Friday, March 09, 2007

perbualan yang meresahkan…

Kelmarin, saya terlibat dalam satu sesi sembang-sembang dengan seorang lelaki separuh abad yang saya pertama kali bersua. Kebetulan ketika itu orang yang sepatutnya saya temubual belum sampai lagi. Kami pun berbual sementara mengisi masa sunyi berkenaan.

Banyak topik-topik ‘berat’ yang diusulkan, tetapi semua itu dalam keadaan paling santai dan tenang. Orang itu pun bersahaja dengan hilai tawa kematangan.

NSTP

Satu daripada perkara itu adalah berkaitan media di Malaysia. Dia memandangn tag NSTP yang tergantung di leher saya dan saya yakin, itulah yang menjentik fikirannya untuk membuka perbualan berkenaan media itu.

Orang ini, yang saya panggil Cik Mat, terus saja membuka ceritanya berkenaan suratkhabar NST ini. “Saya dulu minat sangat baca NST ni. Artikel dan tulisan-tulisan dia kritis dan membina,” ulasnya pendek. Namun itu ketika zaman-zaman penulis veteran yang memimpin. Mungkin masa A. Kadir Jasin, mungkin juga era kolum Salleh Ben Joned. Itu saya tidak tahu.

Tapi menurutnya semua itu berubah – lanskap – akhbar berkenaan merudum imejnya pada panadngan peribadinya bermula era pemecatan Anwar Ibrahim

“Masa tu, NST nampak jelas sebagai berpihak. Itu satu hal dan saya tak kisah. Masalahnya, tulisan-tulisan dalam akhbar itu seolah menghina pembaca. Mereka buat macam kita ini tak tahu apa-apa, memperbodohkan pembaca !” itu luahan keras yang saya hidu dalam bual tenang tengah hari itu.

Bermula daripada itu, Cik Mat ini tidak lagi membaca NST. Saya juga menyokong pernyataan dia yang mengatakan jumlah jualan NST semakin merudum. Saya tidak ada angka statistik untuk membuktikannya. Dan itu pun bukanlah penting sangat kepada kita. Cuma, jika dilihat perkembangan semasa, orang lebih gemar membeli dan membaca terbitan akhbar Inggeris lain seperti The Star dan The Sun yang boleh diharap. Di samping itu, dia juga ada menyebut berkenaan Malaysia Today yang lebih memberangsangkan laporannya. The Star barangkali pernah menikmati era ‘emas’ hasil daripada pengiklanan! Ini kerana pesaingnya – NST – sedang bergelumang dengan rentak politik kotor yang siap dilakarkan dan kucar-kacir dengan pihak pengurusan yang turut dipolitikkan juga. Barangkali…

“Surat khabar sepatutnya telus, baru orang hormat… tell it as it is…” jelasnya lagi.
Mungkin benar NST sudah hilang banyak sokongan khlalayak pembaca. Kes saman blogger yang masih berjalan kini pun bakal menjadi satu bala kepada NST.

Proton

Dia juga meluahkan rasa resah dan sedih ke atas perkembangan Proton. Dia menyoal saya, apa yang saya fikirkan berkenaan Proton. Bagi seorang yang tidak banyak ambil pusing hal Proton ini, saya menjawab selamba bahawa Proton sememangnya memerlukan seseorang yang mampu dan faham untuk membuat ‘pusing balik’ dalam pengurusannya. Dia kata itu mungkin betul. Tetapi sebelum kita cari ‘seseorang’ itu, penting bagi kita untuk tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Dia bangga dengan projek itu – projek kebangsaan katanya. Tetapi dia sedih melihat perkembangan terbaru di Malaysia. Katanya kereta nasional itu yang diberi perlindungan di sini bukanlah kerana ia gagal bersaing. Cuma, yang dibangkitkannya adalah – Proton itu mahu diletak untuk bersaing dengan siapa? Proton bersdia dengan AFTA, itu bukan persoalan. Tetapi menurutnya lagi, ‘duri-duri’ dalam pasaran tempatan yang membunuh kembang biak Proton. Yang dimaksudkan adalah AP dan kereta-kereta murahan Korea. Di sana, atau Jepun, kereta luar jangan diharap dengan senang-senang akan dibenarkan masuk yang berkongsi pasaran dengan kereta keluaran mereka seperti Honda, Toyota dan sebagainya. Perbincangan untuk membawa masuk model luar boleh memakan masa setahun paling kurang!

Itu semua adalah tindakan dua serampang yang juga boleh di lihat sebagai langkah untuk melindungi pasaran kereta mereka. Mengapa Proton tidak boleh diberi perlindungan sebegitu di tempat sendiri?

Kata orang kualiti kereta Proton teruk. Cik Mat menganjurkan soalan ini; kualiti Proton teruk kalau dibandingkan dengan kereta mana? Jika diletakkan dengan nama Jepun seperti Honda dan Jepun, boleh diterimakah?

Perkembangan automotif Jepun sudah menjangkau ratusan tahun dan Proton baru saja berusia 25 tahun, bolehkah dibandingkan secara rasional berbezaan pengalaman dan teknologi dalam tempoh berkenaan?
Kualiti pun, mana-mana produk automotif dari mana-mana kelas ada masalahnya.
Katakan saja apa jenama dan teknolginya, pasti ada masalah!

Jadi mengapa Proton tidak dibolehkan untuk mendapat perlindungan ditempat sendiri? Itulah persoalan yang menghantui dia...

Subsidi petrol

Satu lagi bab menarik adalah berkenaan tarif minyak yang ditetapkan pemerintah. Cik Mat merasakan perlu ada rombakan kepada sistem subsidi minyak seperti yang selalu dilaungkan pemerintah bila saja mahu menaikkan harga minyak.

Kesnya begini, mari kita anggap yang pemerintah benar-benar memberi subsidi kepada rakyat. Ambil contoh kereta A dengan kapasiti enjin 1.0 dengan kereta B yang berkapasiti enjin 3.0. Tangki penuh bagi A hanya RM50 manakala B sehingga RM200 tanpa subsidi, katakanlah!

Lumrahnya, orang yang berpendatan kecil akan memilih kenderaan yang juga kecil – kerana itu saja setakat yang mampu. Subsidi ini niatnya diberikan adalah untuk membantu rakyat – murni niat itu. Semestinya, apabila perkataan ‘bantu’ itu digunakan, ia adalah secara objektifnya merujuk kepada golongan yang memerlukan. Betul?

Tapi kes subsidi minyak ini terbalik, pemerintah lebih banyak membantu golongan kaya berbanding yang sederhana dan berpendapatan rendah. Macam mana boleh jadi begini?

Katakan subsidi yang diberi adalah 50%. Bagi kereta A tadi, harga yang dibayar untuk satu tangki penuh adalah sepatutnya RM50. Dengan adanya subsidi pemerintah sebanyak 50%, bermakna hanya RM25 perlu dibayar oleh si pemilik. Bagi kereta B pula, hanya RM100 perlu dibayar oleh si pemilik dan RM100 lagi dibayar oleh pemerintah.

Sekarang, lupakan jumlah yang perlu dibayar oleh pemilik itu. Kita lihat angka yang dibayar oleh pemerintah melaui subsidi ini. Siapa yang sebenarnya dibantu oleh pemerintah?

Rasionalnya, kita membantu orang yang susah. Dalam contoh di atas, pemilik kereta A adalah lebih ‘susah’ berbanding pemilik kereta B. Tetapi apa yang berlaku adalah, pemerintah ‘membantu’ pemilik kereta B lebih daripada pemilik kereta A. Memang wujud teori bantuan di sini, tapi kenapa bantuan yang lebih diberikan kepada mereka yang tidak memerlukan? Semestinya si pemilik A adalah lebih memerlukan berbanding pemilik B!

Mengapa tidak dipakai konsep cukai jalan? Sekiranya kereta berkapasiti kecil, maka cukainya juga kurang jika dibandingkan dengan kereta kapsiti besar.

Persoalan rumusannya adalah, mengapa pemerintah memberikan bantuan dalam bentuk subsidi kepada orang-orang kaya dan berada lebih daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sepatutnya mereka terima di negara ini?

Atas alasan inilah sistem subsidi dirasakan perlu dirombak semula!

Sepanjang perbualan dengan cik Mat ini, saya ada juga bertanyakan latarbelakang pekerjaannya sebelum ini. Dia hanya sempat bercerita mengenai penglibatannya dengan Kompleks Kewangan sekitar tahun 1982. Selebihnya dia hanya menjawab yang dia bekerja di sektor koperat.

Tanpa saya sedari sebelumnya, saya bertanya kepada orang yang saya sepatutnya berjumpa dari awal lagi - Haidi. Menurut Haidi, cik Mat adalah bekas penjawat kedudukan tinggi dalam Proton. Dia adalah seorang daripada lima jurutera yang dipilih Mahathir ketika mula-mula menghantar kumpulan penyelidik ke England dulu.

Dari siti baru saya sedar mengapa dia begitu bersungguh dalam resah dan kematangan berbincang perihal dan perkembangan dalam negara. Dan saya juga baru teringat yang dia ada menyetakan bahawa dia banyak habiskan masa tinggal diluar negara... mungkin satu kebetulan dan ia kebetulan yang menginspirasikan! Terima kasih cik Mat, jumpa lagi...
- 9 mac 2007, pejabat-pj

No comments: