(untuk Eva Gabrielsson)
Selepas setahun
Aku menunggu panggilan yang tak kunjung tiba
Nombornya ada di dalam telefon genggamku
Aku menunggu sekuntum senyum yang tak pernah di dapat
Gambarnya tergantung di dindingku
Aku menunggu belaian yang tak pernah dirasakan
Jaketnya di dalam almari
Tetapi aku mendengar suaranya menjawabku
Ketika kerinduan ini semakin parah
- Eva Gabrielsson untuk Stieg Larsson, 2005.
Eva,
Menjelang pagi pada suatu hari di tahun 2010, saya menuliskan sepucuk surat yang saya tahu tak akan mendapat kiriman balas. Saya tujukan surat itu kepada Stieg Larsson, menghujani beliau antara lain, dengan banyak soalan tentang kisah hidupnya yang minta dijawab. Dia tentu sekali tak akan membalas surat itu. Pertama, kerana saya menulis di dalam bahasa Melayu – yang tidak dia fahami. Kedua, kerana dia terlebih dulu mati pada 2004. Dan, kerana cukup sedar tentang hal itu, saya biarkan tulisan berkenaan terapung di ruang maya.
Dari jauh, saya mengkagumi kisah dia. Saya membaca – buku dan rencana – yang banyak bercerita tentang dirinya. Tetapi, tetap saja saya tidak menemukan jawapan, atau paling kurang gambaran yang lebih indah tentang sosok itu.
Di Kuala Lumpur, awal 2011, saya sempat bertemu seorang teman senegara dengan kamu berdua. Maria, kalau saya tak silap mengingat namanya, berasal dari Sweden. Dia berkhidmat untuk pengilang jentera berat dari negara kamu, Scania. Ketika waktu senggang dan sebelum berpisah, kami berbual tentang The Millenium Trilogy. Dia tak menyangka ada orang disebelah dunia sini yang mengambil tahu banyak hal tentang penerbitan itu. “Buku-buku Stieg adalah terbitan paling berjaya, setelah di Sweden sekian lama tidak berdepan dengan kejutan penulisan skala besar seperti itu,” kurang lebih kata Maria.
Saya juga sempat menyebut tentang buku kamu Eva, yang ketika itu khabarnya sedang disiapkan. Dan Maria juga begitu, tak sabar menanti cerita-cerita dari kamu tentang Stieg Larsson. Melihat raut wajah Maria, yang mungkin dalam lingkungan usia 50an, saya teringatkan kamu. Tentunya dari gambar-gambar kamu yang berselerak di internet. Kerana itu sajalah pertemuan dan perkenalan saya yang paling hampir dengan Sweden setakat ini, dengan orang-orangnya yang tak akan melucutkan nama Stieg Larsson dari ingatan bangsanya, saya fikir.
Dan ketika menuliskan surat ini, saya baru saja selesai membaca catatan memoir kamu tentang dia; “There Are Things I Want You To Know” About Stieg Larsson and Me. Dan, seperti yang saya dan Maria jangkakan, kamu banyak menjawab soalan-soalan yang sebelum ini hanya terbit sebagai spekulasi. Kamu menjelaskan, dengan nada dan gaya ringkas, tentang seorang yang namanya kini begitu besar; saya harap nama itu tak akan menjadi beban kepada kamu Eva, atas satu sebab – cinta.
Terima kasih kerana menuliskan setiap perkara yang kamu dan Stieg lalui, sepanjang 32 tahun kalian hidup bersama, walaupun dalam tona suara paling ringkas. Buku kamu banyak menjelaskan tanggapan-tanggapan saya sebelum ini terhadap dia. Saya belajar banyak perkara tentang proses penciptaan trilogi yang menggoncang itu, bukan saja di dalam konteks Sweden semata-mata, tetapi seluruh dunia umumnya.
Tulisan kamu Eva, melangkau jauh dari jangkaan awal saya sendiri. Dengan hanya membaca tulisan ini saja, saya dapat merasakan betapa hubungan intim – atau cinta – kamu terhadap Stieg yang berusia 32 tahun itu terus mekar dan mendalam, tidak mati bersama pemergiannya. Tiga malam berturut-turut saya membaca setiap baris kata dan ayat yang kamu tulis dengan berhati-hati. Saya tak mampu untuk berenggang dengannya, kerana emosi yang kamu alirkan itu cukup bertenaga. Buku ini adalah paksi pertautan imajinasi saya dengan kamu untuk tiga hari itu – tanpa kamu mengetahuinya.
Bagaimana dihari matinya Stieg, dia mendaki tangga untuk sampai ke tingkat tujuh bangunan pejabat majalah Expo hanya untuk kemudiannya sesak nafas dan diserang sakit jantung. Bagaimana, dihari itu juga, kamu berada jauh dari Stockholm, dan tidak sempat bersamanya ketika dia menghempus nafas terakhir. Tentang bagaimana kamu mendengar daripada seorang doktor, bahawa Stieg melafazkan ini; “Kamu mesti maklumkan Eva Gabrielsson”, sejurus sebelum dia tidak sedarkan diri dan pergi untuk selamanya. Saya cuba membayangkan, betapa pentingnya kamu bagi Stieg, sehingga ketika sisa-sisa nyawanya juga nama kamu yang disebutkan. Hanya kamu Eva, bukan The Millenium Trilogy, bukan keluarganya, bukan buku-bukunya dan bukan seluruh dunia. Hanya Eva Gabrielsson!
Ketika saya membaca tulisan kamu Eva, saya bersendirian di rumah. Ruang menginap saya tak jauh beza daripada apa yang kamu huraikan di dalam buku ini. Saya membaca dengan hati yang sebak tentang kerinduan kamu terhadap Stieg, tentang bagaimana kamu bila-bila masa saja boleh di halau keluar oleh keluarganya yang menuntut setiap harta peninggalan Stieg. Setiap hari sepanjang 32 tahun itu kelibatnya selalu disamping kamu, suaranya yang selalu menyapa kamu di kamar kerja di rumah. Setiap susah senang, masalah dan gembira semuanya yang dulu dikongsi, tiba-tiba lenyap. Dan ruang itu menjadi seperti lubang hitam yang menyedut setiap kebahagiaan yang pernah kamu kongsikan.
Membaca setiap situasi emosi kamu selepas kematian Stieg membuatkan saya tersangat merindui suri hidup saya yang sejak beberapa hari ini tidak berada di rumah atas urusan kerja. Dan, ketika dia sampai di muka pintu nanti, saya akan menyambutnya dengan pelukan erat dan ucapan terima kasih sementara saya masih berpeluang untuk melakukannya. Tanpa dia perlu tahu sebabnya; kerana saya membaca buku kamu Eva, yang menyebut dengan terperinci tentang cinta dan sebuah kehilangan. Entah mengapa, saya seperti memahami perasaan kamu.
Saya kini faham mengapa kamu dan Stieg tidak mahu secara rasminya berkahwin. Mengapa pada setiap pendaftaran, bil-bil dan alamat rumah, hanya nama kamu saja yang ada. Saya juga faham mengapa kamu menyintainya sepenuh nyawa, dan berasa seperti separuh jiwa kamu hilang selepas dia mati. Untuk novel trilogi itu juga, saya faham mengapa ia begitu fenomena; Ia bukanlah siri novel yang ditulis oleh seorang pengarang hebat (seperti yang kamu nyatakan, Stieg ditolak untuk menjadi seorang jurnalis sepanjang hidupnya kerana dia dikatakan ‘tak boleh menulis’), yang hanya perlu duduk di dalam bilik dan bermain dengan imajinasinya sendiri untuk menghasilkan novel. Yang terkandung di dalam trilogi itu adalah kerja keras yang panjang, seperti yang kamu nyatakan, yang sebenarnya merupakan cerminan sebuah kegilaan perjalanan hidup sepanjang 32 tahun kamu bersamanya, kajian-kajian tentang strata sosio-politik Sweden, penentangan terhadap perkauman dan setiap sesuatu yang pernah terjadi di dalam hidupnya. Ketika ini saya hanya mampu membaca dan bersetuju dengan kamu Eva, dan turut sama merasa kehilangannya walaupun saya tak sempat mengenalinya seperti kamu mengenalinya.
Dan, saya kira, kamu juga seorang yang baik hati dan tabah. Ketika ahli keluarga Larsson yang kamu kenali selama menjadi teman hidup Stieg merampas semuanya daripada kamu (kerana tiada dokumen sah perkahwinan), kamu masih mampu bertahan. Kamu masih mampu melawan. Dan, paling penting, kamu masih mampu bersua muka dengan mereka untuk berbincang. Sikap itu bagi saya terlalu mulia, kerana di tempat kami, hal-hal perebutan harta peninggalan si mati sering berakhir dengan caci-maki dan pecah-belah, tak lagi bertegur sapa di kalangan ahli keluarga.
Selebihnya, saya hanya berdoa untuk kebahagiaan dan kesejahteraan kamu. Teruskanlah perlawanan kamu (www.supporteva.com) untuk mendapat hak terhadap harta-harta intelektual kekasehmu itu daripada keluarganya, yang tak langsung pernah diberikan perhatian oleh Stieg seperti perhatiannya terhadap kamu ketika hidupnya.
Dan, usahakanlah dengan cara yang terbaik penerbitan siri keempat novel berkenaan. Selepas membaca memoir kamu dan melihat bagaimana proses penulisan di antara Stieg dan kamu berlangsung, saya fikir kamu adalah satu-satunya individu yang layak dan berhak untuk menghabiskan novel berkenaan. Semoga keluarga Larsson tidak berlaku kejam lagi ke atas kamu.
Sekian dulu,
Hafiz Hamzah – Kuala Lumpur.
1 comment:
begitu halus dan tulus.
Post a Comment