Tuesday, June 26, 2007

warong muzik KsJT

Sembang warong Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) minggu lalu – 23 Jun 2007 – antara yang paling hangat sambutan saya kira. Bentangan empat meja, lebih dari 20 orang barangkali (dengan pelbagai latar individu; termasuk seorang ustaz yang sedang merakam EP lagu-lagu berorientasikan gitar…) dan berlangsung selama kurang lebih empat jam – tambahan dua jam lagi untuk sesi borak-borak ‘bebas’. Sekitar enam jam! Panorama malam minggu yang indah di Bangsar Utama – penuh warna-warni.

Saya kira, perbincangan topik muzik yang dipandu oleh Mahdzir Ibrahim merupakan satu faktor ‘penarik minat’. Walaupun dua sesi perbincangan, muzik dan siri penutup bagi perbincangan isu kenegaraan dari buku Joseph Strayer, borak muzik inilah yang paling dominan. Pertama – saya rasa – kerana isu muzik sendiri itu sudah cukup disenangi, dan kedua adalah perhatian khusus apresiasi (meminjam kata Mahdzir) berkenaan tertumpu kepada dua buah lagu yang banyak membentuk arus gelombang masa kini – Mabuk (Spider) dan Dewi (Dewa 19).

Penerangan Mahdzir banyak berkisarkan tentang komposisi kedua-dua lagu ini – atau sekurang-kurangnya, begitulah saya melihat perjalanan topik berkenaan. ‘Sifat-sifat lagu moden’ yang ada pada struktur dua lagu ini banyak diperkatakan olehnya. Banyak terma-terma baru yang saya sendiri pelajari – elok untuk orang yang tidak mengaji muzik secara formal!

Apa pun, isi komposisi yang dimaksudkan ringkasnya sama saja seperti pemahaman saya sebelum ini. Bezanya cuma istilah. Format biasa – contoh; verse, bridge, pre-chorus, chorus dan sebagainya. Di dalamnya, Mahdzir ada menjelaskan istilah konteksnya seperti kontradiksi idea (faham saya sebagai bridge) dan ekstensi idea (faham lain sebagai chorus) sesebuah lagu itu. Penjelasan panjang lebar juga ada diberikan berkaitan tempo, melodi, mode, mood dan sebagainya berkaitan pembinaan sesebuah lagu.

Namun di sini saya ingin menyoroti persoalan ini; mengapa hasil karya lagu yang terhasil oleh dua kumpulan yang berasingan titik geografi serta latar budaya terbentuk dalam formasi akhir yang sedemikian rupa?

Saya setuju dengan pendapat yang mengatakan lagu Dewi itu lebih ‘berwarna-warni’ sifatnya – digambarkan dengan penggunaan elemen muzik tambahan seperti brass di hujung lagu berkenaan.

Berbeza dengan lagu Spider – walaupun masih sedap didengar halwa telinga – ia muncul lebih ringkas dan sedikit kering. – (Ini merujuk kepada eleman yang membina lagu itu) Spider, lagunya lebih selesa bergerak secara terus dan bergantung kepada muzik asas mereka semata.

Dua lagu ini bukanlah sebagai satu contoh mutlak, namun ia boleh dianggap sebagai perlambangan kepada dua budaya serumpun ini.

Harus juga ditekankan di sini, kedua-dua lagu yang dibincang ini masih sedap didengar, juga menerapkan pendekatan ‘berulang-ulang’. Bagaimanapun, lagu Dewi itu saya lihat dan rasa lebih rencahnya.
Ini bukanlah berniat untuk mencari siapa lebih bagus daripada siapa, tetapi sekadar melihat dengan mengkaji perbezaan yang timbul dari sudut sosio-budaya dua kumpulan ini.

Mengapa lagu Dewi adalah ‘lebih’ daripada lagu Mabuk dalam konteks konstruksinya saya lihat begini; Spider muncul di dalam masyarakat sekelilingnya yang kurang menghargai seni itu sendiri. Maksud saya, untuk konteks lagu, masayarakat di Malaysia lebih melihat ia sebagai satu bentuk hiburan semata-mata dan bukan dari sudut pandangan kesenian.

Dewa 19 itu pula lahir dari kelompok masyarakat yang sosio-budayanya tidak pernah lari dari erti seni – walau dalam format apa sekalipun. Maka, dalam keadaan seperti itu, mereka perlu melahirkan satu-satu karya yang betul-betul baik untuk dinilai oleh khalayak yang celik dan menghargai seni.

Berbeza dengan situasi di Malaysia. Di dalam kelompok masyarakat yang ‘buta’ seni, kecelakaan paling besar adalah apabila ia dilihat sebagai satu keperluan untuk bermalas-malasan dalam menghasilkan kerja yang kelak mahu diangkat sebagai karya. Ini penyakit masyarakat. Maksudnya, penerbit, pemuzik, seniman dan sebagainya juga adalah sebahagian daripada masyarakat itu. Jadi, mereka ini juga secara langsung menyumbang kepada kebekuan hasil produksi yang benar-benar menggoncang dari sebelah geografi sini berbanding dari negara seberang.

Saya tidak melihat kumpulan dari Indonesia – contoh di sini Dewa 19 – ini lebih bagus daripada kumpulan dari Malaysia (Spider). Tetapi, jika di amati secara dekat, yang membezakan dikalangan mereka ini adalah hasil kerjanya. Mungkin, di Indonesia, penggiat-penggiat muziknya – dari segenap lapisan – tidak punya alasan untuk bermalas-malasan dalam berkarya. Mereka sedar akan tanggungjawab seni di dalam masyarakat. Seni muzik mereka juga – mungkin – ketika ini mereflekskan situasi dalam masyarakat di sana.

Ini yang menjadikan muzik dari Malaysia kering dan seolah-olah tidak cukup pengertian. Melalak dipermulaan dan dihujungnya melopong. Penyumbangnya? Sama juga, segenap lapisan pemuka dalam kelompok seni muzik ini, baik dari pendengarnya, pemuziknya, penerbitnya (yang lebih kepada bisnes semata!) dan pengajarnya.

Ditambah pula dengan yang mendegar muzik di sini – bahasa mudah; konsumer – juga tidak mampu untuk menjadi pengkritik yang baik. Semua format ini dianggap hiburan semata-mata, menjadikan mereka tidak mampu melihat sesebuah karya muzik lebih daripada itu. Besar dan tinggi tembok yang terpaksa mereka lepasi untuk menyedari hakikat ini.

Tapi, mengapa pula dalam masyarakat yang ‘buta seni’ ini, mereka lebih senang untuk ‘menghargai’ hasilan muzik dari seberang? Ini saya ada jawapan mudah; trend. Konsumer di Malaysia mahu dilihat sebagai trendy. Maka mereka akan mencari substance atau inti yang boleh memperlihatkan mereka seperti itu. Di rantau ini, mana tempat lagi yang mempunyai pengaruh dan pasaran besar untuk seni muzik kalau bukan Indonesia?

Dengan itu, secara tidak langsung, di dalam buta mereka meraba,lantas terjumpa satu deria cahya atau kiblat muzik mereka itu – dari Indonesia.

Inilah yang dapat saya cernakan dan uraikan daripada kemelut yang dibincang diwarong (setakat ini). Saya juga sebenarnya berminat untuk melihat dari sudut lirik kedua-dua lagu ini, juga apa yang meyebabkan ‘kandungan’ muzik dari seberang lebih pejal berbanding kita. Mungkin dikelapangan yang lain saya berpeluang berbuat demikian.


- 26 jun 2007 – 12.30pm

4 comments:

Anonymous said...

Fiz & kawan2,

Rujuk artikel "Doktor: Apa itu Pencerahan" di blog aku:

Entahlah Aria Pertama, aku tidak menduga pengarang esei (ucapan) ini bermaksudkan kata-kata Kant dalam "Apa itu Pencerahan?".

Aku fikir ungkapan Kant di sini tidaklah penting atau central kepada persoalan kita.

Esei ahli falsafah dari Boston University ini cuba mengulas dilema/ketegangan antara dakwaan agama (Kristian) dengan sains dalam isu "Reka Bentuk Pintar" dengan biologi evolusi Darwinisme.

Lalu, Alfred Tauber, mencari asal-usul persolan ini pada Era Pencerahan, khususnya idea Kant tentang "akal asli" (pure reason) dengan "akal amali" (practical reason).

Tauber juga mengulas kerisauan yang ditimbulkan oleh C.P. Snow -- tentang pengasingan, kerenggangan, dan saling kebutaan (mutual ignorance) antara dua cabang keilmuan yang pokok, yakni [1] sains (dan semua cabang ilmunya) dengan [2] ilmu kemanusiaan dan sastera-seni.

Muzik termasuk dalam cabang ke [2], kejahilan orang muzik tentang debat sains, asas filsafat yang melatari sains, teori-teori asas/pokok tentang sains sama juga (saya perhatikan) kedunguan orang sains terhadap muzik, sastera, seni halus, filsafat dan sains sosial/kemanusiaan (sosiologi dan sebagainya).

Sistem pendidikan moden kita -- kononnya warisan Barat -- tidak sedar wujudnya kritik panjang/serius yang dibawa oleh C.P. Snow kira-kira 50 tahun lepas lagi.

Kritikan yang dibawa oleh, kemudiannya, Thomas S. Kuhn dan juga M. Polanyi -- kedua-duanya cuba menunjukkan mazhab positivisme dan aliran saintisme itu bermasalah dan tambah memburukkan tamadun Barat, khususnya dalam bidang keilmuan, termasuk sains moden.

Kritikan ini tidak difahami orang di negara kita. Tidak difahami di kalangan penggiat agama, oleh ahli akademik sendiri, oleh aktivis politik, oleh orang seni dan orang sastera.

Hanya segelintir manusia terpilih sahaja memahami pokok persoalan ini. Maka, saya membawa artikel pendek ini (20 halaman) untuk bacaan asas kita bersama.

Daripada idea Kant, tentang "akal asli" dengan "akal amali" itulah yang seharusnya membina masyarakat terbuka dan jamak untuk memastikan hujah agama & hujah sains saling sokong-menyokong, saling perlu-memerlukan, dan dapat pula saling meraikan kepelbagaian/perbezaan.

Tauber mengulas persoalan ini dalam sikap Pencerahan dan dalam budaya liberal-humanis, yang baginya, model terbaik berdepan dengan persoalan rumit debat/dakwaan agama tentang "Reka Bentuk Pintar" dan teori evolusi Darwinisme.

Saya cadangkan semua pembaca menelaah perlahan-lahan teks ini.

ariapertama said...

terminologi ni hal 'fungsi' bukan nama dr barat itu..timur ini..bukan. Nama apa pun tak menjadi hal. Yg jd keutamaan ialah fungsinya binary(form) lagu iaitu versa/bridge/c/o sebagai..idea..kontrasnya..sambungannya atau gabungan idea dan kontras. Ini yg aku bahaskan. knp berbeza? bagaimana memahaminya? bagaimana menyelesaikannya? Di malaysia, rakyat kita yg 'gelap' seni ni harus di ajar ttg asas2 ini. bagaimana? dengan karya2 kitalah, takkan nak tunggu M.Nasir fhm kot.. maka disinilah bermulanya cabaran kita yg plg besar. Appresiasi sgt penting untuk ahli seni dan juga society kita, tinggi mana pun teori muzik kita, belum memadai. Appresiasi penting buat ahli seni dan society mengukur dan memahami dimensi muzik yang sentiasa reflect pada diri kita dan sekeliling, ia dinamik, sentiasa berubah2. Nah, persoalan sudah di depan muka, idea sudah bersarang dikepala..cepat bwk muzik ko. kita 'gode' mana perlu.

ariapertama said...

satu lagi...eja nama aku - MAZIR IBRAHIM - jgn la nama penuh. yg penuh tu utk org kpg je.

Anonymous said...

Hafiz, ada artikel baru di blog usrah

http://usrah2007.blogspot.com/

Moga ada manfaatnya.