Suka atau tidak, hakikat sekitar muzik Malaysia kita masih tidak memberansangkan. Kewujudan situasi yang kondusif untuk muzik ini beredar masih lagi terhad, malahan wujud hanya dalam sisa-sisa hampas bagi kebanyakkan kelompok. Masih ditakat lama, kalaupun tidak terus terjerumus menjunam! Yang ada cuma gembar-gembur, angkat bakul, gosip picisan, publisiti maksimum… dan mugkin juga “macam bagus”. Ketelusan kebanyakkan penggerak-penggerak muzik ini masih samar. Apa sebenarnya yang kita cari?
Saya keberatan untuk membandingkan dengan Indonesia dalam tulisan ini. Tetapi saya tidak mampu, ia relevan! Semuanya kerana keunikan majalah mingguan bernama Tempo dari negara sebarang itu. Saya terpaksa kaitkan juga mereka ini.
Mungkin ramai yang tidak mengenali majalah ini. Saya sendiri pun hanya selalu mendengar namanya saja. Namun, tidak beberapa ketika dahulu, saya dapat menatap dan memiliki naskah pertama saya untuk majalah ini.
Dari satu sudut, mungkin pandangan saya ini sempit. Sempit kerana menilai situasi muzik – yang cuba saya kupas – dua negara ini dengan hanya dengan senaskah majalah. Entahlah. Mungkin ini merupakan jajahan baru dalam cermin pandangan saya ketika ini.
Tempo ini saya jadikan sebagai kaca pantulan kepada tahap keterbukaan masyarakat dua negeri ini. Walaupun pada asasnya majalah ini lebih terlihat sebagai sebuah makalah politik di sana, paling dekat yang pernah kita hasilkan seperti ini adalah dengan majalah Massa. Massa sudah berkubur! Tetapi Tempo ini masih terus menghirup udara percuma dengan lebih selesa.
Membelek di ruang dalam, saya sedikit kaku sebenarnya. Hanya cerita-cerita korporat mereka dan politik. Namun, semakin dalam, semakin jauh ketengah, persepsi saya mula berubah. Di celah-celah keseriusan isinya, terselit lembaran-lembaran iklan tentang aktiviti-aktiviti muzik di sana. Dalam bahasa mudah, ada flyer-flyer gig yang di muatkan. Bukannya nama-nama besar, tetapi band-band baru yang independent kebanyakkannya yang menghiasi pampangan advertensi tersebut! Pelik sungguh. Anda faham ditakat mana penerimaan bangsa mereka terhadap muzik sebegini?
Platform itu menjadi sangat terbuka. Saya kagum sebentar. Jika di sini, di mana kita dapat lihat “pencapaian” seperti ini? Pernah gig-gig kecil ini mendapat war-war yang massa? Jarang sekali! Yang ada adalah pementasan muzik besar yang komersil dan ada “politik” kuat dibelakangnya. Mengapa kurang sokongan terhadap muzik-muzik independan, muzik-muzik jalanan dan seni itu sendiri di sini? Yang kita ada hanyalah Muzik-Muzik. Itupun eloklah juga…
Saya kupaskan lagi isi Tempo ini. Lainnya, ada termuat seksyen sastra yang memberi kredit kepada penggiat-penggiat sastra siber. Yang mana acara kecil mereka ini turut mendapat tempat. Karya-karya mereka hasil daripada perkembangan ini, walaupun ada yang menganggapnya separuh masak, masih juga diberi jalan. Ada antologi atau jilid yang terhasil daripada daerah siber ini. Bukan tidak terdapat seperti ini di sini. Permasalahan yang saya timbulkan di sini adalah keterbukaan secara umum komuniti masyarakat setempat terhadap perkara-perkara ini. Perlakuan kita seolah-olah meletakkan darjat seni itu ditempat yang paling rendah, tiada nilai-nilai positif barangkali.
Antara lainnya juga, Tempo turut memuatkan temuramah dengan tahanan-tahanan politik, pesalah rasuah dan apasaja yang berkubang dalam metafora masyarakat di sana. Semuanya mereka ceritakan, tanpa selindung-selindung. Ruang diberikan secara saksama kepada semua dengan sebaik mungkin. Tanpa prasangka, sulamilah pengamatan anda tentang perkara yang cuba saya cetuskan ini.
Di mana nilai seni kita? Mungkinkah ia tidak diletakkan ke tempat sepatutnya? Bila kita dapat melihat seni yang betul-betul berseni, yang tidak diiringi oleh objektif tipikal bertopengkan dunia hiburan yang memualkan? Bila bangsa di sebelah sini mampu mencerna semangat seni lagu dan seni muzik yang dibincangkan di sini dengan penuh penghayatan? Seni adalah abstrak, yang kadangkala tidak mampu dihuraikan… hanya dapat dirasa.
Selamanya kita tidak akan faham apa ini seni. Berapa nilainya pun kita tidak tahu. Kerana kita tidak merasakannya. Kita hanya menanggapnya pada tahap hiburan semata-mata, lantas hanyut dalam kelaihan jiwa lembik kita sendiri. Kita khayal dalam lamunan sengeh muzik hiburan semata-mata, bukan muzik seni. Sekali lagi saya nyatakan, unsure-unsur ini ada dalam perjalanan muzik tempatan, tetapi di mana tahapnya? Kita tidak berada dalam hidup budaya seni itu, tetapi kita tinggal di dalam apa yang terlintas dalam fikiran saya sebagai the hype of art.
Maka itulah, Tempo ini saya jadikan cermin untuk melihat rupa kita semula… dan ianya saya rasakan relevan. Bagi mereka di sana, muzik mungkin sebati dengan lubuk jiwa yang paling dalam. Tetapi bagi kita di sini, muzik juga sebati dengan jiwa, tetapi masih agak cetek agaknya. Sampai bila-bila pun muzik akan dianggap sebagai suatu prospek negatif produk Barat. Tempurung otak kita amat keras acuannya, ditambah dengan segala tekanan-tekanan yang datang dari pelbagai sudut. Terus terbantutlah kreativiti yang sepatutnya berwarna girang itu.
HAZRIL HAFIZ HASSAN
18/04/2006
No comments:
Post a Comment