Wednesday, June 18, 2008

hal-hal kesihatan dan kewajipan terdampar


Buku yang berjudul ‘Stupid White Men (2001)’ adalah hasil kerja pertama Michael Moore yang membuatkan namanya mula kerap disebut-sebut di rantau ini. Sesuai dengan semangat liberal dan terbuka di Amerika Syarikat, Moore menghentam apa yang lihatnya sebagai pengaruh elit kulit putih – terutama dari negaranya sendiri – yang lebih banyak ‘merosakkan’ daripada membawa ‘perkara-perkara manfaat sejagat kepada dunia’ walaupun dari pandangan mata biasa, perkembangan di sana seolah membawa banyak kebaikan. Namun bagi Moore, itu semua kosmetik.

Moore memperolokkan Presiden George W. Bush sehingga kepada tahap humor paling tinggi, yang jika perkara sama dilakukan di sini sudah dianggap keterlaluan.


Bidang penulisan dan juga filem menjadi pentas utama Moore meresapi masyarakatnya. Dan dengan kelantangan humor beliau, dia lantas dilihat sebagi seorang aktivis yang aktif dan benar-benar bersuara untuk masyarakat kebanyakan. Antara sisi paling keras dia bersuara adalah tentang penghantaran tentera Amerika ke rantau Asia Barat, termasuk Iraq waktu itu.

Dalam maksud lain, sisi pandangan Moore adalah bercanggah dengan apa yang mahu dipertontonkan oleh pemerintahnya kepada warganya. Dan kehadiran Moore benar-benar mengganggu kerana dia juga mahu orang berkongsi sudut penglihtannya berkaitan isu-isu besar yang berselubung di dalam kain sarong Amerika Syarikat. Untuk ini juga, Presiden Bush menyuruhnya untuk ‘mencari kerja yang betul.’

Dua filem dokumentari terawal Moore, jika kita masih ingat dan tahu, banyak memaparkan isu sensitiviti Amerika. Di dalam Bowling for Columbine (2002), Moore menyelami insiden pembunuhan pelajar di Sekolah Tinggi Columbine, Colorado oleh dua remaja yang digelar ‘trenchcoat mafia’ pada tahun 1999. Kemudian insiden 9/11 seperti memberi rahmat kepada Moore. Sekali lagi beliau membikin filem dokumentari – dengan teori dan temuramah – bagi menyangkal versi rasmi penceritaan malapeteka itu di dalam filemnya, Fahrenheit 9/11.

Dalam dokumentari arahan terbarunya – Sicko – Moore masih mengekalkan momentum aktivisme yang kuat. Kini, Moore melalui pendekatan dokumentari yang sama menyelongkar penipuan tentang apa yang disifatkan sebagai industri kesihatan di sana. Moore memulakan filem ini dengan kepedihan realiti. Para pemegang insurans kesihatan dengan sengaja ditolak permohonan mereka untuk mendapat dana bagi tujuan pembedahan, misalnya. Apa yang menjengkelkan, gergasi-gergasi korperat yang kononnya menjaga kebajikan kesihatan rakyat inilah dengan sikap tidak bermaruah menafikan semua janji dan tanggungjawab-atas-kertas dengan macam-macam alasan. Dan mereka ini mendapat sokongan pemerintah – atau orang berkuasa.

Moore merapati pihak-pihak teraniaya ini. Dia mewawancara dan melibatkan semua koresponden ini dalam Sicko. Kemudian, Moore bersama sekumpulan pesakit yang memerlukan perhatian ke Kem Tentera US di Guantanamo Bay. Di sana, seperti yang diketahui Moore ada menempatkan kelengkapan kelas satu bagi tentara Amerika dan tahanan. Tanpa protocol, dengan sebuah bot kecil mereka mendekati tebing Guantanamo. “Kami warga Amerika. Kami ke sini untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan. Tidak perlu layanan lebih, cukup sekadar sama dengan apa yang penghuni kem ini terima.” Suara Moore dari corong hailer tidak bersambut. Bunyi siren kecemasan bergema dan mereka pulang dengan hampa.

Destinasi seterusnya – Cuba. Mereka mendarat dan agak mengejutkan Moore sendiri, mereka disambut dengan mesra oleh warga negara komunis itu. Tambah mengharukan lagi, pemeriksaan kesihatan yang mereka terima itu – sebagai orang luar dan warga negara seteru politik Cuba – adalah percuma!

Kaget dengan ‘penemuan’ ini, Moore menjelajah ke Eropah pula. Di Perancis, Moore terkejut lagi dengan maklum balas yang diperolehnya. Industri kesihatan ditanggung pemerintah secara total dan warga negara termasuk juga pemastautin layak menerima skim kesihatan yang juga percuma!

Dalam satu wawancara dengan sebuah keluarga kecil di tengah Perancis, Moore bertanya dengan perbelanjaan dan kos sara hidup mereka. “Wang kami dibelanjakan untuk makanan dan sayuran serta sewa rumah. Selebihnya kami gunakan untuk melancong.” Di sebuah lagi rumah, seorang ibu dan anak kecil yang sedang merengek didekati Moore. Seorang lagi wanita lain masuk, dan Moore bertanya siapakah dia. Jawapannya, perempuan itu tadi ialah ‘pembantu rumah’ yang dihantar oleh pihak pemerintah untuk membantu si ibu yang mempunyai bayi kecil untuk menguruskan rumah tangga, termasuk memasak – dan tiada caj langsung untuk si ibu itu!

Moore resah dengan penemuan itu. Beliau sedih dengan nasib orang di Amerika Syarikat yang selalu bermegah diri. Mereka dieksploitasi, ditipu dan dipermainkan harapan dan impian mereka untuk hidup tenang. Semua perkara ini dilakukan oleh pihak yang sepatutnya menjaga kepentingan mereka.

Dan kita, selepas menonton filem dokumentari ini akan ditinggalkan dengan satu soalan, bagaiamana sebuah negara komunis dan sosialis lebih mulia layanannya kepada masyarakat mereka berbanding satu negara yang kononnya gah maju dengan ide-ide bebas? Kemudian, disusuli pula dengan percikan ini; di Malasysia pula bagaimana layanan yang kita terima? Negara kita juga kaya.

20 Mei 2008

No comments: