Black Metal begitu taboo dalam masyarakat kita. Adakalanya perkembangan isu ini seperti sengaja disensasikan oleh media. Mulalah ramai yang melenting. Ada juga suara yang menyatakan bahawa media mengekploitasikan situasi dan sekali gus memberi gambaran negatif tentang Black Metal. Tetapi bila pihak media tampil dengan laporan yang disahkan, temubual dengan apa yang di katakan sebagai ‘pengikut-pengikut terpesong akidah’ kelompok ini, maka masyarakat mula meraba.
Benarkah semua ini? (baca : Black Metal - Yang Berat Dan Yang Hitam, Hishamuddin Rais) Apa yang diperhatikan, setiap kali timbul isu ini, akan adalah pendedahan demi pendahan yang disertai dengan penafian demi penafian pihak terlibat. Sementelah itu jugalah akan kedengaran fahaman-fahaman baru yang tercetus, yang terkini adalah J.I.T (Jangan Ikut Tuhan). Ni dari mana datang ni? Panas seketika, kemudian kembali sejuk. Barangkali akan timbul semula nanti. Di mana kesungguhan kita dalam isu sebegini?
Yang terbaik, semua jangan melenting dahulu. Hakikatnya, permasalahan ini serta penyelesaiannya ada dalam diri kita sendiri! Dalam isu ini, Black Metal hanyalah satu perlambangan semata-mata, tidak lebih dari itu. Individu tidak perlu mengikut Black Metal untuk sesat atau runtuh akidah. Mengapa? Jika diamati, dari kesucian sesebuah agama juga telah terbukti kewujudan ajaran sesat, inikan pula satu aliran muzik yang bersifat duniawi! Jika kita tidak dapat menerima kenyataan ini, komuniti kita ada masalah.
Yang mengepalai anasir-anasir seperti ini adalah mereka yang tidak cukup ilmu. Yang mengikut pula adalah ‘keldai-keldai’ dungu yang ghairah tak tentu pasal! Black Metal bukan masalahnya, tetapi segelintir individu di dalam kerangkanya yang menimbulkan masalah.
Kepada peminat muzik Black Metal dan yang seangkatan, cukuplah muzik itu sendiri diangkat, jangan budayanya sekali. Ini adalah kerana, jiwa kita sudah tersemat satu budaya, tak perlulah kita tambahkan lagi. Kerana sekiranya berlaku, jiwa akan berkecamuk, celaru dengan gejolak yang tiada arah tuju! Jangan pula kita ada agama sekadar pada nama!
Mereka di Barat, muzik itulah agama mereka. Tetapi berbeza dengan kita di sini. Semakin kita mencuba menjadi mereka, semakin jauhlah kita daripada diri kita sendiri. Biarkanlah Black Metal itu sebagai satu entiti muzik semata-mata, janganlah sampai dijadikan ‘agama’ kerana ketaksuban yang membawa kepada kehancuran.
- Versi 'Unedited', Dewan Masyarakat, Februari 2006
No comments:
Post a Comment