Monday, June 12, 2006

NOTA DARI SEREMBAN

Pagi itu (3 Jun 2006), aku turun di stesen KTM Seremban. Teman wanitaku ada bersama menemani. Oh, sebetulnya, aku yang menemaninya yang ingin pulang ke Juaseh dari Kuala Lumpur hari yang sama. Dari KL Sentral, berpusu-pusu umat manusia bertebaran membawa arah masing-masing. Sebenarnya kami kecewa pagi itu. Yang dirancang, kami mahu ke Seremban dengan bas sahaja. Jimat sedikit dan masa perjalanan lebih pendek jika dibandingkan dengan komuter. Tapi apakan daya, kami dilayan serba tak acuh oleh ‘orang-orang bas’ yang tak faham bahasa!

Sesampai saja kami di stesen itu, aku bergegas melepaskan gian – melampiaskan mekanisme memetik punat kamera – yang telah lama rasanya aku tidak lakukan. Bertubi-tubi lensa kamera Minolta itu berketib. Apa saja yang aku terasa ingin diambil gambarnya… akan aku turuti. Mujurlah hanya objek pegun, bukan perempuan seksi!

Menelusuri lorong kecil ke Teminal One dibawah panas terik kemudiannya membuatkan aku ingin lekas sampai ke sana. Sempat aku berbisik kepada si dia. “Rasa macam dekat Jakarta…”, begitulah lebih kurang. Aku merujuk kepada betapa ramainya warga asing itu, sehinggakan aku naik rimas. Kalau mereka duduk diam, mungkin aku tidak terasa. Tetapi kesnya di sini, segala perlakuan dan cara mereka itu menggangu orang lain! Aku benar-benar merasakan aku bukan lagi berada ditempat sendiri…

Di tembok kompleks bas itu pun sama keadaannya, malahan lebih menyesakkan nafas. Berlonggok manusia-manusia warga asing ini bertenggek dan ‘bikin wilayah’ di serata ceruk. Aku bukanlah penentang kemasukan warga asing ini. Sumbangan mereka dalam sektor pekerjaan di sini tidak pula aku nafikan. Maklumlah, kita serumpun kata orang. Tetapi melihat perkembangan ini aku sedikit tersentak. Apa yang patut aku fikirkan ini?

Dipendekkan cerita.

Aku mengambil bas untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas makan tengahari di Seremban. Ketika bas belum bergerak, aku mengambil ruang mencoret serba-sedikit catatatan yang sedang anda tatap ini. Jam lebih kurang pukul tiga, aku sampai di Central Market. Ada persembahan live band diperkarangannya sempena World Press Day rasaku, maaf aku tidak ingat nama penuhnya.

Sekali lagi, pandangan aku berselerak diperkarangan Pasar Seni itu, sedikit termanggu melihat lautan manusia Indonesia di situ. Ah, makmur sungguh Malaysia. Pemurah sungguh Malaysia. Sambil aku berjalan, fikiran aku kembali berkisar tentang mereka ini. Aku sendiri tidak jelas samada ini adalah satu masalah, fenomena, kebiasaan atau ancaman psikologi. Entah apa-apa lagi yang aku khayalkan…

Tak lama aku di situ. Sempat menonton persembahan Lurk dan Farasu, aku naik mendapatkan CD Tool Aenema dan kemudiannya melangkah pulang. Aku meninggalkan kegusaran hatiku terhadap kebanjiran warga asing tadi di sana. Biar ia terus terlarut dalam udara sesak Pasar Seni atau mungkin aku akan kembali menjamah persoalan aku sendiri itu dengan pelbagai definisi dan sudut pandangan yang lebih segar.

7/6/2006 - pantai dalam

2 comments:

Anonymous said...

World Press Freedom Day disambut setiap 3 Mei, dan diiktiraf oleh Unesco. Untuk bacaan lanjut, sila ke ... http://portal.unesco.org/ci/en/ev.php-URL_ID=21468&URL_DO=DO_TOPIC&URL_SECTION=201.html

Jelir said...

Thanks Fatah!