Friday, February 22, 2008

rumah sakit percuma


Sicko merupakan sebuah filem dokumentari arahan pengarah/aktivis Michael Moore. Ada beberapa filem terdahulu daripada beliau, namun paling menyerlah ialah tiga judul ini; Bowling For Columbine, Fahrenheit 9/11 dan Sicko sendiri.

Ada kejutan-kejutan realiti yang dipaparkan dalam setiap filem Moore. Di dalam 'Bowling...', beliau ada antaranya menemuramah sendiri Marilyn Manson, antara individu yang dikaitkan menjadi pendorong dua penembak pelajar ala Trenchcoat Mafia di Sekolah Tinggi Columbine, Colorado.

Manakala di dalam 'Fahrenheit...', Moore bermain dengan teori dan grafik serta visual asal yang katanya mampu menyanggah kenyataan rasmi Rumah Putih seperti apa yang kita sedia maklum.

Sicko juga tidak kurang menarik. Saya tidak akan bercerita panjang. Ia bermula sebagai 'siasatan' terhadap sistem kesihatan yang diamalkan di Amerika yang seterusnya membuatkan ramai orang terkedu. Membeli insurans kesihatan contohnya, Sicko memeparkan bagaimana sistem kapitalis 'total' di sana memberikan bayang2 indah utopia serta harapan kepada rakyatnya berkait khidmat kesihatan dan pada masa yang sama, menjerut leher golongan ini yang sentiasa akan tertindas - untuk keuntungan wang.

Sicko juga membawa Moore untuk mengenali maksud sebenar tentang sistem kesihatan percuma dan juga sistem pendidikan percuma. Kata PERCUMA ini sesuatu yang molek disentuh oleh Moore. Dokumentari ini 'memaksa' Moore berkelana ke Eropah dan Cuba dan belajar maksud PERCUMA, walaupun dari sebuah negara komunis seperti Cuba.

Oh, pendidikan percuma ini bukanlah seperti apa yang rakyat Malaysia fahami, iaitu sekadar buku teks percuma seperti yang dilaungkan oleh pak menterinya, Hussein Onn tak lama dulu - "kita antara negara di dunia yang menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat...". Filem ini mungkin sesuatu yang berharga juga sebelum kamu membuang undi 8 Mac nanti!

Kamu mahu belajar erti sistem kesihatan dan pendidikan percuma, tonton Sicko. Beli DVD dari lanun boleh memudahkan kerja kamu untuk bersemuka dengan realiti Moore.

-22-02-08

Thursday, February 21, 2008

bahasa politik

George Orwell pernah mencoret kata-kata ini;

"Political language is designed to make lies sound truthful and murder respectable, and to give an appearance of solidity to pure wind..."

Jadi, dalam tempoh-tempoh kalut sebelum PRU 12 ini, cepat betul andaian itu muncul dan menzahir dan menjadi sahih (kalau niat Orwell memang mahu mengandaikan). Kamu, sudah lama dengar yang enak-enak di surat khabar, propaganda di tv dan di mana-mana saja. Tetapi, sudahkah kamu membunuh? Jangan khuatir, tangan kamu akan berselut darah tanpa kamu sendiri sedari tatkala kamu mula kabur dan percaya dengan media-media yang mengusung projek membahlolkan orang-orang.

Keindahan yang dibina di atas kata dusta sukar akan kekal, kerana semua tidak kekal belaka...

20-2-08

Wednesday, February 06, 2008

siaran akhbar rasmi MECG

Siaran Akhbar
5 Februari 2008

Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) berasa sangat terkejut dan sungguh kesal dengan tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mengharamkan buku “Islam dan Pluralisme” terbitan MEGC, bersama 10 buku lain, seperti dilaporkan di media pada 29 Januari dan 30 Januari 2008.

Selain kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak KKDN berhubung pengharaman tersebut sangat kabur dan sewenang-wenangnya, kami juga melihat pengharaman ini sebagai suatu langkah yang bercanggahan dengan semangat keilmuan dan kemajuan seperti diharap-harapkan oleh idea-idea asas Islam Hadhari yang diterajui oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri.

KKDN tidak memaklumkan perkara ini kepada pihak kami dan tidak juga menyertakan sebarang justifikasi atau bukti kukuh bagi menyokong tindakan mereka.

Buku “Islam dan Pluralisme” diterbitkan, bertujuan antaranya, sebagai satu perbahasan untuk mengulas fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang mengharamkan pluralisme, liberalisme, dan sekularisme. Selepas fatwa ini, beberapa pihak di Malaysian telah menyusun beberapa rencana—menerusi perbincangan dan penulisan—bagi menyokong fatwa tersebut.

Pada waktu itu, tiada suatu usaha pernah diambil untuk memberikan penjelasan atau penerangan yang berimbang berhubung fahaman-fahaman tersebut di negara ini. MEGC menerbitkan “Islam dan Pluralisme” sebagai satu tawaran bagi melanjutkan perbahasan ilmiah tentang perkara tersebut.

Menyedari bahawa pluralisme bukanlah sesuatu yang terlalu asing dalam tradisi keilmuan Islam, kami mengutip dan menterjemahkan beberapa tulisan yang cuba menjelas realiti kejamakan (plurality) dan pluralisme keagamaan dalam teks-teks agama (Al-Quran dan hadis), sejarah, tradisi, dan idea-idea yang terkandung di dalam karya para sarjana agung Muslim, khususnya daripada aliran sufisme.

Kami juga berasa keliru dengan kenyataan pegawai KKDN Che Din Yusoh yang dipetik sebagai berkata, bahawa “Sekiranya penerbitan itu dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam dan seterusnya boleh memudaratkan ketenteraman awam.”

Pada hakikatnya, penerbitan buku “Islam dan Pluralisme” itu dibuat sebagai salah satu usaha dan sumbangan kami ke arah mengembangkan masyarakat beragama yang lebih berlapang dada serta hidup dengan lebih harmoni di tengah kepelbagaian bangsa, agama, dan budaya seperti di Malaysia.

Justeru itu, kami berasa hairan dengan tindakan pengharaman buku ini kerana langkah ini tidak membantu usaha-usaha membentuk sebuah keluarga besar bangsa Malaysia yang saling memahami, berfikiran terbuka dan dipertalikan oleh semangat kemanusiaan.

MEGC akan menghantar surat kepada pihak KKDN secepat mungkin untuk meminta penjelasan, alasan terperinci, dan justifikasi bagi pengharaman tersebut. MEGC juga mengharapkan KKDN menimbangkan semula pengharaman ini dan menarik balik larangan ini.

Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Pengarah Eksekutif