Sunday, October 31, 2010

Petikan (3)





Artikel Semakin Bernilai Selepas Mati yang termuat dalam Mingguan Malaysia hari ini ada kesilapan kecil. Mungkin disebabkan ia sebuah tulisan yang diterjemah dan disusun semula, tanpa perhatian yang rinci.

Penulis kelahiran Sweden ini meninggal dunia ketika berusia 50 tahun tanpa sempat sebarang bukunya di bawah syarikat Millennium Trilogy diterbitkan.

Trilogi Millennium yang dimaksudkan itu bukanlah sebuah syarikat. Ia sebetulnya himpunan tiga novel di bawah nama yang disebut. Stieg Larsson, ketika hayatnya berkerja untuk majalah Expo, sebuah penerbitan yang sentiasa mengundang ancaman ganas melalui pendedahan-pendedahan yang dilaporkan.

Millennium pula adalah versi khayalan majalah Expo. Di dalam novel tiga serangkai itu, watak utama, Blomkvist (alter ego Larson mungkin) menulis untuk majalah Millenium. Jika ingin tahu selebihnya, cari dan baca novel-novel berkenaan.

Dan, filem The Girl With The Dragon Tattoo sudah boleh di dapati di Kuala Lumpur. Tentunya daripada lanun-lanun DVD.


Petikan (2)



Ahmad J. Hussein. Saya tak kenal dia. Tetapi, melalui tulisan-tulisannya di Mingguan Malaysia (MM) beberapa ketika kebelakangan ini, saya membangun persepsi; dia tidak faham permasalahan yang cuba dibangkitkannya sendiri. Dia hanya menunjukkan ketidakmatangan diri dalam memberi pandangan.

Saya sebelum ini membalas tulisan dia yang berjudul Peminggiran karya sastera Melayu, diterbitkan MM dalam bulan September lalu. Tulisan saya itu, dengan judul Pasar dan Estetika, antara lain menempelak kebanalan dia melalui cubaannya melakukan kritik terhadap kesusasteraan dengan perbandingan kerja-kerja antara Malaysia dan Indonesia. Dia rupa-rupanya tidak memahami peri penting keintiman teks dalam kesusasteraan. Kalau tak ada aral, tulisan saya itu akan terbit di dalam antologi tulisan-tulisan dengan judul Republik Kutu, dijangkakan terbit Disember 2010.

Yang tersiar di MM minggu ini adalah jawapan Halis Azhan Mohd Hanafiah tentang artikel Ahmad J. Hussein minggu lalu. Selamat menikmati.


Petikan (1)



- Siasah, V. 224 (31 Oktober - 6 November 2010). Terakhir dari Jalan Pahang.


Saturday, October 30, 2010

Datai

8.26 pagi,
Sabtu, 30 Oktober 2010,
Teluk Datai, Langkawi.

Aku bangun dalam keadaan tenang, dipagi penuh sentimental, dalam belukar nipis persisir pantai Teluk Datai. Satu perasaaan kurang menyenangkan terbit dari dalam; kemarahan kepada lemak-lemak dalam badan yang semakin memberat.

Menyarung kasut hitam, seluar pendek dan baju-t Tolstoy dan hampir tanpa memori, aku menapak menuju pantai. Sebenarnya, ‘hampir tanpa memori’ itu, Lydia Davis yang ajar. Ketika kami bercanda dua hari ini di Pantai Cenang dan Andaman. Aku seperti menyukai idea itu. “Apa yang tahu tak penting. Tetapi, apa yang kau ingat adalah kepedihan yang panjang, walaupun ia perkara yang indah-indah,” katanya ketika kaki kami bersilang menunggu pergerakkan seterusnya malam kelmarin di lobi hotel.

Waktu pagi di tepi pantai yang panjang, itu adalah ketikanya kesyahduan menghempas laut. Aku berjalan. Jam ditangan kiri. Sebuah buku di tangan kanan dan selepas itu, aku tak dapat menahan diri. Aku mula berlari, ke hujung paling kiri pantai yang memukau. 100 meter sebelum tiba di pasir selut hujung sana, hujan turun menimpa. Dan perasaan aku serta merta bertukar aneh.

Bot-bot kecil yang awalnya menyeberang laut, kini hilang. Hujan sekejap itu jadi lebat. Dan ketika aku menyedari realiti, aku terkepung kekosongan. Sedikit masa diperlukan untuk menganalisa keadaan. Aku mencecah gigi air, menghadap laut dan berdiri diam. Kali ketujuh mata dikebil, ada hal lain di depan. Seekor monyet muncul dari dalam gelora laut yang manja. Aku ingat monyet ini; ia yang membuat mimik muka, memerli aku semalam ketika aku menjinjit coklat bungkus kuning dan merah. Dan aku menyepaknya semalam, dari dalam bilik, ketika ia cuba-cuba menyelinap.

Kemudian, dibelakangnya, teman-teman lain muncul. Dan, di depan aku selepas beberapa saat yang pendek, satu koloni monyet sedang tegak terapung kepalanya melepasi gelombang yang ada. Aku tahu itu adalah ketikanya pembalasan dendam mengambil tempat.

Berpatah arah, berlari ke hujung paling kanan pantai. Dan mereka mengekor. Dalam keadaan senyap. Hanya kocak air saja yang tenggelam timbul antara bunyi hujan yang bermelodi.

Aku kembali ke bilik dulu, membuka kasut dan mengambil benda yang koloni monyet itu mahukan; kerana aku yakin yang mereka memang menginginkan coklat-coklat semalam. Dengan dua warna itu – merah dan kuning – aku kembali ke pantai. Tak ada lagi jam, tak ada lagi buku. Hanya sehelai pakaian dan coklat-coklat untuk monyet. Hujan masih lebat ketika aku kembali mengadap laut menunggul, menunggu mereka timbul lagi.

Tak ada apa-apa. Dan aku mengambil keputusan untuk berlari lagi. Ingat, aku sedang marah dengan lemak-lemak di dalam badan, dan perhatian itu terganggu seketika oleh sekoloni monyet-monyet (dengan muka bengis).

Tak lama, aku merasa ada benda yang berlari sama, sedikit di belakang. Tiga ekor babi hutan. Binatang-bintang ini membontoti, tetapi sedikit laju. Anehnya, aku ketawa dulu. Dengan kaki pendek, montel dan badan berbulu coklat-hitam, mereka bersungguh bersenam sama.

Tetapi taringnya menyakitkan. Peha aku ditoreh, coklat aku ada yang dibawa lari. Itu mengesahkan sesuatu kerana sebelumnya, dilandai pasir pantai pagi itu, aku terlihat tapak kaki babi-babi hutan ini berbekas. Aku kira, malam tadi mungkin mereka kemari, meminum air laut masin untuk lebih tenaga sebelum berkencan bersama pasangannya, seperti mana orang-orang meneguk arak, menghadap laut gelap dan malam panjang rembulan hilang sebelum kembali ke bilik dan berususan dengan nafsu.

Aku kini terdampar, separuh badan di dalam air. Babi-babi hilang. Monyet-monyet kembali ke atas pokok. Aku hanya mampu menikmati rasa lemak-lemak coklat yang tersisa dalam poket, yang sudah diracun masin laut.

Aku teringatkan Lydia lagi, walaupun dia tak menyuruh aku menyimpan apa-apa memori. “Kalau kau terserempak bekas-bekas tapak kaki babi, di dalam perjalanan-mu di mana pun, atau ditempat lain dalam mimpi-mimpi-mu atau di dalam perjalanan hidup-mu yang indah, jauhkan diri dari tempat dan kawanan itu.”

Terima kasih Lydia. Mata aku terpejam dan aku terbenam ke dasar laut yang indah, keindahan pagi yang diragut oleh monyet-monyet pendendam dan babi-babi hutan yang tak punya otak.



Jawapannya

Kehinaan adalah kata laluan segala dasar,
Aristokrat adalah nisan kepada mereka yang mulia.
Lihat bagaimana langit yang bersepuh diselubung
Dengan bayang-bayang terpiuh melayang orang-orang yang telah mati.

Zaman Beku tiada lagi kini,
Mengapa ada ais dimerata tempat?
Tanjung Harapan Indah sudah ditemui
Mengapa beradu beribu-ribu pelayaran ke Laut Mati?

Aku datang ke dunia ini
Membawa hanya kertas, tali dan selarik bayang,
Untuk mengisytiharkan di hadapan penghakiman
Suara yang telah dihakimi:

Biar aku kabarkan kepada kau, dunia,
Aku-tak-percaya!
Jika seribu pencabar berbaring di bawah kaki-mu,
Kirakan aku sebagai yang ke seribu satu.

Aku tak percaya langit itu biru;
Aku tak percaya pada gema guruh;
Aku tak percaya mimpi-mimpi itu palsu;
Aku tak percaya bahawa kematian tiada pembalasan.

Jika laut itu ditakdirkan menjambatani tebing-tebing
Biarkan semua air payau itu tertumpah di jantung-mu;
Jika daratan itu ditakdirkan bangkit
Biarkan kemanusiaan memilih puncak bagi kewujudannya sekali lagi.

Penyatuan baru dan bintang-bintang berkerdipan
Menghiasi langit yang kini tak terhalang;
Mereka adalah lukisan di dinding gua dari lima ribu tahun dulu.
Mereka adalah mata-mata memerhati bagi generasi masa depan.



Terjemahan sajak The Answer karangan Bei Dao.
30 Oktober 2010, Langkawi.

Friday, October 29, 2010

106 (2)

Durjana kerana perempuan itu, dengan gincu tebal dibibir, mengatakan tak mahu. Durjana kerana disebalik selak kain pangkal pehanya, tak ada apa-apa di situ. Hanya perkataan-perkataan menggerunkan tertulis untuk dibaca.

Malam kedua, dan sehari suntuk hujan yang meremangkan roma. Di atas katil yang sama, perempuan itu melucutkan seluruh pakaiannya. Kerana, aku telah berjanji, beberapa degup jantung dipinjamkan untuknya, agar dapat dia bercerita. Tubuhnya adalah layar putih yang menjelmakan imbasan hidup yang dulu.

Dia berdiri di atas katil, tanpa baju. Matanya mekar menyala. Mulutnya menguntum mawar yang sudah lama dilupakan orang. Tubuhnya, dari paras leher, payudara dan perut, menghampar visual-visual yang membunuh. Kenapa tak kau ceritakan saja dengan bibir-mu, aku bertanya. Kerana aku tak mahu, kata tulisan dibuah dadanya.

Dia tak menjelma jadi hantu. Aku masih duduk dikerusi rotan, dengan mata diparas yang sama di mana kata-kata itu berjalan; dipangkal peha, yang menurut aku, kerap saja mengundang gemuruh. Darah-darah dalam urat tubuh terpecah menjadi sel yang lebih halus. Aku hanya menatap tubuh itu dengan getar yang merangsang. Akal. Dan menunggu untuk menyelesaikan cerita perempuan yang waktu itu sudah bertukar menjadi cinta.

Aku memanjat batang tubuhnya yang semakin meninggi. Kepalanya mencecah siling. Aku mendekapkan muka pada bulu-bulu pubik yang menyebar harum kuburan. Membaca keintiman teks padanya. Setiap perkataan jadi bernyawa. Dan dia, memang mahukan aku membaca isi diari yang dulu ditulis.

Perlahan aku mendekatkan kepada di antara dua peha kurus itu. Memasuki rongga yang setengah terbuka, melihat perkataan jatuh dari hati, ke usus dan merangkai membangun cerita-cerita kepedihan yang indah. Aku tak menemui kisah mengapa dia dibunuh dan ditinggalkan – tanpa seurat benang – di dalam kotak pelana dikamar indah aku. Tetapi, malam ini, ia menjadi malam indah kami.

Kerana, menjelang tengah malam, ketika memasuki tubuhnya yang ranum demi untuk meminjamkan degup-degup jantung, kami menjadi satu. Persetubuhan yang kau tak akan faham.

Dari dalam kenikmatan malam itulah aku menemui padanya kata-kata yang melunaskan banyak perkara:

“Aku adalah si perindu yang kecundang. Kekuasaan membenih di dalam rahim-ku. Dan aku tak mahukan itu.”

Tetapi, malam ini aku mahukan kau, kata perempuan itu. Diamilah tubuh-ku yang kekeringan ini, suburkan kemarau rasa ini dan datanglah dengan benih cinta. Tabur di dalam rahim-ku, yang tertulis kata-kata listrik yang akan menjaga-mu. Aku mahukan rangkulan itu, dari dalam. Hempasan itu, ke atas katil, dari dalam. Dan aku berjanji, aku tak akan mengurung-mu di dalam tubuh gemersik ini.




Thursday, October 28, 2010

106

Kad elektronik diselit pada slot pintu. Ada orang bercerita tentang tempat ini yang tak aman. Tak selamat. Banyak hal-hal yang merisaukan. Tetapi, waktu ini aku tak ada pilihan. Hawa dingin menderu meluru melanggar tubuh aku, ketika daun pintu berat ini ditolak. Tak ada tanda-tanda kekhuatiran yang perlu dirunsingkan. Kamar ini indah. Nyaman dengan udara sejuk. Diluarnya belukar yang elok tersusun.

Selepas lampu, keadaan masih malap. Memanggil-manggil untuk terlentang. Aku menghidupkan tv yang tak ditonton. Membuka komputer riba dan membayangkan macam-macam. Meletakkannya di depan cermin besar dan merenung diri sendiri, membelakangkan tv dan menutup mulut.

Tetapi, bukan itu yang hendak diceritakan. Tidak sehingga aku merebah badan atas katil besar, dengan cadar putih suci itu. 5.20 petang, hari masih cerah. Di kamar ini, suasana sepi dan hening. Tak banyak beza jika diluar sana keadaannya terang atau sebaliknya. Pada renda waktu itu, dari tilam yang menampung badan, aku mendengar sisa dengup jantung yang terakhir. Aku fikir itu khilaf pendengaran.

Tidak. Degup jantung terakhir yang aku dengar itu meresap ke dalam jantung aku kini. Hanya dengan satu kali detak, nyawa aku diperbaharui. Bunyi itu menghidupkan aku tidak seperti sebelum-sebelum ini. Dan aku merasa berhutang.

Degup yang satu itu juga menerbitkan satu gerak hati lain. Ada kekuatan yang mengalir ke tangan, meminta untuk membuka sebuah blok tempat duduk berkusyen dihujung katil. Ia berat. Kusyennya berat. Aku tak tahu kenapa ia ada di situ.

Ketika pelana itu diselak ke atas dengan sekuat tenaga, sekujur tubuh hangat mengerekot memandangi aku. Aku tetap dengan perasaan neutral, mayat itu tak mendera naluri. Wajahnya seperti tersenyum, tetapi perempuan itu, yang berikat kaki dan tangan serta mulut yang disumbat pisang telah mati. Kerana, degup jantungnya yang terakhir ada dalam diri aku.

Bila malam menjelang, aku menghidupkan mayat itu kembali. Dengan sedikit solekan wajah dan celak pada mata, dengan gincu merah yang diconteng pada bibir agar dilihat tersenyum dan dengan pakaian pada tubuh yang sudah dibersihkan kotor darahnya. Aku jahit daging-daging abdomennya yang koyak ditusuk pisau.

Perempuan itu disebelah, dan aku duduk di sisi kiri. Kami menghadap jendela kaca yang luas, cuba merebut malam daripada kunang-kunang yang menari. Sekurang-kurangnya, dia ada untuk jadi peneman. Walaupun kaku.

Persetubuhan yang durjana.



Wednesday, October 27, 2010

Dis

Mata yang berkaca, bergenang dengan tangis yang belum jatuh itu tak akan dilupakan orang. Dis merenung melepasi cakrawala. Dengan mata yang pecah.

Sentiasa kelam, habuk-habuk yang terapung diruang vakum. Udara pengap. Kulit Dis tak ada lagi pigmen-pigmen hidup. Cahaya matahari tak pernah - untuk beberapa tahun itu - menyimbah di epidermis yang dulunya tak pernah kering, teralir sekali-sekala peluh dari kelenjar yang basah.

Kau tak akan percaya, kata Dis diwaktu-waktu kewarasan datang menjengah. Aku seperti syaitan yang ditambat, sejak dari usia 12. Sejak itu tak ada hari lagi dalam hidup aku. Semuanya seperti malam yang panjang. Aku dipaksa membentuk diri menjadi sama seperti hantu. Dipaksa untuk digelapkan sehingga aku bertemu kamu. Waktu-waktu yang tak ingin aku ingati. Yang selalu ada hanya mimpi ngeri.

Kornea matanya koyak. Berjalan dalam kepedihan, meraba angin. Sekali-sekali terasa ingin Dis berlari laju-laju. Tetapi tulang-tulangnya rapuh.

Di bilik itu. Di tempat yang diyakininya pada paras bawah tanah. Yang dipelajari hanyalah penyeksaan. Melalui lubang kecil pada pintu, sesetengah makanan, rokok dan air ditinggalkan. Jari-jari hitam itu, buat pertama kali dalam sejarah hayat hidupnya, menggapai dalam getar sebatang rokok yang aku hulurkan. Api tak berjaya dinyalakan. Saban tahun aku hanya menunggu untuk melihat wajah syaitan, katanya. Memang dia menjelma, tetapi mata aku sentiasa ditekup, cakap Dis.

Kerap saja darah mengalir dari vagina. Dengan tempel-tempel kesat sperma. Walaupun aku separuh nyawa hampir mati, kata Dis. Semua itu membikin ruang yang ada jadi hanyir. Emosi aku sudah lama mati.

Kata-kata itu diucapkan Dis sendiri ketika, katanya lagi, kali pertama dia bolos. Selebihnya adalah misteri.

Aku tak ingin mendengar keperitan kamu bersama binatang-bintang itu, cerita ketika kau dirobek dan dirogol sepanjang 12 tahun itu. Tuliskan saja, Dis.


Tuesday, October 26, 2010

Lupa

Jangan dilupakan
tentang apa yang pernah kita lakukan
di dalam mulut-mu.

Monday, October 25, 2010

Akhmatova

Masihkah kau ingat, jalan-jalan St. Petersburg yang menggema dengan kata-kata dari pena-mu? Ingatan tentang kesakitan, dan hantu-hantu kesusasteraan yang menjadi suami-mu.

Puisi-puisi menjadi azab ketakutan, lahir dari proses alami yang menggerunkan, bukan dari keindahan yang direka dan dibuat-buat. Tidak juga kau menulis ayat-ayat yang mahu didengari oleh gergasi diktator blok negara-mu.

Mereka datang di musim dingin, mahu membawa-mu pergi, barangkali. Tetapi kau terlebih dulu membakar kertas-kertas tulisan yang disiapkan, melenyapkan bukti, dipenjara, dibebaskan dan kemudian menulis semula untuk kami di hari ini, yang juga penuh luka seperti-mu.

- 25 Oktober 2010.

Saturday, October 23, 2010

Bohemia



Satu SMS mengejutkan lena panjang, di pagi yang terasa indah oleh kicau burung-burung dari tingkat 15. Tiada bunyi bising dari telefon. Tetapi, tetap menjagakan tidur.

Seorang penulis bohemia muda mengirim SMS itu. Dari KL Sentral, baru tiba dengan keretapi, jauh dari Kedah pada malam sebelumnya, mungkin.

Dan, dari stesen LRT Taman Jaya, di dalam kereta pinjam dengan CD lagu-lagu penyerahan Nusrat Fateh yang berputar, aku memandu dia dan seorang lagi watak yang memakai baju Jean-Michel Basquiat ke Restoran Raju, Petaling Jaya; untuk bersesak-sesak di pagi Sabtu demi beberapa keping roti garing dan kuah dal.

Kemudian, yang mekar dimeja makan dan dicelah-celah orang ramai adalah sembang-sembang runcit tentang sastera, perbincangan tentang krisis keyakinan seorang penulis (yang memang tak terlepas daripada siapa-siapa), mengingat-ingat kembali sebuah apartment di New York yang melahirkan penulis-penulis Beat (menurut Ginsberg, tak ada istilah Beat yang mereka lahirkan sendiri. Yang ada cuma sekumpulan penulis muda yang cuba menerbitkan tulisan-tulisan mereka ketika itu), kritik-kritik sastera oleh Arthur Schopenhauer, mencuit-cuit (sambil bergelak ketawa) tentang kepayahan penetrasi penulis-penulis novel setempat (yang ramai antaranya pernah mengisi borang memohon jawatan untuk menjadi malaikat, tetapi ditolak mentah-mentah), tentang proses menulis (memang tak ada hanya satu jalan yang betul, semua boleh dicuba-cuba mana yang sesuai, jangan takut), dan sedikit sesi pemaknaan sajak - yang perbualan tentang hal itu memang tak pernah selesai.

"Tak payah laptop, tak payah pen dan kertas dulu. Alat paling penting sebelum menulis adalah membaca. Jangan bagi alasan." Berdengung sekejap.

Dan sebagai hadiah di pagi yang normal, sebuah buku sajak fotokopi terbaru penulis bohemia itu, dengan lakaran orang-orang imajinasi, diberi. Aku ambil. Habis baca dalam beberapa minit, dan si perempuan itu juga, dari atas katil, turut membaca habis dan jatuh cinta.

Friday, October 22, 2010

Kata Apa

Apa kata kau tentang kekalutan ini?

Tali panjang, dari permulaan waktu
diputuskan, disorok di balik
kelambu tebal.

Dihadapkan ke depan mata-mata juling.
Disuruh bertepuk tangan.

Mampukah aku, kau, kita, kami, mereka
supaya tidak menimbulkan curiga?

Hanya satu hal yang dapat menenangkan
hati-hati galau dari waktu-waktu penghinaan;

satu jawapan pasti.
Tak ada dua.

Nyatakan pilihan kau.



-22 Oktober 2010.

Thursday, October 21, 2010

S.H.L

20.10.2010 - S.H.L

Hari ini hanya melayan 'the sweetnest of doing nothing'. Menonton filem dari malam tadi, dibawa ke siang, berendam kaki sedikit ke dalam The Spirit Of Romance, membelek dan menyarung beberapa bilah jarum dari tahun 1881, cuba meyakinkan diri terhadap jaringan pengangkutan awam Malaysia untuk ke sekian kalinya (teksi-LRT-bas), makan-makan sedikit, bersenam gaya berjalan kaki, menghiburkan diri menonton (lagi!) petikan-petikan 'perbahasan' sayap wanita, puteri dan pemuda UMNO di kaca tv (terasa ingin berdiri dan tepuk tangan), merenung kejauhan yang kosong dan terasa mahu menulis sajak (menconteng) di wajah syaitan yang menjelma menjadi topeng-topeng penulis di sebelah kamu.

Tuesday, October 19, 2010

Inderaloka

Mari, Inderaloka. Duduk di sebelah sini.

Bertentang dengan segala kegelapan yang menipu ilusi.
Buka kaca mata hitam-mu.
Perhatikan percintaan bulan dan bintang.
Perhatikan langit yang cemburu.
Di antara mereka ada apa?

Tak cukup dengan kebekuan.
Tak cukup dengan pandang kebelakang yang murung.

Dipaksakan sebuah utopia ke atas kita.
Khabarnya kita ini sudah bangun dan berlari.
Tetapi, larian yang meninggalkan
bayang-bayang sendiri.
Kita dikutuki.

Senyum tak mampu menguntum ketika Ada masih.
Dilingkungan ini masih ada kesakitan.

Khabarkan semua dusta-dusta itu.
Tebarkan.

Mari, Inderaloka. Biar aku merenung ke dalam mata-mu
yang jernih.


- 19 Oktober 2010.

Monday, October 18, 2010

Faisal Tehrani dan Salman Rushdie


- The Satanic Verses, Viking, 1989.

I.

Saya tak pernah membaca habis novel The Satanic Verses. Saya tak tahu mengapa orang selalu marah-marah, walaupun ditahun 2010 ini, ketika nama Salman Rushdie dan judul itu digemakan kembali. Seperti ada dendam yang belum terlunas.

Faisal Tehrani menulis entri 'Mungkinkah Nabinya Voltaire?' di sini. Kepada pengikut-pengikutnya, itu tak apa-apa. Dia mungkin benteng terakhir yang dianggap penegak kebenaran, bersuara tentang hakikat itu-ini.

Ketika ramai orang, termasuk dari kalangan yang mengikuti dan menyanjungi dia, malu untuk mengaku bahawa mereka belum pernah menyentuh, membaca dan menyelongkar habis novel berkenaan, Faisal menerusi tulisan ringkas itu tetap juga bermain di dalam kekaburan.

Kepada saya, dia tidak menunjukkan kejernihan akal yang sepatutnya ada pada penulis dengan beban dan berat nama seperti dia. Di dalam kesungguhan untuk menghayun kebiadaban Salman Rushdie, dia tidak sedikitpun memetik secara terus terang apa sebenarnya yang ditulis Rushdie, yang dikatakan sebagai menghina kepada umat Islam. (Atau memang dia terlupa terus?).

Yang ada hanya sentuh-sentuh dipermukaan, pertuduhan cetek yang diulang-ulang, sama seperti yang diperdengarkan kepada kita tak lama dulu daripada orang-orang seperti Rais Yatim dan Ibrahim Ali; orang-orang yang kita tahu tak selalu akrab dengan tulisan-tulisan sastera, seperti yang tercermin pada pandangan-pandangan yang mereka lontarkan.

Tetapi, jika pernyataan seperti ini dikeluarkan oleh orang yang dikenali sebagai penulis yang meramahi sastera, dan tetap dia gagal untuk menjelaskan kekusutan, maka saya ada masalah dengan itu. Kerana, tak ada satu tulisan pun yang timbul ditengah-tengah khalayak sastera tempatan yang mahu atau sempat membincangkan tentang hal ini dengan jernih dan meluas.

Kepada Faisal, sekiranya kamu membaca nota ini, tolong buka perbincangan, dengan pertama sekali menjelaskan, apa ayat-ayat syaitan yang dibawa oleh Rushdie itu. Kepada yang sekadar mengekor dan hanya tahu bersorak tanpa pernah membaca teks berkenaan, tak perlu riuh.

Kemudian, melalui tulisan sama, dia sendiri memberi kenyataan yang, menurut saya, begitu kontradik sekali dengan kesejahteraan Islam. Dia, melalui ayat-ayatnya, menafikan sendiri taubat orang lain. Dia kemudian melaung tohmah lagi, dengan membodohkan orang-orang yang tidak menyebelahi atau orang-orang yang berseteru pandangan dengan versinya.

