Malam minggu. Ruang tertutup Galeri Annexe awalnya agak meresahkan. Tak ramai orang yang hadir untuk sesi persembahan Meor & Friends di situ. Persembahan direncanakan sempena pelancaran album kompilasi terbaru Meor Yusof Aziddin - Kompilasi Kompilasi.
Ketika Arctop Soul di pentas, tak ada apa yang bakal berubah. Kerusi masih kosong. Tapi, katanya, persembahan masih berterusan. Mujur ada Via dan mungkin juga Hidayah, dua kuntum bungan yang sedikit membuat orang terjerit-jerit, setiap kali kelibat mereka di pentas, sehingga habis persembahan. Tetapi, entah disebabkan apa, ruang itu semakin dipenuhi perlahan-lahan.
Azmyl Yunor, dengan wit dan humornya tetap ceria walau hanya dengan dua anggota sahaja. "Biasalah, ada yang kenduri kahwin, ada yang sakit dan macam-macam..." katanya kepada ahli band Warga Kita (yang selalu mengiringi) yang tak ada malam itu. Tetapi, penyanyi folk ini tetap dengan semangat dan fokus tersendiri. Lagu-lagu dari album Warga menggema ruang dan gegendang orang malam itu.
Cats In Love mengubat jiwa-jiwa rock klasik (menurut mereka, muzik yang dimainkan 'mungkin cheeky rock'), dinikmati terutama oleh orang-orang seperti Peter Hassan Brown, Markiza dan juga Paul (Paul's Place). Kekal energetik, nada-nada ringkas rock masih membuatkan orang berdiri bulu roma. Bassistnya, Zul, mungkin karektor yang paling menarik untuk ditonton.
Dan, set Meor kemudiannya dibantu oleh rakan-rakan. RS Murthi (gitar), Jazlan (bass) dan Paul (dram) mengiringi persembahan santai mereka. Album berkenaan hanya diselitkan dengan satu lagu baru, Selapis Kaca. Lagu oleh Meor dan lirik oleh Jimadie Shah Othman. Kata Meor, dia memilih lagu berkenaan disebabkan ada perkataan 'Jibrail dan Syaitan' di dalamnya. "Untuk lirik bahasa Melayu, perkataan-perkataan macam ini jarang-jarang didengari," tambahnya.
Dari pentas, dengan sepatah dua kata yang tersekat-sekat antara lagu, sesi jamming malam itu melabuh tirai dengan keriuhan - termasuk persembahan impromtu instrumental blues dengan melodian - menggamat, sekali lagi turut berseri dengan penampilan Via dan Hidayah.
Album penuh terbaru Meor dijangka akan disiapkan dan dilancarkan penghujung tahun ini, mengikut perancangan. Disertakan juga dengan pelancaran buku autobiografi Meor yang akan diterbitkan sendiri; buku keduanya selepas Sembang Tepi Jalan.
* Album Kompilasi Kompilasi dijual RM15.
No comments:
Post a Comment