- The Satanic Verses, Viking, 1989.
I.
Saya tak pernah membaca habis novel The Satanic Verses. Saya tak tahu mengapa orang selalu marah-marah, walaupun ditahun 2010 ini, ketika nama Salman Rushdie dan judul itu digemakan kembali. Seperti ada dendam yang belum terlunas.
Faisal Tehrani menulis entri 'Mungkinkah Nabinya Voltaire?' di sini. Kepada pengikut-pengikutnya, itu tak apa-apa. Dia mungkin benteng terakhir yang dianggap penegak kebenaran, bersuara tentang hakikat itu-ini.
Ketika ramai orang, termasuk dari kalangan yang mengikuti dan menyanjungi dia, malu untuk mengaku bahawa mereka belum pernah menyentuh, membaca dan menyelongkar habis novel berkenaan, Faisal menerusi tulisan ringkas itu tetap juga bermain di dalam kekaburan.
Kepada saya, dia tidak menunjukkan kejernihan akal yang sepatutnya ada pada penulis dengan beban dan berat nama seperti dia. Di dalam kesungguhan untuk menghayun kebiadaban Salman Rushdie, dia tidak sedikitpun memetik secara terus terang apa sebenarnya yang ditulis Rushdie, yang dikatakan sebagai menghina kepada umat Islam. (Atau memang dia terlupa terus?).
Yang ada hanya sentuh-sentuh dipermukaan, pertuduhan cetek yang diulang-ulang, sama seperti yang diperdengarkan kepada kita tak lama dulu daripada orang-orang seperti Rais Yatim dan Ibrahim Ali; orang-orang yang kita tahu tak selalu akrab dengan tulisan-tulisan sastera, seperti yang tercermin pada pandangan-pandangan yang mereka lontarkan.
Tetapi, jika pernyataan seperti ini dikeluarkan oleh orang yang dikenali sebagai penulis yang meramahi sastera, dan tetap dia gagal untuk menjelaskan kekusutan, maka saya ada masalah dengan itu. Kerana, tak ada satu tulisan pun yang timbul ditengah-tengah khalayak sastera tempatan yang mahu atau sempat membincangkan tentang hal ini dengan jernih dan meluas.
Kepada Faisal, sekiranya kamu membaca nota ini, tolong buka perbincangan, dengan pertama sekali menjelaskan, apa ayat-ayat syaitan yang dibawa oleh Rushdie itu. Kepada yang sekadar mengekor dan hanya tahu bersorak tanpa pernah membaca teks berkenaan, tak perlu riuh.
Kemudian, melalui tulisan sama, dia sendiri memberi kenyataan yang, menurut saya, begitu kontradik sekali dengan kesejahteraan Islam. Dia, melalui ayat-ayatnya, menafikan sendiri taubat orang lain. Dia kemudian melaung tohmah lagi, dengan membodohkan orang-orang yang tidak menyebelahi atau orang-orang yang berseteru pandangan dengan versinya.
Saya pertanyakan satu soalan; ini nilai-nilai Islam yang cuba dicerminkan? Dan pertentangan pandangan seperti ini boleh saja dibawa kepada hukuman mati? (Jangan dilupa, dia belum lagi menjelaskan ayat-ayat syaitan Rushdie itu. Jangan-jangan dia juga seperti saya, belum membaca habis novel berkenaan.)
Jika nilai ini yang dipertahankan sewaktu zaman kegemilangan Islam dulu, ketika kerancakkan perdebatan antara pertembungan falsafah dan agama mengambil tempat, mungkin tak ada tamadun Islam yang gah dengan warisan ilmu dilahirkan. Kerana, di dalam proses panjang membangun pengetahuan, asalkan ada saja yang menyanggah pendapat pihak lawan, semuanya mungkin dibunuh oleh sebelah yang merasakan diri berhak. Maka tak akan ada falsafah Islam, tak ada lambang keilmuan Islam yang boleh dibuat tempat tumpang berteduh hari ini.
Kerencaman itu bukan asing. Ia berdiri ditengah-tengah antara kita, kerap juga ia menyembunyi diri untuk diselak-selak kepada yang mencarinya.
Dan, kita juga dapat membaca kekecewaan Faisal kepada Anwar Ibrahim. Entah kerana apa, saya tak tahu. Dan inilah sebab utama mengapa dia memetik semula insiden dan fatwa bunuh terhadap Salman Rushdie itu, tetapi dengan penuh kelesuan. Kamu kalau membaca entri itu tentu sekali akan dapat memahaminya.
Memang, mungkin ada yang berkata tidak adil untuk saya menilai tulisan berkenaan sebegitu rupa kerana ia hanya sebuah entri blog.
Tetapi, untuk blog seorang penulis-sasterawan muda Malaysia, adakah ia juga patut untuk merakam catatan-catatan sederhana dan tak siap, sama seperti catatan atau tulisan kelompok-kelompok penulis yang selalu dicemuhnya secara berkias?
II.
Di awal musim salju 2009, saya berjalan seorang diri, merentas kedinginan pekan kecil Whangarei, New Zealand. Keinginan hanya satu, mencari kalau-kalau ada toko-toko buku terpakai di sana. Memang saya tak kecewa hari itu. Antara dua kedai yang ditemui, saya memilih untuk masuk ke kedai buku terpakai dengan logo khinzir comel terlebih dulu.
The Satanic Verses diharamkan di Malaysia. Dari lingkungan buku-buku tulisan Salman Rushdie yang dibawa masuk, novel kontroversi itu adalah yang paling sukar ditemui. Sekurang-kurangnya bagi saya. Kerana, bertahun-tahun saya cuba mendapatkannya, tetapi gagal.
Dan, tengahari itu di Whangarei, saya bertemu dengan syaitan-syaitan yang kata orang menakutkan itu. Tetapi saya tak marah. Saya membelai, menjinakkan agar nanti saya dapat masuk ke dalam perutnya untuk melihat sendiri apa yang sebenar mahu disampaikan.
Saya bertemu dengan naskah kulit tebal cetakan pertama 1989 judul itu. Di balut dalam sampul kertas oleh wanita tua New Zealand si penjaga toko dan dibawa balik.
Sejak setahun lalu, saya membelek-belek lembar kertasnya dikelapangan, menikmati ayat-ayat haram itu dengan hati terbuka. Dan memang Salman Rushdie melambangkan mistik imajinasinya dengan lancar dan mengujakan.
Saya hanya menikmati novel itu sebagai sebuah kerja sastera. Masih sedikit-sedikit cuba menghabiskan bacaan, kerana bukunya tebal.
Dan ini tidak menjadikan saya seorang pendokong Salman Rushdie.
9 comments:
hahaha..bukannya tentang Salman Rushdie.
Bukan juga tentang faizal Therani.
Ini tentang penyokong Anwar Ibrahim yang tak boleh dicuit sikit pemimpin idolanya. Kan?
Oh Me? Apa tu?
Kamu pun tak dapat nak faham mana satu yang nak dibincangkan?
Ketawalah lagi... :p
ya saya faham subtextnya...Anwar Ibrahim tak boleh dikritik, tak boleh disentuh, tak boleh nak dikomen....
Haha.
Buka kaca mata.
Tuan menyatakannya dengan objektif dan matang, tahniah (masih ada juga penulis siuman di Malaysia, Alhamdulillah)..
Jelir ada novel ke?
Tuan,
"Saya tak pernah membaca habis novel The Satanic Verses."
Kerana itulah saudara gagal menemukan apa yang syaitan tentang The Satanic Verses. Untuk makluman tuan, Rushdie sendiri mengakui taubatnya adalah palsu.Ya, saya baca habis novel setan tersebut.Amir Muhammad yang menghadiahkan kepada saya. Boleh saja saya menulis sebuah esei ilmiah menyatakan kebobrokan novel hantu itu (meski sudah terlalu ramai ahli akademik menulis mengenainya pun, saya boleh saja menggunakan teori2 tertentu sebagai tools di mana itu sudah jadi kemahiran saya memandangkan doktorat saya adalah sastera bandingan), akan tetapi maksudnya bukan Rushdie. Maksudnya lebih besar dari itu. Maksdnya adalah tawalla wa tabarra. Belajarlah lebih matang untuk memaham maksud.
Terima kasih.
FT,
Saya menunggu esei ilmiah kamu seperti yang dinyatakan berkenaan novel ini. Begitu juga menunggu untuk membelek naskah doktorat kamu berkaitan sastera bandingan. Kerana saya tak pernah mengingati sebuah tulisan tentangnya yang betul-betul menrbitkan ghairah untuk berpencak pandangan. Semuanya ditulis dalam tona untuk menunjukkan "aku lebih tahu, jadi kau jangan banyak soal" semata. Mungkin saya silap di sini. Dan sebab itu saya akan tetap menunggu. Sila maklumkan saya nanti bila esei berkenaan dah siap.
Seperti yang kamu nyatakan, 'akan tetapi maksudnya bukan Rushdie.' Memang saya menyedari itu. Dan, kritik saya juga bukan berkenaan taubat Rushdie (sah atau tidak) atau pandangan kamu tentangnya. Kritik saya adalah berkaitan kesediaan kamu (sikap) untuk membuka ruang perbincangan yang lebih objektif, bukan sekadar menyogokkan faham kamu semata-mata di dalam ruang yang ada (penerbitan tulisan kamu) yang ada.
Untuk tulisan seperti itu, dikerjakan dengan pendekatan paling simplistik dan terus menolak kapada kesimpulan sebelum apa-apa perbincangan sempat dimulakan, saya lihat itu amat bertentangan sekali dengan latar kamu yang kini dengan gelar Doktor itu, dengan kerja-kerja akedemik yang dilakukan. Di mana praktik teori atau 'tools' sastera bandingan seperti yang dijolokkan? Tak semua orang akan terhalusinasi dengan parameter yang begitu.
Dan, saya memang menulis dengan rasa rendah hati, mencuba untuk menilai dan memahami sesebuah tulisan dengan ruang lingkup yang teranjak. Membuka diri untuk kematangan dengan cara mengimbangi penilaian yang ada pada satu-satu masa. Bagaimana dengan kamu?
Post a Comment