Tuesday, May 31, 2011

auburn



26 Mei 2011
Pentas 2, KLPAC.

Terlewat sampai. Pintu tertutup. Seorang perempuan urban meminta saya mengisi borang (untuk apa, aku tak pasti). Tak ada maklumat betul yang saya sertakan. Di dalam, rakaman tv sedang berjalan, enam artis muda yang direkodkan setiap aksi mereka untuk nanti cuba mendapatkan siaran di slot tv. "Kamera tak boleh guna." Saya menoleh, seorang lelaki separuh usia (dengan rambut panjang) tersenyum. Dengan sebuah lampu suluh kecil mentol putih, saya dipaksa berjalan dalam samar-samar, dinding berselubung kain hitam sama misalnya ambiens ketika majlis ritual cult. Langsung tiba-tiba terasa khuatir untuk membuat bising, kalau-kalau nanti dihalau keluar. Di hujung ruang kelam itu, aku mencuri pandang set di depan; tiga kelompok kerusi yang masih menunggu untuk dipenuhi, tiga orang singer-songwriter sedang menyanyi. Tetapi suasana luar biasa senyap. Dan lagu-lagu yang berkumandang kebanyakannya menenangkan. Saya duduk di sisi kiri set, memerhati dan menikmati muzik-muzik ringkas yang tak kalah menariknya. Acara itu sebetulnya rahsia - walaupun ada jemputan kecil-kecilan - tetapi publisiti tidak diinginkan. Dan di sini saya sedikit membocorkannya. Kerana, selepas bertahun-tahun agaknya tak berjumpa, saya ingin sekali meninjau perkembangan Izuan Shah, yang juga tonggak band Auburn yang malam itu menyanyikan tiga lagu dari material terbaru Auburn kalau tak silap. Dia tak menghampakan. Muzik yang semakin matang. Petikan tali-tali gitar yang kemas dan komposisi enak untuk sebuah persembahan muzik minimal a la akustik. Mungkin lirik-liriknya perlu diperhalus. Tentang kamera. Saya amat sukar untuk memadamkan sumbu keghairahan untuk membidik kamera ketika imajinasi sudah membariskan gambaran-gambaran menarik. Dan larangan untuk tidak menggunakan kameran itu sekali-sekali tak dihiraukan. Waktu senggang antara set dan selesai rakaman tv.

Monday, May 30, 2011

salman rushdie

Saya siap menterjemah sebuah tulisan Clarissa Lee, yang berkesempatan mengikuti syarahan perdana Salman Rushdie di Universiti Duke, Amerika Syarikat.

Antara komennya:

Para penulis dan mereka yang di#tampuk kuasa selalu bertembung kerana mereka adalah pesaing dalam menyatakan kebenaran. Rushdie terang-terangan mengatakan bahawa orang politik sering berbohong, mungkin tanggapan yang berakar daripada oleh pergulatannnya sendiri dengan diktator-diktator dunia (dari Ayatollah yang pertama hingga Indira Gandhi). Rushdie bertegas yang para penulis fiksyen perlu menggalas peranan untuk menyatakan kebenaran (dalam maksud apa yang sebenarnya berlaku) ketika sumber maklumat rasmi dan utama hanya mengandungi banyak penipuan. Tindakan menulis bermaksud perlaksanaan aksi memori yang meletakkan seseorang itu di dalam konflik dengan orang politik kerana kelompok politik cuba menghalang memori-memori yang ingin keluar melalui penciptaan produktif para penulis.

Rushdie memberikan contoh bukunya, Midnight’s Children: cerita tentang pasca-kolonial India dan keretakan yang membawa kepada penubuhan Pakistan. Walaupun dengan dimensi magis-realisme novel itu (sebuah definisi yang menurut Rushdie diberikan oleh pembaca/pengkritik Barat sebagai reaksi mereka terhadap bentuk dan gaya penceritaan yang mistikal), keganasan dan pertumpahan darah yang berlaku dalam tempoh berkenaan tidak lenyap dan kekal konsisten dalam latar belakang novel itu, menjajari tahun-tahun perperangan yang berlaku di sempadan India-Pakistan.
Baca lanjut di sini.

