk mencapai segala pencapaian dan agenda masa depan, kita akan terus mendabik dada. Kita akan terus megah, berbangga diri walhal kitalah masyarakat yang paling kolot rangka fikirannya. Jangan kita wariskan generasi mendatang dengan kedegilan kita hari ini. Bangsa yang dihormati adalah bangsa yang kukuh daulat dan maruah diri, bukan diukur dengan materialistik lagi seperti Barat.

Bacalah… ayat pertama yang diturunkan kepada rasul Allah Muhammad s.a.w itupun bunyinya “Bacalah…”. Jadi siapa kita untuk terus memejamkan mata dan memekakkan telinga? Inilah yang saya rangka, cubaan untuk memperkatakan tentang budaya membaca masyarakat kita. Secara kebetulan, saya juga tanpa sedar telah cuba membaca budaya masyarakat kita sekali gus… syukur, dua dalam satu rupanya! - 1 Muharam 1427 Hijrah / 31 Januari 2006

Thursday, February 02, 2006

kesah drebar teksi

Lebih kurang seminggu yang lepas, ketika saya dalam perjalanan menghadiri temuduga, saya menahan sebuah teksi diperkarangan Kelana Jaya Centrepoint. Perjalanannya taklah jauh sangat, sedikit ke dalam dari kawasan tersebut. Kami menuju ke Dataran Prima pula.

Saya jarang berbual dengan drebar teksi pada kebiasaannya. Tapi tidak hari itu. Selalunya, saya malas nak buka mulut dengan mereka ini. Pada pertimbangan saya, mereka ini selalu cekik darah! Pagi sebelumnya pun saya dah terkena. Patut pakai meter, dia tak pakai. Pagi itu saya dari Stesen LRT Kelana Jaya dan hendak ke KJ Centrepoint. Belum duduk lagi drebar tersebut dah letak harga. “Boleh pergi sana, tapi RM5 la…”, katanya. Padahal bukannya jauh mana pun! Cekik!

Berbeza dengan drebar yang kedua ini, agak peramah orangnya… dan menggunakan meter! Sampaikan jalan mana nak diikut pun dia bertanyakan kepada saya…

“Sudah berapa lama uncle kerja bawa teksi ni?”, soal saya. Lantas itu juga dia menjawab yang sudah lama benar dia melakukan kerja ini. “Saya dari dulu bawa ini teksi. Kerja lain saya tak tau buat, ini saja yang saya tau…” jelas si drebar tadi. Terdetik sedikit rasa simpati bila saya mendengar kata-katanya.

Dalam umur sekitar 40an, saya rasa dia pasti sudah merasai pancaroba kehidupan era baru ini. Saya cepat-cepat memotong suasana muram itu dengan menyatakan yang dia patut rasa beruntung kerja sebagai drebar teksi, tidak sakit kepala seperti orang kerja pejabat. Sekali lagi, dengan selamba dia mematahkan hujah saya. Katanya, kerja pejabat sekurang-kurangnya ada juga cuti untuk berehat, bermain dengan anak-anak. Tapi jadi drebar teksi, kerja dapat duit, boleh makan, tak kerja tak adalah duit. Saya betul-betul terharu dan kagum dengan ketabahannya.

Dari insiden itu, saya reflekskan kepada diri saya sendiri. Saya bersyukur, walaupun kerja belum tetap, saya masih lagi mampu menyara hidup. Tidak pula mengganggur atau jadi kutu, mungkin rezeki lambat sampai.

Itulah, sedaif mana pun kita rasa diri kita ini, ada lagi yang jauh lebih perit. Sebagus mana pun kita rasakan diri kita ini, ada lagi yang lebih tinggi. Kita tak akan puas.

Saya memperingati diri saya dan kalian semua, selalu-selalulah kita menginsafi kejadian sekeliling kita. Jangan lupa bersyukur pada Ilahi. Pandangan mata kasar ada pada semua manusia, tetapi tidak pandangan mata hati. Hidup kita hanya umpama satu perjalanan. – 2 Februari 2006