Monday, December 31, 2007

menutup 2007 dengan buku

Sepanjang 2007, ada beberapa buah buku yang saya rasakan semangatnya masih mampu mengembalikan ingatan saya kepada isi yang dibawa. Ia, beserta penulisnya banyak memberikan insipirasi dari pelbagai sudut dan penjuru untuk kepuasan peribadi. Semua buku ini tidaklah bermaksud buku-buku yang diterbitkan pada tahun 2007, tetapi lebih kepada kehadirannya – serta idea di dalamnya – yang saya rasakan penting untuk dilewati dan dikongsi… paling getir untuk diselami.

Buku-buku ini, yang semuanya dalam Bahasa Melayu dan ditulis oleh penulis tempatan ada diantaranya dibaca habis, diulang untuk penelitian dan juga yang dibaca untuk merasakan sendiri keenakkannya untuk dihadamkan. Akhirnya ia melekat untuk terus diraikan di penghujung tahun 2007 ini. Senarai di bawah diletakkan secara rawak dan tidak ada dan tidak menurut apa-apa formula serta kepentingan. Jika anda ingin baca – juga – tidak perlu mengikut turutan ini!

Patah Balek (Fathi Aris Omar) – Saya pertama kali membaca naskah ini ketika bekerja (dan ditipu) di Pulau Pinang sekitar November 2005. Di sebuah rumah tua di Kampung Bukit, Bayan Lepas, di mana malam-malamnya ada suara wanita mengilai, buku inilah seingat saya menjadi teman paling akrab. Ketika mula sekali terpandang Patah Balek di rak kedai buku, saya betul teruja. Kata ‘reformasi’ pada kulit depan cukup menyentap perhatian saya yang ketika itu banyak mahu mencari catatan-catatan tentang peristiwa sama. 1998 ketika masih menuntut di Sarawak, saya terlepas untuk merasakan api dan bahang reformasi di Kuala Lumpur. Jadi, tanpa mengetahui pun apa yang ditawarkan di dalamnya, saya setuju untuk meratah buku ini. Paling tidak, tajuk-tajuk seperti ‘Politik Kelentit’ dan ‘Misteri Buah Dada’ akan membuatkan orang tertanya-tanya apa kaitannya dengan reformasi. Saya berhenti membaca catatan reformasi Rustam A. Sani yang juga dibukukan (sampai ke hari ini masih suci belum tersentuh semula) dan Patah Balek ini juga memberikan satu corong baru yang luas dalam lingkungan definisi reformasi itu sendiri.

Titian Zaman (Usman Awang / Ismail Ahmad) – Ini buku sajak klasik moden yang comot dan kecil saya perolehi juga di Pulau Pinang. Di dalamnya, ada rangkaian sajak-sajak dengan susur galur masa yang diwakili setiap mereka, bermula dari tahun-tahun 30an. Banyak penyajak, dan koleksi ini menghimpunkan apa yang diklaim sebagai pencetus perubahan kepada sajak moden tanah air – selepas syair klasik dan terakhir sekali pantun Melayu. Saya membeli atas dasar nama Usman Awang, dan berakhir dengan satu perjalanan pendek mengenali struktur sajak moden yang ketika itu semakin mengambil bentuknya. Banyak di dalam ini sajak-sajak konvensional yang bagi saya membosankan. Namun, masih ada kekuatannya dan penting juga untuk memahami sosok penulisan sajak yang ada di Malaysia. Lemaunya, jika dilihat sajak yang mewakili tahun-tahun 70an dari buku ini dan dibandingkan dengan apa yang ada hari ini di dalam Dewan Sastera, Mingguan Malaysia dan juga Berita Mingggu, sajak oleh penulis muda hari ini semacam tidak ada nyawa lagi dan hanya diulang-ulang dalam formasi yang amat membosankan. Satu sajak oleh Muhammad Haji Salleh yang berjudul ‘Di Kubur Chairil’ – yang ketika itu ditulis (1972) – saya petik satu daripada baitnya di sini:

aku tak akan berdoa
kerna aku tak pandai berdoa lagi
tapi aku tau kau telah
hidup sebagai manusia
dan mati sebagai manusia
semuanya dalam batas alam

Dari Salina Ke Langit Petang (A. Samad Said) – Buku ini, yang merakamkan bagaimana proses penghasilan novel-novel awal Pak Samad adalah lebih elok untuk dihalusi oleh penggiat dan novelis muda berbanding jika mereka mengambil keputusan untuk mengikuti bengkel penulisan novel atau ‘Minggu Penulis Muda’ atau apa-apa sajalah gelar program seangkatannya. Saya suka cara lama yang dicoretkan Pak Samad di dalam buku nipis ini. Ia (kaedah yang dicatatkan) lebih bebas dan paling utama, ia lari dari format formaliti yang sampai ke hari ini gagal menunjukkan hasil yang benar-benar kreatif dan basah imajinasi. Dalam bahasa saya – formaliti membunuh kreativiti – baik dalam apa juga maksud.

Perjalanan Ku Sejauh Ini (Shahnon Ahmad) – Buku yang mencoretkan pengalaman peribadi – memoir – adalah bahan yang terawal memupuk minat saya membaca. Biar sekontang manapun bahasanya, selurus manapun ceritanya, genre ini tetap bertakhta dan lazat untuk didepani. Adalah satu perkara yang menyasyikkan untuk saya menyandarkan khayal kepada situasi dan kisah yang disampaikan. Shahnon, yang karya-karyanya banyak berpijak kepada realiti dan persekitaran nyata banyak bertindak sebagai merakam perjalanan masyarakat Melayu dari kaca mata beliau sendiri.

Intelektual Masyarakat Membangun (Syed Hussein Alatas) – Ini antara buku paling lama saya jejaki dan masih berhutang kepada diri sendiri untuk mengupasnya. Ia mencatatkan satu sisi masyarakat Malaysia – kebahlolan – dan yang magisnya, sampai ke hari ini masih lagi terang-benderang kebodohan yang sama diulang-ulang. Saya akan utarakan ulasan peribadi nanti diblog ini.

Sajak-sajak Suci (Abdullah Jones) – Ada beberapa perkara menarik yang sekali gus menjadikan buku himpunan sajak pendek ini popular (setidaknya bagi kalangan hantu blog di alam maya). Pertama, adalah bahasa sajak yang baru digunakan oleh si penulis misteri ini. Bagi saya, sajak-sajak seperti ini, walaupun bukanlah amat asing, tetap memberikan alternatif kepada sajak-sajak sejuk beku yang biasa. Kedua, saya sempat bereksperimen dengan mereka yang tidak celek sajak langsung. Mereka tetap mahu meminati buku ini kerana reka letak kulitnya yang sukar dinafikan kemolekannya (dalam konteks perbandingan dengan penghasilan kulit buku ala kontemporari biasa contohnya). Saya suka buku ini dan… ia diterbitkan secara indipendan.

Wilayah Kutu (Penulis muda) – Ini himpunan cerpen oleh mereka-mereka yang mengklaim dari kelompok ‘fringe’ dan cukup untuk membuatkan anda seperti benar-benar percaya dan rasa sendiri apa yang diselitkan dalam buku dengan rekaan seni kulit urban ini. Kalau tak silap, saya menghabiskan buku ini dalam sekali baca saja. Dua sebab untuk itu, pertama ia tidak panjang berjela dan kedua cerpen-cerpennya memang baik.
Cukup. Atau mungkin sebuah lagi yang saya ulang baca tak lama dulu; Meniti Lautan Gelora (Said Zahari). Baik, cukup.

Friday, December 28, 2007

wang tunggangan

Ada satu prosa daripada Goenawan Mohammad yang dirasakan cukup erti untuk menggambarkan kuasanya wang sehingga menjadikan manusia kelabu mata dan gila. Di dalam tulisan yang bertajuk Langka, Goenawan memetik begini:

'Uang, seperti kata Lietaer, telah jadi sebuah cincin besi yang dipasang di cuping hidung manusia, dan menyeret manusia ke mana saja—juga ke arah menajamnya Langka dan kehancuran sosial.'

Suka dan faham, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. Bait ini enak sekali dihadam untuk mereka-mereka yang berada dalam keadaan konfius dengan kehendak dunia dalam erti maksud biasa yang dianuti majoriti.

Baca
lanjut.

Sunday, December 09, 2007

10 tahun

Jika ada sebuah filem dokumetari terakhir yang saya patut cadangkan untuk khalayak Malaysia tontoni sebelum tirai 2007 roboh, ia adalah filem pendek 10 Tahun Sebelum Merdeka arahan Fahmi Reza.


Ringkas dan menarik. Himpunan lagu dalam senarai 'runut bunyi'nya pula adalah perkara yang menarik perhatian saya untuk melangut di depan skrin komputer sampai habis filem ini - antaranya adalah God Save The Queen - The Clash.



Tonton atau cari pautan di blog tuan empunya filem tersebut di sini.

* '10 Tahun....' merupakan satu daripada tiga pemenang Freedom Filmfest 2007

Saturday, December 01, 2007

pramoedya dan ceritanya

Lama sebelum saya terjumpa karyanya, nama Pramoedya Ananta Toer (6 Februari 1925 – 30 April 2006) ini sudah saya dengari. Tak ada apa pun petunjuk – kecuali sedikit catatan-catatan penulis tempatan – untuk saya jadikan panduan mencari buku-buku beliau di Malaysia ketika itu; cukup sukar bagi yang mencari bersendirian. Ketika itu juga, disebarang kesempatan yang ada, pasti saya akan menyelongkar rak-rak buku di mana-mana kedai untuk mencari hasil kerja Pram.

Kini, saya telah sempat membaca beberapa karya beliau – Cerita Dari Blora adalah buku pertamanya yang saya baca dan masih mencari lagi Keluarga Gerilya – ternyata pengalaman peribadi sosok Pram ini begitu berharga sehingga mampu menjadikan karya novelnya begitu besar.

Pram akan membawa saya ke satu alam lain – Indonesia dulu barangkali – dan membuatkan saya merasa sendiri segala pergolakkan jiwanya. Perih sakit, hiba, hilai tawa dan sebagainya, ia begitu akrab terasa ketika membaca novel-novel dan catatan beliau.

Ada seperkara yang saya baru tahu; bahwa karya-karya besar Pram yang ada, semuanya ditulis pada era di mana hidupnya sering keluar masuk penjara dan sebelumnya.

Sekadar makluman, Pram ditahan dibelakang tirai gerigi besi selama 18 tahun ketika hayatnya. Tiga tahun di bawah kuasa kolonial, satu tahun ketika pemerintahan Orde Lama Sukarno dan 14 tahun lagi ketika pemerintahan Orde Baru Suharto.

Menurut Max Lane, seorang Australia yang juga penterjemah karya Pram selama 36 tahun ketika berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini, Pram lewat dibebaskan dari penjara kali terakhir pada 1979 – sehinggalah beliau meninggal pada 2006 – baki hidup yang 27 tahun itu langsung tidak dicatatkan untuk menghasilkan karya yang menandingi kesungguhan dan kepayahan beliau ketika era sebelumnya.

Sentuh Max lagi, barangkali Pram berasa terlalu janggal dan kaget dengan situasi Indonesia yang lahir setelah dia bebas – mungkin tidak seperti Indonesia yang sering tergambar oleh Pram suatu masa dulu. Walaupun ada karyanya yang diterbitkan dalam tempoh Pram bebas dan sebelum meninggal itu, saya kira novel-novel itu juga adalah rakaman kisah peribadi ketika zaman-zaman sebelumnya juga.

Satu lagi perkara yang menarik yang dijelaskan oleh Max, Pram tidak pernah mengakui yang dia adalah pendukung idea-idea dan mengasihani perjuangan komunis – atas sebab ini jugalah dijadikan alasan oleh pemerintah untuk menghumbannya ke penjara – tetapi jelas Max dan diakui Pram sendiri, dia adalah seorang nasionalis kiri.

Karya Pram boleh menghambat pembaca walau dari corong waktu yang lain adalah disebabkan satu hal; Pram sendiri melalui apa saja yang tergambar di dalam karyanya – terhimpit, diseksa hingga pekak ketika dalam tahanan dan sebagainya.

Pram dalam maksud saya adalah satu entiti – atau kandungan masyarakatnya - yang real. Tidak berpura-pura menulis kembali semangat pengalaman yang pernah dilaluinya sendiri. Tidak hairan, walaupun banyak karyanya diharamkan – dulu hingga sekarang – namun ia masih berlegar juga dikalangan orang biasa, termasuk ada juga yang terlepas dan dijual ke Malaysia secara sembunyi-sembunyi oleh penerbit dari tanah seberang itu.

Selepas Pram melalui semuanya, kini ada baik juga kita mula merenung kembali segala kebiadapan dan keangkuhan bangsa manapun yang kerap dijadikan watak di dalam novelnya – baik bangsa penjajah mahupun bangsanya sendiri.

Pramoedya Ananta Toer karyanya mengasyikkan, menelanjangkan segala sisi kejengkelan yang semakin bernanah dalam tradisi perkembangan Indonesia. Kita, di satu sudut yang lain, mampu juga untuk mendampingi Pram dan memahami keresahan beliau selama hayatnya dan lantas merefleksi wajah bangsa kita hari ini.

1 disember 2007 - bangsar utama

Friday, November 23, 2007

malam ramai perempuan

Tuan-tuan dan puan-puan, jemput hadir ke majlis tari-menari kata ini nanti. Jangan malu jangan segan. Poster dicilok dari Sindiket Sol-jah.

Sunday, November 18, 2007

pramoedya: sejarah, novel dan politik pembebasan

Forum: Pramoedya; Sejarah, Novel dan Politik Pembebasan
Tarikh: 24 November 2007 (Sabtu)
Masa: 8 malam
Tempat: Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur

Pramoedya Ananta Toer (1925-2006), merupakan sasterawan Indonesia yang terkenal di mata dunia. Beliau telah menghasilkan lebih 50 karya dan diterjemahkan dalam 41 bahasa asing.

Beliau merupakan tokoh penulisan yang berhaluan kiri, karyanya menyampaikan pemikiran progresif yang menentang penjajahan dan pemerintahan zalim. Karyanya yang mendapat sambutan hebat termasuklah Bumi Manusia dan Anak Semua Bangsa, yang ditulisnya semasa dalam penahanan di Pulau Buru.

Pramoedya pernah ditahan selama tiga tahun pada zaman penjajah, setahun semasa pemerintahan “Orde Lama” Soekarno dan 14 tahun semasa pemerintahan “Orde Baru” Soeharto. Beliau ditahan selama 18 tahun secara total.Beliau ditahan pada masa Orde Baru bersama ribuan orang atas tuduhan memihak kepada Partai Komunis Indonesia (PKI).

Had Pramoedya Ananta Toer been a Soviet dissident he would have received the Nobel Prize, but his status as a literary master is secure and, unlike some Latin American contemporaries, he remained unapologetic throughout his life.” - Tariq Ali

Ahli Panel:

Topik: Sejarah dalam Tangan Pramoedya; Revolusi belum selesai
Max Lane, seorang penulis, penyelidik dan penterjemah yang berasal dari Australia. Beliau mempunyai pengalaman lebih 36 tahun bekerja di Indonesia, Singapura dan Filipina. Hasil kerja beliau terbaru adalah penterjemahan karya Pramoedya, Arok Dedes, ke dalam bahasa Inggeris, Arok of Java. Beliau juga banyak menulis tentang pergerakan masyarakat di Indonesia, termasuklah buku terbaru beliau, Bangsa Yang Belum Selesai: Indonesia Sebelum dan Sesudah Suharto.

Topik: Politik anti-perkauman Pramoedya
Sumit Mandal, penyelidik di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM.
Anjuran: Parti Sosialis Malaysia (PSM) & Community Development Centre (CDC)
Masuk: Percuma

Sebarang pertanyaan sila hubungi pejabat PSM (03) 22 74 77 91 atau Chon Kai 019 566 95 18

Sumber:
PatahBalek

naik sheikh

Dulu, nasi lauk ayam dan kubis 'ruji' saya di Restoran Pelita Bangsar - tak sampai setahun - berharga RM4.70. Kini, benda yang sama - dalam kuantiti yang makin kurang - berharga RM5.20.

Coklat Kit Kat Crunch masa mula-mula saya ketagih harganya RM1.80. Tak lama lepas itu naik kepada RM2.00. Naik lagi ke RM2.20 dan semalam, di stesen Petronas Jalan 222, PJ harganya salin lagi kepada RM2.70. Dalam masa setahun dua ini harga coklat bangang itu naik berkali-kali!

Roti canai, paling bodoh harga standardnya sekarang adalah RM1.00. Itu roti kosong tu, tak ada apa-apa isi. Mungkin, pagi tadi adalah sarapan paling murah pernah saya dapat - roti kosong dan teh ais = RM2.20 di Restoran Mydin, Bangsar Utama. Tempat lain jangan harap.

Roti Gardenia. Seingat saya, ketika aktif menyimpan roti dirumah untuk melalui hari-hari 'kering' tak lama dulu, harganya RM1.90. Kini dah berubah, semua berubah. Harga barunya RM2.20 - kalau tak silap. Eh, RM2.10 kot, dekat-dekat situlah angkanya...

Nasi kandar Zainul di PJ Newtown. Pertama kali saya makan di situ bermula tiga tahun dulu, hidangan ayam separuh dengan kubis / tauge cuma RM3. Sesuailah sangat ketika masih menuntut dulu di UM - duit tak banyak. Maka, kerap menyinggah di hujung minggu. Lepas itu, tahun sudah, harga dah tukar kepada RM3.50 - hidangan yang sama. Semalam, dah jadi RM4.00.

Minyak, tak lama lagi naiklah, tunggu.

Ini baru bab-bab keperluan asas, soal makan minum. Belum masuk sewa rumah, pakaian. Ini bukan hal nak beli rumah, pergi shopping. Ini perihal paling rendah untuk hidup. Itu pun sudah cukup terkesan dan terhimpit.

Kepada yang merokok, kos hidup memang lagi tinggilah. Ini bukan petanda yang bagus walau apa pun ayat yang akan keluar dari mulut ahli politik kaldai kita.

Selamat menyesakkan hidup. Untuk menahan lapar nanti, beralihlah kepada membaca buku banyak-banyak. Buku ada kuasa mistik untuk melawan kelaparan. Saya tak tipu.

Monday, November 12, 2007

poster - selingan

Jemput datang beramai-ramai:

Tun Salleh Speaks OUT this Friday!

How to Stop the ROT?Public Forum on Judicial Crisis Date: 16/11/2007 (Friday)

Time: 8 – 10 pm
Venue: Federal Hotel, Kuala Lumpur (35, Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur)
Admission is Free. All are welcome

Speakers:
Tun Salleh Abbas (former Lord President)
Datuk Shaik Daud (former Court of Appeal Judge)
Ragunath Kesavan (Vice President of Bar Council)
Datuk Seri Anwar Ibrahim (former Deputy Prime Minister, Advisor to KeADILan)

Moderator:
Sivarasa Rasiah (Human Rights Lawyer)

Please invite members of your organization, members of the public, friends and family to attend this important event.

Sunday, November 11, 2007

media baru

Rasa-rasa, kuasa media alternatif boleh dikatakan semakin besar pengaruhnya. Siri berita rali 'Gelombang Kuning' yang digelapkan dan diseleweng di dalam media utama negara tidak banyak membantu untuk menutup sepenuhnya bermacam-macam insiden yang berlaku Sabtu lalu.
Bergomol di dalam YouTube, nanti akan ditemukan apa saja visual menarik dan jujur berkaitan perarakan atau demontrasi berkenaan.

Siapa yang benar-benar memerlukan media arus perdana Malaysia secara total?

sengal

Ahad. Pagi. Di warong mamak belakang Jalan Masjid India. Rutin membaca Mingguan Malaysia kali ini tercemar, betul-betul menyesakkan. Saya tak mampu langsung untuk menghabiskan bacaan wawancara yang dijudulkan 'Meneruskan gagasan 2057'.

Ia mempertemukan dua individu muda dalam UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin, Ketua Penerangan Puteri UMNO serta Aminuddin Abd Nasir, Presiden Kelab UMNO Leeds/Bradford (UK - Alumni).

"Kita tak boleh memandang ke belakang. Kita perlu terus memandang ke depan. Bangsa kita adalah bangsa yang hebat. Kita telah mampu meneroka angkasa." - Aminuddin.

"Adalah sukar untuk kita mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa depan. Maka itu, kita perlu bersedia dengan ilmu dan tahu apa saja perkembangan yang berlaku di luar negara khususnya di negara-negara maju." - Shahaniza.

Dua quote besar ini sudah cukup untuk membuatkan nafsu termati dan menyelak muka sebelah. Mujur ada 'Joseph Conrad dalam dunia Melayu' coretan Mazlan Nordin 'ol-skool'.

Mampos! Macam mana ni?

Saturday, November 10, 2007

cuit-cuit tuhan manusia

+++

Tuhan Manusia (TM) adalah novel pertama tulisan Faisal Tehrani (FT) yang saya baca. Tidak pernah terdetik dihati saya untuk membedah novel-novelnya yang terdahulu. Saya tidak tahun mengapa – tidak pernah tertarik dengan hasil penulisan FT, walaupun di sana sini sibuk orang memperkatan tentang kelebihan penulis muda ini.

Sehinggalah kata ‘tuhan manusia’ ini tersesat dalam pandangan saya di rak kedai buku – dicelah-celah novel Melayu ‘liuk-lentok’. Ditambah dengan promosi diblog penulisnya sendiri serta hiruk-pikuk di Shelfari, saya keluarkan duit sendiri untuk membeli novel ini.


Oh, seperkara lagi, FT juga menyatakan yang dia melakukan kaji selidik yang mendalam ketika proses penulisan sedang berjalan.

Seputar isu Islam Liberal dan Pluralisme yang menambat perhatian saya pada awalnya – dan sebab ini jugalah yang membuatkan saya mahu membacanya – saya terpanggil juga untuk meniti sendiri apa yang terbuku dalam fikiran FT menyentuh isu ini.

Di laman maya, ramai yang kagum dengan hasilan FT tersebut. Katanya novel Melayu yang membawa wacana berat. Sesudah saya membaca habis novel ini dan dapat mencuri masa untuk duduk berbual dengan teman-teman serta ruang untuk meneliti keseluruhan novel berkenaan, saya merasakan perlu untuk memberi respon balas – menurut pemahaman saya sendiri.

Saya setuju dengan pandangan yang mengatakan novel ini cuba membawa dan membincangan isu berat, tetapi saya tidak setuju dengan gaya penulisnya menggeluti isu tersebut yang akhirnya seolah-olah mahu memaparkan isu berkenaan – kepada pembaca dan peminatnya – hanya dari satu sudut, iaitu dari kaca mana Faisal Tehrani saja. Lebih dari itu, dia juga semacam mahu memaksa pembaca agar ‘wajib’ melihat dari corong yang sama juga berkaitan isu yang dibangkitkan.

Saya yang membaca – dan membaca dengan tenang dan neutral – tidak dapat melihat ‘warna’ lain selain hitam dan putih dari novel ini. Dalam permasalahan ini, penulisnya seperti tidak dapat menerima apa-apa perbezaan pendapat lagi dengan kelompok Islam yang berbeza daripada fahamannya.

Pluralisme mengikut definisi di dalam novelnya adalah semua agama itu sama, membawa kebenaran dan semua akan masuk syurga. Maksud umumnya, agama itu satu – dan kelihatan inilah yang merunsingkan FT. Tetapi, pada pendapat saya, keresahan dan kemarahan FT adalah pada isu murtad. Lihat naratif novelnya. Pokok pencetus semua pergolakan yang muncul – kepada Ali Taqi khususnya – adalah apabila abangnya Talha keluar Islam dan masuk Kristian - MURTAD.

Saya mempersoalkan ini; Jika FT meyakini yang telahannya tentang isu plural dan liberal ini yang menjadi ‘centre of attention’ dalam TM, dia tidak sepatutnya mewujudkan watak Talha seperti itu. Talha adalah individu utama yang dikaitkan dengan kesan ‘anutan’ plural dan liberal. Pemain kedua adalah Aris Iskandar.

Perkara yang saya ingin permasalahkan di sini ialah; mengapa Talha memilih Kristian? Jika idea dan kefahaman FT tentang dua isu induk ini yang menunjangi TM, saya rasakan ini adalah puncak pelencongan maksud yang amat jelas tetapi sukar dikesani daripada TM – terutama kepada peminat-peminatnya yang saya yakin tidak akan banyak berpencak dengan apa saja yang FT sampaikan. Penyampaian mono aliran ini adalah bahaya dan inilah ‘warna’ yang saya sentuh tadi.

Begini, jika Talha memilih untuk beralih anutan agama dari Islam ke Kristian, maksudnya Talha masih lagi mengakui keperluan beragama dan tidak semestinya bersetuju dengan idea pluralisme seperti yang digambarkan FT. Jika Talha taksub plural, mengapa dia perlu untuk menukar agama? Menurut novel ini, pluralisme menganjurkan semua agama itu sama, jadi saya lihat FT sendiri sudah terkepung dengan obsesnya yang tersendiri dalam pergolakan ini.

Seterusnya, pluralisme juga disebut-sebut sebagai dakyah Barat untuk menghancurkan Islam. Dengan idea plural ini katanya telah berhasil untuk menarik keluar umat Islam dariapada agamanya – idea yang saya tidak setuju seperti dinyatakan tadi. Ia dilihat sebagai ancaman. Pada pandangan saya pula, jika pluralisme dilihat sebagai satu platform untuk pihak Barat / kafir meresap dan ‘menculik’ penganut Islam, mengapa orang Islam sendiri tidak digambarkan sebagai mampu berbuat perkara yang sama? Ke mana pendakwah Islam dalam menghadapi isu ini. Saya lebih senang dengan cara berdepan dengan ancaman itu secara berani daripada mengajak umat Islam berkerumun setempat, berteleku dan memencilkan diri. Semua ini atas diri umat kita sendiri.

Pada saya, permasalahan yang timbul di dalam TM adalah isu murtad, itu yang depan. Kemudian istilah Islam Liberal dan Pluralisme datang menghambat FT. Akibat ketidak senangan dia kepada anasir ini – yang dilihat meracuni Islam – maka dia kelihatan cuba untuk bermain dengan ketiga-tiga isu ini dan akhirnya pada saya menjadi kucar-kacir. FT tidak berlaku adil kepada dirinya dan juga pembacanya disebabkan terlalu gelojoh mahu menjuarai isu-isu ini.

Lihat pula babak forum. Bagaimana Aris tergagap-gagap berdepan soalan Taqi dan bezanya dengan Prof Mahfuz (panel yang seorang lagi – kalau tak silap namanya) yang memberi penjelasan yang ringkas-ringkas dan tidak mendalam.

Adakah sedangkal itu ilmu ikon liberal yang digambarkan dari watak Aris Iskandar? Sebagai seorang editor majalah, pendokong fahaman liberal yang sudah besar namanya dan juga seorang peguam, tidak kena langsung dengan perwatakannya ketika berforum. Jika itulah keperibadian Aris Iskandar, berani saya katakana yang Talha itulah yang bebal kerana mahu mengikut dan mendengar penyampaian faham Aris yang sebgitu, walaupun Aris sendiri tidak kuat prinsip dan lekas goyang.

Prof Mahfuz pula diprojekkan seperti seorang hero. Penjelasan balasnya yang lemah dan tidak mendalam itu diangkat sebagai pandangan yang cukup ideal untuk menempis faham liberal dan plural Aris. Tak kan lah ini saja kualiti yang ada oleh seorang Profesor untuk berdepan dengan isu berat dan besar yang dimainkan? Jika ini gambaran realiti yang cuba dinukilkan FT, rasanya kita @ pembaca wajar rimas! Bahaya jika itu saja yang mampu diluahkan oleh ahli akademik dan golongan yang menyifatkan mahu membela agama. Pada saya, jika watak Aris sedangkal itu dipotretkan, watak Profesor ini juga sama, tiada apa untuk dibanggakan pun.

Lagi tentang watak Aris. Saya merasa lucu ketika sampai dibabak yang mana Aris mendapat tahu bahawa Ali Taqi dan Talha itu adalah anak kepada bekas teman wanita atau wanita idamannya dulu. Dengan tiba-tiba watak itu menjadi lembik, hilang segala prinsip dan ideologinya dan dengan serta-merta bertukar menjadi seorang yang sentimental tak bertempat. Ini secara kiasnya juga adalah sifat humanisme seperti yang dilaungkan FT sebagai antara ciri fahaman plural yang ditentangnya.

Saya melihat, penulisnya secara tidak sedar bersetuju juga dengan ciri ini yang pada kebanyakkan situasi, adalah fitrah kejadian manusia. Peri kemanusiaan – yang jatuh tergolong di bawah istilah humanisme.

Satu lagi babak yang mengesani pembacaan saya. Layanan oleh keluarga Taqi kepada Aris (golongan plural / liberal) dan juga kepada keluarga Tse yang bukan Islam. Pada peringkat tertentu, apa yang tergambar di dalam novel ini ialah; ‘kelompok liberal harus diganyang habis-habisan – walaupun satu agama – tetapi layanan yang mesra harus ditunjukkan kepada keluarga bukan Islam yang anaknya baru memeluk Islam. Jika kita boleh dan mahu menunjukkan sifat-sifat baik kepada orang bukan Islam, mengapa perkara yang sama tidak boleh dipraktikkan kepada saudara seagama? Watak yang ada – yang kononnya mahu memelihara agama – tergambar seperti terlalu emosional dalam TM.

Sepatutnya watak-watak pencinta agama ini dipotretkan lebin rasional, tenang dan tidak melulu. Perbezaan pendapat di dalam Islam sendiri bukanlah sesuatu yang asing dalam konteks pensejarahan perkembangan Islam itu sendiri. Dan seperti juga mereka-mereka yang terdahulu, akan ada pihak yang melabel pihak lain di dalam Islam, sehingga sampai ketahap menjatuhkan hukum sesat dan kafir kepada yang tidak sependapat.

Mazhab utama yang berempat itu pun meraikan keragaman pandangan, dan mereka lebih sederhana, tidak sampai kepada mengkafirkan orang yang lain.

Padangan saya, novel TM ini jatuh disebelah yang ekstrim. Tidak menawarkan kesederhanaan dalam berpendapat tetapi seperti yang dinyatakan awal tadi, ia seolah memaksa pembaca untuk menerima sisi pandangan penulisnya.

Menggeluti faham plural cara John Hick seperti yang digambarkan dalam novel ini bukanlah satu-satunya pendekatan yang ada. Definisi pluralisme juga boleh dilihat dari banyak sudut, bukan hanya dari kaca mata John Hick atau FT semata.

Kepada yang sudah membaca novel ini dan berasa kagum dengan cara FT mengolah persoalan ini, jangan berhenti pada satu buku ini saja. Terus lagi berjalan dan bereksplorasi dengan menambah bahan bacaan lain yang melingkari isu sama, untuk kemandirian pemahaman sendiri. Islam juga tidak menggalakkan umatnya hanya menurut membabi buta sesuatu perkara.

Tiada kesimpulan dari saya. Cuma ada seperkara lagi yang boleh dikaitkan dengan novel TM. Secara umumnya, ia jelas menampakkan yang FT meraih inspirasi yang salah satunya datang daripada kelompok Jalan Telawi. Idea-ideanya, hujah-hujahnya (walaupun diprojekkan begitu ringkas dan tidak kukuh) serta watak-wataknya dengan langsung – berani saya katakan – menyentuh kepada aliran pemikiran kelompok berkenaan.

Ini juga boleh dilihat sebagai pertembungan ideologi FT (yang hampir gaya dan pendekatan DBP) dengan komuniti Jalan Telawi yang sering lantang mahukan gaya baru dalam rangka elemen yang menyentuh persepsi masyarakat, termasuk dimensi sastera tempatan. Ini - bagi saya – sesuatu yang sihat dan menarik!

- Tuhan Manusia

+ Mungkin novel Melayu terbaik era ini, ditengah-tengah ketandusan dan kelesuan produk sastera tempatan.


+ Bergolak dengan isu murtad dan menjadikan liberal dan plural sebagai tunggangan penulisnya untuk sampai kepada maksud asal – tetapi masih rapuh permainannya.


+ Prosanya masih belum dapat memaku pembacaan.


+ Kepada yang membaca dan fanatik FT, baca penulis lain juga dan belajar membuat pertimbangan sendiri.
----
-10 11 07 - bangsar

Tuesday, October 30, 2007

marx

Membaca tulisan di dalam The Communist Manifesto - bagi yang baru berjinak - agak penat. Memahami latar keadaan beliau ketika itu akan banyak membantu pemahaman. Di sini ada satu pautan kepada sesiapa yang berminat untuk membaca lanjut pemikiran Marx secara ringkas.

Turut terkandung ialah pengenalan kritik Marx terhadap Philosophy of Right dari Hegel.

Klik sini. Selamat membaca.

Wednesday, October 17, 2007

menerobos keliaran

Dia anak muda lingkungan 20an yang baru menamatkan pengajian. Membakar semua duit di dalam kocek dan mendermakan apa saja saki-baki wang di bank.

Dengan sebuah Datsun buruk, menekan pedal minyak dan terus pergi tanpa toleh… untuk meneroka satu sisi perjalanan yang didorongi kalut fikiran dan idealisme semangat muda sampai ke hujungnya – jalan yang tiada simpang dan pusingan balik.

Ini satu ekstrak ringkas daripada judul buku Into The Wild karangan Jon Krakauer yang berlatarkan kisah benar pemuda bernama Chris McCandless. Saya pertama kali menatap buku ini ketika masih di kampus, kurang lebih empat tahun dulu. Membaca kisah ini betul-betul memberi seribu satu inspirasi dan membuka daerah baru dalam kotak fikiran ketika itu. Saya belajar kata idealisme daripada buku ini – yang diperkenalkan oleh seorang teman. Jiwa dengan mudah terkesan dengan cerita yang disampaikan dengan ringkas dan padat oleh penulis buku berkenaan.

Ironinya begini. Sean Penn, aktor dan pengamal filem tersohor membuat kenyataan yang dia tertarik dengan kulit buku yang pernah saya kagumi itu. Dan dari situ, beliau mengambil buku berkenaan untuk diadaptasikan menjadi sebuah filem yang kini sudah pun siap pembikinannya.
“Reka kulit buku itu dengan gambar bas usang dengan tajuk Into The Wild sungguh merentap perhatian saya,” ujar Sean dalam satu temuramah.

Susulan daripada ini juga, seorang lagi nama besar turut bergelumang dengan perkara sama. Eddie Vedder, setelah 17 tahun mengepalai Pearl Jam kini mahu di’ceraikan’ seketika untuk terlibat dengan pembikinan album solo bagi dijadikan album soundtrack filem berkenaan - dengan tajuk yang sama.

Ketika artikel ini ditulis, saya sudah mendengar sepintas lalu album itu. Masih tipikal gaya Vedder dalam Pearl Jam, tetapi kali ini pemberat yang terkandung di dalam lirik dan rintih suara itu lebih penting dan dominan. Ia hanya dapat dirasai jika pendengar berkongsi pahit maung pengalaman yang seakan sama dengan apa yang disampaikan oleh tiga medium ini.

Sean yang mula berkenalan dengan Vedder ketika kerja-kerja filem Dead Man Walking pada tahun 1995 meminta beliau untuk berbuat sesuatu terhadap filem terbaru itu dan album solo Vedder itulah hasilnya.

Kini, tiga elemen berlainan disatukan untuk menawarkan sesuatu kepada khalayak. Ia sekaligus menjadikan projek ini sesuatu yang istimewa dan saya nantikan… dan nanti, harus dikritik.

Into The Wild kini mengandungi tiga semangat yang berbeza. Hasilan projek ini nanti seharusnya menjadi kreativiti seni – yang membawa sarat maksud berseni – berdiri sebagai hamparan karya yang tercetus daripada kepayahan dan sengsara.

Vedder, walaupun ketika diminta untuk menghasilkan muzik bagi filem ini sebenarnya belum pernah membaca buku berkenaan, terpaksa memisahkan dirinya dengan segala kekayaan dan kesenangan yang dikecapi ketika ini. Vedder menonton dulu filem tersebut sebelum menulis muziknya.

Katanya, dia tidak percaya dengan kerja seni yang terhasil dengan kesenangan. Dia mengembalikan dirinya kepada zaman remaja – seusia dengan McCandless – dan mahu merasakan kembali semua keperitan hidup yang pernah dilalui.

Ini kerja seni yang berinteraksi dengan persoalan kehidupan. Jika belum baca buku ini, carilah. Tunggu filem ini nanti – walaupun belum tentu ditayangkan dipawagam kerana ia bukan karya pop. Terakhir, dengarkan juga album dari Vedder. Tetapi kali ini bukan sebagai lagu, tetapi intipati himpitan psikologi yang cuba disampaikan. Dengar bukan dengan halwa telinga, tetapi dengan hati.

Saya sudah merasai dua daripada tiga semangat ini. Hanya menanti visual filem dari Sean Penn saja.

“I now walk into the wild.” – Chris McCandless

* Terbaru, Eddie Vedder juga menyumbang lagu bagi soundtrack filem tentang perang Iraq, Body of War.

-17 Oktober 2007 / bangsar utama


Tuesday, October 09, 2007

angkasawan?

Esok, 10 Oktober 2007, seorang 'angkasawan' Malaysia akan ke langit luas. Beberapa hari ini juga, ada semacam satu perasaan terawangan dirasakan lewat pemergian salah seorang doktor negara itu.

Saya mula tertanya-tanya, mengapa senang benar kita di Malaysia mengangkat dua orang ini sebagai angkasawan atau astronaut? Russia, antara negara ulung mendominasi ilmu ini pun -dari sejarahnya - memerlukan masa berpuluh-puluh tahun untuk berada di peringkat kemajuan sekarang ini.

Astronaut mereka berhempas pulas memahami segala aspek yang mungkin - dalam jangka masa yang betul panjang - untuk mereka diiktiraf sebagai astronaut. Ini bukan kerja sepuluh tahun.
Bila media negara mula melabel dua orang ini sebagai angkasawan dan hero, saya secara peribadi mula berasa jengkel. Pandangan ini tidak popular dan akan dicop dengan pelbagai cemuhan. Itu belakang kira.

Saya tidak berbangga dengan projek ini. Ia satu sisi pembodohan bagi saya kecualilah persoalan-persoalan yang bermain dibenak saya terjawab.

Perhatikan.

Dua orang doktor ini berlatarbelakangkan biologi dan bukan sains langit. Projek ini dilancarkan secara mengejut - pemilihan ringkas dan terus dinobatkan. Pertikaian saya begini; dua orang ini hanya menghabiskan masa kurang lebih setahun setelah dipilih untuk didedahkan dengan teknologi maju di Rusia.

Bayangkan, satu perkembangan azali yang mengambil masa panjang hanya digodek selama setahun saja oleh dua orang ini. Ia secara tidak langsung menjadikan dua doktor kita lebih hebat dari saintis langit Rusia!

Projek ini bertitik tolak selepas termeterainya perjanjian pembelian 18 buah jet Sukhoi dari kerajaan Rusia, desas-desusnya dulu. Mungkin betul - atau memang betul. Ia dipersetujui sebagai satu tindakan timbal-balik oleh pihak Rusia.

Jadi, jelas pada pendapat saya bahawa tempoh setahun yang ditetapkan itu hanyalah satu tempaoh persediaan - fizikal dan mental - untuk berada di luar bumi. Ini tidak melibatkan penguasaan teknologi yang serba canggih. Media tempatan juga tidak pernah mengulang-ulas apa yang mungkin diperkatakan oleh pihak Rusia.

Cemerlangnya dua orang doktor ini adalah untuk mereka berhadapan dengan keadaan yang cukup asing ketika berada di angkasa. Boleh jadi untuk seronok-seronok. Dengan itu, tidak hairanlah ada suara yang mahu membawa bersama roti canai dan teh tarik ke angasa lepas. Lihatlah tahap otak orang-orang ini.

Setahun itu hanya untuk memastikan mereka ini cergas dan layak untuk 'terapung' di luar sana. Mustahil dan tak masuk akal, dengan setahun ini, mereka patut diangkat menjadi astronaut. Di luar angkasa, rombongan ini hanya akan singgah di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Ini misi jalan-jalan, bukan misi meneroka langit.

Untuk pengetahuan, Rusia sememangnya ada menyediakan khidmat membawa 'pelancong angkasalepas' seperti ini. Pada 28 April 2001, Dennis Tito, seorang warga AS telah menjadi pelancong angkasa lepas yang pertama. Tidak percaya? Google sendiri!
Beliau ini tidak dinobatkan atau diiktiraf pun sebagai astronaut.

Atas sebab ini, saya lebih tenang jika menganggap – dan Malaysia juga mengakui melalui media utama - siapa yang naik ke angkasa mewakili Malaysia ini hanya sebagai pelancong saja.

Neil Armstrong dan Edwin Aldrin, Yuri Gagarin dan Alan Sheperd adalah antara nama yang boleh dirujuk untuk dijadikan kayu pengukur seorang astronaut. Mereka ke angkasa lepas, meneroka dan menjelajah ufuk-ufuk baru untuk dikaji dan maklumatnya dibawa pulang.

Kita lihat, selepas tamat saja projek ini dengan dihujani puji-pujian memualkan banyak pihak terhadap pencapaian ini nanti, kita masih tidak mahu mengaku yang kita sebenarnya tiada apa-apa untuk dibanggakan kecuali secebis cuma.

Apa sumbang 'angkasawan' kita ini nanti kepada perkembangan jangka panjang sains langit di Malaysia? Saya... masih belum nampak apa-apa.

Thursday, September 20, 2007

tudung turki

Protes pengharaman tudung di Turki


Sewaktu bersantai dalam bilik di Cameron Highland Resort, saya tertarik dengan siaran BBC News yang memaparkan berita terbaru tentang perkembangan di Turki.

Tidak lain, ia adalah perihal pengunaan tudung yang diharamkan di sana – terutama dalam urusan dan tempat-tempat awam.

Berita yang kerap dimainkan BBC kali ini sedikit kontra. Kali ini, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengutarakan pandangannya agar pengharaman tudung ditempat awam termasuk universiti di mansuhkan. Berkali-kali saya ulang-tengok berita ini dengan penuh minat.

Kata Erdogan berkenaan isu tudung dan pendidikan; “ Hak untuk mendapat pendidikan tidak seharusnya bergantung kepada apa yang dipakai oleh individu itu. ”

Turki, dibawah pemerintahan terdahulu mengharamkan penggunaan tudung secara rawaknya atas beberapa sebab. Antaranya ialah usaha mereka untuk diterima tanpa prejudis untuk menyertai kesatuan Eropah yang dipelopori oleh negara berorientasikan Kristian.

Pengharaman ini juga pernah dilihat sebagai satu strategi Turki yang sekian lama menerapkan sistem pemerintahan negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam secara sekular.

Saya turut teringat kembali pandangan beberapa orang teman yang lantang dan memandang negara Islam tunggal Eropah ini dengan penuh sinis. Kata mereka, “jangan jadi seperti kerajaan dan masyarakat Turki yang sekular.”

Dari satu sudut yang lain, Turki – walaupun dengan pendekatan pemerintahan sekular secara terang-terangan – masih mampu untuk menghidupkan dan menyuburkan Islam secara konsisten, terutama dikalangan rakyat mereka sendiri.

Ya Turki diperintah secara sukular, tetapi masyarakatnya - sepanjang pemerhatian saya, lebih Islam dari kehidupan masyarakat lain yang menganggap mereka juga Islam unggul di lain-lain tempat, termasuk Malaysia. Jadi, apa masalahnya dengan Turki?

Berita cadangan pemansuhan pengharaman tudung ini bakal memanjangkan lagi perdebatan isu ini di Turki. Elok juga umat yang diluar Turki turut sama mengikuti perkembangan ini secara dengan kerana ia sesuatu yang menarik dan berbaloi untuk di dalami.

Bagi saya, tiada kejutan tentang ini. Pandangan saya adalah, jika seseorang dibenarkan untuk memakai bikini ditempat awam- pantai contohnya, mengapa harus yang bertudung dilarang dari memakainya? Pilihan sepatutnya ditangan individu sendiri kerana itulah yang paling ideal. Ini tidak sepatutnya menjadi isu besar langsung.

Baca lanjut:
Al-Jazeera ; BBC News


bangsar utama, 20 september 2007, 11.55pm

Saturday, September 15, 2007

atas nama kebenaran

Poster filem ini


Baru selesai menonton filem In The Name of The Father siang tadi. Di jamin, sesiapa juga yang pernah – atau mahu – menontonnya kelak akan berakhir dengan satu perasaan marah yang membuak-buak.

Bukan kerana filemnya tidak bagus. Tetapi tentang rakaman realiti yang berjaya dipaparkan oleh pengarahnya, Jim Sheridan.

Filem ini berlatarkan tahun 1974 di Ireland dan Britain, ketika kemuncak persengketaan pemisah IRA dengan kerajaan Britain. Ia kisah benar. Cerita tentang cinta, keluarga, kebenaran, kebebasan yang dirampas, kebangsatan mereka yang mempunyai kuasa lantas menyalahgunakannya, perihal pengkhianatan dan juga seribu satu pengajaran hidup sebagai seorang anak muda yang beralih daripada ‘entah siapa-siapa’ kepada wira rakyat umum era itu di sana.

Kes mahkamah dan laporan media yang kemudiannya mengenal empat tertuduh ini sebagai The Guildford Four bermula selepas letupan sebuah pub. Dari situlah, Gerry Conlon (watak utama) terperangkap dengan kebinatangan manusia di sekeliling.

Ditahan dan dituduh melakukan kegiatan teroris itu, filem ini memaparkan juga – secara jelas – bagaimana pihak berkuasa, polis dan pemerintah Britain khususnya – menggunakan pendekatan ‘sapu habis’ untuk memperlihatkan seolah-olah mereka menjalankan tugas dengan penuh wibawa.

Tahanan solitari, interogasi, ugutan, psikologi salah, penderaan fizikal dan mental yang dikenakan keatasnya yang akhirnya dalam keadaan dipaksa, menandatangani sehelai kertas kosong yang kemudian baru ditaip apa saja pengakuan yang mungkin, mengikut selera pemerintah mereka.

Tambah memilukan, bukan dia saja yang ditahan. Bapanya, keluarga terdekat di Britain termasuk makcik, saudara-saudara pada usia mentah, semua disapu bersih dan dijatuhkan hukuman penjara.

Konspirasi jijik pihak pemerintah tidak lama. Lima belas tahun – hukuman 30 tahun dijatuhkan – kebenaran mula terbit. Setelah melihat bapanya mati di dalam sel – sengaja dibiarkan mati sebenarnya – Gerry dan teman berempat itu mendapat simpati semua lapisan masyarakat dari luar penjara.

Protest semakin besar, desakan terhadap sistem penghakiman semakin keras dan semua yang terlibat tertekan dengan cerita konspirasi yang direncanakan 15 tahun dulu - panas bontot.

Ini cermin yang sama memantulkan imej kepada situasi setempat sendiri. Mungkin ini antara visual paling jelas menggambarkan bagaimana tahanan ISA di sini diperlakukan. Pihak berkuasa yang digambarkan dalam filem, hampir sama saja dengan realiti hari ini. Jika ini professionalisme mereka, elok bunuh saja tahanan yang ada.

Kepada yang pernah ditahan dan dipenjara, filem ini boleh mengembalikan mimpi ngeri itu. Kepada yang tidak mahu percaya akan perangai binatang yang ada pada individu yang disulam kuasa, tontonlah… bukan mata dan minda untuk melihat dunia dengan lebih saksama tanpa prejudis negatif.

Selamat menonton.

bayu dari sabah



Ketika umur baru setahun dulu, saya pertama kali diterbangkan ke sana. 7 September 2007 adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana lagi – Sabah – selepas lebih 20 tahun.

Bagi seorang anak muda yang menghabiskan masanya dan membesar di kepulauan Borneo, aroma angin dan warna masyarakat di sana bukanlah asing. Kota Kinabalu sibuk lagi berbanding dulu, walaupun struktur bangunannya masih lagi yang lama-lama mendominasi.

Oh, untuk MAS yang menerbangkan saya, terima kasih kerana memberikan makanan yang tidak sedap bagi kedua-dua perjalanan pergi dan balik!

Siang yang panas, mungkin lebih lagi dari suhu di Kuala Lumpur. Dan, ketika baru mendarat petang itu, saya rasakan yang Sabah – atau KK sebetulnya – seperti sudah kehilangan ‘bayu’nya yang dulu-dulu.Tidak hairan, kota ini terletak betul-betul dikawasan persisir pantai yang menyumbang kepada haba dan rasa panas itu.

Banyak juga sudah berubah dan ingatan saya tidak pula betul-betul jelas untuk merakamkan semua keadaan lebih 20 tahun dulu. Lapangan terbang KK masih lagi belum siap di bina baru. Yang ada hanya rekaan lama yang sedikit kecil jika dilihat dari kaca mata hari ini. Harapnya tidak lama lagi – atau ketika saya berkunjung lagi ke sana selepas ini – lapangan terbang dengan bangunan dan kemudahan baru akan menyambut mereka yang datang.

Saya dan enam lagi teman – tambah seorang lagi teman selaku penunjuk arah – menghabiskan masa hujung minggu di sana. Kami hanya menginap di rumah tumpangan ala ‘pelacur’ di Trekker’s Lodge berdekatan dengan Jesselton Wharf.

Petang hari pertama – setelah berpeluh ketiak menunggu kereta sewa dan daftar masuk bilik sewa – kami di bersiar-siar sekitar KK. Bangunan Yayasan Sabah, Jabatan Marin UMS dan sebuah kedai makanan laut (restoran Gayang; Menggatal) antara tempat yang kami hinggap sebelum hari mula gelap, walhal jarum jam baru saja pada kedudukan enam lebih.

Hari yang betul-betul penat. Malam, kami menunggu sebuah lagi kereta sewa di perkarangan Sutera Harbour Resort.

Hari dua

Hari kedua, hari yang panjang dan penuh dengan aktiviti – ataupun cubaan aktiviti. Seawal 6 pagi kira-kira, kami memulaka perjalanan ke Ranau. Untuk merakan gambar Gunung Kinabalu sebelum ia ‘lari’, kami terpaksa samapi awal di sana, sekitar lapan pagi.

Nasib kami baik, awan masih belum menutupi gunung itu lagi. Bergamabr sakanlah makhluk-makhluk dari KL pagi itu. Hajat saya untuk duduk minum-minum di warung-warung kecil di sana tercapai. Di pasar Kundasang, kami bersarapan di Warung An Nur. Entah teh apa yang dihidangkan, saya rasa sedap juga. Nasi lemak ‘kuning’ pun pelik tapi sedap.

Diasak oleh kekecewaan dan kegagalan untuk merakan gambar yang baik pada hari pertama, saya ‘menembak’ banyak juga dengan kamera yang ada. Ada satu dua yang dirasakan amat sarat isi dan komposisinya. Orang-orangnya juga kool! Hentian berikutnya adalah di ladang lembu ‘New Zealand’, dekat Mersilau. Lembunya tak banyak yang nampak, tapi kawasan padang rumput berbukitnya betul-betul cantik.

Ketika ini – menghampiri Ranau - suhu betul-betul sejuk. Saya mula terasa yang ‘bayu’ negeri ini seperti mahu memeluk saya semula setelah apa yang saya rasakan hari sebelumnya. Terus berjalan, sampai ke lokasi sahih hari itu, Poring – Hot Spring. Tak adalah apa sangat tempat ini, Cuma bagi yang hantu air nak terjun, pilihlah – kolam air panas atau air terjun. Satu jam di sana sebelum bertolak balik ke KK untuk melayan pasar Filipin dan borong sakanlah teman-teman yang berduit.

Makan malam di Inanam, terima kasih Iza. Sedap sungguh semua, percuma itu yang penting.

Hari tiga


Pagi kami dengan bot dalam perjalanan setengah jam ke Pulau Manukan. Banyak sungguh ikan-ikan kecil. Ikan-ikan mat saleh pun banyak. Two-piece mereka berwarna-warni! Mandi laut bersama-sama ikan semua itu…

Pasar Gaya Street yang hanya dua lorong dibelakang bilik sewa adalah tempat terakhir sebelum angkat kaki ke lapangan terbang selepas makan tengah hari di Wisma Merdeka. Di sini banyak juga gambar-gambar yang dapat dipetik. Maklum, nak beli-belah ongkos nya tak ada. Hanya sempat merasa karipap seringgit di situ.

Penglaman yang tenang juga, tapi ada kecelakaan. Dalam 400 keping gambar yang diambil, hanya seratus lebih saja yang elok. 300 yang lain korup, dimakan oleh virus-virus bangsat pada flash card kamera itu. Betul-betul terduduk, termenung… semua cukup dibuatnya. Memang bukan rezeki!


Klik sini untuk cebisan gambar yang ada.

rantai kata

Ada rantaian kata yang menarik untuk dikongsi bersama. Ini untuk sesiapa saja yang mahu berpantulan maksud disebalik apa yang tersirat.Kepada yang sudah berkahwin, mahu berkahwin dan apa-apa sajalah.

"By all means marry. If you get a good wife, you will be happy. If you get a bad one, you will become a philosopher." – Socrates

Bagi yang mencari cinta lacuran, ini terapi yang elok buat santapan naluri yang berselirat.

Wednesday, August 01, 2007

nota ringkas

Buat yang ada menyinggah dilaman sunyi ini, saya masih ada. Tapi, akibat pergelutan dalam diri yang banyak meruntun masa bersendiri, saya hanya akan aktif mengemaskini laman sajak saja.

Jika ingin bertemu, sila ke sana...

Entah sampai bila.

Semangat Pax yang baru juga saya harap akan membakar naluri ini yang sekian lama sejuk beku.

Tuesday, July 17, 2007

fathi

Dua minggu berlalu dari tarikh Fathi diijabkabulkan. Ia juga tempoh saya tanpa seorang guru dan teman yang kerap berngomelan di warung Bangsar Seafood, malam selepas habis waktu kerjanya.

Tapi, tarikh 070707 itu pun sebenarnya menyeronokkan bagi saya. Buat pertama kalinya saya menyaksikan majlis akad nikah yang paling sempoi di Felda Besout, Sungkai.

Bayangkan, dua orang kapten ‘mazhab pemikiran’ di Kuala Lumpur ini (meminjam ayat Pak Khalid) – Khalid Jaafar dari ‘Sekolah Jalan Telawi’ dan Hishamuddin Rais dari Universiti Bangsar Utama – masing-masing terkesan dari pengalaman di Besout itu.

Yang seorang mahu menukilkan sebuah cerpen bagi merekod kejadian malam itu manakala yang seorang lagi ingin membuat cerita komedi katanya. Saya tak mampu nak merekodkan di sini, biarlah pengalaman itu terus terapung dalam minda saya.

Antara serpihan dialog dan peristiwa yang mahu dikongsi:

“Tok imam tak ada, dia pergi kenduri”

Di belakang, Isham gelak; “macam mana aku tak gelak, imam pergi kenduri…”

Pak Khalid ‘dibatalkan’ kesaksiannya selepas tiba-tiba muncul wakil imam (kot) entah dari mana.

“Paris yang dekat Perancis tu ke?”

“Kerje kat paper? Kes Altantuya macam mana, boleh lepas ke?”

Perbincangan antara kadi dan Fathi untuk menentukan alamat rumah yang nak digunakan atas borang.

Dan, dalam kereta ketika menuju rumah pengantin dari resort tempat kami singgah, topik paling panas adalah berkaitan Ezam. Yang muda tersengeh-sengeh sajalah dengar tok guru mereka berbalas pandangan.

Fathi, Selamat Pengantin Baru.

Monday, July 16, 2007

pyan di maskara

Ini contengan manja Pyanhabib ketika kami berjumpa di Maskara II tempoh hari. Tarikhnya 7 Julai 2007 di Rumah Pena.

Malam itu, saya sampai lambat ke sana. Dari pejabat, dengan penat dan jiwa kacau, terus saja saya melayari malam minggu itu dengan acara usik sastera orang muda-muda.

Saya menyokong penuh inisiatif ini – menganjurkan aktiviti baca dan lafaz sastera dengan cara baru. Atau sekurang-kurangnya baru untuk khalayak yang agak tepu seperti di sini.

‘Separuh masa’ kedua baru saya masuk. Aura malam itu lebih meyakinkan daripada siri pertama acara yang sama bulan lalu. Yang datang bukan main ramai lagi. Seronok rasanya menghabiskan malam minggu begini.

Pyanhabib – itulah kemuncaknya bagi saya. Saya suka dia, saya suka puisi dan sajak-sajak dia… dan tiada lagi.

Pyan tampil spontan dan ‘mengomel’ dalam puisinya yang bersahaja. Segulung kertas taip lama diuraikan di atas pentas, bukan untuk dibaca tetapi lebih kepada ‘prop’ untuk Pyan meyakinkan penonton – ataupun memukau!

Berada dalam suasana itu, saya merasakan jiwa saya hidup semula. Ramai lagi yang berkaliber malam itu, tapi saya tak dapat untuk menyatakannya di sini. Saya bukanlah orang yang sepatutnya bersuara barangkali.

Apa pun, siri Maskara oleh Sindiket Sol-jah ini semakin menampakkan sinar dalam kelesuan aktiviti-aktiviti berkaitan sastera yang selalu dianggap ketinggalan zaman.

Ini gelombang baru dan diharap dapat dikekalkan dan ditambah momentum itu!

-bangsar, 11.49pm

Monday, July 02, 2007

tentang pencerahan


Dua tiga minggu ini saya sering bergelut dan bergelumang. Bukan dengan siapa-siapa, tetapi dengan diri sendiri. Saya cuba mencari jawapan kepada segala macam persolan yang timbul dalam diri. Idea yang membuatkan saya kalut itu adalah ‘pencerahan’.

Sedikit latar berdasarkan pengalaman sendiri mengenai topik ini. Saya pernah dengar slogan pencerahan ini. Dan saya rasa, yang melalui acuan pendidikan di negara ini juga begitu. Di sekolah dulu – dalam subjek Sejarah yang kerap menjadi bosan. Namun, pengamatan saya tidak lahir waktu itu. Tidak ada persoalan yang bangkit untuk saya jawab – atau mencari jawapannya. Ketika itu, sama sajalah saya dengan kebanyakkan orang-orang lain, bebal dan sengal. (Walaupun ada yang cemerlang menghafal untuk subjek itu!)

Tapi, kebelakangan ini ‘hantu’ pencerahan ini datang lagi. Kali ini dia betul-betul menggoncang naluri. Seribu satu persoalan timbul entah dari mana. Semuanya setelah saya mula mengambil berat isi-isi yang terkandung dalam buku The Enlightenment hasil nukilan Dorinda Outram.

Ia tidaklah mencakupi semua aspek pencerahan secara detail, tetapi cukup untuk seseorang yang berusia pertengahan 20an untuk menjadikannya satu teks yang baik sebagai permulaan – kerana kegagalan sistem dan diri sendiri untuk sedar peri pentingnya perkembangan ini ketika di sekolah. Teks ini juga tidak akan diajar atau diberi penekanan di mana-mana institut pengajian tinggi dalam negara barangkali.

Kini, saya tidak lagi melihat bahan sejarah yang ada dalam buku The Enlightenment itu dari perspektif sejarah seperti mana yang pernah disogokkan dulu. Sejarah ini sejarah perubahan bangsa – dalam konteks ini bangsa Eropah – dan bukan lagi sejarah hafalan yang akan serta merta lenyap tanpa kesedaran daripadanya.

Kini saya menggeluti persoalan dalam diri yang memerlukan jawapan segera dan meredakan kecamuk berkenaan. Apa yang cerah? Atas keperluan apa pencerahan itu perlu diambil kisah? Apa siknifikan pencerahan itu – bermula untuk diri sendiri yang kemudiannya dipanjangkan kepada komuniti skala lebih luas dan seterusnya pembangunan masyarakat?

Dulu – mungkin – persoalan-persoalan ini tidak pernah muncul kerana saya tidak pernah kesah. Tidak pula mahu sedar diri. Tapi, setelah bergelumang dengan isi-isi buku tersebut, saya mula mencari relevansinya idea pencerahan ini.

Memang, ia berkembang pesat pada abad ke-18 dan seterusnya menjerumus kepada peralihan bangsa Eropah untuk melalui transformasi ke arah modenisme. Moden ini, jika boleh dimaksudkan dalam konteks pemahaman saya di sini, bukanlah sekadar kemajuan materialistik.

Pencerahan bertitik tolak daripada kesedaran Eropah untuk berubah. Asasnya pula adalah kemajuan akal manusia dari keadaan jumud yang jauh tersimpang dari sifat humanis yang sepatutnya ada pada insan. Ketika inilah Eropah mula mempersoalkan perkembangan bangsa mereka dan mula juga menilai diri. Dari segala ‘kesesatan’ ini, muncul fasa pencerahan.

Ketika ini juga, saya melihat pencerahan sebagai satu flatform menajamkan kemampuan intelektualisme Eropah. Lahir tokoh-tokoh besar zaman itu untuk mempersoalkan pelbagai aspek kehidupan mereka – dengan keupayaan akal dengan melalui proses-proses pertimbangan dan perbahasan. Jika berkesempatan, rujuk buku kecil ini – profesor berkenaan membuat ringkasan yang jelas tentang hal-hal ini pada setiap bab.

Jadi, satu daripada jawapan untuk seribu satu persoalan diri sendiri sudah saya temui. Walaupun formasinya belum cukup kuat, tapi ia sudah cukup untuk melegakan sedikit minda berselirat saya. Untuk masyarakat sosial di negara ini – yang tidak terbatas untuk mana-mana golongan pun – keupayaan intelektualisme inilah yang paling berguna untuk kita perhatikan dengan analisa. Penerahan membawa bangsa Eropah dari keadaan kebiusan dan kelesuan menggunakan akal kepada satu rentak evolusi pantas intelektual. Bertolak dari sinilah yang mendorong kepada pembentukan dan kemajuan Eropah moden.

Bagi konteks di Malaysia, semua kemunculan kemajuan materialistik sudah cukup membanggakan. Yang mengecewakan adalah budaya intelektual di kalangan semua lapisan warga.

Di Eropah dan Barat, sehingga hari ini pun budaya ini terus rancak. Cuma disebelah sini yang masih malap-malap dan masih belum mahu sedar. Tidak salah menceduk apa saja kebaikan dari Barat untuk kita adaptasikan secara berhemah. Juga, jika ingin berbicara berkenaan ‘modal insan’, jangan lupa untuk menilik peri pentingnya zaman pencerahan ini. Idea yang berkembang akan menyebabkan mereka yang ego dan malas terus bebal dan hanyut dalam utopia baru.

Saya mencatat ini bukan kerana cerdik, tetapi hanya berbekalkan sedikit sinar kesedaran itulah. Terserah untuk anda tafsirkan.

12.28pm
2 julai 2007
petaling jaya

Tuesday, June 26, 2007

warong muzik KsJT

Sembang warong Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) minggu lalu – 23 Jun 2007 – antara yang paling hangat sambutan saya kira. Bentangan empat meja, lebih dari 20 orang barangkali (dengan pelbagai latar individu; termasuk seorang ustaz yang sedang merakam EP lagu-lagu berorientasikan gitar…) dan berlangsung selama kurang lebih empat jam – tambahan dua jam lagi untuk sesi borak-borak ‘bebas’. Sekitar enam jam! Panorama malam minggu yang indah di Bangsar Utama – penuh warna-warni.

Saya kira, perbincangan topik muzik yang dipandu oleh Mahdzir Ibrahim merupakan satu faktor ‘penarik minat’. Walaupun dua sesi perbincangan, muzik dan siri penutup bagi perbincangan isu kenegaraan dari buku Joseph Strayer, borak muzik inilah yang paling dominan. Pertama – saya rasa – kerana isu muzik sendiri itu sudah cukup disenangi, dan kedua adalah perhatian khusus apresiasi (meminjam kata Mahdzir) berkenaan tertumpu kepada dua buah lagu yang banyak membentuk arus gelombang masa kini – Mabuk (Spider) dan Dewi (Dewa 19).

Penerangan Mahdzir banyak berkisarkan tentang komposisi kedua-dua lagu ini – atau sekurang-kurangnya, begitulah saya melihat perjalanan topik berkenaan. ‘Sifat-sifat lagu moden’ yang ada pada struktur dua lagu ini banyak diperkatakan olehnya. Banyak terma-terma baru yang saya sendiri pelajari – elok untuk orang yang tidak mengaji muzik secara formal!

Apa pun, isi komposisi yang dimaksudkan ringkasnya sama saja seperti pemahaman saya sebelum ini. Bezanya cuma istilah. Format biasa – contoh; verse, bridge, pre-chorus, chorus dan sebagainya. Di dalamnya, Mahdzir ada menjelaskan istilah konteksnya seperti kontradiksi idea (faham saya sebagai bridge) dan ekstensi idea (faham lain sebagai chorus) sesebuah lagu itu. Penjelasan panjang lebar juga ada diberikan berkaitan tempo, melodi, mode, mood dan sebagainya berkaitan pembinaan sesebuah lagu.

Namun di sini saya ingin menyoroti persoalan ini; mengapa hasil karya lagu yang terhasil oleh dua kumpulan yang berasingan titik geografi serta latar budaya terbentuk dalam formasi akhir yang sedemikian rupa?

Saya setuju dengan pendapat yang mengatakan lagu Dewi itu lebih ‘berwarna-warni’ sifatnya – digambarkan dengan penggunaan elemen muzik tambahan seperti brass di hujung lagu berkenaan.

Berbeza dengan lagu Spider – walaupun masih sedap didengar halwa telinga – ia muncul lebih ringkas dan sedikit kering. – (Ini merujuk kepada eleman yang membina lagu itu) Spider, lagunya lebih selesa bergerak secara terus dan bergantung kepada muzik asas mereka semata.

Dua lagu ini bukanlah sebagai satu contoh mutlak, namun ia boleh dianggap sebagai perlambangan kepada dua budaya serumpun ini.

Harus juga ditekankan di sini, kedua-dua lagu yang dibincang ini masih sedap didengar, juga menerapkan pendekatan ‘berulang-ulang’. Bagaimanapun, lagu Dewi itu saya lihat dan rasa lebih rencahnya.
Ini bukanlah berniat untuk mencari siapa lebih bagus daripada siapa, tetapi sekadar melihat dengan mengkaji perbezaan yang timbul dari sudut sosio-budaya dua kumpulan ini.

Mengapa lagu Dewi adalah ‘lebih’ daripada lagu Mabuk dalam konteks konstruksinya saya lihat begini; Spider muncul di dalam masyarakat sekelilingnya yang kurang menghargai seni itu sendiri. Maksud saya, untuk konteks lagu, masayarakat di Malaysia lebih melihat ia sebagai satu bentuk hiburan semata-mata dan bukan dari sudut pandangan kesenian.

Dewa 19 itu pula lahir dari kelompok masyarakat yang sosio-budayanya tidak pernah lari dari erti seni – walau dalam format apa sekalipun. Maka, dalam keadaan seperti itu, mereka perlu melahirkan satu-satu karya yang betul-betul baik untuk dinilai oleh khalayak yang celik dan menghargai seni.

Berbeza dengan situasi di Malaysia. Di dalam kelompok masyarakat yang ‘buta’ seni, kecelakaan paling besar adalah apabila ia dilihat sebagai satu keperluan untuk bermalas-malasan dalam menghasilkan kerja yang kelak mahu diangkat sebagai karya. Ini penyakit masyarakat. Maksudnya, penerbit, pemuzik, seniman dan sebagainya juga adalah sebahagian daripada masyarakat itu. Jadi, mereka ini juga secara langsung menyumbang kepada kebekuan hasil produksi yang benar-benar menggoncang dari sebelah geografi sini berbanding dari negara seberang.

Saya tidak melihat kumpulan dari Indonesia – contoh di sini Dewa 19 – ini lebih bagus daripada kumpulan dari Malaysia (Spider). Tetapi, jika di amati secara dekat, yang membezakan dikalangan mereka ini adalah hasil kerjanya. Mungkin, di Indonesia, penggiat-penggiat muziknya – dari segenap lapisan – tidak punya alasan untuk bermalas-malasan dalam berkarya. Mereka sedar akan tanggungjawab seni di dalam masyarakat. Seni muzik mereka juga – mungkin – ketika ini mereflekskan situasi dalam masyarakat di sana.

Ini yang menjadikan muzik dari Malaysia kering dan seolah-olah tidak cukup pengertian. Melalak dipermulaan dan dihujungnya melopong. Penyumbangnya? Sama juga, segenap lapisan pemuka dalam kelompok seni muzik ini, baik dari pendengarnya, pemuziknya, penerbitnya (yang lebih kepada bisnes semata!) dan pengajarnya.

Ditambah pula dengan yang mendegar muzik di sini – bahasa mudah; konsumer – juga tidak mampu untuk menjadi pengkritik yang baik. Semua format ini dianggap hiburan semata-mata, menjadikan mereka tidak mampu melihat sesebuah karya muzik lebih daripada itu. Besar dan tinggi tembok yang terpaksa mereka lepasi untuk menyedari hakikat ini.

Tapi, mengapa pula dalam masyarakat yang ‘buta seni’ ini, mereka lebih senang untuk ‘menghargai’ hasilan muzik dari seberang? Ini saya ada jawapan mudah; trend. Konsumer di Malaysia mahu dilihat sebagai trendy. Maka mereka akan mencari substance atau inti yang boleh memperlihatkan mereka seperti itu. Di rantau ini, mana tempat lagi yang mempunyai pengaruh dan pasaran besar untuk seni muzik kalau bukan Indonesia?

Dengan itu, secara tidak langsung, di dalam buta mereka meraba,lantas terjumpa satu deria cahya atau kiblat muzik mereka itu – dari Indonesia.

Inilah yang dapat saya cernakan dan uraikan daripada kemelut yang dibincang diwarong (setakat ini). Saya juga sebenarnya berminat untuk melihat dari sudut lirik kedua-dua lagu ini, juga apa yang meyebabkan ‘kandungan’ muzik dari seberang lebih pejal berbanding kita. Mungkin dikelapangan yang lain saya berpeluang berbuat demikian.


- 26 jun 2007 – 12.30pm

Sunday, June 24, 2007

negara apungan – jelmaan baru konsep kenegaraan

Di dalam buku Strayer yang di ulas sebelum ini, beliau melihat pembentukan negara seperti apa yang dapat dilihat hari ini; wujud secara fizikal, dibatasi sempadan dan juga ada sistem pentadbirannya.

Anjakan daripada itu, dalam konteks hari ini, ada satu lagi formasi baru yang seakan-akan menyerupai konsep negara seperti yang difahami sebelum ini. Namun, kehadiran ‘negara’ dalam bentuk baru ini tiada susuk fiziknya – ia maya atau di sini saya gunakan kata apung untuk menggambarkannya.

Negara apung yang dimaksudkan adalah kemunculan gergasi-gergasi besar dunia perniagaan yang akhirnya membentuk semacam ‘empayar’ yang kemudiannya meluaskan lagi kawasan jajahan mereka – secara maya.

Contoh jelas, kita gunakan Starbucks sebagai subjek. Ia kini mempunyai rangkaian perniagaan meluas. Hebatnya, entiti seperti melampaui keterbatasan sempadan dan menyusup masuk ke segenap pelusuk dunia. Ia mungkin boleh disebut rentas-sempadan.

Institusi seperti ini, ada sistem juga – seakan sebuah negara atau wilayah tertentu. Begini, mereka wujud sebagai satu institusi yang menyerupai formasi sebuah negara. Sebagai contoh, ada hirarki daripada pemimpin tertinggi sehinggalah yang paling bawah – sama seperti sistem hirarki pemerintahan sesebuah negara moden.

Pekerja mereka diberikan ‘nombor badan’ atau nombor staff bagi menggantikan pengenalan diri. Ini sama saja dengan kewujudan dengan kad pengenalan diri yang ada dikeluarkan oleh mana-mana negara.

Begitu juga dengan garis panduan – atau manifesto – setiap organisasi berkenaan. Ini, secara kasarnya akan mendorong kepada konsep kesetiaan kepada tempat mereka bernaung itu. Staff – atau boleh diibaratkan sebagai rakyat dalam konteks kenegaraan- akan memberikan taat setia kepada institusi.

Rangkaian dari merata pelusuk dunia menjadikan kedudukan negara apung ini kukuh. Ia melangkaui semua keterbatasan, mengeksploitasi warna dunia dan merekrut mereka untuk menjadi ‘rakyatnya’. Mungkin juga nanti akan ada ‘perang’ dengan kelahiran ‘askar’ tersendiri untuk setiap institusi berkenaan.

Fenomena ini secara relatif bolehlah dilihat seperti mana ketika era internet mula meletup tahun-tahun 90an dulu. Secara konvensionalnya, maklumat atau bahan bacaan ketika itu diyakini hanya boleh wujud dalam bentuk bercetak yang capaiannya juga terbatas.

Namun, ini semua berubah dengan kehadiran arus baru ruang maya – internet. Semakin lama semakin jelas kewujudannya dan sehingga membawa kepada pengiktirafan ruang siber sebagai satu kuasa baru dalam perkembangan industri maklumat. Kini, dunia menghadapi baik-buruk kesan pembentukan evolusi baru itu.

Sama dengan negara apung ini. Ia kini hadir dan mula menapak kukuh. Perlu kita sedar tentang perkembangan ini dan bersedia menghadapi kesan daripadanya. Mungkin juga nanti akan ada konsep kedaulatan pula kepada ‘negara apung’ itu.

- 22 jun 2007 / 11.30pm

Monday, June 18, 2007

jemputan ke siri diskusi KsJT

Saya, dengan segala rendah dirinya mahu menjemput sesiapa saja yang lalu lalang di blog ini untuk turut serta dalam perbincangan ini nanti.

Maklumat lanjut:

Sesi 1

Kritik Seni: Apresiasi lagu "Mabuk" (Spider) dan "Dewi" (Dewa)
Tarikh: 23 Jun 2007 (Sabtu)
Jam: 8 malam
Tempat: Restoran tom yam Bangsar Seafood, Bangsar Utama, KL
Pendiskusi: Mahdzir Ibrahim, pencipta lagu & pemuzik

Sesi 2

Diskusi Buku (Siri 4 & akhir): On the Medieval Origin of the Modern State (karya Joseph Strayer)
Tarikh: 23 Jun 2007 (Sabtu)
Jam: 9:30 malam
Tempat: Restoran tom yam Bangsar Seafood, Bangsar Utama, KL (depan pejabat
Malaysiakini.com & dekat stesen LRT Bangsar)

Perbincangan buku berikutnya "Pencerahan" (The Enlightenment) karangan Dorinda Outram terbitan Cambridge University Press.

----

Saya secara peribadi kerap diajukan soalan; " apa guna kamu duduk dan bersembang di kedai kopi. Ia tidak akan merubah apa-apa." Jawapan saya mudah, saya tidak ingin mengubah apa-apa kecuali membuka daerah-daerah baru dalam benak saya. Dan, apabila saya mula sedar, individu-individu lain dalam 'sembang kedai kopi' juga sedar, maka ia sudah mencapai satu formasi awal kepada perubahan: - perubahan diri sendiri.

Jika berkesempatan, saya sarankan sesiapa saja untuk mendapatkan buku 'Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri' karangan Pendita Za'ba terbitan DBP. Banyak pandangan yang menarik di lontarkan oleh beliau tentang diri individu.

- 18 Jun 2007 -

Wednesday, June 13, 2007

buku: on the medieval origins of the modern state (1970)

Buku ini – sebuah catatan sejarah zaman pertengahan Eropah – adalah nukilan seorang profesor di Princeton University, Amerika. Beliau yang dimaksudkan adalah Joseph R. Strayer, tokoh sejarawan Amerika.

Sedikit latarbelakang di sini. Strayer merupakan ahli sejarah yang menumpukan pemerhatiannya kepada perkembangan zaman pertengahan gugusan sempadan Barat. Mengajar di Princeton University, anak didik Charles H. Haskins – tokoh pertama dalam kelompok sejarah zaman pertengahan Amerika.

Di Wikipedia, ada tercatat yang di masa-masa terluang Strayer dari bidang akademik, beliau bergerak sebagai agen rahsia CIA dan menjelajah seluruh dunia, mempromosikan kerajaan ‘demokrasi’.

Buku ini kini adalah subjek perbincangan rakan-rakan di Jalan Telawi. Secara umum, ia banyak menyentuh tentang sejarah awal bagaimana struktur negara – seperti konteks yang difahami hari ini – mula-mula terbentuk. Seperti yang dicadangkan tajuknya, tempoh pemerhatian untuk catatan ini bermula sejak zaman pertengahan Eropah dan Barat.

Tiga bahagian dalam buku ini adalah pecahan yang digarapkan oleh Strayer bagi membolehkan beliau menyampaikan idea catatan sejarahnya, yang juga banyak mengambil kuotasi dari segala bahan bacaan lain yang berkaitan, secara mudah dan senang difahami.

Menurut penulis ini, ada satu tempoh masa dahulu, bilamana negara tidak wujud dan tiada siapa yang kesah tentang kewujudannya. Lanjutnya lagi, dalam tempoh masa berkenaan, mereka yang tiada berkeluarga, atau tuan, atau keahlian di dalam masyarakat sekeliling atau mungkin kelompok agama, menjadikan mereka tiada perlindungan keselamatan dan peluang untuk diri sendiri. Golongan seperti ini hanya mampu meneruskan kelangsungan hidup dengan menjadi hamba dan orang suruhan.

Maka secara dasarnya, pengujudan negara ini memnerikan satu makna seperti ‘sense of belonging’ barangkali, jika dilihat dari perkembangan seperti dinyatakan awalnya oleh Strayer. Dengan adanya negara, individu akan ada identiti, hak-hak yang boleh dituntut, berkembang dalam apa juga system yang dipilih dan seterusnya mampu untuk dipanjangkan untuk membina sebuah ‘negara bangsa’.

Bagaimanapun, pembentukan awal negara ini adalah satu proses yang memakan masa, menuntut kefahaman dan pemerhatian yang tajam untuk difahami.

Disebabkan Strayer mahu mencari jawapan bagi proses tercetusnya penciptaan sesebuah negara, maka beliau lebih menekankan perihal awalan apa yang dipercayai adalah nukleus kepada pembentukan negara itu sendiri, dan bukan memberi penekanan kepada ciri akhirnya.

Satu tanda penting yang dinyatakan adalah apabila sekumpulan komuniti manusia kekal pada satu-satu tempat dalam satu tempoh masa bagi membolehkan ia berkembang menjadi negara. Dengan menetap, bergaul, berkerja secara kolektif dalam kesinambungan generasi yang panjang, maka ia diyakini menyumbang kepada pembentukan sesebuah negara.

Tanda seterusnya adalah apabila aktiviti tadi mula ada pusat penumpuannya – contoh; tempat – yang menjadi pusat aktiviti. Negara memerlukan sebuah institusi yang tetap. Ini menyumbang kepada ciri berkenaan, institusi sebagai sentral yang bakal menempatkan sistem mereka.

Ia kemuadian melarat berkembang kepada sistem hirarki bangsawan dan hubungan mereka dengan masyarakat. Pentadbiran mukim-mukim kecil dibawah tadbir tuan tanah, estet, yang secara tidak langsung memerlukan komuniti ini menguruskan perihal hidup masing-masing.

Proses ini terus menerus berkembang sehinggalah lahirnya empayar yang terdiri daripada kekuatan tentera yang secara arifnya dilihat sebagai pembaziran sumber manusia dan tidak cekap untuk kelahiran negara. Namun ia juga satu fasa yang penting dalam proses berkenaan.

Susur-galur ini ada dicatatkan Strayer dengan jelas. Kemuncaknya mungkin boleh dilihat di Eropah ketika percaturan kuasa gereja dan pemerintah – yang ketika itu dipelopori oleh raja-raja dan juga kelas bangsawan dikebanyakan jajahan di sana.

Perkembangan ini seterusnya memberi laluan kepada institusi kehakiman – walaupun banyak kepincangannya – terus berkembang dan menjadi satu unsur penting. Begitu juga dengan kesedaran politik golongan bagsawan pada masa itu, yang sudah melihat kuasa dari politik sebagai satu alat yang berkesan untuk mengukuhkan cengkaman dalam mansyarakat.

Begitu juga pihak gereja yang tidak mahu mengalah. Pemencilan kuasa di peringkat bawahan oleh yang berkuasa (seperti apa yang dikenali sebagai state assemblies), campurtangan gereja dan segala macam pancaroba inilah yang akhirnya berjaya memperlihatkan terbentuknya sebuah negara.

Selepas pada inilah kata hikmat ‘kedaulatan’ mula diperkenalkan. Dengan adanya negara, individu sudah mempunyai identiti, hak-hak, keselamatan dan juga sempadan yang membezakan mereka.

Ini secara kasar apa yang dibancangkan dalam buku nipis Strayer. Namun, siknifikannya bukan kecil. Ia memberikan kefahaman berkenaan konsep negara. Sesuai dengan laungan ahli politik di Malaysia yang pada satu ketika gemar bercakap tentang pembinaan negara bangsa ini.

Perlu pengamatan terlebih dahulu dan buku ini boleh memberi gambaran. Adalah perlu untuk menjawab soalan ‘apa itu negara’ sebelum mahu meyelam lebih dalam lagi berkaitan perihal pembentukan negara bangsa ini.

Pemahaman tidak merugikan.

-13 jun 2007

Friday, June 08, 2007

ams "17-UM"

Salam sejahtera.
Aku bercadang nak buat agenda makan malam saja-saja "17-UM" (AMS "17-UM" - hehe). Jadi, sebelum aku membuang masa nak fikir pasal ni semua, eloklah aku dapatkan dulu maklum balas semua. Maklumat ada di sini:

tarikh: 30 Jun 2007
masa: 8.00pm
tempat: restoran tupai-tupai (dekat dengan dbp)

agenda: makan malam saja-saja bersama kawan-kawan. Terbuka untuk semua dan siapa-siapa yang pernah berkait dengan rumah sewa 17/21B. Menjemput sekali teman-teman, kekasih-kekasih, isteri-isteri, suami-suami anda dan semua-semualah. Tempat tak terhad, tapi harus dimaklumkan sebelum 25 Jun 2007 kepada jelir_da@yahoo.com.

diharap ringan-ringankan lah tulang untuk email dan bagi maklum balas ok, jangan malas-malas. Sebar-sebarkan pada kawan-kawan yang kau suka!

Monday, June 04, 2007

gonzo journalism

Ini saya catatkan sedikit perkara berkenaan perkataan ‘gonzo’ – atau sebetulnya dirujuk sebagai ‘gonzo journalism’. Vovin ada menulis perkara yang sama di blog beliau. Saya ingin tambah sikit saja. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa yang sebetulnya dimaksudkan dengan ‘gonzo’ ini.

Pertama kali saya ter‘serempak’ dengan perkataan ini di dalam majalah Rolling Stones dengan muka depan dihiasi potret Hunter S. Thompson yang kuat karektornya, saya terus terpaut, tersangkut dan seterusnya ketagih!

Maka dengan itu, didorongkan oleh sifat ingin tahu, saya memulakan pencarian yang tak sudah. Tapi, jauh saya merayau dalam mencari, semakin dekatlah saya dengan erti ‘gonzo’ ini. Ia syahdu, langsung berbeza terus dari segala macam cara atau metod penulisan dan penyampaian yang pernah ditemukan.

Menurut Hunter S. Thompson – yang sinonim dengan gelar ‘gonzo’ ini (dia mendapat gelaran Dr. Gonzo), perkataan itu dirungkaikan olehnya begini; “ia adalah satu gaya penyampaian (laporan / reporting) berdasarkan idea William Faulkner yang menyatakan fiksyen terbaik adalah jauh lebih ‘benar’ dari segala macam bentuk journalism lain…”
------
"gonzo journalism" is "a style of 'reporting' based on William Faulkner's idea that the best fiction is far more true than any kind of journalism..." - Hunter S. Thompson

- 4 jun 2007, 11.41am, pj.

socrates

"Hari ini hari lahir Socrates, ahli falsafah terkemuka era Greek. Kita kena tanya... kenapa...?" Itu saya dengar di radio pagi ini. Kenapa?

Friday, June 01, 2007

lencana lambang

Pagi ini, di dalam akhbar The Sun, muka 2, ada perkara yang betul-betul menarik perhatian – gambar. Ada dua anggota polis beraksi di depan lensa dengan memakai tanda lencana baru yang tertera kata ‘Mesra & Senyum – Budi Bahasa Budaya Kita’.

Dulu sudah ada lencana ‘Saya Anti Rasuah’, sekarang ia menetas satu lagi.

Sekali imbas, lencana itu – atau Inggerisnya menyebut badge – kelihatan cukup pelik. Pelik kerana benda itu – sama seperti yang kita boleh lihat dikenakan oleh golongan anak muda yang rebel (muzik / naluri) – dipakai oleh polis pula. Dan paling menjengkelkan mata, ia dipakaikan di atas pakaian seragam penuh mereka. (Warna dan ikon pada badge itu jangan ditanya!)

Sudah segak dengan baju uniform itu sebenarnya, kenapalah nak ditambah dengan unsur budak-budak kecil?
Perlukah menghabiskan wang untuk ini?

Kekhuatirannya adalah, mereka ini sekadar memakai badge itu hanya kerana ia dianggap sebagai satu arahan yang wajib dipatuhi. Bukan kerana kesedaran yang lahir dalam diri sendiri. Jika ini yang berlaku, objektif kempen yang menelan belanja ini tidak akan ke mana – sama seperti kempen-kempen lain yang kita pernah tahu. Contoh, kempen Cintailah Sungai Kita yang berlangsung lebih sepuluh tahun adalah sesuatu yang GAGAL. Apa lagi yang diharapkan oleh orang di negara ini?

Duit yang dibelanjakan untuk kempen-kempen seperti ini seharusnya disalurkan ke perkara yang benar-benar berguna.

Keangkuhan boleh membunuh norma manusiawi – itu yang mungkin terjadi, kerana mereka-mereka ini sudah ada pangkat dan kedudukan dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain secara waras.

Semasa kempen anti-rasuah dilancarkan, berapa ramai anggota yang betul-betul faham apa itu rasuah secara mendalam dan menyeluruh? Dan jika mereka tak ambil endah dan tak tahu, berapa ramai pula yang mahu membaca mengenai rasuah? Tidak kira dari sudut pandang agama ataupun sivil, adakah mereka yang memakai badge berkenaan hari ini benar-benar faham dan praktik?

Pada pandangan saya, apa yang penting bukanlah apa yang dipakai oleh seseorang untuk menampakkan sifat perlakuannya – dalam kes ini adalah anti rasuah dan mesra – tetapi yang paling penting ialah perasaan yang lahir dari dalam diri mereka sendiri.

Kita tidak perlu nilai kosmetik untuk menonjolkan kecantikan, tetapi ia lebih daripada cukup untuk kelihatan cantik jika hati itu yang bersih.

Kita tunggu hasil kempen ini nanti. Mungkin ia akan mengubah tanggapan atau ia kekal sebagai stereotaip Malaysia.
------
p/s: tak nak pakai bandana lepas ni? Baru rugged...
1 jun 2007 - petaling jaya

Tuesday, May 22, 2007

buku: sajak-sajak suci abdullah jones

Ini fenomena. Memang tak ramai yang akan beli dan baca buku ini, tetapi, untuk seorang pengkhayal yang kerap bersajak dan berpuisi, buku ini cukup meruntun jiwa!

Abdullah Jones – nama yang terselit konflik dan identiti parasit. Satu lagi terbitan Sindiket Sol-Jah dan ada kata awalan dari Pyan Habib.

Ketika saya membaca antologi sajak Rahmat Harun – Utopia Trauma – setahun yang lalu, saya merasakan kelahiran buku seperti ini jarang-jarang akan berlaku. Hampir setahun selepas itu, Sajak-sajak Suci Abdullah Jones terbit.

Utopia Trauma lebih radikal barangkali. Namun, Sajak-sajak Suci ini tidak kalah. Ia catatan luahan jiwa yang dramatis, sadis dan mungkin tidak elitis.

Ada ‘hantu’ pada buku ini. Memandang kulitnya sudah cukup ‘memaksa’ sesiapa saja yang celik buku untuk membeli dan menyimpannya – untuk dibaca, dalam kes ini, belum tentu. Satu ekspresi yang telanjang tanpa segan silu.

Saya menggemari sajak serta puisi. Saya selalu membelek sajak-sajak Allen Ginsberg di Borders. Tetapi saya marah kerana harga untuk buku-buku sajaknya terlalu mahal. Saya tak berduit untuk itu. Maka, kelahiran sajak Abdullah Jones ini jadi ubat kepada ketagihan saya.

Tak lama dulu, saya membeli himpunan sajak-sajak Salleh Ben Joned. Begitu juga catatan Jalaludin Rumi yang diterjemah serta nukilan Pablo Neruda yang sering membogelkan realiti masyarakat sekelilingnya. Semua ketelusan seperti ini dapat saya hirup dari buku sajak kecil Abdullah Jones. Tidak puas saya tatap buku ini. Sepatutnya ia harus panjang lagi, baru reda nafsu orang-orang seperti saya.

Saya petik beberapa bait-bait yang saya stim dan kembang bila membacanya…

Negaraku tidak aman
Islamku dikurung
Di dalam botol vodka para raja
Para menteriku bukan manusia

Imanku tidak aman

- negaraku tidak aman, ms. 17

Sorotan kisah min juga dalam terasa serta amat peribadi. Ada satu lagi sajak beliau yang saya ingin kongsi di sini;

Kekasih kini adalah perempuan lacur
Yang cuma perlu dibayar dengan cinta

Atau kekasih kini adalah lelaki bacul
Yang melepaskan mani dibangku taman

Kerana bernikah kini adalah haram
Selagi belum cukup sejuta wang hantaran

- grafiti ii, ms. 33

Ini adalah bait-bait yang mewakili suara Abdullah Jones, seorang lelaki yang berasal dari Tanah Melayu (Pahang mungkin), yang kini menetap di Leicester, UK… menjadi pelukis dan tidak pernah dikenali oleh sesiapa pun waima penerbit bukunya sendiri. Sungguh magis manusia yang satu ini. Ada juga jelmaan kelibat Chairil Anwar

Untuk Abdullah Jones, saya coretkan ini…

Bogelkan jiwa kau Abdullah Jones
Londehkan selera pena kau
Lucutkan seluar dalam bahasa kau
Kerana dengan itu nanti kau akan dapat menampar
Sesiapa saja yang masih bermimpi..

Layar… kalau karam, kita berenang nanti…
Sampai berpinau mata - mati lemas
Di ketika itu
Baru kau gantung pena dan khayal kau…
Biar ia larut di alam yang mununggu waktu
Untuk ditamatkan riwayatnya

-pantai dalam, 22 mei 2007@11.37pm