Saya pertanyakan satu soalan; ini nilai-nilai Islam yang cuba dicerminkan? Dan pertentangan pandangan seperti ini boleh saja dibawa kepada hukuman mati? (Jangan dilupa, dia belum lagi menjelaskan ayat-ayat syaitan Rushdie itu. Jangan-jangan dia juga seperti saya, belum membaca habis novel berkenaan.)

Jika nilai ini yang dipertahankan sewaktu zaman kegemilangan Islam dulu, ketika kerancakkan perdebatan antara pertembungan falsafah dan agama mengambil tempat, mungkin tak ada tamadun Islam yang gah dengan warisan ilmu dilahirkan. Kerana, di dalam proses panjang membangun pengetahuan, asalkan ada saja yang menyanggah pendapat pihak lawan, semuanya mungkin dibunuh oleh sebelah yang merasakan diri berhak. Maka tak akan ada falsafah Islam, tak ada lambang keilmuan Islam yang boleh dibuat tempat tumpang berteduh hari ini.

Kerencaman itu bukan asing. Ia berdiri ditengah-tengah antara kita, kerap juga ia menyembunyi diri untuk diselak-selak kepada yang mencarinya.

Dan, kita juga dapat membaca kekecewaan Faisal kepada Anwar Ibrahim. Entah kerana apa, saya tak tahu. Dan inilah sebab utama mengapa dia memetik semula insiden dan fatwa bunuh terhadap Salman Rushdie itu, tetapi dengan penuh kelesuan. Kamu kalau membaca entri itu tentu sekali akan dapat memahaminya.

Memang, mungkin ada yang berkata tidak adil untuk saya menilai tulisan berkenaan sebegitu rupa kerana ia hanya sebuah entri blog.

Tetapi, untuk blog seorang penulis-sasterawan muda Malaysia, adakah ia juga patut untuk merakam catatan-catatan sederhana dan tak siap, sama seperti catatan atau tulisan kelompok-kelompok penulis yang selalu dicemuhnya secara berkias?


II.

Di awal musim salju 2009, saya berjalan seorang diri, merentas kedinginan pekan kecil Whangarei, New Zealand. Keinginan hanya satu, mencari kalau-kalau ada toko-toko buku terpakai di sana. Memang saya tak kecewa hari itu. Antara dua kedai yang ditemui, saya memilih untuk masuk ke kedai buku terpakai dengan logo khinzir comel terlebih dulu.

The Satanic Verses diharamkan di Malaysia. Dari lingkungan buku-buku tulisan Salman Rushdie yang dibawa masuk, novel kontroversi itu adalah yang paling sukar ditemui. Sekurang-kurangnya bagi saya. Kerana, bertahun-tahun saya cuba mendapatkannya, tetapi gagal.

Dan, tengahari itu di Whangarei, saya bertemu dengan syaitan-syaitan yang kata orang menakutkan itu. Tetapi saya tak marah. Saya membelai, menjinakkan agar nanti saya dapat masuk ke dalam perutnya untuk melihat sendiri apa yang sebenar mahu disampaikan.

Saya bertemu dengan naskah kulit tebal cetakan pertama 1989 judul itu. Di balut dalam sampul kertas oleh wanita tua New Zealand si penjaga toko dan dibawa balik.

Sejak setahun lalu, saya membelek-belek lembar kertasnya dikelapangan, menikmati ayat-ayat haram itu dengan hati terbuka. Dan memang Salman Rushdie melambangkan mistik imajinasinya dengan lancar dan mengujakan.

Saya hanya menikmati novel itu sebagai sebuah kerja sastera. Masih sedikit-sedikit cuba menghabiskan bacaan, kerana bukunya tebal.

Dan ini tidak menjadikan saya seorang pendokong Salman Rushdie.



Sunday, October 17, 2010

Black Tie

Black Tie, kata mereka. H duduk seorang, dimeja paling hampir dengan muka pintu. Betul-betul terganggu dengan sut lengkap blazer-slack-tali leher-kasut hitam kilat (bahagian depan saja), walau orang memang memandang-mandang, tersengih. Melihat dari sebelah gelas air putih, ada banyak burung-burung sedang mematuk bunga. Bunga-bunga harum malam yang berbisa, melupakan orang kepada jalan-jalan pulang ke rumah.

Itu bukan pengalaman yang akan diingati. Duduk termanggu tak tahu nak berbuat apa, memacak mata pada susunan piring dan sudu-sudu atas meja yang kononnya seni protokol (ambil sudu garpu dari bahagian luar dulu), menunggu arahan untuk bangun, tersenyum sumbing cuba membuat diri diterima oleh kelompok elit penguat kuasa, bermain mata dengan gadis-gadis pelayan bawah umur yang seperti mengharapkan sesuatu diakhir malam, mendengar ucapan panjang lebar - mujur tergerak hati oleh si pengucap untuk menyentuh tentang peri penting kesihatan dan menabung - menonton orang-orang terkinja dilantai tari (seorang dua mungkin bapok, tapi tak apa-apa asalkan tak menganggu), "Oh, ini dia? Nampak matang," itu ayat penutup acara yang cuba menyedapkan hati terhadap jam-jam tekanan yang merosak kenikmatan, misalnya lebih enak jika dihabiskan dengan membaca buku sajak-sajak terpilih T.S. Eliot.

Satu soalan saja yang ada dari H untuk ditanyakan; "Kenapa, selepas beratus-ratus tahun tertubuh, kelompok ini masih tak boleh menemukan istilah setempat untuk menggantikan kata Black Tie?"

Ohh, Pusat Dagangan Dunia Putra. Dah habis perdagangkan hipokrasi?

Wednesday, October 13, 2010

Teksi (3)

Kerinchi, ke Jalan Bangsar dengan kaca mata hitam, pagi panas, pakcik drebar suara garau senyap-senyap jenguk tak nampak keluar, lambat kau masuk kerja? tak adalah lambat, memang macam biasa, tangan di stereng, pandu boleh tahan cekap tak macam teksi lain, merungut pasal cuaca panas, jalan keluar Pantai Hillpark yang baru diturap dua minggu lepas dah berlubang balik, mengutuk Bandaraya sedikit, bungkus kacang goreng dekat batang gear, duit kertas berterabur dalam kocek, resit kosong, kau tulislah sendiri dan terima kasih, jumpa lagi.

Teksi (2)

Isnin. Jalan Raja Laut.

Boleh ke Jalan Bangsar, pakcik?
Boleh cik (tersenyum, sebelum tergelak). Tapi cik kena tunjuk jalan. Baru dua minggu bawak teksi, tak tahu jalan lagi.


Ooo. Boleh.
Semalam, anak perempuan saya belikan peta KL dan Selangor, suruh baca, belajar jalan. Tak terkejar cik. Jalan dalam peta halus-halus. Itu hari pun, nak keluarkan teksi ini dia yang bagi duit RM1,000 nak dijadikan bayaran muka. Duit dia pun belum bayar lagi (ketawa besar).


Eloklah ada anak perempuan macam dia, pakcik.
Perbualan seterusnya adalah seperti sebuah manual bagaimana untuk menjadi manusia, menurut kaca mata pakcik drebar teksi yang baik.


Monday, October 11, 2010

Orang Macam Kita



Aku membantu sebagai pembaca pruf buku ini, Orang Macam Kita terbitan Matahari Books. Boleh dapatkannya terus daripada Matahari Books @ Amir Muhammad. Jangan cari di kedai. Elok disegerakan kalau berhajat sebelum ia nanti diangkut oleh KDN. Manalah tahu. Kejutan-kejutan dalam lingkungan penerbitan dan penulisan di sini lain macam, kan?


MVL



Mario Vargas Llosa, penulis asal Peru itu diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2010 9 Oktober lalu. Dia kemungkinan besar akan terbang ke Stockholm, Sweden Disember nanti untuk menerima gelar itu serta sejumlah wang besar - mungkin bernilai lebih daripada 100,000 Pound Sterling.

Ketika mengingati Llosa, kita tak akan lupa tentang tesis kedoktorannya tentang Gabriel Garcia Marquez. Kemudian, dalam insiden lain, menumbuk hingga lebam mata Marquez, kerana khabarnya ada kena-mengena dengan isteri Llosa.

Apa pun, dengan pengiktirafan tertinggi ini, mereka berdua kini menjadi gergasi sastera dunia yang setara.

Aku masih mengulang baca novel In Praise of the Stepmother, walaupun itu bukan kerja terbaik beliau menurut peminatnya.

Kredit foto: Google @ EcoDario.


Sunday, October 10, 2010

Tarikh

Orang mungkin ramai meraikan tarikh 10.10.10.

Menjelang malam hari ini, aku hampir yakin bahawa tarikh itu tak akan membawa apa-apa makna, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. Tapi hal itu tak terlunas.

Sehinggalah Yana datang rumah, tengahari tanpa makan dan lekas pulang, meminjam pemain CD. Nak dengar CD mengaji. "Semalam pi periksa, ustaz tu kata ada benda dalam badan aku." Dan dia hendak masa bersendirian mungkin untuk meladeni semangat luar yang merayau-rayau dan tersangkut, dan menghidangkannya dengan ayat-ayat yang akan memanaskan.

Sehinggalah terpaksa memasuki The Mall petang tadi, untuk pertama kali. Dipaksa rela membeli satu sut pakaian formal, untuk pertama kali.

Kemudian, diyakinkan oleh Leong, penjual jam yang menyampaikan teori '10-10-10'. Katanya, disebabkan tarikh hari ini istimewa, dia bersetuju untuk memberikan harga istimewa juga. "Itu nombor belakang kasi tiga puluhlah, campur semua angka ini hari punya tarikh!"

Dan, memang aku termakan pancing Leong. Dan kami tergelak besar, dengan aku berjanji untuk menulis tentang wataknya, kalau nanti ada cerita-cerita fiksi yang akan aku tulis. Leong, gua caya sama lu.

Terbang duit sedikit. Seutas jam tangan baru melekap elok dipergelangan tangan ketika aku keluar kedai dan melambai lelaki gempal sempoi itu.

10.10.10 memang ada cerita yang tak terjangka.


Friday, October 08, 2010

Teksi (1)

Hari ini, aku duduk disebelah lagi. Tidak dibelakang, seperti selalu-selalu kalau cuba memasuki Kuala Lumpur dengan teksi. Dari ruang ini selalu lahir cerita-cerita yang umpama fiksi. Dari mulut mereka - pemandu-pemandu itu - yang mengadu nasib mencari wang untuk hidup.

Yang baik akan sentiasa menghiburkan, kalau pun tak melalai, dengan kisah-kisah yang menggamit tentang segala hal. Yang jahat hanya akan menyakitkan hati, walaupun tanpa kata-kata dalam suatu perjalanan yang sepi, tetapi kerap juga dengan tambang mahal, walau dengan meter, tetap meminta-minta dibayar lebih. Untuk golongan kedua ini, aku tak akan kompromi, walaupun untuk sepuluh sen.

Hari ini, Asokh yang memandu aku ke Jalan Raja Laut. Kami tak pernah berjumpa sebelum ini. Tetapi, daripada dia, pelajaran paling penting yang terpacul dari mulutnya adalah; "... boleh cari makan, jangan malas saja. Buat apa pun sama ini macam."

Dialektika perbualan seperti ini, kalau pun tak nampak cerdik, tetap aneh kerana kata-kata itu sepertinya berbekas. Katanya baru dua-tiga minggu dia memandu teksi. Sebelum itu bekerja sebagai pemuzik di pub, dan majlis-majlis kecil. "Doktor saya kata, kalau lepas ini saya datang jumpa dia, dengan masalah ini macam, dia tak mau tolong lagi."

Asokh berhenti main muzik tak banyak tahun dulu. Di kelab, dia mendapat penyakit, kerana orang merokok sampai ruang berkabus dan membunuh sebahagian daripada dirinya. Dan, kerana sayangkan doktor dan merasa kesihatan menurun, dia akur. Kini, dengan sebuah teksi teman, dia merayau keliling kota.

Tapi, Asokh ada perancangan untuk kerja kecil barunya itu. "Saya buat survey, macam mana mau dapat dalam RM150 sehari. RM40 untuk sewa teksi, lain saya boleh angkat." Dia menjelaskan taktik survey - atau sebetulnya pemerhatian - yang dijalankan, dengan dirinya sendiri menjadi spesimen. Keluar 5.30 pagi, masuk kota, jangan rehat waktu petang ketika orang ramai bermobilisasi dan gagah menjarah malam di jalan raya. Memang memenatkan. Tapi, katanya, berbaloi.

Tak sehingga dia mengatakan tentang bagaimana untuk mengajar diri berlaku jujur, berbualan seperti kembali menjadi tumpuan kami. Nilai yang waktu ini menyusut ditengah-tengah masyarakat dan teralir ke longkang busuk, tetapi masih ada orang-orang kecil seperti ini yang mahu mengutipnya dan dipaku jadi prinsip, walau dalam hal-hal nampak kecil. Tetapi, bagi Asokh, mencari rezeki dengan jujur adalah penting, kerana sebahagian orang menyebutkan kata ini; 'berkat'. Sebuah konsep faham yang merentas budaya dan agama.

Dengan sedikit wang itu, dia menyambung hidup dengan usaha yang besar untuk mengadaptasi jalan hidup dulu yang lebih enak. "Buat apa pun sama saja. Jangan malas dan kena jujur. Buat apa mau jahat-jahat sama orang lain."

Aku menyelitkan sekeping kertas nota kecil kuning bertulis tangan ke dalam dompet, yang ada nama Asokh dan nombor telefon.



- Jumaat, 8 Oktober 2010.

'Hidup ini menggerunkan'

Hidup ini menggerunkan untuk kita berdua

komrad-ku, dengan mulut pemurah.


Tembakau pasar gelap kita lemau,

dan kau duduk mengopek kacang, wahai teman-ku.


Orang boleh bersiulan pada kehidupan seperti burung jajak,

atau memakannya seperti kek kacang.


Tetapi - kita berdua tahu itu mustahil.


(Oktober 1930)



- terjemahan sajak 'This life is terrifying' dari buku pertama The Moscow Notebook oleh Osip Mandelstam.

Kecundang

Roh terperangkap dibingkai televisyen.

Kata-kata hipokrasi dari mulut-mulut kecundang,
terlepas terbang dalam corong runut kosong yang tak akan dikenang,
tanpa siapa-siapa menghidu wangi taman dihujung sana.

Sehingga televisyen dimatikan.
Dan imajinasi mula berkeliaran.



- 7 Oktober 2010.

Thursday, October 07, 2010

Tuesday, October 05, 2010

Mega: Kerinduan Ini

(Dalam ingatan Rahmat Bee)

Di telinga ini, kicau minor dan
pekik gagak hitam masih lagi menggema.
Sama seperti ketika di pagi-pagi hening hujung fajar,
ketika tapak kakimu terawal melangkah
dengan suara pertama yang mengejutkan.

Aku masih ingat kepal nasi dan telur,
sos dan kicap, jadi bebola ditanganmu.
Nantinya disuapkan ke mulutku dengan
diiringi pesan-pesan malaikat dari hatimu
yang bersih, meminta aku, kami, anak-anak sepupu yang ada,
agar nanti menjadi manusia.

Meniti dunia dengan imbang yang setara.
Jangan bercakar kalau tak dihadirkan kaseh sayang bersama.

Tetapi engkau pergi pada 1994, terlalu lekas
bersama insan-insan manusia di dalam-mu yang terus dibawa ke kuburan,
menanam sekali mereka di dalam satu liang. Meninggalkan kami.
Dan aku tiba-tiba terhumban ke ruang rindu paling dalam, sejak itu.

Bertahun-tahun aku tak pernah menjejak kaki
dipinggir tempat kau bersemadi.
Barangkali, kau kerap saja memerhati kami dari langit;
tentang sikap kami-kami yang semakin menyusut terhadap
pesan-pesanmu. Kebodohan dan kebanggaan baru.

Aku dan mereka tak lagi mengerti nilai, kerinduanku.
Apatah lagi untuk belajar menelan ego dan ketololan sendiri.
Kepala makin besar. Malang, otak menyempit,
tak sempat tumbuh matang
menelan masa yang tersisa.
Sepertimu.

Aku merindui segalanya tentangmu;
suara keras jerkah, rotan ditangan sentiasa, selendang di atas kepala secebis. Ketakutan adalah teman dan guru yang baik.

Kerana sinar diwajah itu, aku tak pernah ingat tarikh matimu.
Tetapi, kerinduanku, kamu tetap memelihara aku.
Kerana kau masih ada.


- 5 Oktober 2010.

Malam-malam di Sukhumvit

Dua malam di Bangkok. Hujan menyimbah bumi Thai sekejap-sekejap, perlahan dan tak gopoh. Tidak seperti sebelum-sebelum ini, aku hanya banyak menghabiskan masa di bilik dan membaca.

Tak lagi ghairah untuk melihat penari-penari tiang yang gebu-gebu di Patpong. Tidak juga datang dengan poket tebal, melayar malam ke Suan Lum atau apa saja pasar-pasar tempat orang menjual dunia kepada orang datang.

Malam-malam aku di sana hanya terperap di bilik 1701, Hotel Lotus di daerah Sukhumvit, tengah Bangkok. Pasar mega Emporium tidak memikat. Gerai penjaja makanan nampak sedap, tapi aku tak berselera makan.

Lorong-lorong belakang sekitar hotel, kata orang, ada pusat-pusat urut 'haram'. Aku tak faham istilah-istilah moden yang meminjam label dua kata ini - halal dan haram - untuk meperlihatkan moral mana yang bagus dan mana yang tidak. Semuanya dicelaru.

Tetapi, ketika meninjau dan melimpas kawasan ini, orang akan faham. Perempuan-perempuan bermuka suci dan berkulit halus melepak siap menunggu dan memanggil - dengan lembut dan sopan - katanya, semua urutan boleh saja dilunaskan, termasuk yang kemarukkan bergeli-geli dengan perempuan Thai. Aku hanya senyum dan melambai di awal malam dari balik kaca.

Di tepi jalan besar berseberangan dengan pusat beli-belah mewah Emporium ada sebuah syurga dunia yang menanti. Elite Used Books, aku bertemu dengan buku kulit keras tulisan Barry Miles, William Burroughs: El Hombre Invisible. 200 Bath, murah. Terima kasih kepada orang-orang Barat yang meninggalkan buku-buku mereka ketika berjelajah.

Kedai buku kecil ini mengundang ghairah yang tinggi. Tidak hanya buku-buku popular yang bersepah. Buku-buku penting lain turut tercelah, malang kerana dalam bahasa-bahasa lain juga yang tak difahami; Scandinavia, Sepanyol, Itali, Jerman, Russia dan lagi dan lagi. Sebuah buku sajak Octavio Paz dalam bahasa asalnya juga ada tersimpan. Tak mahal untuk sebuah buku yang sukar diperoleh, 450 Bath.

Aku singgah dalam sisa-sela masa yang ada semalam, selepas selesai sesi kerja di litar Bridgestone Proving Ground, dua jam perjalanan di luar Bangkok. Malamnya hanya larut di dalam dunia penulis mentor kepada Genarasi Beat ini - William Seward Burroughs - yang kerap terjurumus dalam banyak masalah; dadah, tak ada kerja, tak pernah yakin sebagai penulis, menembak mati isterinya ketika melawak dan bergulat dengan nafsu homoseksual, antara lain. Penuh warna-warni dan tunggang terbalik yang kemudian menjadi energi penulisan yang tegang. Campur baur gaya Harvard dan bahasa perleseran tepi jalan kota-kota besar dunia.

Bilik aku turut ditemani Michel Houellebecq, Ted Kooser dan filem Troy, merentang malam yang agak janggal sunyi untuk sebuah kota yang selalunya hiruk-pikuk dengan gema dari bilik kebal rahsia.

Sampai terlelap. Sampai terjaga semula pagi tadi dan meninggalkan kota gajah Bangkok.

Semoga berjumpa lagi.

- El Hombre Invisible.

- Teman tokei kedai buku terpakai Elite, Sukhumvit.

Sunday, October 03, 2010

Kaseh



Kepada sesiapa saja pemilik asal buku-buku ini, aku ucapkan terima kasih. Tak ada nama di mana-mana muka surat semuanya. Tak ada tarikh pembelian atau apa-apa saja contengan yang akan mengingatkan aku kepada kamu.

Tetapi, sebagai tanda hormat, aku akan tetap membiarkan lipatan-lipatan muka surat yang menandai bacaan-bacaan kamu sebelum ini.

Di atas lantai, semua judul-judul ini terduduk diam. Aku mengangkat semua, meninggalkan semula satu-dua judul yang tak cocok.

Agaknya pemilik koleksi buku-buku sajak ini sudah berpatah arah dan putus asa dengan sajak. Mungkin juga dia mat salleh, yang tak mahu pening-pening mengangkut semua ini untuk berpindah. Kerana, koleksi penyajak yang ada itu, aku tak merasakan penggemar-penggemar puisi, terutamanya orang tempatan, akan sanggup menghabiskan duit untuk eksplorasi nafsu sajak-sajak mereka. Jika ada, tentu sekali sajak-sajak yang tersiar di Mingguan Malaysia atau mana-mana penerbitan utama misalnya, tidak akan menjadi sebegitu banal seperti yang dilihat sekarang.

Aku juga dipertemukan dengan nama-nama penyair kontemporari utama lain, terutama dari Amerika Syarikat melalui koleksi ini. Ted Kooser rupa-rupanya tak mengecewakan. W.S Merwin juga boleh dijamah sedikit-sedikit. Akhmatova, penyair Russia bersama dengan teman dari lingkar St. Petersburg, Osip Mandelstam memang mencatat kegerunan dunia di abad ke-20. Dan, Rainer Maria Rilke tak perlu diperjelas lagi - Sonnets to Orpheus adalah antara dua buku terakhir yang disiapkan, empat tahun sebelum dia mati.

Kepada yang baik hati itu, terima kasih sekali lagi. Terima kasih kerana membolehkan aku bertemu dengan ruang atmosfera baru sajak dunia tanpa perlu memecah tabung.

Sekejap lagi akan ke Bangkok. Pastinya satu-dua judul di atas akan mengikut sama merentas awan dan jarak yang memenatkan. Harapnya ada tenaga baru ditemukan dari celah-celah perkataan yang disusun.


Michel


Michel Houellebecq yang menulis dalam bahasa Perancis ada masalah dengan Islam. Dia juga dalam rentang waktu beberapa ketika sebelum ini di dakwa di mahkamah kerana tulisan-tulisan yang berbaur perkauman; banyak antaranya adalah bersangkutan kesumatnya terhadap Islam.

Bagi aku, itu boleh difahami kerana, menurut kata-katanya sendiri, dia bukan sahaja seorang atheis agama, tetapi juga atheis politik. Dan, dia meraikan cinta; seorang penulis yang melihat dirinya sendiri sebagai sebahagian daripada kelompok the Romantics.

Pertentangannya dengan Islam juga adalah sekitar permasalahan ini. Bagi dia, seperti apa yang selalu tergambar pada imej Islam di media dan ramai penganutnya sendiri, agama besar dunia ini 'menghalang' kuntum-kuntum cinta itu.

Pernyataannya itu memang tak semuanya salah. Tetapi, seperti yang dinyatakan tadi, dia seorang atheis. Jadi, tak perlu bertegang urat bertekak tentang keberadaan Tuhan dengannya.

Walaupun aku tak bersetuju dengan pandangannya tentang Islam, tapi aku tetap suka orang ini; sebagai seorang penulis. Dia ada kiblat penulisan yang tersendiri dan begitu rigid dengan faham yang diyakini itu, walaupun selalu dibenci orang, antaranya media di negara sendiri. Tetapi, dia kisah apa.

Dalam The Paris Review edisi ke-194, Susannah Hunnewell mewawancara askar provokateur ini dengan panjang lebar dan mendalam, menyoal segala aspek berkaitan penulisannya yang banyak menimbulkan ketidaksenangan. Tentang Le Clezio, pemenang Hadiah Nobel sastera 2008 yang juga dari bangsa Perancis, dia menyatakan ini; "Aku belum pernah membaca (kerja-kerja) dia. Setiap kali aku cuba, tetap akan gagal untuk menghabiskan bacaan. Terlalu membosankan..."

Dan, agak mengejutkan aku sendiri, orang ini turut menyebut Malaysia di dalam wawancara berkenaan, daripada beberapa lagi negara lain yang diulang sebut seperti Thailand, Ireland dan Perancis sendiri.

Ini apa yang diutarakan tentang Malaysia:

SH: Pengeboman pengganas di Pattaya dipenghujung buku anda (Platform, novel ketiganya) membayangkan kejadian sebenar insiden di Bali setahun selepas buku anda diterbitkan.

MH: Itu tak sukar untuk diramal. Ia juga boleh berlaku di Malaysia, sebuah lagi negara Islam yang ramai pelacur untuk dilanggani orang Barat.

Jawapan sinikal ini tidak boleh tidak sepatutnya membuatkan kita bermenung antara keluhuran Islam dan realiti hari ini...

- The Paris Review, Fall 2010.

* Dengan ingatan kepada Amaluddin Zhafir, yang pertama kali memperkenalkan makhluk pelik ini kepada aku.


Friday, October 01, 2010

Ratna (1)

Malam tadi, yang ditunggu tak menjelma. Hari-hari terakhir September ini, Ratna tetap tak mahu muncul di depan mata. Tak juga terbayang di dalam kepala.

Meja kerja masih lagi berselerak dengan sampah sarap bayang-bayang yang tak pernah siap. Proses yang memenatkan, tapi aku belum melajak betul-betul untuk disakiti. Buku-buku bersepah tak tentu hala. Dan aku rupanya masih terjerat oleh keinginan untuk berkhalwat, menabur dosa pada buku-buku dan otak sendiri.

Merentang hari-hari pilu minggu lalu, Susan datang bercerita - tentang kesengsaraan. Tetap dengan nada optismisme ketika saraf-saraf dalam tubunya sedang dimakan barah. "Kau kena buat sesuatu. Sekarang!" Dan dia membayangi mimpi-mimpi larut malam. Tak ada yang mustahil. Tak ada yang pasti. Selain mati.

Aku hanya tergedang atas katil, menatap siling dengan kipas berpusing. Mata Ratna tak memancar sinar, barangkali sedang hanyut dalam luka lama. Dan, kerana kesepian itu, kertas-kertas di atas meja tak dihuni huruf untuk seketika.

Susan mungkin seorang kritik yang menghidupkan sastera, ketika ramai orang memaku dan memaki kesusasteraan di pintu gerbang agama-agama yang luhur. Penanya tak tajam, tetapi faham dan pemikirannya yang mengoyak ego walau mereka marah-marah.