Friday, October 20, 2006

ford telstar

Beberapa minggu terakhir ini, puas saya dedikasikan masa untuk memahami jiwa halus peminat-peminat kereta, terutamanya dalam bab modifikasi. Saya bukan dari kelompok yang sama, tetapi usaha yang diunjurkan untuk mendekatkan diri dengan golongan 'gila kereta' ini semakin dapat saya ertikan.

Pengalaman sehari-hari telah membuatkan saya jatuh cinta dengan kereta. Lebih mengasyikkan bila melihat kereta-kereta generasi lama yang diubahsuai. Itu fokus saya, walaupun saya tidak tahu-menahu tentangnya... sekadar minat dan suka saja. Peluang mencuba sendiri Mitsuoka MPV pun teramat puas. Selama ini hanya mampu merenung. Kereta kotak yang unik tetapi mahal... aduh, materialisme!

Petang tadi saya menemuramah Lan D, pemilik kereta Ford Telstar 1990. Siap diubahsuai dalam masa empat tahun. Kos termasuk penjagaan dan selenggara dari tahun 2000 hingga 2006 mencecah RM38K. Fuhh... Melihat kepada kesungguhan dan cinta yang mendalam, saya sedikit akur dengan jiwa mereka. Dunia mereka adalah kereta, dan saya perlu mengiktirafnya secara peribadi dan menghormatinya.

Turut ditemui siang tadi, Mr Brendan - AutoChild. Memberangsangkan cara kerjanya. Ketika dibawa menaiki kereta projek bengkel mereka - Putra 460 kuasa kuda - kecut perut yang amat. Di celah-celah jalan kecil dia memecut enjin turbonya! Gila mat saleh ni... layan walaupun saya cuak!

Apa pun, dunia baru ini tambah menyeronokkan saya. Kena pula bila ada majlis yang dianjurkan oleh kelompok-kelompok industri yang kaya-raya ini. Ada habuan, tumpang sekaki. Peluang ini terasa seperti ingin dimanfaaatkan. Baik dari sudut ilmu pengetahuan, kenalan, mahupun peluang bereksperimen dengan kereta sendiri (belum ada lagi la!).

Selamat Hari Jadi & Selamat Hari Raya Aidilfitri 2006! 1427 Hijrah

Saturday, September 23, 2006

hamba yang merdeka

Semalam, 22 September 2006, saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Configuration Engineer di Pentasoft. Lebih kurang tujuh bulan saya menyandang pekerjaan tersebut. Selama itu juga tidak banyak perkara yang saya rasa boleh dipelajari. Ramai yang dapat menjangkakan saya berbuat demikian, cuma masanya sahaja yang tiada siapa mampu meneka... termasuk saya sendiri.
Kalau dirujuk cakap-cakap bos dan penyelia, posisi itu mampu untuk membina laluan kerjaya yang baik. Terima kasih, dan saya tiada pula keinginan untuk menyelami norma-norma yang semungkinnya ada dalam menjalankan pekerjaan itu. Sebagai makluman, tugas saya adalah sekitar memastikan produk perisian insurans (yang mana itu merupakan fokus firma ini) tidak terdapat sebarang cacat cela sebelum ianya sampai ke tangan pelanggan mereka. Apa pun yang pengurusan cakap, baik dari segi pengalaman yang bakal ditimba, peluang mempelajari teknologi yang bakal mereka naik-taraf dan sebagainya, saya cuma dapat rasakan seperkara sahaja; mereka memerlukan seseorang untuk berada di posisi itu dan hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan sahaja - macam robot. Gembar-gembur manis mulut itu selebihnya sekadar mengaburi mata staf seperti saya ini - kerana tiada orang yang mahu berada di tempat saya tersebut.
Pertama, kerana sang pekerja lama yang seorang sahaja itu seperti cipan. Bagi saya, dia pandai membelit lidah dan cuba sedaya - upaya menyelamatkan diri sekiranya berlaku kesilapan di pihak kami. Badut sungguh makhluk itu. Saya sendiri, hanya sebulan pertama sahaja mengikut telunjuknya. Selepas itu... jangan harap. Sebab itulah dia suka benar jika ada staf yang baru masuk ke posisi itu! Tiga orang baru termasuk saya yang sempat saya jumpa, saya yang paling lama bertahan, seorang perempuan itu lekat tak sampai tiga bulan dan seorang lagi baru saja masuk - belum pun dapat gaji pertama - yang saya kira tidak akan bertahan lama! Haha.
Kedua. Untuk tanggungjawab dan waktu kerja yang tak tentu arah dan tak mampu dijadualkan, saya merasa gaji yang dibayar itu amatlah tidak wajar. Walaupun agak ok, tetapi tidak setimpal dengan komitmen, beban dan waktu bekerja yang saya lakukan. Itu pandangan saya sahaja... Tiada imbuhan lain selain gaji pokok semata-mata, tiap-tiap bulan! Ubat bolehlah minta ganti.. Kerjalah tunggang-langgang macam mana pun, jangan harap dapat lebih-lebih...
Baiklah, jangan meracau! Cukup-cukuplah. Perasaan saya dapat saya gambarkan seperti seorang hamba sahaya yang baru merdeka. Seronok bagai nak rak! Pagi jam 8.48am saya bersemuka dengan HR dan bos, secara terang saya kata dan terus hulurkan surat "cinta". Tidak banyak reaksi mereka, sekadar menerima sahaja keputusan saya - tersengeh-sengeh dan berkerut-kerut. Lega, tidak perlu bersoal panjang lebar. Ketika itu tiada seorang pun yang saya maklumkan.
Selepas saja kembali dari Solat Jumaat, bermulalah sesi mendapatkan kepastian daripada teman-teman sepejabat. Seorang demi seorang datang bertanya, talifon bukan main lagi sibuk dengan pertanyaan-pertanyaan yang sama. Ada yang ucap tahniah sebab akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti! Sukar diramal. Ramai yang bunyi macam terkejut. Ada yang naik atas untuk bergambar. Semasa nak balik petangnya, saya turun ke tingkat bawah, pening juga nak melayan. Dah macam ada keraian, semua bertanya dengan penuh curiga mengapa saya tiba-tiba angkat kaki. Di tambah pula yang minta email dan nombor talifon... sekelip mata itu saya menjadi figure. Tatkala itu juga saya senyum kambing kerana terasa diri seperti seorang artis kontroversi yang sedang dikerumuni wartawan dan mak nyah! Haha. Oh, hampir terlupa. Sempat juga saya bertekak sambil memaki hamun seorang manusia yang tak sedar diri dia yang buat salah. Sudahlah beradap, datang terjah sambil meninggikan suara. Silap oranglah kawan! Saya tempis segala tuduhannya, berdiri dari kerusi dan kemuncaknya saya maki dia. Saya buat begitu bukan sebab kurang ajar, tetapi saya yakin teramat yang saya dipihak yang benar. Bila keadaan makin panas, dia terkebil-kebil cakap perlahan menyuruh saya merendahkan suara... siapa yang mulakan? Memang sangat-sangat puas hati semalam... sungguh.
Apa pun, saya kini hamba yang merdeka. Untuk rakan-rakan yang masih di sana, saya ucapkan selamat maju jaya. Teruskanlah usaha untuk mencapai misi hidup kalian semua. Sampai berjumpa lagi...
- 23 September 2006 : 11.38pm - Sitiawan

ramadhan

Ramadhan menjengah kita lagi tahun ini. Tadi itupun baru saja selesai solat Tarawikh untuk malam pertama. Terasa tenang jiwa ini bila mengenangkan pertemuan ini. Cuma satu persoalan yang timbul: Mampukah aku menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya?
Bulan yang penuh keberkatan dan 1001 macam kebaikan. Di dalamnya, semua urusan Sunat akan diangkat menjadi Fardhu. Yang Fardhu pula semakin tinggi letaknya... semua perkara Fardhu itu dilipat-gandakan menjadi 70 kali balasannya daripada biasa. 15 Syaaban lalu - hari pertukaran buku amal semua manusia - yang lama digantikan dengan yang baru, 17 Ramadhan nanti pula adalah Nuzul Al-Quran, hari kitab Allah itu diturunkan kepada manusia.
Lainnya, ada janji Allah untuk kita bertemu pula dengan malam Lailatulqadar, malam dengan 1000 keberkatan. Dengan segala bentuk kebaikkan yang ada, berazamlah untuk kita akan terus mencari keredhaan Nya. Semoga tahun ini kita semakin dirahmati... dan yang paling penting jangan lupa diri. Kerana kita hidup untuk mati, hanya itulah tujuan hakiki.
-menjelang 1 Ramadhan 1427 H (Sitiawan)