Tuesday, May 22, 2007

buku: sajak-sajak suci abdullah jones

Ini fenomena. Memang tak ramai yang akan beli dan baca buku ini, tetapi, untuk seorang pengkhayal yang kerap bersajak dan berpuisi, buku ini cukup meruntun jiwa!

Abdullah Jones – nama yang terselit konflik dan identiti parasit. Satu lagi terbitan Sindiket Sol-Jah dan ada kata awalan dari Pyan Habib.

Ketika saya membaca antologi sajak Rahmat Harun – Utopia Trauma – setahun yang lalu, saya merasakan kelahiran buku seperti ini jarang-jarang akan berlaku. Hampir setahun selepas itu, Sajak-sajak Suci Abdullah Jones terbit.

Utopia Trauma lebih radikal barangkali. Namun, Sajak-sajak Suci ini tidak kalah. Ia catatan luahan jiwa yang dramatis, sadis dan mungkin tidak elitis.

Ada ‘hantu’ pada buku ini. Memandang kulitnya sudah cukup ‘memaksa’ sesiapa saja yang celik buku untuk membeli dan menyimpannya – untuk dibaca, dalam kes ini, belum tentu. Satu ekspresi yang telanjang tanpa segan silu.

Saya menggemari sajak serta puisi. Saya selalu membelek sajak-sajak Allen Ginsberg di Borders. Tetapi saya marah kerana harga untuk buku-buku sajaknya terlalu mahal. Saya tak berduit untuk itu. Maka, kelahiran sajak Abdullah Jones ini jadi ubat kepada ketagihan saya.

Tak lama dulu, saya membeli himpunan sajak-sajak Salleh Ben Joned. Begitu juga catatan Jalaludin Rumi yang diterjemah serta nukilan Pablo Neruda yang sering membogelkan realiti masyarakat sekelilingnya. Semua ketelusan seperti ini dapat saya hirup dari buku sajak kecil Abdullah Jones. Tidak puas saya tatap buku ini. Sepatutnya ia harus panjang lagi, baru reda nafsu orang-orang seperti saya.

Saya petik beberapa bait-bait yang saya stim dan kembang bila membacanya…

Negaraku tidak aman
Islamku dikurung
Di dalam botol vodka para raja
Para menteriku bukan manusia

Imanku tidak aman

- negaraku tidak aman, ms. 17

Sorotan kisah min juga dalam terasa serta amat peribadi. Ada satu lagi sajak beliau yang saya ingin kongsi di sini;

Kekasih kini adalah perempuan lacur
Yang cuma perlu dibayar dengan cinta

Atau kekasih kini adalah lelaki bacul
Yang melepaskan mani dibangku taman

Kerana bernikah kini adalah haram
Selagi belum cukup sejuta wang hantaran

- grafiti ii, ms. 33

Ini adalah bait-bait yang mewakili suara Abdullah Jones, seorang lelaki yang berasal dari Tanah Melayu (Pahang mungkin), yang kini menetap di Leicester, UK… menjadi pelukis dan tidak pernah dikenali oleh sesiapa pun waima penerbit bukunya sendiri. Sungguh magis manusia yang satu ini. Ada juga jelmaan kelibat Chairil Anwar

Untuk Abdullah Jones, saya coretkan ini…

Bogelkan jiwa kau Abdullah Jones
Londehkan selera pena kau
Lucutkan seluar dalam bahasa kau
Kerana dengan itu nanti kau akan dapat menampar
Sesiapa saja yang masih bermimpi..

Layar… kalau karam, kita berenang nanti…
Sampai berpinau mata - mati lemas
Di ketika itu
Baru kau gantung pena dan khayal kau…
Biar ia larut di alam yang mununggu waktu
Untuk ditamatkan riwayatnya

-pantai dalam, 22 mei 2007@11.37pm

Buku: Kalashnikov

Ini buku terbitan Sindiket Sol-Jah. Saya berjumpa dengan Naga di Pesta Buku dulu dan beli terus dari dia. Sudah habis menggodeknya, dan baru ada kesempatan dan angin mahu mengulas.

Oh, perlu dinyatakan; ini adalah komentar peribadi saya dan anda berhak untuk tidak bersetuju dengannya. Tetapi dengan syarat; anda terlebih dulu perlu mendapatkan naskah ini dan baca. Kalau tidak, jangan bising!

Saya suka buku ini. Ketika membacanya - sampai habis - pada hari yang sama saya membelinya, terasa ada satu aura pada buku kecil ini. Ia perasaan yang sama saya rasakan ketika membaca buku cerpen Wilayah Kutu oleh Neohikayat Press.

Pertama, perkara yang saya suka adalah oleh kerana rekaan kulitnya yang pada saya membawa erti provokasi, ‘komunis’ dan kekirian. Ciri-ciri ini memang ada, tetapi bukanlah dari sudut faham ideologi politik. Ia lebih kepada rentangan idea melalui medium cerita pendek yang ‘kiri’ – dan tidak akan diterbitkan oleh DBP sama sekali. Itu saya pasti.

Ia erotis, bahasanya ringkas dan mungkin belum kental dan boleh juga sampai tahap memualkan – yang mana saya sukakannya. Masih terasa kelopongan di sana-sini, terutama dalam penyampaian kisah-kisah serta susun atur plot pendek yang ada. Saya bukan penulis novel atau fiksyen, jadi bolehlah dipertikaikan apa yang saya catat ini. Saya hanya memerhati dan berkompromi secara individualistik berdasarkan apa saja bahan bacaan yang pernah saya baca.

Tulisan Amir Mukhriz bagus. 'Jon, Jen dan Permata yang Hilang' paling saya minati. Saya suka tulisan ini bukan kerana saya mat porno. Tetapi ia satu deklamasi jiwa yang khayal tetapi sederhana serta sarat. Ayat ini boleh mewakili apa yang saya maksudkan;

“Malam itu, untuk membuktikan cinta, Jen buat pertama kalinya akur pada godaan dan pujuk rayu Jon, maka, Jon dan Jen jadi JonJen, mereka berJonJen sampai tak ingat dunia…”

Ini pada saya kias dalam nada dan irama baru yang sederhana dan kurang keras.

Kedua, karangan Vovin juga saya angkat. Tajuknya Gonzo. Perkataan Gonzo itu sendiri sudah membuatkan saya teruja. Pada saya, Gonzo berkenaan berkait rapat dengan satu susuk penulis yang saya kagumi, Hunter S. Thompson – tapi dia mati tembak kepada sendiri pada 2003/2004 – saya hilang ingatan untuk tarikh itu. Saya tidak tahu apa yang ada dalam kotak fikiran Vovin, tetapi aroma dalam cerpennya ada sedikit ‘bau’ susuk berkenaan – walaupun bukan secara langsung.


Banyak lagi cerita pendek yang meragut hati. Saya amat-amat menyarankannya! Saya tak berhajat untuk mengulas panjang di sini. Anda boleh ke laman Naga kerana di sana ada pautan ulasan yang lain. Boleh rujuk.

Jika anda mahu buku dengan piawai bahasa seperti yang sudah biasa disogokkan ketika mata pelajaran BM di sekolah, lupakan buku ini. Ini buku mewakili generasi muda yang baru. Ada kias sastera, tetapi dosnya dalam sukatan saintifik yang baru.

Saya setuju dengan usaha ini – menerbitkan buku secara sendiri. Bagi saya, ia satu langkah yang relevan untuk menawarkan sesuatu dari sebelah yang ‘kurang di dengari’ dan ‘hampir lenyap dalam kesunyian’. Untuk harga RM15, tak payah fikir panjang. Email Sindiket Sol-Jah dan terus beli.

Namun, saya lebih mengkagumi Wilayah Kutu. Bukan untuk membanding-bandingkan, tetapi lebih kepada penilaian ideal bagi produk bacaan yang pernah dihasilkan golongan muda Malaysia secara bebas. Saya kagum! Kedua-duanya berjaya menambat hati. Saya ingin baca dan baca lagi Kalashnikov

-pantai dalam, 22 mei 2007@11.05pm

Friday, May 11, 2007

demos kratos

Tajuk di atas adalah dalam kata lain yang sering difahami sebagai demokrasi. Asal kata ini ialah dari perkataan Greek.‘Demos’ membawa maksud people atau rakyat. 'Kratos' pula bermaksud rule atau memerintah.

Ia secara lahirnya difahami sebagai satu modul pemerintahan bagi sesebuah kerajaan. Sayangnya, bunyi perkataan ini memang indah dan membawa maksud yang baik juga. Dalam bahasa mudah, ia membawa makna kata rakyat yang memerintah – ‘rule by the people’.

Maksud di sini, sesebuah pemerintahan adalah dibawah kuasa rakyat – pada dasarnya, inilah yang cuba disampaikan. Kuasa sebenarnya di bawah pengaruh rakyat. Sekurang-kurangnya ini adalah idea awalnya.

Namun, momok demokrasi ini sudah ditafsir secara yang berlainan maksud dan konteks di negara ini. Kita percaya demokrasi adalah perlakuan di mana rakyat secara berbondong-bondong akan turun untuk mengundi. Demokrasi juga adalah kuasa – hanya untuk memilih. Mati di situ.

Dalam konteks Malaysia, lima tahun tempoh pemilihan pemerintah, rakyat langsung tidak boleh berbuat apa-apa. Ini hakikat. Maka, ‘kuasa’ rakyat yang dilaungkan itu hanyalah ketika musim pimilihan. Selain dari waktu itu, rakyat hanyalah keldai yang perlu menerima saja apa yang diputuskan oleh pemerintah.

Maka, tercetuslah keadaan di mana pemerintah berbuat sesuka hati – walaupun menurut mereka keputusan seumpama itu masih menyebelahi rakyat. Hakikat yang satu lagi, rakyat terus tersepit.

Pemerintah memomokkan demokrasi versi mereka dan mahu semua rakyat percaya akannya. Di dalam bangsa yang malas untuk membuka minda pula, mereka yakin bahawa demokrasi yang satu ini sajalah yang benar. Mereka tidak memahami apa sebenarnya yang berlingkar di dalam lingkurangan demokrasi. Mereka malas membaca, malas mencari dan hanya mahu bersenang-lenang. Inilah keresahan yang sebetulnya untuk dipeningkan, bukan memikirkan tentang ‘perlukah saya turun mengundi nanti?’.

Sebagai contoh terdekat, siapakah yang memilih Abdullah Badawi untuk menggantikan Mahathir Mohammad? Adakah rakyat atau pemerintah? Bukan ramai yang mahu mewakilkan pemerintah untuk membuat semua tindak-tanduk.

Demokrasi bukan alat. Tetapi itulah yang terjadi – diperalatkan. Terlalu kompleks untuk difahami. Jika benar-benar mahu diselidiki dan di kaji, mungkin ada titik pertemuan antara demokrasi dan anarkis atau sosialis? – Barangkali!

Tidak perlulah bercakap tentang demokrasi. Semua sudah bercampur-baur dan banyak hantu dan mitosnya…

-11 mei 2007