Monday, February 04, 2008

Perlu haram buku?

Setiap kali perintah pengharaman buku dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), ia tidak pernah disertakan dengan satu ulasan sebab yang kukuh yang membawa kepada tindakan tersebut. Kebelakangan ini, yang ada cuma alasan pendek – ‘kandungannya boleh memesong akidah’ atau ‘tidak selari dengan ajaran Islam’ – sekurang-kurangnya kerap begitu bunyinya.

Dulu, ketika di Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006 – di ruang pameran KKDN, saya ada terpandang buku The Prophet tulisan Kahlil Gibran yang diklasifikasikan ‘haram’. Saya usulkan soalan, bertanyakan mengapa ia diharam. Menysusul lagi selepas itu ialah soalan-soalan tambahan seperti ‘apa yang dituliskan oleh Gibran’ dan ‘di bahagian mana dia mencatatkan perkara tersebut sehingga sampai ke peringkat haram ini’ kepada pegawai bertugas. Seingat saya hari itu, tidak ada satu pun soalan yang mampu dijawab dengan meyakinkan – langsung tidak dijawab. Oh, silap. Ada jawapannya - “tak tahu”.

Peristiwa seperti inilah lama-kelamaan yang antaranya meyakinkan saya untuk tidak bersetuju sepenuhnya dengan langkah pengharaman buku oleh kementerian.

Perkara sama juga berlaku minggu lalu apabila KKDN mengumumkan 11 lagi judul buku (yang semuanya berkait perihal Islam) yang digazet untuk diharamkan daripada beredar di Malaysia. Antara masalah yang timbul ialah sampai ke tahap mana khalayak di negara ini harus ditentukan apa yang patut mereka baca dan apa yang tidak? Tindakan pengharaman ini adalah langkah keterbelakang dan mundur yang pernah dianjurkan oleh sebuah negara yang dilihat maju fizikalnya seperti Malaysia.

Ia juga adalah petunjuk bahawa ada golongan di negara ini yang bersikap anti-intelektualisme dan mahu mengepung minda masyarakat dengan perkara yang remeh saja. Ia juga, dari satu sudut seolah memperlekeh kemampuan anggota masyarakatnya untuk menjadi lebih mandiri, yakin dan mampu berdepan – atau mengikuti – dengan lebih dekat pergolakan debat yang rancak mengambil tempat diperingkat dunia – global. Pengharaman buku-buku ini (yang kebelakangan ini banyak berteraskan Islam) lagaknya sama seperti memencilkan diri di dalam dunia sendiri saja. Adakah gambaran ini yang mahu dipotraitkan untuk orang Islam? Dan, paling jengkel, kepada mereka yang berhasrat untuk mengetahui perkara ini juga kini dinafikan hasratnya kepada ilmu berkenaan.

Jika ada buku-buku yang dikenal pasti menyeleweng – contohnya - saya tidak rasa ia perlu diharamkan terus. Tanggungjawab selepas itu adalah pada mereka yang merasakan ‘ancaman’ berkenaan untuk menjelaskan pandangan atau membalas hujah itu secara berilmu. Projek mengharamkan buku ini hanya menunjukkan sifat ‘kalah’ mereka kerana tidak mampu berdepan dan menjawab perbincangan yang diajukan di dalam buku-buku berkenaan? Adakah maksudnya itu Malaysia kini sudah ketandusan ilmuwan yang besar jiwanya dan hanya tinggal ‘pendekar yang tak pandai berpencak’?

Seharusnya khalayak yang ada hari ini diberikan peluang untuk berkecenderungan menggunakan akal dan terlibat secara langsung dalam proses dan budaya ilmiah yang telah lama mati sejak dulu.

Siapa tahu, nanti akan bermunculan karya-karya yang terinspirasi dari buku-buku seperti ini, seperti mana pernah buku Islam dan Pluralisme menginspirasikan novel Tuhan Manusia oleh Faisal Tehrani? Mungkin, saya katakan mungkin saja.

11 buku yang baru diharamkan ini pastinya akan mendapat populariti melonjak. Khalayak pembacanya juga barangkali berkembang. Dan KKDN seperti biasa, hanya melaungkan pengharamannya tanpa ada sebarang penjelasan bernas. Saya sudah jelek dilayan seperti orang yang tiada akal dikalangan orang-orang berkuasa yang cenderung untuk bertindak tanpa akal yang dalam – dan tanpa rasa hormat.

- 4 februari 2008

1 comment:

Unknown said...

maybe kementerian wants us to read novel2 jiwang, no?