Wednesday, February 28, 2007

faktor suasana ceria

Baca Mingguan Malaysia Ahad lalu – 25 Februari 2007? Ada ungkapan yang baru saya dengar dan terus jatuh cinta! ‘Faktor suasana ceria’ atau kata asal Inggerisnya feel good factor.

Di dua tempat saya terjumpa perkataan ini; satu di artikel ‘Ekonomi: Mengakulah kita dilandasan yang betul’ tulisan Khairy Jamaluddin dan kedua 'Kenapa masih tidak yakin' – wawancara bersama Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua. Dalam kedua-dua artikel ini kedua-dua manusia ini bercakap berkenaan keteguhan dan perkembangan positif ekonomi Malaysia kini.

Itu asasnya, dan dua-dua manusia ini sekali lagi menjadikan RMK-9 sebagai satu lagi teras dalam hujah masing-masing.

Saya sempitkan pandangan kepada ‘kata baru’ yang saya jatuh cinta itu saja dalam ulasan ini dan bukannya keseluruhan artikel terbabit. Baca sendiri kalau nak tahu apa mereka berdua kemukakan.

Kata Khairy; “Alhamdulillah, belum sampai setahun RMK-9 dibentangkan di Parlimen, kerajaan telah berjaya mengembalikan faktor suasana ceria atau feel good factor yang telah tidak dirasai sejak pilihan raya umum 2004 berlalu. Suasana ceria ini pastinya berpunca dan bersandarkan kepada beberapa pengumuman angka ekonomi yang begitu menggalakkan, sekali gus membuktikan bahawa ekonomi negara hari ini berada pada landasan kedudukan yang lebih kukuh berbanding tahun lalu.”

Angka yang dimaksudkan selepas ayat itu adalah 1,278.22 – catatan indeks komposit.
Nor Mohamed Yakcop pula berpendapat; “Saya tidak nampak mengapa terdapat orang masih mempertikaikan angka-angka itu kerana faktor feel good nampak jelas. Saya yakin tidak ramai yang tidak percaya dan lebih ramai yang percaya.Selalunya yang percaya tidak sebut mereka percaya. Saya percaya bilangan yang mempercayainya (silent majority) lebih ramai.” Menyokong cakap-cakapnya adalah jumlah RM300 bilion dana dalam KWSP yang bakal dicapai dalam dua tiga minggu ini.

Saya mula memikirkan perkara yang remeh-temeh yang terpacul dari dua artikel ini. Sebabnya, kedua-dua manusia ini juga menggunakan bayangan yang remeh temeh dan tidak dapat ‘disentuh.’

Indeks komposit dan dana KWSP- apa perubahannya kepada taraf hidup khalayak umum negara ini? Apa perubahan dalam hidup anda dalam setahun dua ini, saya tanya? Adakah kos sara hidup semakin menurun sehingga membuatkan ramai yang mula senang hati?
Bagi saya tidak juga. Tak banyak perubahan yang dirasai.

Saya tertanya-tanya, bagaimana untuk menilai tahap kesihatan ekonomi oleh orang-orang biasa seperti kita semua? Kerana bila kita bertanyakan kepada ‘pakar-pakar’ ini, mereka ada terma yang sungguh sedap didengar dan kita terus terlupa realiti sebenar. Nak puaskan hati sendiri saja. Selain terma, mereka juga akan menggunakan angka. Dua ini saja senjata ampuh mereka yang acapkali digunapakai.

Sekali lagi persoalan yang saya ingin timbulkan, apa perubahan ke atas hidup kita semua? Harga barang masih tinggi – inflasi juga mungkin, kos sara hidup bukan main lagi. Itu belum lagi ambil kira nak kumpul duit kahwin, sampai tua kerepot jawabnya kalau nak diharapkan wang yang disimpan tiap-tiap bulan – sebab dapat tak lah seberapa…

Perkara remeh yang saya maksudkan tadi adalah; pertama – mengapa kenyataan kedua-dua orang berpengaruh ini sama saja? Kedua- artikel Khairy adalah pada muka enam manakala wawancara Nor Mohamed di muka tujuh – sebelah menyebelah.
Agak pelik juga merenung, saja suka-suka beratkan kepala.

Saya dapat menghidu bau-bau propaganda di sini. Mungkin dengan membaca buku Hikayat Khairy karangan Malaysia Today mampu memberi pembayang kepada ramai orang! Cuba korek balik artikel ini, dan lepas itu selak lembaran-lembaran dalam buku yang dinyatakan tadi. Skrip macam sama saja- hanya mereka yang terlibat sajalah yang tahu apa yang berlaku di sebalik tabir.

Bagi khalayak umum, teruskanlah menyaksikan drama-drama yang bakal diciptakan saban hari. Percaya atau tidak pada pernyataan mereka bukanlah persoalan utama di sini, tetapi realiti hidup sehari-hari di negara ini, dengan jurang kaya-miskin secara kuantitatif itu harus diperhatikan seeloknya. Angka dan terma, itu boleh jadi ikut sedap rasa nak bercakap atau pun skrip yang sudah di aturkan! Renunglah wahai kalian semua…


**Nota dalam tanda kuotasi diciplak terus dari sumber asal.
27 Februari 2007

1 comment:

Anonymous said...

mengapa tidak:)