Monday, December 27, 2010

Magnolia




Di hari ketika aku merasa desakan untuk tidak mematuhi kejujuran, sepasang bola mata ini bertegas untuk memasung lekap memerhatikan seorang perempuan, kulit cerah dengan wajah diketatkan kerana buat beberapa waktu ketika itu, dia sedang bekerja.

Dia berjalan, dari hujung pentas sana datang ke mari – ke arah sama mata aku sedang bersetentang – dengan liuk gemalai yang menghantar isyarat; “aku sudah bersedia untuk membiarkan mata-mu kembali menghinggapi setiap inci tubuh ini; kerana ia memerlukan teman bereaksi.”

“Aku nampak mata kamu, yang tak lari-lari. Tak takut juga dengan mata jalang aku yang dihantar untuk berlawan. Ada apa-apa aku boleh lunaskan?” Kata-kata dari kotak suara halusnya terpacul, ketika sedang menolak manja aku ke dinding, dan dengan bibir suamnya mengetap sebahagian cuping telinga kiri. Tak ada orang lain yang mendengar. Bilik air wanita itu dikunci dari dalam. Hanya beberapa titis air bocor dari paip terdengar jatuh berderai ke lantai.

“Pertama, tak ada nama yang perlu diketahui. Setuju?”

“Apa-apa saja. Aku menurut kata-mu.”

“Kamu tidak berada di sini hanya untuk memperagakan senyum mekar dan gemuruh dada bukan?”

“Tidak. Terutama dalam situasi begini, ketika aku boleh saja meruntuhkan iman-mu hanya dengan mengembalikan memori kamu terhadap seorang perempuan dari kalangan kami yang mati dibunuh, yang sebelum itu kamu tentu saja pernah menikmati kecantikannya melalui foto-foto anggun yang tersebar. Tubuhnya pernah kotor oleh tangan-tangan elitis negara-mu.”

Ketika dia belum sempat tiba difrasa ‘meruntuhkan iman-mu’, aku mengalihkan tubuhnya pula untuk disandarkan pada dinding, menghimpit dengan berat tubuh-ku yang sedikit melemaskan, dan dengan tangan yang sepantas kilat mengelus wajah putih itu sebelum jatuh tertahan di payudara yang sedang bergoncang. Tubuh yang tadi diterjah hanya oleh pandangan mata yang tajam dan nakal, kini sedang dirayapi oleh sepasang tangan dengan jari-jari merenyam. Merasakan kelembutan peha. Mengangkat sedikit tubuh ringan itu ke atas, memerangkap.

“Kita sama-sama mengintip, mengerjakan tugas-tugas dari dua tuan berbeza – mengungguli kepentingan yang berlainan – tetapi sekarang ini sedang terikat dengan desakan naluri yang sama. Kamu dan aku tahu itu,” bisik halus suara itu hinggap lagi dicuping, kini disebelah kanan, dengan ceceran saliva hangat tertinggal.

“Sekiranya kita pasti melakukan ini, berjanjilah kau tak akan meledakkan tubuh-ku sama. Jangan bunuh aku. Berjanjilah yang kita tidak hanya sekadar melucutkan kain pakai, tetapi turut melucutkan semua judul-judul atas nama negara yang sedang dibebankan ke atas kita masing-masing. Kerana waktu ini, memang tubuh-ku menginginkan pendamping.”

Ayat-ayat itu sudah cukup untuk merobohkan keyakinan terhadap hal-hal lain. Tak ada lagi istilah-istilah mulia yang sebelum ini pernah datang berselubung dengan tugas-tugas rasmi; keselamatan negara, rahsia kerajaan dan kepentingan umum. Semua berkecai di saat tubuh-tubuh mula bertelanjang.

Aku hanya mengingati hari itu dengan nama Magnolia. Sekadar sebuah nama yang bakal menghantui di masa-masa akan datang.


Thursday, December 16, 2010

Iran dan nuklear

Kepada yang berminat, baca terjemahan saya tentang esei panjang berkait kekalutan yang tercipta (atau mungkin sengaja dicipta) disebabkan tindakan samar-samar dan ketegasan Iran untuk membangun kemampuan nuklear negara itu. Tentunya berasal daripada sumber yang paling digeruni kini, WikiLeaks. Malaysia juga tiba-tiba menjadi sentral, sekurang-kurangnya yang menyentuh kepentingan di rantau ini, maka ramai juga orang yang tak senang duduk dengan idea penyebaran dan perkongsian ala WikiLeaks ini. Kebebasan maklumat sepenuhnya, tanpa rahsia. Kita tak dapat membayangkan itu, tetapi Julian Assange mengajar dunia tentangnya, terutama Amerika.

Kabel-kabel komunikasi Kedutaan Amerika Syarikat mendedahkan bahawa barisan penentang usaha nuklear Iran kini lebih meluas berbanding yang pernah diketahui sebelumnya. Dalam perbualan tertutup, pemerintah-pemerintah Arab mengusulkan agar ada langkah-langkah yang perlu diambil terhadap kelompok Mullah di Tehran sebelum mereka berkemampuan membangun bom nuklear. Tetapi tidak banyak maklumat yang diketahui sehampir mana Iran kini berada untuk membina bom nuklear.

Baca lanjut.

Monday, December 13, 2010

20:40



Pada 1999, The New Yorker mengeluarkan senarai penulis-penulis muda yang aktif menulis di Amerika ketika itu dalam satu siri khas 'Fiction', diterbitkan berasingan untuk isu-isu yang berlainan. Dan, antara nama mekar dan diingati dari dekad itu ialah Jhumpa Lahiri, yang menghantar manuskrip himpunan fiksyen pendek pertamanya - The Interpreter Of Maladies - sebagai taruhan. Dan memang selepas itu penulis wanita ini terus melonjak namanya dan memenangi anugerah besar di sana.

Tahun ini, majalah budaya itu mula meramal lagi. Senarai yang dikeluarkan dan diterbitkan fragmen-fragmen kerja terbaru mereka. Antara nama-nama yang menghuni ramalan ini ialah Yiyun Li, Jonathan Safran Foer, Rivka Galchen dan penulis asal Nigeria, Chimamanda Ngozi Adichie. Ini senarai penulis yang katanya akan memberi definisi baru bagi lanskap sastera di Amerika. Nada mereka berbeza-beza. Tumpuan mereka, jalur fahaman tentang fiksyen serta kepercayaan mereka terhadap kesusasteraan juga bervariasi. Dan tetap, semuanya diraikan.

Jadi, seorang watak imajeri dari dunia yang lain berpesan; "Tolong berhenti menulis fiksyen. Cuba baca himpunan kerja-kerja orang yang menulis di bahagian dunia yang dipanggil Amerika Utara ini dan lihat di tingkat mana mereka sedang bermain. Supaya nanti kalau kau menulis, tidaklah hanya bermain di lubuk sendiri. Memang tak semua cerita itu menggamit syahwat."

Friday, December 10, 2010

Penjara Tak Mampu Menambat Kata-Kata


*Kredit foto: Google

Liu Xiaobo, penyair dan pengkritik sastra adalah penerima Hadiah Nobel Keamanan 2010. Ketika ura-ura pengiktirafan itu bertiup dulu, Liu ditangkap (bukan untuk pertama kali) dan dipenjarakan. Hari ini dia sepatutnya berada di Oslo, Norway untuk menerima hadiah berkenaan. Isterinya turut ditahan, dan ahli keluarga terdekat lainnya tidak dibenarkan untuk keluar dari China untuk mewakili Liu dan menerima hadiah itu bagi pihaknya. Di sini saya muatkan sebuah sajak Liu, 'Penjara Tak Mampu Menambat Kata-Kata' yang diterjemahkan oleh Jeffrey Yang dan diterbitkan oleh New York Times dua hari lalu.


Words a Cell Can’t Hold
from “Experiencing Death”

I had imagined being there beneath sunlight
with the procession of martyrs
using just the one thin bone
to uphold a true conviction
And yet, the heavenly void
will not plate the sacrificed in gold
A pack of wolves well-fed full of corpses
celebrate in the warm noon air
aflood with joy

Faraway place
I’ve exiled my life to
this place without sun
to flee the era of Christ’s birth
I cannot face the blinding vision on the cross
From a wisp of smoke to a little heap of ash
I’ve drained the drink of the martyrs, sense spring’s
about to break into the brocade-brilliance of myriad flowers

Deep in the night, empty road
I’m biking home
I stop at a cigarette stand
A car follows me, crashes over my bicycle
some enormous brutes seize me
I’m handcuffed eyes covered mouth gagged
thrown into a prison van heading nowhere

A blink, a trembling instant passes
to a flash of awareness: I’m still alive
On Central Television News
my name’s changed to “arrested black hand”
though those nameless white bones of the dead
still stand in the forgetting
I lift up high up the self-invented lie
tell everyone how I’ve experienced death
so that “black hand” becomes a hero’s medal of honor

Even if I know
death’s a mysterious unknown
being alive, there’s no way to experience death
and once dead
cannot experience death again
yet I’m still
hovering within death
a hovering in drowning
Countless nights behind iron-barred windows
and the graves beneath starlight
have exposed my nightmares

Besides a lie
I own nothing


Tuesday, December 07, 2010

Quarterly



Selesai kerja menterjemah. Sehari-dua ini, diwaktu senggang sibuk menyelongkar sebuah judul quarterly review yang baru diketahui; Lapham's Quarterly. Berbeza dengan penerbitan reviu-reviu yang lain. Ia tidak dihuni oleh tulisan-tulisan baru, tetapi majoriti tulisan yang termuat adalah tulisan-tulisan lama. Petikan tulisan-tulisan sebetulnya. Tetapi fragmen yang mengesankan. Diterbitkan dengan tema yang pelbagai. Yang sempat ditemui hanya dua edisi; Art & Letters dan Sports & Games.

Antara nama-nama yang diculik tulisan mereka oleh penerbitan ini ialah Vincent Van Gogh, Andy Warhol, Ernest Hemingway, Aleksandr Pushkin, Roberto Bolano, Susan Sontag, Zadie Smith dan banyak lagi.

Seperti sepatutnya ulasan quarterly, judul ini menemukan kita dengan tulisan-tulisan dan ingatan-ingatan tentang dunia yang rencam dan pertembungannya dengan sejarah imajinasi manusia, selagi yang sempat direkodkan.

Versi online di sini: www.laphamsquarterly.org.

Selamat menikmati tulisan-tulisan terbaik yang pernah disaksikan dunia.

Friday, December 03, 2010

Kunci

DIA hanya duduk, mengidamkan maggi rebus dan teh tarik tanpa pewarna untuk jadi peneman malam yang sunyi. Di atas meja merah berlumut dan tak bersih, meletakkan dompet dan kunci rumah. Menanti dengan keroncong perut yang bertingkah, menunggu makanan yang paling nikmat boleh dibayangkan ketika hujan turun tak putus, dengan angin kuat yang menerbangkan keraguan dan kehibaan entah kemana. Buat seketika.

"Kita tak akan berada di sini lagi kan?" Suara itu gema dengan getar begitu yakin. Keluar dari mulut teman khayal yang beberapa jam sebelum itu meluahkan; "Aku akan meninggalkan kamu." Dan jika itu benar-benar berlaku, yang tinggal selepas ini hanyalah rumah di tingkat atas sekali saja. Dan ketika dia duduk dikerusi, menatap meja kumuh dengan mata kosong, memang itu adalah kenyataannya; keseorangan kerana ditinggalkan. Di rumah itu, memori bersarang. Ada yang ingin terus dibiar di situ. Ada yang mahu dipulangkan dan ada yang akan dilupakan.


DALAM mangkuk, air sup terlebih dan ceroi. Sayur-sayur lama yang layu berlubang tetap dikutip balik dari dapur dan dimasukkan jadi ramuan yang dipesan. Terima kasih, tukang masak. Tetap ada yang menyenangkan. Kehangatan yang melecurkan lidah diwaktu-waktu kesejukan melanggar tubuh adalah kenikmatan di atas angin. Melayangkan ingatan yang menakutkan. Menjelmakan harapan baru, walau dari suapan pertama yang menyakitkan.

Kau tak akan tahu betapa rumah itu, dalam keadaan paling terdesak, rumah itulah yang perlu ditakluki. Imajinasinya, semangatnya dan kehormatannya. "Aku pernah mengkagumi-mu di sini," kata-kata yang masih bergema kuat dari dinding ruang tamu. Koleksi DVD filem-filem aneh dan perlahan tetap jadi penghuni setia di bawah set tv. Di depan itu dulu mereka memasuki dunia-dunia yang kebas perasaan, mengadu nasib dan kaseh.

Entah angin apa yang bertiup di malam terakhir mereka bersama, tiba-tiba merubah keyakinan dan menggoyah kepercayaan. Dia menulis sesuatu pada buku nota:

"Aku melepaskan ingatan kita agar kau akan terus bahagia. Tetapi, berjanjilah. Hadirkan diri-mu pada dinding tempat kita bercanda tiap-tiap malam selepas hujan reda. Walau sekadar untuk beberapa ketika saja..."

Itu persetujuan mereka. Dan, disamping rangsangan daripada maggi sup dan teh di atas meja, dia sebenarnya mengharapkan malam itu menjadi malam pertama mereka bersama semula selepas beberapa jam dia ditinggalkan. Sekejap itu, rumah itulah nyawanya untuk menyambung keghairahan yang terputus awalnya.

Rancangannya ini; nikmati dulu maggi sup dengan sayur busuk dan teh yang menggiurkan itu, sebelum berbebas semula ke rumah di tingkat atas sekali untuk terngiurkan orang yang meninggalkan dia tadi. Janji memang tak boleh dimungkiri, walau apa pun iman kamu.


ADA sepasang mata yang memerhati dari tadi. Dari tuan empunya diri yang rapuh. Menginginkan sedikit kesenangan dalam hidup. Impian terbesarnya hari itu adalah untuk menikmati makan malam yang sedikit sedap; nasi lemak panas, ayam goreng rempah dan sirap ais. Tetapi, tak ada yang percuma di sini. Di dalam poket tak ada duit. Sepanjang sebulan ini memang tak ada kehidupan. Semua hanya impian. Tetapi malam itu, terbit sedikit keberanian untuk melunaskan impian untuk menikmati makan sedap.

Makanan adalah malapetaka, sekurang-kurangnya malam itu. Dia yang duduk dengan keghairahan menunggu hujan reda untuk menepati janji di rumah, dikaburi pertimbangannya terhadap analisa keadaan. Orang yang matanya memerhati itu berjalan terus, mendekati dia yang masih di meja dengan maggi sup dan teh tarik, masih membayangkan yang indah-indah untuk malam pertama ketika pertemuan semula menagmbil tempat, yang akan terjadi selesai hujan reda.

Mata itu terpasak pada dompet dan kunci di atas meja. Berjalan menghampiri meja, merempuh mangkuk maggi dan dengan tangan kilat, membuat-buat terlanggar dan merampas kedua-duanya. Dia terkejut dari pukauan maggi sup, terdiam. Tak ada reaksi sehingga dia sedar di atas meja tak ada lagi nyawanya. Tak ada lagi impian muluk-muluk untuk bertemu orang yang meninggalkan dia beberapa jam awal tadi.

Dompet, kunci lenyap. Igauan baru menyapa dengan wajah yang menghampakan. Hujan reda, dan dia hanya mampu berdiri diluar pintu memanggil-manggil nama yang tak lagi ada di rumah itu. Walaupun hanya bayang-bayang di dinding.

Tuesday, November 23, 2010

Ruang

Aku tahu
kau menunggu
di dalam lif.

Aku tetap berjalan masuk.
Mata-mu terlekat pada dinding belakang.
Membaca dan meresap ke dalam jantung-ku.

Berbicara bahasa halus. Bisik-bisik nipis.
Hembus-hembus yang memikat, bertiup di pinggir bibir
dan cuping telinga.

Aku percaya, ketika ini kita saling memahami.
Kau tak mengalah. Tak ada ketakutan yang
menggoyah ketika ini. Kerana kita pernah sama-sama
berdiri di depan pintu neraka.

Kau masih belum mahu melupakan.
Aku tetap akan menaiki lif itu.


- 23 November 2010

karnival






Hujung minggu yang melelahkan. Dua hari di Karnival COTY2U, menolong berdikit-dikit perjalanan acara, mengambil foto-foto asal boleh, berjumpa dengan orang-orang, menemukan anak kecil yang terlepas dari ibu bapa dan lain-lain.

Untuk fotografi selebihnya, lawat FB - Hafiz Jelir.


Monday, November 22, 2010

Qurban

Tidak selepas 20 tahun, aku mengembalikan diri ke hadapan sebuah imej nyawa dengan darah. Selama itu juga, aku tak pernah mengikut kerja-kerja sembelih atau melapah daging untuk Raya Qurban. Aku tak perlukan penghakiman daripada orang lain untuk menilai apa-apa tentang ini.

Aku tak mampu untuk memandang ke arah mereka. Dan untuk melihat ketakutan yang terpancar dari mata lembu-lembu yang ditambat, yang jelas sekali memahami dan sedar apa yang sedang didepani, aku tak punya kekuatan.

Untuk 2010, di Kuala Pilah, aku berjalan menghampiri sebuah kandang yang dikosongkan. Ada dua lembu tersedia untuk dikorbankan tengah hari itu. Setiap dengusan ia menerbitkan rasa gemuruh. Setiap tenungan mata menghantar perasaan dan emosi ke ruang lain.

Tali-tali berselirat dikakinya diluruskan. Memerangkap kedua-dua pasangnya, rapat-rapat untuk menumbangkan satu tubuh gempal yang kemudian dihadapkan ke depan kiblat.

Ketika pisau sembelih diurut dengan tangan dan daun-daun, ketika ia diturunkan ke pangkal leher tanpa melalui depan mata, ketika ia dihunus dan ditolak-tarik; aku tak akan melupakan bunyi-bunyian yang tercipta. Kerana aku menutup mata, aku membayangkan detik itu. Bukan sebagai seekor lembu, tetapi sebagai seorang manusia. Aku merasakan ada garis halus yang sedang membuka kulit leher dengan kepedihan yang makin ketara.

Apa agaknya perasaan anak lelaki Ibrahim ketika dia terlantar untuk dikorbankan, oleh tangan bapanya sendiri, ketika perintah dari Tuhan turun untuk menguji?

Ketika nafas keluar dari tubuh melalui salur udara yang sudah terputus tengah - angin tak lagi sampai ke rongga hidung - bunyi itu tak dapat difikirkan. Merengus mungkin, dengan marah yang berakhir dengan kerelaan.


Aku belajar untuk memahami beberapa perkara. Pertama, kata 'muncrat'; ketika darah dari urat besar pada leher haiwan berkenaan menyembur terkeluar dan membasahi wajah dan tubuh seorang lelaki ditepi. Tak ada kata lain yang lebih tegas memaksudkan keadaan itu, aku kira. Mungkin, 'pancut' juga belum cukup difinitif untuk mengungkapkan keadaan itu. Hanya 'muncrat' mampu berlaku adil, agaknya.

Kedua, perasaan dan emosi yang terbit yang mengajarkan tentang istilah 'penyerahan' (submission). Penyerahan kepada kekuasaan ghaib, yang tak nampak di depan mata tetapi lahir dalam hati dan di setiap liang roma yang ketika itu mula menegak. Rasa rendah hati terhadap sang pencipta. Akur dan tunduk tanpa kesempatan melawan, sekurang-kurangnya untuk lembu-lembu itu. Tetapi mungkin bukan dengan perasaan tewas.

Hanya kita yang tertinggal untuk memohon rahmat. Tentunya dengan usaha dan bukan dengan pengharapan kosong, penyerahan tanpa faham yang lunak. Penyerahan, kepada nasib dan takdir dan pengharapan pada doa, tanpa sebarang gerak. Itu malapetaka, agaknya.



- 22 November 2010,
KP-KL.

Fragmen (1)

A main cause of our fights was my desire to get off the bed after dinner and go into the tiny room adjoining the living room. It contained a cot, a kitchen chair, and a shaky wooden table where I set my typewriter. The table was shoved against the tall window, leaving only inches between the back of my chair and the cot. - Sylvia, Leonard Michaels.

Thursday, November 18, 2010

Gema

Biarkan suara-mu kedengaran lantang
dengan setiap kata yang terlepas dan tak terkawal
dan menggema panjang.

Ketika ini, tiada lagi orang yang akan
bercakap untuk kita. Memang sepertinya
ramai yang cuba-cuba melaung. Anjing melalak.

Semua sibuk. Mengintai ruang-ruang di antara
celah yang dikerumuni.

Meninggalkan ruang-ruang terabai
terus sunyi, tanpa udara.



-18 November 2010.

Sunday, November 14, 2010

Teruk

Aku habiskan sedikit masa hari ini untuk duduk di atas sofa empuk dan membaca Sylvia. Selepas menonton Unstoppable sebelumnya. Dengan kopi ais di meja, aku ditinggalkan.

Dalam hujan lebat di Kuala Lumpur petang tadi, aku menghidupkan enjin kereta. Minyak percuma masih banyak, jadi aku lanjutkan saja perjalanan. Asalnya hajatkan Hulu Yam. Jalan molek, hujan lebat, adrenalin tergugat. Sampai ke Genting.

Untuk beberapa ketika, aku tak merasa keinginan luar biasa untuk ambil gambar - sebuah kereta. Tetapi, petang tadi tak sama. Dalam hujan yang rintis, dengan embun yang mula menutup puncak tanah tinggi, aku berhenti di satu-dua tempat untuk itu.

Tiba malam, malapetaka. Kad CF kamera rosak. Korup. Tinggal enam gambar tersisa. Dan tak ada apa nak dicakap lagi.

Perasaan rosak teruk.

Friday, November 12, 2010

Surat, cermin

(Untuk satu rupa yang sama)

Aku tak tahu adakah kau masih hidup?

Baris-baris pertanyaan yang dikirim
untuk tahun-tahun penghujung dekad ini
tak pernah kau balas.

Sekali aku melihat gambar-gambar baru-mu
nyawa dulu tak lagi bersama.
Wajah pucat itu. Pinggang ramping itu.
Pinggul lebar itu.
Dan, untuk itu, aku tak percaya angin yang
berkata kau telah tiada.

Aku ingat, di suatu awal pagi ketika aku mencabut
klip-klip pada rambut untuk meleraikannya
dari dandan yang mengeras. Kau hanya diam
tanpa reaksi seperti patung di bucu katil.

Melainkan kau memang ingin menghindari,
aku tak akan berhenti mencari.
Kerana naluri tetap menghantar getar nadi-mu
yang tak pernah padam. Aku tahu kau masih bernafas
dari rongga-rongga yang dulu pernah musnah.

Mimpi-mimpi tak lagi bermakna. Ingatan-ingatan dulu juga
menjadi sumpah yang meniduri roh. Kalau kau tak
akan menandai keberadaan-mu, aku akan tetap sabar.

Tak mengapa jika telefon itu tak berjawab.
Tetapi, untuk kali ini saja, tolonglah
runtuhkan ego untuk penuhi permintaan yang satu ini:

Bacakan surat yang aku kirimkan di depan cermin
dengan suara jelas dan terang.



-12 November 2010

Serigala



Hari ini, jualan buku lambak Big Bad Wolf 2010 dibuka secara rasmi. Kalau ada kesempatan, silalah ke sana.

Tempat:

Ground Floor, South City Plaza, Persiaran Serdang Perdana,
Seksyen 1, 43300 Seri Kembangan, Selangor.

Koordinat GPS:

N 03°01.715'
E 101°42.611'

Tarikh:
12 - 17 November 2010

Masa:
10 pagi - 9 malam

www.bigbadwolfbooks.com

Wednesday, November 10, 2010

Tuesday, November 09, 2010

Tubuh

Aku melihat keindahan
menembusi tubuh-mu.

Monday, November 08, 2010

Doa

Tiga hari yang panjang, di atas jalan raya. Memandu Volkswagen Touareg V6 3.6L.

Jumaat, balik ke Perak. Mengelamun cinta bersama kucing-kucing kesayangan. Aku sentiasa suka suasana di sana. Sitiawan, Manjung, Lumut... dengan pantai-pantai yang padat. Walaupun tak ada apa-apa yang nak dibuat, bermalasan di pekan yang tak sibuk adalah kenikmatan. Proses menyambung tulisan panjang hujung minggu ini masih gagal. Tapi tak apa-apa.

Sabtu. Di Pulau Pinang. Selepas makan petang hari di Restoran Subaidah, dekat Tanjung Tokong. Seorang lelaki - mungkin dari Pakistan atau Afghanistan - datang mendekati meja. Janggut panjang, jubah putih dan berketayap. Ditangannya, ada sebuah fail plastik yang di dalamnya ada foto-foto anak-anak kecil sedang mengaji. Mungkin di madrasah, ditempat asal lelaki itu. Daru isyarat tangannya, dia meminta duit.

Untuk petang itu, aku tak memberi wang. Kerana, bukan tak pernah berjumpa orang-orang seperti ini, yang membelit dan menagih simpati, untuk kepentingan diri sendiri. Kerana, wang yang kamu beri tak akan sampai ke Pakistan atau Afghanistan untuk membantu anak-anak di sekolah.

Sekali-dua dulu, aku memberi wang. Selang tak lama selepas itu, orang-orang yang sama ada di dalam Mc Donald, memesan makan dengan riang ria, lari dari keadaan emosi dan mimik muka ketika minta sedikit wang sebelumnya. Tetapi, kali ini, aku tak berprasangka. Aku cuma tak menghulurkan wang dan berkata 'Thank you.'

Dua tiga kali menolak untuk memberi sedikit wang, dia masih tercegat. Dan, perkara paling pedih terjadi. Hanya melalui kata-kata. Lelaki berkenaan mendoakan ketidaksejahteraan aku di akhirat. Katanya; "In Akhirat, no Thank you." Melihat raut wajahnya dan menurut faham aku selepas berkali-kali dia mengucapkan itu, dia mengisyaratkan bahawa, jika aku tak membantu, kecelakaan akan menunggu di sana nanti. Ini sebaliknya membuat aku rasa lega. Kerana, dia sendiri yang mengesahkan sikap dan kesempitan akal - menunjukkan belang yang sebelum itu terselindung dibalik jubah. Hati jadi sakit.

Oleh kerana aku tak sama seperti kamu, wahai tuan yang mulia, aku mendoakan agar kau sentiasa sejahtera dan diberkati.



Friday, November 05, 2010

Memori

11 tahun keterasingan dan peminggiran
tetap menerbitkan perasaan milik dari lingkungan dulu.
Aku tak menemukan perkataan
larut dalam menulis.
Di hujung hari, peristiwa-peristiwa itu masih berbekas.

Empat keping roti di meja makan
Membawa ingatan merentang jurang masa, kembali dekat ke pangkuan-mu.
Kekal di sana, masih setia.
Perbualan sayup-sayup
mengimbau pintu belakang tempat dosa-dosa
terlepas, tentang bagaimana kita melarikan diri
dan terus dihambat lagi.


- 4 November 2010.
KL-Stwn.

Wednesday, November 03, 2010

Tak Ke Mana

Dalam perjalanan tak ke mana-mana. Kecuali dia, semua yang lain hilang. Hati kecundang. Perasaan terlepas. Lalai. Ketika aku membuka pintu, kenapa tak ada lagi bayang-banyang-mu? Kita sudah berjanji, bukan? Untuk menambat rasa dan kayangan daripada terus mencemburui kita. Terus mengedit kerja-kerja penulisan. Dari kantung emel, Bab 1 dihantar orang. Nanti akan dibaca. Kerana sekarang aku ingin menulis (menaip). Ruang tamu sepi. Kipas berpusing di siling bukan untuk siapa-siapa. Bukan untuk aku. Makna tiba-tiba hilang. Pesan di telefon sudah lama terhenti. Semua seperti sejuk beku. Terasa ingin membakar buku-buku yang berselerak. Membayangkan kenalan-kenalan dari hidup yang dulu, yang kini sudah memasuki landasan dan fasa menunggu. Kami senang begini, kata mereka. Tetapi aku susah melihat kamu begitu. Filem. Filem-filem yang tak bercuci. Filem gambar visual dengan taklukan pura-pura. Membuat orang kebas kepala. Kerana tak tahu nak cakap apa. Tapi nikmati saja. Suka tepuk tangan. Tak suka diam sudah. Jangan banyak cakap. Kita memang tak tahu banyak. Duduk diam-diam. Mulakan perjalanan tak ke mana-mana.

Monday, November 01, 2010

November

Asap-asap pekat masih bergentayangan
meracun paru-paru.
Topeng-topeng penapis gas hitam.
Mata kepedihan,
kerana asap itu ada upaya membunuh.
Kita tak lama di sini, kawan.
Mari menikmati hidup dipetang yang
muram di hujung pulau tempat semua umat
melihat ledakan.

Sunday, October 31, 2010

Petikan (3)





Artikel Semakin Bernilai Selepas Mati yang termuat dalam Mingguan Malaysia hari ini ada kesilapan kecil. Mungkin disebabkan ia sebuah tulisan yang diterjemah dan disusun semula, tanpa perhatian yang rinci.

Penulis kelahiran Sweden ini meninggal dunia ketika berusia 50 tahun tanpa sempat sebarang bukunya di bawah syarikat Millennium Trilogy diterbitkan.

Trilogi Millennium yang dimaksudkan itu bukanlah sebuah syarikat. Ia sebetulnya himpunan tiga novel di bawah nama yang disebut. Stieg Larsson, ketika hayatnya berkerja untuk majalah Expo, sebuah penerbitan yang sentiasa mengundang ancaman ganas melalui pendedahan-pendedahan yang dilaporkan.

Millennium pula adalah versi khayalan majalah Expo. Di dalam novel tiga serangkai itu, watak utama, Blomkvist (alter ego Larson mungkin) menulis untuk majalah Millenium. Jika ingin tahu selebihnya, cari dan baca novel-novel berkenaan.

Dan, filem The Girl With The Dragon Tattoo sudah boleh di dapati di Kuala Lumpur. Tentunya daripada lanun-lanun DVD.


Petikan (2)



Ahmad J. Hussein. Saya tak kenal dia. Tetapi, melalui tulisan-tulisannya di Mingguan Malaysia (MM) beberapa ketika kebelakangan ini, saya membangun persepsi; dia tidak faham permasalahan yang cuba dibangkitkannya sendiri. Dia hanya menunjukkan ketidakmatangan diri dalam memberi pandangan.

Saya sebelum ini membalas tulisan dia yang berjudul Peminggiran karya sastera Melayu, diterbitkan MM dalam bulan September lalu. Tulisan saya itu, dengan judul Pasar dan Estetika, antara lain menempelak kebanalan dia melalui cubaannya melakukan kritik terhadap kesusasteraan dengan perbandingan kerja-kerja antara Malaysia dan Indonesia. Dia rupa-rupanya tidak memahami peri penting keintiman teks dalam kesusasteraan. Kalau tak ada aral, tulisan saya itu akan terbit di dalam antologi tulisan-tulisan dengan judul Republik Kutu, dijangkakan terbit Disember 2010.

Yang tersiar di MM minggu ini adalah jawapan Halis Azhan Mohd Hanafiah tentang artikel Ahmad J. Hussein minggu lalu. Selamat menikmati.


Petikan (1)



- Siasah, V. 224 (31 Oktober - 6 November 2010). Terakhir dari Jalan Pahang.


Saturday, October 30, 2010

Datai

8.26 pagi,
Sabtu, 30 Oktober 2010,
Teluk Datai, Langkawi.

Aku bangun dalam keadaan tenang, dipagi penuh sentimental, dalam belukar nipis persisir pantai Teluk Datai. Satu perasaaan kurang menyenangkan terbit dari dalam; kemarahan kepada lemak-lemak dalam badan yang semakin memberat.

Menyarung kasut hitam, seluar pendek dan baju-t Tolstoy dan hampir tanpa memori, aku menapak menuju pantai. Sebenarnya, ‘hampir tanpa memori’ itu, Lydia Davis yang ajar. Ketika kami bercanda dua hari ini di Pantai Cenang dan Andaman. Aku seperti menyukai idea itu. “Apa yang tahu tak penting. Tetapi, apa yang kau ingat adalah kepedihan yang panjang, walaupun ia perkara yang indah-indah,” katanya ketika kaki kami bersilang menunggu pergerakkan seterusnya malam kelmarin di lobi hotel.

Waktu pagi di tepi pantai yang panjang, itu adalah ketikanya kesyahduan menghempas laut. Aku berjalan. Jam ditangan kiri. Sebuah buku di tangan kanan dan selepas itu, aku tak dapat menahan diri. Aku mula berlari, ke hujung paling kiri pantai yang memukau. 100 meter sebelum tiba di pasir selut hujung sana, hujan turun menimpa. Dan perasaan aku serta merta bertukar aneh.

Bot-bot kecil yang awalnya menyeberang laut, kini hilang. Hujan sekejap itu jadi lebat. Dan ketika aku menyedari realiti, aku terkepung kekosongan. Sedikit masa diperlukan untuk menganalisa keadaan. Aku mencecah gigi air, menghadap laut dan berdiri diam. Kali ketujuh mata dikebil, ada hal lain di depan. Seekor monyet muncul dari dalam gelora laut yang manja. Aku ingat monyet ini; ia yang membuat mimik muka, memerli aku semalam ketika aku menjinjit coklat bungkus kuning dan merah. Dan aku menyepaknya semalam, dari dalam bilik, ketika ia cuba-cuba menyelinap.

Kemudian, dibelakangnya, teman-teman lain muncul. Dan, di depan aku selepas beberapa saat yang pendek, satu koloni monyet sedang tegak terapung kepalanya melepasi gelombang yang ada. Aku tahu itu adalah ketikanya pembalasan dendam mengambil tempat.

Berpatah arah, berlari ke hujung paling kanan pantai. Dan mereka mengekor. Dalam keadaan senyap. Hanya kocak air saja yang tenggelam timbul antara bunyi hujan yang bermelodi.

Aku kembali ke bilik dulu, membuka kasut dan mengambil benda yang koloni monyet itu mahukan; kerana aku yakin yang mereka memang menginginkan coklat-coklat semalam. Dengan dua warna itu – merah dan kuning – aku kembali ke pantai. Tak ada lagi jam, tak ada lagi buku. Hanya sehelai pakaian dan coklat-coklat untuk monyet. Hujan masih lebat ketika aku kembali mengadap laut menunggul, menunggu mereka timbul lagi.

Tak ada apa-apa. Dan aku mengambil keputusan untuk berlari lagi. Ingat, aku sedang marah dengan lemak-lemak di dalam badan, dan perhatian itu terganggu seketika oleh sekoloni monyet-monyet (dengan muka bengis).

Tak lama, aku merasa ada benda yang berlari sama, sedikit di belakang. Tiga ekor babi hutan. Binatang-bintang ini membontoti, tetapi sedikit laju. Anehnya, aku ketawa dulu. Dengan kaki pendek, montel dan badan berbulu coklat-hitam, mereka bersungguh bersenam sama.

Tetapi taringnya menyakitkan. Peha aku ditoreh, coklat aku ada yang dibawa lari. Itu mengesahkan sesuatu kerana sebelumnya, dilandai pasir pantai pagi itu, aku terlihat tapak kaki babi-babi hutan ini berbekas. Aku kira, malam tadi mungkin mereka kemari, meminum air laut masin untuk lebih tenaga sebelum berkencan bersama pasangannya, seperti mana orang-orang meneguk arak, menghadap laut gelap dan malam panjang rembulan hilang sebelum kembali ke bilik dan berususan dengan nafsu.

Aku kini terdampar, separuh badan di dalam air. Babi-babi hilang. Monyet-monyet kembali ke atas pokok. Aku hanya mampu menikmati rasa lemak-lemak coklat yang tersisa dalam poket, yang sudah diracun masin laut.

Aku teringatkan Lydia lagi, walaupun dia tak menyuruh aku menyimpan apa-apa memori. “Kalau kau terserempak bekas-bekas tapak kaki babi, di dalam perjalanan-mu di mana pun, atau ditempat lain dalam mimpi-mimpi-mu atau di dalam perjalanan hidup-mu yang indah, jauhkan diri dari tempat dan kawanan itu.”

Terima kasih Lydia. Mata aku terpejam dan aku terbenam ke dasar laut yang indah, keindahan pagi yang diragut oleh monyet-monyet pendendam dan babi-babi hutan yang tak punya otak.



Jawapannya

Kehinaan adalah kata laluan segala dasar,
Aristokrat adalah nisan kepada mereka yang mulia.
Lihat bagaimana langit yang bersepuh diselubung
Dengan bayang-bayang terpiuh melayang orang-orang yang telah mati.

Zaman Beku tiada lagi kini,
Mengapa ada ais dimerata tempat?
Tanjung Harapan Indah sudah ditemui
Mengapa beradu beribu-ribu pelayaran ke Laut Mati?

Aku datang ke dunia ini
Membawa hanya kertas, tali dan selarik bayang,
Untuk mengisytiharkan di hadapan penghakiman
Suara yang telah dihakimi:

Biar aku kabarkan kepada kau, dunia,
Aku-tak-percaya!
Jika seribu pencabar berbaring di bawah kaki-mu,
Kirakan aku sebagai yang ke seribu satu.

Aku tak percaya langit itu biru;
Aku tak percaya pada gema guruh;
Aku tak percaya mimpi-mimpi itu palsu;
Aku tak percaya bahawa kematian tiada pembalasan.

Jika laut itu ditakdirkan menjambatani tebing-tebing
Biarkan semua air payau itu tertumpah di jantung-mu;
Jika daratan itu ditakdirkan bangkit
Biarkan kemanusiaan memilih puncak bagi kewujudannya sekali lagi.

Penyatuan baru dan bintang-bintang berkerdipan
Menghiasi langit yang kini tak terhalang;
Mereka adalah lukisan di dinding gua dari lima ribu tahun dulu.
Mereka adalah mata-mata memerhati bagi generasi masa depan.



Terjemahan sajak The Answer karangan Bei Dao.
30 Oktober 2010, Langkawi.

Friday, October 29, 2010

106 (2)

Durjana kerana perempuan itu, dengan gincu tebal dibibir, mengatakan tak mahu. Durjana kerana disebalik selak kain pangkal pehanya, tak ada apa-apa di situ. Hanya perkataan-perkataan menggerunkan tertulis untuk dibaca.

Malam kedua, dan sehari suntuk hujan yang meremangkan roma. Di atas katil yang sama, perempuan itu melucutkan seluruh pakaiannya. Kerana, aku telah berjanji, beberapa degup jantung dipinjamkan untuknya, agar dapat dia bercerita. Tubuhnya adalah layar putih yang menjelmakan imbasan hidup yang dulu.

Dia berdiri di atas katil, tanpa baju. Matanya mekar menyala. Mulutnya menguntum mawar yang sudah lama dilupakan orang. Tubuhnya, dari paras leher, payudara dan perut, menghampar visual-visual yang membunuh. Kenapa tak kau ceritakan saja dengan bibir-mu, aku bertanya. Kerana aku tak mahu, kata tulisan dibuah dadanya.

Dia tak menjelma jadi hantu. Aku masih duduk dikerusi rotan, dengan mata diparas yang sama di mana kata-kata itu berjalan; dipangkal peha, yang menurut aku, kerap saja mengundang gemuruh. Darah-darah dalam urat tubuh terpecah menjadi sel yang lebih halus. Aku hanya menatap tubuh itu dengan getar yang merangsang. Akal. Dan menunggu untuk menyelesaikan cerita perempuan yang waktu itu sudah bertukar menjadi cinta.

Aku memanjat batang tubuhnya yang semakin meninggi. Kepalanya mencecah siling. Aku mendekapkan muka pada bulu-bulu pubik yang menyebar harum kuburan. Membaca keintiman teks padanya. Setiap perkataan jadi bernyawa. Dan dia, memang mahukan aku membaca isi diari yang dulu ditulis.

Perlahan aku mendekatkan kepada di antara dua peha kurus itu. Memasuki rongga yang setengah terbuka, melihat perkataan jatuh dari hati, ke usus dan merangkai membangun cerita-cerita kepedihan yang indah. Aku tak menemui kisah mengapa dia dibunuh dan ditinggalkan – tanpa seurat benang – di dalam kotak pelana dikamar indah aku. Tetapi, malam ini, ia menjadi malam indah kami.

Kerana, menjelang tengah malam, ketika memasuki tubuhnya yang ranum demi untuk meminjamkan degup-degup jantung, kami menjadi satu. Persetubuhan yang kau tak akan faham.

Dari dalam kenikmatan malam itulah aku menemui padanya kata-kata yang melunaskan banyak perkara:

“Aku adalah si perindu yang kecundang. Kekuasaan membenih di dalam rahim-ku. Dan aku tak mahukan itu.”

Tetapi, malam ini aku mahukan kau, kata perempuan itu. Diamilah tubuh-ku yang kekeringan ini, suburkan kemarau rasa ini dan datanglah dengan benih cinta. Tabur di dalam rahim-ku, yang tertulis kata-kata listrik yang akan menjaga-mu. Aku mahukan rangkulan itu, dari dalam. Hempasan itu, ke atas katil, dari dalam. Dan aku berjanji, aku tak akan mengurung-mu di dalam tubuh gemersik ini.




Thursday, October 28, 2010

106

Kad elektronik diselit pada slot pintu. Ada orang bercerita tentang tempat ini yang tak aman. Tak selamat. Banyak hal-hal yang merisaukan. Tetapi, waktu ini aku tak ada pilihan. Hawa dingin menderu meluru melanggar tubuh aku, ketika daun pintu berat ini ditolak. Tak ada tanda-tanda kekhuatiran yang perlu dirunsingkan. Kamar ini indah. Nyaman dengan udara sejuk. Diluarnya belukar yang elok tersusun.

Selepas lampu, keadaan masih malap. Memanggil-manggil untuk terlentang. Aku menghidupkan tv yang tak ditonton. Membuka komputer riba dan membayangkan macam-macam. Meletakkannya di depan cermin besar dan merenung diri sendiri, membelakangkan tv dan menutup mulut.

Tetapi, bukan itu yang hendak diceritakan. Tidak sehingga aku merebah badan atas katil besar, dengan cadar putih suci itu. 5.20 petang, hari masih cerah. Di kamar ini, suasana sepi dan hening. Tak banyak beza jika diluar sana keadaannya terang atau sebaliknya. Pada renda waktu itu, dari tilam yang menampung badan, aku mendengar sisa dengup jantung yang terakhir. Aku fikir itu khilaf pendengaran.

Tidak. Degup jantung terakhir yang aku dengar itu meresap ke dalam jantung aku kini. Hanya dengan satu kali detak, nyawa aku diperbaharui. Bunyi itu menghidupkan aku tidak seperti sebelum-sebelum ini. Dan aku merasa berhutang.

Degup yang satu itu juga menerbitkan satu gerak hati lain. Ada kekuatan yang mengalir ke tangan, meminta untuk membuka sebuah blok tempat duduk berkusyen dihujung katil. Ia berat. Kusyennya berat. Aku tak tahu kenapa ia ada di situ.

Ketika pelana itu diselak ke atas dengan sekuat tenaga, sekujur tubuh hangat mengerekot memandangi aku. Aku tetap dengan perasaan neutral, mayat itu tak mendera naluri. Wajahnya seperti tersenyum, tetapi perempuan itu, yang berikat kaki dan tangan serta mulut yang disumbat pisang telah mati. Kerana, degup jantungnya yang terakhir ada dalam diri aku.

Bila malam menjelang, aku menghidupkan mayat itu kembali. Dengan sedikit solekan wajah dan celak pada mata, dengan gincu merah yang diconteng pada bibir agar dilihat tersenyum dan dengan pakaian pada tubuh yang sudah dibersihkan kotor darahnya. Aku jahit daging-daging abdomennya yang koyak ditusuk pisau.

Perempuan itu disebelah, dan aku duduk di sisi kiri. Kami menghadap jendela kaca yang luas, cuba merebut malam daripada kunang-kunang yang menari. Sekurang-kurangnya, dia ada untuk jadi peneman. Walaupun kaku.

Persetubuhan yang durjana.



Wednesday, October 27, 2010

Dis

Mata yang berkaca, bergenang dengan tangis yang belum jatuh itu tak akan dilupakan orang. Dis merenung melepasi cakrawala. Dengan mata yang pecah.

Sentiasa kelam, habuk-habuk yang terapung diruang vakum. Udara pengap. Kulit Dis tak ada lagi pigmen-pigmen hidup. Cahaya matahari tak pernah - untuk beberapa tahun itu - menyimbah di epidermis yang dulunya tak pernah kering, teralir sekali-sekala peluh dari kelenjar yang basah.

Kau tak akan percaya, kata Dis diwaktu-waktu kewarasan datang menjengah. Aku seperti syaitan yang ditambat, sejak dari usia 12. Sejak itu tak ada hari lagi dalam hidup aku. Semuanya seperti malam yang panjang. Aku dipaksa membentuk diri menjadi sama seperti hantu. Dipaksa untuk digelapkan sehingga aku bertemu kamu. Waktu-waktu yang tak ingin aku ingati. Yang selalu ada hanya mimpi ngeri.

Kornea matanya koyak. Berjalan dalam kepedihan, meraba angin. Sekali-sekali terasa ingin Dis berlari laju-laju. Tetapi tulang-tulangnya rapuh.

Di bilik itu. Di tempat yang diyakininya pada paras bawah tanah. Yang dipelajari hanyalah penyeksaan. Melalui lubang kecil pada pintu, sesetengah makanan, rokok dan air ditinggalkan. Jari-jari hitam itu, buat pertama kali dalam sejarah hayat hidupnya, menggapai dalam getar sebatang rokok yang aku hulurkan. Api tak berjaya dinyalakan. Saban tahun aku hanya menunggu untuk melihat wajah syaitan, katanya. Memang dia menjelma, tetapi mata aku sentiasa ditekup, cakap Dis.

Kerap saja darah mengalir dari vagina. Dengan tempel-tempel kesat sperma. Walaupun aku separuh nyawa hampir mati, kata Dis. Semua itu membikin ruang yang ada jadi hanyir. Emosi aku sudah lama mati.

Kata-kata itu diucapkan Dis sendiri ketika, katanya lagi, kali pertama dia bolos. Selebihnya adalah misteri.

Aku tak ingin mendengar keperitan kamu bersama binatang-bintang itu, cerita ketika kau dirobek dan dirogol sepanjang 12 tahun itu. Tuliskan saja, Dis.


Tuesday, October 26, 2010

Lupa

Jangan dilupakan
tentang apa yang pernah kita lakukan
di dalam mulut-mu.

Monday, October 25, 2010

Akhmatova

Masihkah kau ingat, jalan-jalan St. Petersburg yang menggema dengan kata-kata dari pena-mu? Ingatan tentang kesakitan, dan hantu-hantu kesusasteraan yang menjadi suami-mu.

Puisi-puisi menjadi azab ketakutan, lahir dari proses alami yang menggerunkan, bukan dari keindahan yang direka dan dibuat-buat. Tidak juga kau menulis ayat-ayat yang mahu didengari oleh gergasi diktator blok negara-mu.

Mereka datang di musim dingin, mahu membawa-mu pergi, barangkali. Tetapi kau terlebih dulu membakar kertas-kertas tulisan yang disiapkan, melenyapkan bukti, dipenjara, dibebaskan dan kemudian menulis semula untuk kami di hari ini, yang juga penuh luka seperti-mu.

- 25 Oktober 2010.

Saturday, October 23, 2010

Bohemia



Satu SMS mengejutkan lena panjang, di pagi yang terasa indah oleh kicau burung-burung dari tingkat 15. Tiada bunyi bising dari telefon. Tetapi, tetap menjagakan tidur.

Seorang penulis bohemia muda mengirim SMS itu. Dari KL Sentral, baru tiba dengan keretapi, jauh dari Kedah pada malam sebelumnya, mungkin.

Dan, dari stesen LRT Taman Jaya, di dalam kereta pinjam dengan CD lagu-lagu penyerahan Nusrat Fateh yang berputar, aku memandu dia dan seorang lagi watak yang memakai baju Jean-Michel Basquiat ke Restoran Raju, Petaling Jaya; untuk bersesak-sesak di pagi Sabtu demi beberapa keping roti garing dan kuah dal.

Kemudian, yang mekar dimeja makan dan dicelah-celah orang ramai adalah sembang-sembang runcit tentang sastera, perbincangan tentang krisis keyakinan seorang penulis (yang memang tak terlepas daripada siapa-siapa), mengingat-ingat kembali sebuah apartment di New York yang melahirkan penulis-penulis Beat (menurut Ginsberg, tak ada istilah Beat yang mereka lahirkan sendiri. Yang ada cuma sekumpulan penulis muda yang cuba menerbitkan tulisan-tulisan mereka ketika itu), kritik-kritik sastera oleh Arthur Schopenhauer, mencuit-cuit (sambil bergelak ketawa) tentang kepayahan penetrasi penulis-penulis novel setempat (yang ramai antaranya pernah mengisi borang memohon jawatan untuk menjadi malaikat, tetapi ditolak mentah-mentah), tentang proses menulis (memang tak ada hanya satu jalan yang betul, semua boleh dicuba-cuba mana yang sesuai, jangan takut), dan sedikit sesi pemaknaan sajak - yang perbualan tentang hal itu memang tak pernah selesai.

"Tak payah laptop, tak payah pen dan kertas dulu. Alat paling penting sebelum menulis adalah membaca. Jangan bagi alasan." Berdengung sekejap.

Dan sebagai hadiah di pagi yang normal, sebuah buku sajak fotokopi terbaru penulis bohemia itu, dengan lakaran orang-orang imajinasi, diberi. Aku ambil. Habis baca dalam beberapa minit, dan si perempuan itu juga, dari atas katil, turut membaca habis dan jatuh cinta.

Friday, October 22, 2010

Kata Apa

Apa kata kau tentang kekalutan ini?

Tali panjang, dari permulaan waktu
diputuskan, disorok di balik
kelambu tebal.

Dihadapkan ke depan mata-mata juling.
Disuruh bertepuk tangan.

Mampukah aku, kau, kita, kami, mereka
supaya tidak menimbulkan curiga?

Hanya satu hal yang dapat menenangkan
hati-hati galau dari waktu-waktu penghinaan;

satu jawapan pasti.
Tak ada dua.

Nyatakan pilihan kau.



-22 Oktober 2010.

Thursday, October 21, 2010

S.H.L

20.10.2010 - S.H.L

Hari ini hanya melayan 'the sweetnest of doing nothing'. Menonton filem dari malam tadi, dibawa ke siang, berendam kaki sedikit ke dalam The Spirit Of Romance, membelek dan menyarung beberapa bilah jarum dari tahun 1881, cuba meyakinkan diri terhadap jaringan pengangkutan awam Malaysia untuk ke sekian kalinya (teksi-LRT-bas), makan-makan sedikit, bersenam gaya berjalan kaki, menghiburkan diri menonton (lagi!) petikan-petikan 'perbahasan' sayap wanita, puteri dan pemuda UMNO di kaca tv (terasa ingin berdiri dan tepuk tangan), merenung kejauhan yang kosong dan terasa mahu menulis sajak (menconteng) di wajah syaitan yang menjelma menjadi topeng-topeng penulis di sebelah kamu.

Tuesday, October 19, 2010

Inderaloka

Mari, Inderaloka. Duduk di sebelah sini.

Bertentang dengan segala kegelapan yang menipu ilusi.
Buka kaca mata hitam-mu.
Perhatikan percintaan bulan dan bintang.
Perhatikan langit yang cemburu.
Di antara mereka ada apa?

Tak cukup dengan kebekuan.
Tak cukup dengan pandang kebelakang yang murung.

Dipaksakan sebuah utopia ke atas kita.
Khabarnya kita ini sudah bangun dan berlari.
Tetapi, larian yang meninggalkan
bayang-bayang sendiri.
Kita dikutuki.

Senyum tak mampu menguntum ketika Ada masih.
Dilingkungan ini masih ada kesakitan.

Khabarkan semua dusta-dusta itu.
Tebarkan.

Mari, Inderaloka. Biar aku merenung ke dalam mata-mu
yang jernih.


- 19 Oktober 2010.

Monday, October 18, 2010

Faisal Tehrani dan Salman Rushdie


- The Satanic Verses, Viking, 1989.

I.

Saya tak pernah membaca habis novel The Satanic Verses. Saya tak tahu mengapa orang selalu marah-marah, walaupun ditahun 2010 ini, ketika nama Salman Rushdie dan judul itu digemakan kembali. Seperti ada dendam yang belum terlunas.

Faisal Tehrani menulis entri 'Mungkinkah Nabinya Voltaire?' di sini. Kepada pengikut-pengikutnya, itu tak apa-apa. Dia mungkin benteng terakhir yang dianggap penegak kebenaran, bersuara tentang hakikat itu-ini.

Ketika ramai orang, termasuk dari kalangan yang mengikuti dan menyanjungi dia, malu untuk mengaku bahawa mereka belum pernah menyentuh, membaca dan menyelongkar habis novel berkenaan, Faisal menerusi tulisan ringkas itu tetap juga bermain di dalam kekaburan.

Kepada saya, dia tidak menunjukkan kejernihan akal yang sepatutnya ada pada penulis dengan beban dan berat nama seperti dia. Di dalam kesungguhan untuk menghayun kebiadaban Salman Rushdie, dia tidak sedikitpun memetik secara terus terang apa sebenarnya yang ditulis Rushdie, yang dikatakan sebagai menghina kepada umat Islam. (Atau memang dia terlupa terus?).

Yang ada hanya sentuh-sentuh dipermukaan, pertuduhan cetek yang diulang-ulang, sama seperti yang diperdengarkan kepada kita tak lama dulu daripada orang-orang seperti Rais Yatim dan Ibrahim Ali; orang-orang yang kita tahu tak selalu akrab dengan tulisan-tulisan sastera, seperti yang tercermin pada pandangan-pandangan yang mereka lontarkan.

Tetapi, jika pernyataan seperti ini dikeluarkan oleh orang yang dikenali sebagai penulis yang meramahi sastera, dan tetap dia gagal untuk menjelaskan kekusutan, maka saya ada masalah dengan itu. Kerana, tak ada satu tulisan pun yang timbul ditengah-tengah khalayak sastera tempatan yang mahu atau sempat membincangkan tentang hal ini dengan jernih dan meluas.

Kepada Faisal, sekiranya kamu membaca nota ini, tolong buka perbincangan, dengan pertama sekali menjelaskan, apa ayat-ayat syaitan yang dibawa oleh Rushdie itu. Kepada yang sekadar mengekor dan hanya tahu bersorak tanpa pernah membaca teks berkenaan, tak perlu riuh.

Kemudian, melalui tulisan sama, dia sendiri memberi kenyataan yang, menurut saya, begitu kontradik sekali dengan kesejahteraan Islam. Dia, melalui ayat-ayatnya, menafikan sendiri taubat orang lain. Dia kemudian melaung tohmah lagi, dengan membodohkan orang-orang yang tidak menyebelahi atau orang-orang yang berseteru pandangan dengan versinya.

Saya pertanyakan satu soalan; ini nilai-nilai Islam yang cuba dicerminkan? Dan pertentangan pandangan seperti ini boleh saja dibawa kepada hukuman mati? (Jangan dilupa, dia belum lagi menjelaskan ayat-ayat syaitan Rushdie itu. Jangan-jangan dia juga seperti saya, belum membaca habis novel berkenaan.)

Jika nilai ini yang dipertahankan sewaktu zaman kegemilangan Islam dulu, ketika kerancakkan perdebatan antara pertembungan falsafah dan agama mengambil tempat, mungkin tak ada tamadun Islam yang gah dengan warisan ilmu dilahirkan. Kerana, di dalam proses panjang membangun pengetahuan, asalkan ada saja yang menyanggah pendapat pihak lawan, semuanya mungkin dibunuh oleh sebelah yang merasakan diri berhak. Maka tak akan ada falsafah Islam, tak ada lambang keilmuan Islam yang boleh dibuat tempat tumpang berteduh hari ini.

Kerencaman itu bukan asing. Ia berdiri ditengah-tengah antara kita, kerap juga ia menyembunyi diri untuk diselak-selak kepada yang mencarinya.

Dan, kita juga dapat membaca kekecewaan Faisal kepada Anwar Ibrahim. Entah kerana apa, saya tak tahu. Dan inilah sebab utama mengapa dia memetik semula insiden dan fatwa bunuh terhadap Salman Rushdie itu, tetapi dengan penuh kelesuan. Kamu kalau membaca entri itu tentu sekali akan dapat memahaminya.

Memang, mungkin ada yang berkata tidak adil untuk saya menilai tulisan berkenaan sebegitu rupa kerana ia hanya sebuah entri blog.

Tetapi, untuk blog seorang penulis-sasterawan muda Malaysia, adakah ia juga patut untuk merakam catatan-catatan sederhana dan tak siap, sama seperti catatan atau tulisan kelompok-kelompok penulis yang selalu dicemuhnya secara berkias?


II.

Di awal musim salju 2009, saya berjalan seorang diri, merentas kedinginan pekan kecil Whangarei, New Zealand. Keinginan hanya satu, mencari kalau-kalau ada toko-toko buku terpakai di sana. Memang saya tak kecewa hari itu. Antara dua kedai yang ditemui, saya memilih untuk masuk ke kedai buku terpakai dengan logo khinzir comel terlebih dulu.

The Satanic Verses diharamkan di Malaysia. Dari lingkungan buku-buku tulisan Salman Rushdie yang dibawa masuk, novel kontroversi itu adalah yang paling sukar ditemui. Sekurang-kurangnya bagi saya. Kerana, bertahun-tahun saya cuba mendapatkannya, tetapi gagal.

Dan, tengahari itu di Whangarei, saya bertemu dengan syaitan-syaitan yang kata orang menakutkan itu. Tetapi saya tak marah. Saya membelai, menjinakkan agar nanti saya dapat masuk ke dalam perutnya untuk melihat sendiri apa yang sebenar mahu disampaikan.

Saya bertemu dengan naskah kulit tebal cetakan pertama 1989 judul itu. Di balut dalam sampul kertas oleh wanita tua New Zealand si penjaga toko dan dibawa balik.

Sejak setahun lalu, saya membelek-belek lembar kertasnya dikelapangan, menikmati ayat-ayat haram itu dengan hati terbuka. Dan memang Salman Rushdie melambangkan mistik imajinasinya dengan lancar dan mengujakan.

Saya hanya menikmati novel itu sebagai sebuah kerja sastera. Masih sedikit-sedikit cuba menghabiskan bacaan, kerana bukunya tebal.

Dan ini tidak menjadikan saya seorang pendokong Salman Rushdie.



Sunday, October 17, 2010

Black Tie

Black Tie, kata mereka. H duduk seorang, dimeja paling hampir dengan muka pintu. Betul-betul terganggu dengan sut lengkap blazer-slack-tali leher-kasut hitam kilat (bahagian depan saja), walau orang memang memandang-mandang, tersengih. Melihat dari sebelah gelas air putih, ada banyak burung-burung sedang mematuk bunga. Bunga-bunga harum malam yang berbisa, melupakan orang kepada jalan-jalan pulang ke rumah.

Itu bukan pengalaman yang akan diingati. Duduk termanggu tak tahu nak berbuat apa, memacak mata pada susunan piring dan sudu-sudu atas meja yang kononnya seni protokol (ambil sudu garpu dari bahagian luar dulu), menunggu arahan untuk bangun, tersenyum sumbing cuba membuat diri diterima oleh kelompok elit penguat kuasa, bermain mata dengan gadis-gadis pelayan bawah umur yang seperti mengharapkan sesuatu diakhir malam, mendengar ucapan panjang lebar - mujur tergerak hati oleh si pengucap untuk menyentuh tentang peri penting kesihatan dan menabung - menonton orang-orang terkinja dilantai tari (seorang dua mungkin bapok, tapi tak apa-apa asalkan tak menganggu), "Oh, ini dia? Nampak matang," itu ayat penutup acara yang cuba menyedapkan hati terhadap jam-jam tekanan yang merosak kenikmatan, misalnya lebih enak jika dihabiskan dengan membaca buku sajak-sajak terpilih T.S. Eliot.

Satu soalan saja yang ada dari H untuk ditanyakan; "Kenapa, selepas beratus-ratus tahun tertubuh, kelompok ini masih tak boleh menemukan istilah setempat untuk menggantikan kata Black Tie?"

Ohh, Pusat Dagangan Dunia Putra. Dah habis perdagangkan hipokrasi?

Wednesday, October 13, 2010

Teksi (3)

Kerinchi, ke Jalan Bangsar dengan kaca mata hitam, pagi panas, pakcik drebar suara garau senyap-senyap jenguk tak nampak keluar, lambat kau masuk kerja? tak adalah lambat, memang macam biasa, tangan di stereng, pandu boleh tahan cekap tak macam teksi lain, merungut pasal cuaca panas, jalan keluar Pantai Hillpark yang baru diturap dua minggu lepas dah berlubang balik, mengutuk Bandaraya sedikit, bungkus kacang goreng dekat batang gear, duit kertas berterabur dalam kocek, resit kosong, kau tulislah sendiri dan terima kasih, jumpa lagi.