Friday, May 19, 2006

Satu desawarsa yang penuh pancaroba…

Tahun ini sudah 10 tahun umur majalah yang sedang anda tatap ini. Setiap yang terlibat secara langsung atau tidak, pasti ada kenangan tersendiri yang terpendam. Bagi saya sendiri, ketika mula-mula menelaah – ketika itu baru belasan tahun – terasa amat gembira dengan kehadiran ROTTW di kalangan majalah lain yang ada di kedai-kedai mamak.

Muzik bagi saya sesuatu yang menarik untuk diselami ketika itu. Duit poket banyak dihabiskan untuk membeli kaset-kaset era itu. Adakala kaset yang saya rasa tidak ‘berharga’ saya jual untuk membolehkan saya membeli kaset dari band-band yang diminati. Sumber biasa hanyalah majalah luar negeri seperti Guitar World, Kerrang! dan lain-lain yang amat sukar didapati (kalau adapun harganya mahal… terlalu mahal untuk budak sekolah!).

Namun, membelek majalah seumpama itu tidak terasa keghairahannya. Semuanya band-band luar yang hanya mampu kita dengar nama dan materialnya dari jauh saja. Ia tidak meransang pertumbuhan gerakkan muzik tempatan. Wujudnya ROTTW ketika itu saya lihat seperti ‘tapak’ baru untuk menyatukan gerakan-gerakan muzik Malaysia yang terlalu banyak sub-sub alirannya. Dan ini kekal sehingga hari ini.

Sepanjang rangka masa itu jugalah saya melihat perubahan demi perubahan telah tercetus dalam konteks kandungan majalah ini. Dari permulaan sebagai majalah yang teknikal, kandungan ilmiah yang padat, mencakupi semua aspek dalam muzik. Kemudian penerbitan yang ‘terpecah’ dua dengan kehadiran Gitar & Bass. Bermula dari titik ini, ROTTW yang tinggal adalah lebih kepada kaedah ‘penyampai berita terbaru’. Apapun hujungnya, saya tidak mencuba untuk membandingkan kandungannya. Apa yang saya lihat, evolusi itu ada, perubahan sentiasa mendapat tempat sepatutnya di dalam majalah ini.

Saya juga kagum dengan kesungguhan Abg. Rom dalam meneruskan perjalanan ROTTW sehingga tahap ini. Pelbagai onak sudah diharungi, pernah ditempuh dan bakal sentiasa diuji lagi! Pasti anda masih ingat insiden pejabat ROTTW dipecah masuk dan komputer di curi. Semua itu bukan pematah semangat tuannya, tetapi pematang prinsip yang sedia ada.

Saya sendiri ada pengalaman-pengalaman pahit manis bersama ROTTW ini. Dan saya yakin, perkara yang sama juga akan di akui oleh mereka-mereka yang pernah berteduh di bawah atap ROTTW itu sendiri. Saya bukanlah individu yang selayaknya untuk mengupas liku-liku perjalanan majalah ini. Namun, pengalaman yang hampir setahun sebagai ‘in-house force’ banyak mengajar saya. Terima kasih Abg. Rom kerana peluang yang diberikan!

Bukan senang untuk memanjangkan hayat majalah yang berkisarkan muzik di Malaysia. Kita pernah dengan nama TONE, Dragon dan lain-lain. Tetapi di mana nama-nama itu sekarang? Masalah utama ialah khalayak yang sanggup menyokong produk-produk seperti ini adalah dalam bilangan yang minoriti. Jualan adalah faktor utama kelangsungan hidup majalah yang tidak mendapat tajaan dari mana-mana pengaruh besar! ROTTW masih di sini. Dan jika anda sayangkan majalah ini, terus tunjukkan sokongan. Tenaga kerja di sebalik nama itu acapkali memberiakn yang terbaik. Kearahan tenaga sebegini belum tentu ramai yang mampu memikulnya. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri …

Tunjukkanlah sokongan anda untuk ROTTW terus mampu bernafas. Kita juga sudah banyak menyaksikan band-band baru yang diketengahkah, semakin hari semakin gah namanya. Anda perhatikan sendiri, dan anda akan faham apa yang saya maksudkan. Jika anda bermain band, membawakan ekpresi ‘merapu’… majalah mana yang sanggup memberi ruang dan laluan bagi menonjolkan bakat anda?

Akhir sekali, saya masih merasakan yang senantiasa ada ruang untuk ROTTW ditambahbaik. Pembaca juga wajib berkomunikasi dengan majalah ini. Syabas ROTTW… terima kasih semua. Selamat tahun lahir yang ke – 10. Semoga kita akan terus dapat melihat lagi ROTTW dengan evolusi selanjutnya di masa akan datang.

ELLE J
15/05/2006

BUNG PRAM, AKU BARU MAU KENAL KAMU…

Luruh hati aku pagi itu. Cerita kecil muka depan Utusan Malaysia tercatat berita perginya Pramoedya Ananta Toer. Pramoedya itu - atau panggilan ringkasnya Bung Pram – meninggal pada usia 81 tahun kerana sakit jantung dan diabetes. Begitulah seperti yang dikhabarkan.

Aku tidak mampu bercerita panjang tentang latar belakang hidupnya. Aku baru saja mahu berjinak-jinak dengan penulisan karyawan agung ini. Aku mula mengenali nama Bung Pram ini pun hanya daripada bacaan-bacaan aku sebelum ini. Fathi Aris Omar seingatku mengkritik Bung Pram kerana pendapatnya tentang ketelusan dan keterbukaan media di Malaysia. Said Zahari – di dalam Meniti Lautan Gelora – juga kalau tak tersilap ada menyatakan nama ini. A. Samad Said juga, ketika aku berbicara pendek tidak lama dulu, menyebut-nyebut Bung Pram ini. Tetapi sekadar mendengar cerita orang tidak membawa sebarang makna pun, melainkan kita sendiri yang turut sama merasakan!

Dikesempatan yang tak sengaja, aku terlihat beberapa buku Bung Pram ini terpamer. Antaranya Gulat Di Jakarta, Subuh, Cerita Dari Blora dan Rumah Kaca (buku ini siri ke-empat Karya Pulau Buru yang terkenal itu), Perburuan dan banyak lagi. Aku mencuba satu. Dan aku mencuba Cerita Dari Blora. Nukilan yang terdapat di dalamnya kebanyakkan ditulis pada tahun 50-an dan berlatarkan cerita beliau semasa kecil di Tanah Jawa itu. Di saat itulah aku mula merasa penangan penulisannya. Bahasanya bagi aku, ringkas. Walau ditulis dalam bahasa Indonesia, tidak banyak masalah untuk memahami konteksnya.

Ketika membaca kisah-kisah yang ditulis, terasa seperti tuannya sedang duduk disebelah dan bercerita. Emosi, cinta, kasih saying, kerakusan, terhimpit, jahil… semuanya terasa begitu ketara. Aku mula kagum dengan caranya. Bung Pram telah dicalonkan untuk Hadiah Nobel tiap-tiap tahun, sedari tahun 80-an lagi. Bukunya yang kurang lebih 30 buah, kebanyakkannya diterbitkan semula dan diterjemahkan ke dalam hampir 40 bahasa seluruh dunia. Dia mula diangkat sebagai Albert Camus untuk Asia!

Apa yang aku rasa menarik perhatianku terhadap insan ini adalah, dia – hampir separuh daripada usianya – dipenjara. Ini yang aku lihat sebagai nafsu syaitan manusia, mengekang insan lain untuk kepentingan sendiri. Bermula dari penjajah Belanda, Jepun, Belanda kembali dan akhirnya semasa rejim Soeharto, Bung Pram yang keding ini terus-terusan menjadi mangsa. Buku-buku yang ditulisnya hampir semua diharamkan di sana oleh Kerajaan Indonesia waktu itu. Segala kisah penderitaan dan realiti hidupnya sudah cukup menceritakan ketempangan dunia buatan manusia.Oleh yang demikian, ramai yang mengiktiraf segala coretan Bung Pram ini sebagai gambaran jelas tentang kebangkitan revolusi Indonesia dahulu.

Aku terus menggali khazanahnya. Kuartet siri Pembebasan Pulau Buru yang mahsyur itu aku miliki. Namun masih belum sempat menamatkan kesemuanya. Aku juga ada menanam benih angan-angan untuk ke seberang dan bertemu dengannya. Perangkaanku, dalam hujung tahun ini atau tahun depan… aku akan usahakan juga. Namun Tuhan lebih sayangkannya, aku redha. Mungkin aku masih boleh ke sana dan berjumpa dengan waris-warisnya… itu aku kurang pasti. Walau apa pun kesudahannya, Bung Pram telah banyak mencoret kisah-kisah peribadi dan imaginasinya untuk dikongsi bersama. Aku akan terus mencari lagi segala tinggalan beliau untuk aku ceduk pengajaran-pengajaran hidup yang tidak diajar di sekolah… dan amat rendah nilainya pada pandangan mata warga moden hari ini.

Seorang tokoh lagi telah pergi. Dia aku anggap sebagai perakam masa dalam seluruh usianya. Apa yang dilihat, baik tragis mahupun manis, semuanya dicatatkan secara asas pada keeping-keping kertas. Ketika dalam penjara, dia dinafikan hak untuk pendapatkan pensel dan kertas. Lihat, betapa pengecutnya orang-orang disekelilingnya dahulu. Maka dia pun mula melakar kisah-kisah tersebut dalam kepalanya saja. Kurniaan Allah memang tiada tanding dan tiada siapa dapat menghalang! Ada juga catatan yang diseludup keluar dari penjara. Semua itulah yang mendewasakan Bung Pram.

Tulisannya menjadi pedangnya. Pedang yang mencarik dan membogelkan segala kepincangan dalam masyrakat waktu itu. Kekejaman penjajah juga adalah penentangan kerasnya. Salah guna kuasa yang kemudiannya timbul oleh bangsa sendiri turut digasak habis-habisan. Manakala terkurung diri di dalam tahanan, pemikirannya masih bebas dan semakin matang, tidak ada siapa-siapa yang boleh menangkapnya!

Koreklah rahsia si tua ini yang telah pergi dan meninggalkan segala macam pengajaran kepada generasi-generasi kita. Tiada salah kita mengangkat orang yang benar-benar menghambakan diri untuk bangsanya. Dia tidak punya kemewahan, harta apatah lagi. Tetapi jiwa kentalnya sukar dicabar, digoyah dan disogok. Belajarlah daripada kisah-kisah ini. Bung Pram, aku baru mau kenal kamu. Namun bukan kudratku semua itu… Damailah engkau di sana… perhatikanlah terus anak bangsamu.

Pramoedya
Aku kalung khazanah tinggalanmu
Buat pedoman diri dan bangsaku
Kerna tiada semangat sekuat dikau
Tiada hidup derita itu
Tanpa pengorbanan

Laluan usiamu penuh liku dan sembilu
Namun kau tetap pasrah
Kau tetap terkujur di situ

Ketika aku baru mahu kenal
Siapa itu Pramoedya
Kau terlebih dahulu menyahut
Seruan Ilahi

Aku akan tetap membaca dan belajar
Aku tetap akan berdoa
Agar engkau di sana
Diberkati dan diredhai…





ELLE J. HAFIZ 1 MEI 2006

Sunday, May 07, 2006

Tekap plastik

Aku lagukan ribut dalaman ku
Kerna mungkin… aku… jiwa
Dan kau… fesyen glamor kosmetik
Tapi kau juga ada jiwa
Ya… jiwa
Jiwa plastik!



22 APRIL 2006 @ bilik sewa, atas tilam wakaf… DI PANTAI DALAM.

Aku membayangkan diriku berada di atas pentas AIM 13 bersama-sama Ramli Sarip dan A. Samad Said. Maka lahirlah coretan spontan ini…

KEJORA DI SAUJANA MALAYA

(PUISI BUAT MAK SALAMAH)

Dikau membuka lembaran baru
Lahirmu sebetulnya untuk dunia
Untuk diselami hati nurani mu
Oleh mereka-mereka yang tahu menghargainya

Ku baca kisah pengorbanan mu
Meruntun jiwa nan lara
Kau api yang membakar semangat juang
Angkatan suamimu
Terus tabah dan dikesampingan

Dikau hampari lembaran-lembaran sejarah
Dengan segala perih-jerih kehidupanmu
Bersama anak-anak kecil yang belum pun kenal dunia
Waktu itu
49 tahun yang sudah

Kini… dalam lipatan sejarah jua…
Namamu terukir
Namamu harum semerbak
Walau tak ramai yang tahu
Tak ramai yang menyanjungimu
Tidak secara terbuka

Namun tetap ada insan-insan yang tahu
Nilai payah kehidupan yang pernah kau lalui

Dan… ku kutip kembali tinggalan-tinggalan mu
Dalam lipatan sejarah nan terlipat
Untuk pedoman bagi diriku
Untuk tatapan anak-anak hari ini

Daku cuba salami segala resah dan seksa yang dikau tanggungi
Namun aku tiada daya
Masih belum sampai ke dasar lempah itu

Kerna hanya bahumu yang memikul bebannya
Dan hanya dikau yang mengerti
Tersimpan kejap jadi rahsia
Terus jadi misteri

17 tahun
Dikau kemudi berseorangan
Teguh yakin nalurimu menemani suami mu yang dikurung di dalam
Dikau di luar
Tetap meredah onak dan ranjau
Menjinakkan kebuasan kehidupan
Binatang-binatang manusiawi!

Daku belajar erti kesetiaan, pengorbanan dan kehidupan dari kisah mu…

Yang Liar


Hari siang semalam, saya menonton wayang gambar. Ceritanya, animasi budak-budak, The Wild. Seawalnya, saya biasa-biasa saja, sekadar ingin berhibur kosong melayan karektor-karektor kartun yang ada. Saya agak meminati animasi ringan seperti ini.

Kisahnya jika diperhatikan, sama saja seperti kartun-kartun lain sebelum ini. Dalam skrip cerita ini, seekor bapa singa berusaha untuk mencari anaknya yang secara tak sengaja dibawa pergi dari zoo tempat mereka menginap buat sekian lamanya. Nama watak-wataknya saya tidak ingat semuanya; Sammy si bapa singa, Nigel si beruang Koala, Ryan si anak singa… dan ada tupai serta zirafah yang saya lupa namanya. Mereka ini satu kumpulan akrab.

Catatan ini tidaklah bertujuan untuk membuat ulasan tentang filem tersebut. Sebaliknya saya ingin menceduk intipati yang di bawah sedar daripada cerita ini untuk dikongsi bersama. Ketika menyaksikan disebalik tabir pembikinan filem ini, para pendokong yang menjayakan plot-plotnya menyatakan yang ada terkandung nilai-nilai murni cuba ditonjolkan. Tetapi di sini saya ingin pusing lagi sudut pandangan tersebut, walaupun ada kebenarannya!

Hidup mereka adalah di zoo. Dipamerkan kepada orang ramai, dilayan dengan begitu manja… makanan disediakan dan habitat yang direka khusus untuk tujuan itu. Ada pula si bapa singa ini sering mengaum untuk dipersembahkan kepada pengunjung. Ramai yang kagum dengan ngaumannya; baik pengunjung dan juga binatang lain. Hakikatnya, si bapa singa menyimpan satu lipatan hitam sejarah hidupnya. Dia bukanlah raja rimba, kerana dari kecil sudah diambil untuk menjadi singa sarkis. Dia tidak tahu realiti sebenar yang sepatutnya di harungi oleh singa… yang tulen. Ngaumannya hanya untuk dipertontonkan!

Kini, dilemma yang sama dihadapi oleh anaknya. Tidak seperti anak-anak singa liar, dia langsung tidak pandai mengaum. Tidak pernah digunakan ngaumannya itu untuk menakutkan binatang lain. Tepatnya, dia tidak pernah langsung berada dalam keadaan terancam untuk membolehkannya belajar menjadi singa dalam erti kata sebenar. Dia malu… dan sentiasa mencari-cari jawapannya.

Sampai satu ketika, dia terpisah dari bapanya. Dia cuba mencari jawapannya sendiri. Ingin mencabar dirinya dan memahami dunia hakikat, dia masuk kehutan dengan peluang yang ada. Masih bingung, dia merayau-rayau seorang diri. Di sini maka bermulalah pengertian seekor singa itu. Terlalu banyak perkara baru yang nyata berlaku ke atasnya. Dia kaget!

Dalam keadaan itu, dia sembat bertemu bapanya, yang ketika itu bersama kumpulan akrabnya turun mencari si anak. Namun, di kala merasakan dirinya selamat dengan kehadiran bapa, mereka telah diserang binatang buas. Emosi mula terasa bila si anak ingin melihat bapanya yang selalu mengaum itu membuktikan keperkasaannya agar boleh dituruti oleh si anak. Namun kisah silam menghantui si bapa. Dia tidak berani berdepan dengan musuh-musuh yang mengancam sebagai seekor singa yang gah. Kenangan lama dan ketakutan mula jelas. Dia serba salah; pertama kepada diri sendiri; kedua kerana gagal mempertahankan si anak; kedua kerana menipu si anak yang menganggap dia sebagai raja rimba. Selama ini si bapa hanyalah ‘perhiasan’ yang gah ngaumannya untuk dipertontonkan di zoo. Akhirnya mereka terpisah buat kali kedua, kali anaknya jatuh ketangan musuh.

Sehinggalah mereka pertemu semula di kawasan musuh, dalam keadaan terancam dan mendesak, akhirnya si bapa mula mencari kejantanannya dari dalam diri. Maka dapatlah dikumpulkan segala kekuatan, pengalaman hitam, kebaculan, hipokrit dan segala macam anasir lagi, lalu terhasillah ngauman ancaman juga. Musuh kecut, namun dengan jumlah yang banyak, tetap menyerang. Si anak mula terinspirasi dengan keberanian si singa bapa yang baru saja disaksikannya. Dia cepat menangkap cabaran-cabaran sebenar hidup singa liar, yang sepatutnya dirinya juga begitu! Akhir yang paling akhir, mereka bersama kembali…

Begitulah pengajarannya yang saya rasa boleh kita ceduk. Pantulkan kisah ini ke dalam kehidupan moden hari ini. Manusia hidup dalam senang, mewah yang sebenarnya melarat. Kita lupa tentang hakikat kehidupan sebenarnya. Kita, selama bertahun-tahun lamanya merasakan diri kita betul. Terus diulit mimpi indah kebendaan, pangkat, kuasa sehingga menjadikan kita buta. Kemudian kita wariskan kepada generasi mendatang, yang turut sama membayangkan keagungan dunia ciptaan kita. Tetapi, dunia kita dunia plastik!

Bila berdepan dengan dugaan, manusia hilang akal… jadi gila. Mula menyalahkan keadaan. Tapi sebenarnya yang berlagak, manusia itu sendiri. Maka, dengan segala kemanjaan dan kebendaan yang maha mewah melenyapkan nilai-nilai abstrak kemanusian manusia itu sendiri. Kartun ini dilayarkan untuk menghibur, tetapi terselit juga maksud-maksud lain secara tidak langsung melanggar keegoan manusia. Itupun jikalau kita mahu menyelami jurang-jurang gelap yang tiada cahaya dalam jiwa masing-masing.