Friday, February 03, 2006

LIVE 8 - NILAI SOKONGAN BOB GELDOF DAN MUZIK DUNIA

Pada 13 Julai 1985, satu persembahan pentas muzik antara terbesar di dunia terus berada dalam lipatan sejarah. Live Aid, yang diadakan di Kota London dan Philadelphia, adalah simbolik kepada sokongan dunia dengan muzik sebagai medium. Antara pendokong acara ini adalah Bob Geldof, seorang penggiat muzik Irish yang semakin dikenali sebagai seorang aktivis dan juga campaigner.

Ketika itu, Live Aid diilhamkan sebagai sebuah persembahan amal untuk untuk mengumpul dana bagi membasmi kemiskinan. Subjeknya… Afrika yang terhimpit teruk dengan permasalahan ini. Konsert ini berjaya menarik perhatian jutaan pemerhati dan jumlah kutipan dana mencecah $100 million!

Namun begitu, setelah 20 tahun, kemiskinan di Afrika masih lagi satu wabak yang mengancam pembangunan masyarakat di sana. Di atas dasar inilah, sekali lagi Bob Geldof bersama angkatan aktivis lain seperti Bono (U2) mengatur satu lagi sejarah yang bakal tertulis, Live 8. Subjek masih sama, kemiskinan Afrika, tetapi matlamat mereka bukan lagi duit untuk dana, tetapi individu itu sendiri. Memetik ulasan Bob, “LIVE 8 is about justice not charity…” dan “This is not Live Aid 2”

Live 8 merupakan titik tolak kepada kempen The Long Walk To Justice. Acara ini bertujuan mengumpulkan seberapa ramai orang dari seluruh dunia untuk berarak di Gleaneagles, Scotland pada 6 hingga 9 Julai lalu di mana persidangan G8 (Negara-negara maju) diadakan. Objektifnya untuk mendesak ketua-ketua negara maju membatalkan semua hutang-hutang negara dan sebaliknya mengambil langkah tegas untuk menangani isu pembasmian kemiskinan ini. “The public have shown how important this is to them, now it is time to get governments to act…” komen pihak penganjur.

Dengan itu, pada 2 Julai 2005, 10 siri konsert ini diaturkan di bandar-bandar besar dunia. Siri ini dimulakan di Makuhari Messe (Tokyo, Jepun). Siri ini terus menerus disambung di seluruh dunia seperti di Hyde Park (London), Circus Maximus (Rome),
Palais de Versailles (Paris), Siegessäule (Berlin), Museum of Art (Philadelphia), Park Place, (Barrie,Canada), Mary Fitzgerald Square (Newtown, Johannesburg), Red Square (Moscow). Kemuncaknya adalah pada 6 Julai 2005 di Edinburgh. Acara ini simbolik kepada berakhirnya siri The Long Walk To Justice dan bermulanya persidangan Negara-negara maju yang di pengurusikan oleh Perdana Menteri Britain, Tony Blair. “Kami telah memainkan peranan kami… begitu juga dengan penduduk dunia. Kini semua mata tertumpu kepada mereka(G8). Semua menanti mereka untuk bertindak, bukan sekadar duduk berbincang” ulasan dari laman web mereka.

Senarai artis yang terlibat kali ini tidak perlulah dinyatakan. Ini kerana setiap nama yang mungkin terlintas di fikiran anda barangkali ada mengambil bahagian. Dari rocker, penyanyi pop, dance dan segala macam lagi bersatu dibawah payung Live 8 untuk menjayakannya. Bukan secadar persembahan muzik semata-mata, ucapan-ucapan dan dokumentari “realiti” di Afrika turut ditayangkan. Sir McCartney juga turut mengambil peluang berhujah. Live 8 merupakan kempen aktivis kemanusiaan yang ditelusuri oleh penggiat-penggiat seni. Mereka komited dengan fokus mereka, walaupun muzik masih lagi disisi. Kesedaran sosial amat perlu dikala dunia berada dalam fasa kelam-kabut kini.

Live 8 mengajak semua dari seluruh dunia untuk bersatu, atau sekurang-kurangnya memberi perhatian terhadap perkara ini. “…dalam tahun 2005, suara anda yang kami perlukan, bukan lagi wang!” Sejarah sudah terpahat, kini tinggal kita yang mampu memastikan kesinambungannya pada masa akan datang. Jika Woodstock dilihat sebagai persembahan muzik berskala besar, siri Live Aid dan Live 8 ini pula lebih besar “NILAI”nya pada dunia.
- ROTTW, Julai/Ogos 2005

No comments: