Sunday, January 16, 2011

Minda

'Cerita-cerita mencabar minda.'

Saya tak faham pernyataan (atau peringatan) seperti itu, apa lagi kalau itu yang ditampilkan di muka-muka awal sesebuah buku. Lagi-lagi kalau ayat sama terpampang di kulit depan. Ini, bagi saya, memberi isyarat yang salah. Semakin ditenung-tenung, ia boleh saja menjadi sebuah pernyataan poyo.

Agaknya, yang cuba ditonjolkan hanya satu; "buku ini tidak sama dengan buku-buku lain yang diterbitkan. Buku ini ada hikmah tersendiri, hidup imajinansi, ada jalan falsafah yang sudah lama direntangi oleh penulisnya dan membantu dalam proses membangunkan cerita-cerita ini."

Tetapi, bila saya mula membaca - dimulakan dengan cerita-cerita yang katanya ada teknikaliti tertentu dan aplikasi teori yang aneh - saya masih gagal menemui nada-nada atau pelajaran yang lunak tentang fiksyen. Banyak khutbah yang diulang-ulang (walaupun sang pengarang cuba untuk tidak mengakui), disorok dengan sedikit latar yang langsung tidak 'mencabar', memetik bacaan-bacaan yang ditemui dalam proses penulisan itu - misalnya jalan-jalan sejarah - kemudian di bancuh dengan yang namanya kepengarangan dan siap; sebuah cerita yang kononnya dibangun daripada landas ilmu yang membawa kebaikan, dan, sudah tentu, memancar sama kebenaran.

Tetapi, yang ada, menurut mata saya tanpa prejudis, tak banyak yang baru. Masih di situ-situ juga. Masih ingin memberitahu bahawa yang menulis itu ilmunya lebih tinggi dari yang menghadap tulisan, tetapi bukan dengan tulisan atau cerita-cerita itu sendiri melainkan ayat-ayat peringatan awal di muka depan.

Pengalih tumpuan. Semacam ingin menggerunkan pembaca, tetapi nil. Yang tercetus hanyalah satu jurang, sebelum si pembaca sempat menelaah dan membangunkan pandangan bahawa cerita-cerita sebegini perlu diambil serius. Tetapi, bagi saya, gayanya lerai. Penyataan yang diletakkan agar yang membaca merasa tidak berada di tahap sama seperti si pencerita. Tembok yang awal-awal dipasang itu untuk mengalih dan mengepung tumpuan pembaca ke satu sudut, untuk percaya. Tetapi, bila kita berani untuk berdepan dengan tembok berkenaan, ia rupa-rupanya bukan simen atau batu. Ia air yang meruap dan meninggalkan perkara-perkara nyata sebaliknya.

Penulis-penulis tempatan ada yang sukakan pernyataan seperti ini. Misalnya, Uthaya Sankar SB melalui Rudra Avatara ada menyelit frasa sama. Faisal Tehrani di dalam Tiga Kali Seminggu juga menyatakan.

Agak menghairankan, mengapa frasa sebegitu jadi tanda aras untuk membangunkan pandangan awal terhadap sesebuah hasil tulisan yang dicanangkan, lebih daripada kekuatan tulisan itu sendiri. Mengapa mengingatkan? Khuatir pembaca akan terkejut dengan kepetahan dan kemurnian gaya berbahasa yang digunakan?

Cerita-cerita fiksyen yang baik (kualiti, bukan moral) akan terus pernafas, akan ditangkap pembaca untuk dinikmati. Tak perlu peringatan daripada sang penulis, seolah-olah dia sendiri yang sedang menilai tulisannya - dan mengatakan ia berada ditingkat yang lain - ketika orang belum pun membaca.

Saya tak ingat mana-mana penulis luar, dengan nama, perjalanan hidup atau mungkin pandangan falsafah yang sudah benar-benar teruji (walaupun kebanyakkannya meninggalkan legasi untuk dianjakkan lagi), yang mengingatkan pembacanya bahawa tulisan yang akan dihadap itu bakal mencabar minda.

Sudah tentu kerja menulis, dan sebuah hasil tulisan itu prosesnya memerlukan otak. Lain kalau di negara ini orangnya lebih suka bermalas-malasan merenung dan membangun keyakinan dengan otak sendiri.

'Cerita-cerita mencabar minda.'

Apa itu, kawan?

3 comments:

roslan jomel said...

i pun tak tau. cerita bohong, pandailah i tulis.

106, contoh cerita bohong. :)

Jong said...

Salam,

Terima kasih atas ulasan jujur.

'Cerita-cerita mencabar minda.' adalah blurb yang disediakan penerbit. Gelar 'Dr' juga diputuskan oleh mereka untuk dicetak bersama.

Jika maksud sdr untuk mengatakan saya perasan bagus dengan karya saya, maka saya terima, kerana kritikan saudara telah membuktikannya.

Sekali lagi, I am honoured.

Jelir said...

RJ - Cerita bohong harap-harap jadi cermin retak. Kerana bohong terbeban dengan realiti.

FT - Rileks. Catat ringkas saya ini bukan untuk menilai atau menghukum (walaupun bunyinya keras). Saja bertanya, kerana saya gagal untuk faham 'label' sebegitu. Kalau katanya penerbit yang meletak, saya faham. Sedikit menjawab kegusaran saya tentang hal ini.

Saya membaca 'Tiga Kali Seminggu'. Ada sisi yang enak, ada juga yang kecewa. 'Antiplot' misalnya. Saya memulakan cerpen itu dengan keghairahan yang tinggi - seperti yang kamu cadangkan dalam Catatan Pengenalan - tetapi tersadai dihujung seusai membaca.

Tapi, tak apalah. Cakap-cakap saya serupa ini tak penting, barangkali.

Selamat mengerjakan penulisan, lagi.