Friday, May 04, 2007

pesta buku antarabangsa kuala lumpur 2007

Asyik. Aku tak boleh berada di PWTC buat ketika ini – ada ‘nikotin’ yang buatkan aku ketagih. Tapi – ironinya – setakat ini sudah tiga hari aku berkampung di sana !

Dari 27 April hingga 6 Mei 2007, siapa yang belum turun, bolehlah segera ke sana. Ada baki beberapa hari lagi. Apa pun, pesta tahun ini yang paling besar aku rasa. Tiga tingkat kalau tak silap, PWTC dibanjiri oleh buku.

Perlu dinyatakan di sini, walaupun banyak buku yang ada dan terpamer, tidak banyak yang betul-betul meruntun jiwa aku. Banyak buku-buku teks dan kerja sekolah. Itulah hakikat industri buku di Malaysia. Yang ilmiah tidak banyak – dan dihantui oleh harga yang bukan murah ! Inilah masalah aku.

Novel cinta basi bercambah bukan main, naik muak aku tengok. Yang berkerumun meneliti buku-buku ini banyak yang remaja, pelajar IPT dan mak-mak orang. Bosanlah. Yang aku cemburu, harga buku-buku ini murah, seronoklah membeli-belah. Cubalah bagi buku The Naked Lunch atau Junkies tulisan William S. Burroughs dengan harga RM10, melompat la aku! Tapi, nak jumpa buku itu pun payah.

Hari pertama aku pergi (Ahad-29 April), aku jumpa novel-novel klasik A. Samad Ismail di Creative Enterprise (empat buah buku aku rembat). Aku beli juga himpunan cerpen Usman Awang – Mereka Yang Terlibat dan Srengenge oleh Shahnon Ahmad di Dawama. Satu lagi buku yang aku sebat adalah Kalashnikov. Ini tak ada di jual di PWTC, aku jumpa Naga di sana – Sindiket Sol-Jah yang terbitkan sendiri.

Kali kedua aku pergi (Selasa-1 Mei) bawa keluarga. Saja nak bagi mereka faham macam mana dunia orang gila buku. Tapi seperti yang dijangkakan, keadaan cepat menjadi bosan. Adik-adik aku sempat beli satu dua buku yang mereka suka. Kira ok, sebab buku novel cinta khayal tak termasuk dalam senarai mereka. Bagus!

Keesokkan harinya (Rabu – 2 Mei), aku balas dendam lagi – aku pergi seorangan. Ini baru syok, jalan pun perlahan, penuh dengan penjiwaan… haha. Hari itu aku memborong tiga lagi buku – Susuk oleh Nizam Zakaria untuk Aida, Memeluk Gerhana oleh Isa Kamari dan Islam & Secularisme oleh Naquib Al-Atas (ISTAC). Dalam aku berjalan-jalan hari itu, tanpa aku sedari aku sekali lagi di bawah sedar telah membuat satu senarai baru buku-buku yang ingin dimiliki. Aduh…

Antara tajuknya; Young Muslim’s Guide to the Modern World (Seyyed Hossein Nasr), Siddartha (Herman Hess – Institut Terjemahan Negara) dan Dunia Sophie, The Reluctant Politician (ISEAS) dan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO – Memoir Mustapha Hussain.

Tak tahanlah. Aku rasa petang ni (Jumaat – 4 Mei) aku nak pergi sana lagi. Tengok-tengok, kalau terpancing, aku tabur jugalah duit di sana. Pokai sikit tak apa, khazanah nanti menimbun !
Kenapalah nafsu aku pada buku ni luar biasa sangat ?

4 mei 2007

sil-khannaz – revivalis metal


Sekian lama saya tidak menjengah premis-premis tempat gig diadakan. Peluang menyaksikan Sil-khannaz beraksi Sabtu lalu (28 April 2007) di Planet Hollywood kembali membangkitkan naluri ghairah saya. Sambutan 20 tahun band itu menyaksikan ramai juga khalayak dan kelompok metal – atau sekurang-kurangnya mereka rasa begitu – membawa bahang yang sukar dimengertikan.

Saya bukan mengamat metal dari dekat. Mungkin sedikit sebanyak perkembangan muzik ini diikuti. Petang itu, Sil-Khannaz tidak mengecewakan. Sedaya upaya mengumpulkan anggota asal mereka.

Sebuah persembahan yang ‘memorable’ saya kira, menobatkan Sil-Khannaz – di dalam bahasa saya sendiri – sebagai revivalis metal tanah air yang masih kental mahu berkembang.

Tidak banyak lagu mereka yang saya tahu, melainkan album-album ‘besar’. Album baru – Berdiri antara panji-panji (kalau silap maaf ok!)– belum saya jamah.

Saya hanya bersandarkan kepada pemerhatian individualistik dan reputasi mereka semata-mata. Jadi, tidak perlu melatah dengan catatan ini.

Ini satu contoh band yang saya rasa patut dihormati. Ketika banyak kugiran-kugiran lain yang seangkatan, mungkin yang lebih hebat teknikalitinya daripada mereka hanyut dalam pergelutan remeh-temeh dan perihal ‘bulu hidung’, ini antara band yang boleh diangkat sebagai panduan.

Untuk mencapai nama besar di arena muzik sempit seperti Malaysia, sesebuah band itu perlu ada pemahaman atau visi yang jelas. Jika gagal, ia hanya akan membawa kepada keangkuhan yang tiada manfaat. Kekal di satu-satu takuk dan berkhayal dalam dunia sendiri. Memang perlu ada attitude, tetapi jangan lupa satu lagi perkara yang amat penting yang jarang disedari – kepala otak yang tidak berkarat dan mahu berfikir. Jangan jumud!

Ini adalah antara faktor besar bagi saya yang membawa tahap tersendiri kepada Sil-Khannaz. Mungkin betul, mungkin tidak. Anda bebas untuk menyelar.

Tahniah Sil-Khannaz untuk 20 tahun perjalanan penuh liku. Semoga ia terus membenihkan inspirasi anjal buat lain-lain pihak yang saya percaya menyimpan impian yang sama – untuk berjaya melonjakkan nama masing-masing. Tiada jalan pintas, tekad dan jalan terus. Jangan toleh belakang!

3 Mei 2007

filem: naga tasek chini (1966)

Ini satu usaha realistik; mendekatkan filem tempatan – atau filem lama - dengan masyarakat. Atau mengikut kata Finas – Memasyarakatkan Filem.

Saya pergi menonton filem Naga Tasek Chini di Colliseum tengah hari Sabtu lalu (petangnya ke gig Sil-Khannaz pula!)


Ia adalah tayangan percuma! Pukul 12 tengah hari, Sabtu terakhir setiap bulan. Jika anda berminat menonton filem-filem bagus yang pernah dihasilkan oleh seniman Malaysia, sejak tahun-tahun 60an lagi, di sinilah tempatnya.

Naga Tasek Chini adalah filem hitam putih. Paling menarik hari itu, yang mendominasi panggung adalah kanak-kanak sekolah rendah! Satu rombongan dengan cikgu lembut mereka.

Ini pengalaman pertama saya menonton wayang gambar di Colliseum. Maklumlah, kalau hari-hari lain, siapa yang minat Rajinikant saja yang memenuhi tempat tersebut.

Hero dan heroin filem ini adalah Mustapha Maarof dan Latiffah Omar. Kedua-dua seniman ini masih bernafas lagi hari ini. Saya tidak berniat untuk memberi kritikan tentang filem berkenaan, tetapi lebih menumpu kepada suasananya, rasanya – setidak-tidak pun dari pandangan saya secara bebas dan unilateral.

Saya akui, kalau filem ini saya tonton dirumah dalam keadaan baring dipetang Ahad, sumpah saya akan tidur. Tapi ini Colliseum. Ini nostalgialah! Saya seronok tercanguk dua jam untuk mengikuti filem ini. Oh, kerepek pisang dan air mineral juga ada diberi percuma.

Sehingga hari ini, babak-babak dalam filem tersebut masih segar dalam kotak memori saya. Saya paling suka pada satu ketika, bila mana Mustapha Maarof mengajak Latiffah Omar untuk bercanda bersama diranjang - dibawah bulan purnama bagi menghilangkan sumpahannya. Dialognya lebih kurang begini; “Mari kita baring-baring sementara menunggu saat kita bersatu.” Lalu Mustapha Maarof membaringkan Latiffah Omar di atas ranjang papan dalam keadaan bersetentangan. Apa lagi, bukan main riuh lagi budak-budak sekolah tu, bukan main seronok! Tetapi, jangan risau, tiada adengan pornografi selepas itu…

Saya suka cara filem ini mencerminkan budaya masyarakat pada masa itu. Hidup susah, terpaksa mengikut kehendak si penjaga, kuasa ajaib, sumpahan serta macam-macam lagilah. Semua ini saya rasakan seperti terlalu dekat dengan jiwa nusantara.

Saya faham mengapa filem ini menjadi. Sebab ia sebagai ‘cermin’. Walaupun dipersembahkan dalam keadaan seminima mungkin, ia tetap sarat dengan jiwa. Walaupun naga yang keluar itu membuatkan saya berdekah kuat, saya juga harus sedar yang ia filem lama, tahun 60-an, mana ada CGI.

Saya yakin, lepas ini saya akan menjadi pengunjung tetap program ‘Memasyarakatkan Filem’ ini – kalau tak ada halangan lain. Saya teringin untuk menonton kembali filem Rahsia, Misteri Rumah Tua dan seangkatan dengannya. Pesan petugas petang itu, “kamu kena tunggulah bila sampai giliran filem tu dimainkan di sini.” Ok, saya tunggu, tak ada kalau… jaga…haha!

Ada lagi buah tangan hari itu; menatap wajah kedua-dua hero dan heroinnya. Ya! Mereka berdua ada menonton bersama. Satu poster bertandatangan yang cukup klasik dan nostalgia. Gambar pun ada sikit… tengoklah. Cayalah filem ‘sekolah lama!’ - 3 mei 2007