Monday, June 16, 2008

'the malays' selepas 3 dekad

14 Jun 2008

Petaling Jaya, – Bekas tahanan ISA dan juga figura pemikir ulung tempatan, Dr. Syed Husin Ali minggu lalu telah melancarkan edisi baru bukunya yang berjudul ‘The Malays – Their Problems and Future’.

Buku tersebut yang sebelum ini pernah menemui khalayak sekitar 30 tahun dulu kini diberi semakan semula oleh beliau dan diterbitkan oleh penerbit The Other Press, Kuala Lumpur.

Syed Husin menyatakan bahawa, walaupun buku ini ditulis dalam tempoh tahanan beliau di Kemunting sekitar 1970an, namun kandungannya masih lagi tidak banyak berubah – seputar permasalahan masyarakat Melayu dan persekitarannya. Dengan ini, menurut beliau sendiri, buku yang sama masih lagi mempunyai tapak dan relevansi yang kukuh untuk diperkenalkan dan direnung semula.

Dipasarkan dalam kuantiti terhad dengan kulit tebal buat masa ini, pihak penerbit juga menyatakan yang buku ini bakal terbit dalam versi ‘paperback’ serta edisi Bahasa Malaysia juga akan turut menemui pembaca dalam masa terdekat.

Majlis pelancaran berkenaan diadakan di Hotel Armada, Petaling Jaya dan disempurnakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara ironinya juga merupakan teman ‘tahanan’ beliau di Kemta ketika itu.

Di dalam ucapan pembuka, Dr, Syed Husin mengimbau kembali kenangan pahit manis ketika ditahan dan menjelaskan dengan agak terperinci tentang apa yang disifatkannya sebagai masalah masyarakat Melayu dan mahu atau tidak, ia menyingkap sama kritikan terhadap dasar pemerintahan waktu itu dan berlarutan sehingga hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan Dr. Syed Husin Ali sebagai intelektual publik tempatan yang mengiringi nama-nama besar lain seperti almarhum Prof. Syed Hussein Alatas, almarhum Rustam A. Sani, Prof Naquib Alatas dan ramai lagi angkatan berkenaan yang mahu bergelut dengan masalah setempat dan masyarakat sekeliling.

Sama seperti buku Mitos Peribumi Malas tulisan Dr. Syed Hussein Alatas, buku ini juga boleh dianggap sebagai sebuah lagi kajian dan renungan yang menjawab kepada magnum opus kelompok UMNO yang pernah mengutarakan isu sama dari pandangan berbeza dengan dua buku lain iaitu Dilema Melayu (Dr. Mahathir Mohamad) dan juga Revolusi Mental (Senu Abdul Rahman) dulu.

Seperti yang dimaksudkan oleh pengarangnya, semoga buku ini dapat membuka lagi sisi baru kepada pembentukan sosial masyarakat Malaysia yang baru.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, M. K. Rajakumar serta barisan tokoh pemikir serta penulis-penulis besar negara.

...

No comments: