Saturday, September 23, 2006

hamba yang merdeka

Semalam, 22 September 2006, saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Configuration Engineer di Pentasoft. Lebih kurang tujuh bulan saya menyandang pekerjaan tersebut. Selama itu juga tidak banyak perkara yang saya rasa boleh dipelajari. Ramai yang dapat menjangkakan saya berbuat demikian, cuma masanya sahaja yang tiada siapa mampu meneka... termasuk saya sendiri.
Kalau dirujuk cakap-cakap bos dan penyelia, posisi itu mampu untuk membina laluan kerjaya yang baik. Terima kasih, dan saya tiada pula keinginan untuk menyelami norma-norma yang semungkinnya ada dalam menjalankan pekerjaan itu. Sebagai makluman, tugas saya adalah sekitar memastikan produk perisian insurans (yang mana itu merupakan fokus firma ini) tidak terdapat sebarang cacat cela sebelum ianya sampai ke tangan pelanggan mereka. Apa pun yang pengurusan cakap, baik dari segi pengalaman yang bakal ditimba, peluang mempelajari teknologi yang bakal mereka naik-taraf dan sebagainya, saya cuma dapat rasakan seperkara sahaja; mereka memerlukan seseorang untuk berada di posisi itu dan hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan sahaja - macam robot. Gembar-gembur manis mulut itu selebihnya sekadar mengaburi mata staf seperti saya ini - kerana tiada orang yang mahu berada di tempat saya tersebut.
Pertama, kerana sang pekerja lama yang seorang sahaja itu seperti cipan. Bagi saya, dia pandai membelit lidah dan cuba sedaya - upaya menyelamatkan diri sekiranya berlaku kesilapan di pihak kami. Badut sungguh makhluk itu. Saya sendiri, hanya sebulan pertama sahaja mengikut telunjuknya. Selepas itu... jangan harap. Sebab itulah dia suka benar jika ada staf yang baru masuk ke posisi itu! Tiga orang baru termasuk saya yang sempat saya jumpa, saya yang paling lama bertahan, seorang perempuan itu lekat tak sampai tiga bulan dan seorang lagi baru saja masuk - belum pun dapat gaji pertama - yang saya kira tidak akan bertahan lama! Haha.
Kedua. Untuk tanggungjawab dan waktu kerja yang tak tentu arah dan tak mampu dijadualkan, saya merasa gaji yang dibayar itu amatlah tidak wajar. Walaupun agak ok, tetapi tidak setimpal dengan komitmen, beban dan waktu bekerja yang saya lakukan. Itu pandangan saya sahaja... Tiada imbuhan lain selain gaji pokok semata-mata, tiap-tiap bulan! Ubat bolehlah minta ganti.. Kerjalah tunggang-langgang macam mana pun, jangan harap dapat lebih-lebih...
Baiklah, jangan meracau! Cukup-cukuplah. Perasaan saya dapat saya gambarkan seperti seorang hamba sahaya yang baru merdeka. Seronok bagai nak rak! Pagi jam 8.48am saya bersemuka dengan HR dan bos, secara terang saya kata dan terus hulurkan surat "cinta". Tidak banyak reaksi mereka, sekadar menerima sahaja keputusan saya - tersengeh-sengeh dan berkerut-kerut. Lega, tidak perlu bersoal panjang lebar. Ketika itu tiada seorang pun yang saya maklumkan.
Selepas saja kembali dari Solat Jumaat, bermulalah sesi mendapatkan kepastian daripada teman-teman sepejabat. Seorang demi seorang datang bertanya, talifon bukan main lagi sibuk dengan pertanyaan-pertanyaan yang sama. Ada yang ucap tahniah sebab akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti! Sukar diramal. Ramai yang bunyi macam terkejut. Ada yang naik atas untuk bergambar. Semasa nak balik petangnya, saya turun ke tingkat bawah, pening juga nak melayan. Dah macam ada keraian, semua bertanya dengan penuh curiga mengapa saya tiba-tiba angkat kaki. Di tambah pula yang minta email dan nombor talifon... sekelip mata itu saya menjadi figure. Tatkala itu juga saya senyum kambing kerana terasa diri seperti seorang artis kontroversi yang sedang dikerumuni wartawan dan mak nyah! Haha. Oh, hampir terlupa. Sempat juga saya bertekak sambil memaki hamun seorang manusia yang tak sedar diri dia yang buat salah. Sudahlah beradap, datang terjah sambil meninggikan suara. Silap oranglah kawan! Saya tempis segala tuduhannya, berdiri dari kerusi dan kemuncaknya saya maki dia. Saya buat begitu bukan sebab kurang ajar, tetapi saya yakin teramat yang saya dipihak yang benar. Bila keadaan makin panas, dia terkebil-kebil cakap perlahan menyuruh saya merendahkan suara... siapa yang mulakan? Memang sangat-sangat puas hati semalam... sungguh.
Apa pun, saya kini hamba yang merdeka. Untuk rakan-rakan yang masih di sana, saya ucapkan selamat maju jaya. Teruskanlah usaha untuk mencapai misi hidup kalian semua. Sampai berjumpa lagi...
- 23 September 2006 : 11.38pm - Sitiawan

ramadhan

Ramadhan menjengah kita lagi tahun ini. Tadi itupun baru saja selesai solat Tarawikh untuk malam pertama. Terasa tenang jiwa ini bila mengenangkan pertemuan ini. Cuma satu persoalan yang timbul: Mampukah aku menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya?
Bulan yang penuh keberkatan dan 1001 macam kebaikan. Di dalamnya, semua urusan Sunat akan diangkat menjadi Fardhu. Yang Fardhu pula semakin tinggi letaknya... semua perkara Fardhu itu dilipat-gandakan menjadi 70 kali balasannya daripada biasa. 15 Syaaban lalu - hari pertukaran buku amal semua manusia - yang lama digantikan dengan yang baru, 17 Ramadhan nanti pula adalah Nuzul Al-Quran, hari kitab Allah itu diturunkan kepada manusia.
Lainnya, ada janji Allah untuk kita bertemu pula dengan malam Lailatulqadar, malam dengan 1000 keberkatan. Dengan segala bentuk kebaikkan yang ada, berazamlah untuk kita akan terus mencari keredhaan Nya. Semoga tahun ini kita semakin dirahmati... dan yang paling penting jangan lupa diri. Kerana kita hidup untuk mati, hanya itulah tujuan hakiki.
-menjelang 1 Ramadhan 1427 H (Sitiawan)

Monday, September 11, 2006

GONG BERDENGUNG...

Jangan pergi menonton filem Gong di pawagam! Mengapa? Kerana anda tidak akan mendapat apa-apa pun kepuasan yang setimpal dengan bayaran tiket di kaunter. Saya bukan anti filem tempatan, tetapi setelah membayar sendiri untuk menonton filem ini, selepas lebih kurang dua jam tersadai di depan layar, saya keluar dengan satu perasaan kerugian!

Saya mungkin tidak akan menonton filem ini sekiranya ia di filemkan di Malaysia. Tarikan yang menyebabkan saya terdetik untuk pergi mononton adalah kerana pengambarannya dilakukan di Indonesia. Suspen? Tidaklah banyak mana yang hendak di suspenkan...

Perjalanan kisahnya menghampakan saya. Perjalanan lima anak muda yang digambarkan itu seharusnya lebih adventurous. Tetapi, tidak ada menariknya pun pengembaraan mereka ini, itupun kalau saya boleh mengata begitu. Slot hanyalah banyak di rumah, muzium,kampus dan serba sedikit imbasan lalu. Kombinasi ini terlalu cliche, tiada apa yang istimewa. Watak-watak pelakonnya pun tidak banyak membantu untuk melonjakkan suasana seram yang ingin disampaikan. Apa yang dilihat oleh pengurus produksi filem ini ketika mengambil keutusan untuk memilih Jehan Miskin memegang watak agak besar dalam Gong? Bagi saya, Jehan itu terlalu 'miskin' pemahaman emosi untuk menjayakan misi Gong. Dia hanya on-par sahaja untuk bercemas. Keras sangatlah... Dia sepatutnya hanya disenaraikan untuk model bagi tujuan promosi, itu saya rasakan sesuai.

Plot pun berkancah gulana. Walaupun saya faham dengan apa yang diceritakan, tetapi ia belum cukup kuat untuk 'melekatkan' saya pada layar.Dan yang paling mengharukan, anda juga pasti akan dapat mengagak jalan ceritanya. Ada elok kalau anda tulis cerita sendiri.

Maaflah, saya bukan ingin menjatuhkan kredibiliti Gong. Tetapi saya tidak boleh menipu diri sendiri. Gong seolah-olah menipu khalayak penonton negara ini. Mungkin Dukun nanti mampu menyanggah pandanagan saya tentang filem seram tempatan?

Saya ternanti-nanti standard filem Rahsia Rumah Tua.