Thursday, May 19, 2011

Keretapi



Banyak yang didengar tentang kamu. Tentang bagaimana dilembar-mu menghimpun cerita-cerita sakit dan sakti. Bagaimana kata-kata berdiri dengan teguh dibelakang cita-cita. Bagaimana cerita-cerita itu bangkit dan menjelaskan dirinya sendiri. Tetapi kita tak pernah bersua. Cuma baru-baru ini, kita bercanda. Dan luka-luka memang banyak masih berbekas.
Link
Selamat berkenanalan.

Kuda

Sebuah mimpi singgah separa-sedar tadi malam (atau awal pagi). Aku mimpikan sa-ekor kuda. Bukan yang biasa-biasa. Kuda dengan otot dan dekorasi semesta yang cantik. Perisai-perisai yang melindungi tubuh daripada mata-mata sakti. Semacam Unicorn, barangkali. Tetapi, melampaui keindahan estetik normal. Merentasi setiap satu penciptaan alam yang pernah kau bayangkan. Dia memberi tahu namanya, yang aku ingat sama-samar dia menyebut; Indira. Dan dia memilih untuk aku menunggangi dia. Dan, aku gagal. Tak pun mampu untuk mendarat ditubuhnya (kerana aku seperti terawang-awangan kerana kecantikan itu). Aku hanya melihat tubuhnya yang sasa, otot-otot kejap yang mengelembung ketika dia berlari. Aku tak ke mana-mana. Hanya memerhatikan saja. Dan, entah dari mana atau kuasa apa, sebilah pedang turun dan hinggap dilehernya. Itulah kali pertama dalam durasi singkat mimpi itu aku mendengar suaranya. Bukan dari mulut, tetapi dari lohong nafas yang terputus disembelih. Tetap saja dia mengasyikkan di dalam keadaan itu. Bunyi dengusnya juga tak menggerunkan. Tak lama sebelum dia jatuh dari lubang hitam yang dalam. Dan aku mengekori sebentar dengan lirik mata yang tanpa perasaan untuk melihat dia senyum saja sampai akhirnya aku terjaga di dalam kesakitan yang amat sangat. Leher, dibahagian belakang, adalah ingatan kepada Indira, si kuda menawan itu.

Tuesday, May 17, 2011

Islam, Kristian

Di perkarangan gereja inilah saya tumpang berteduh dari terik panas matahari ketika pendidikan jasmani. Kadang-kadang, saya mencuri minum air paipnya kerana haus. Dan, di depan pintu gereja inilah saya berdiri untuk pertama kalinya melihat dengan penuh pengamatan sebuah patung yang menjadi simbol penganut agama semitik itu; patung salib Jesus – Nabi Isa A.S – dengan warna darah dan tusukan paku pada tangan dan kaki serta duri di kepalanya.



Baca lanjut di sini.
Link

Monday, May 09, 2011

Dendam/Geram

“Kamu menyesal dengan apa yang pernah kita berdua lakukan dulu?” Dia meletakkan sepotong kek coklat (untuk dikongsi), segelas coklat panas untuk aku dan sebotol air mineral untuk diri sendiri.

Aku perhatikan dia memperhatikan kek yang tumbang di dalam piring, di atas meja. Tangannya masih lembut dan kecil sama seperti dulu aku yakin. Melihat cara sudu dipegang, tentunya sudu itu dengan angkuh berasa dirahmati. Secalit krim pada bibirnya lebih manis berbanding nikmat coklat yang ketika itu sedang meresap di dalam rongga mulut.

Dia mengangkat mata, memandang terus ke mata aku. ”Tak.” Yang ringkas itu bukan bermaksud tak ada keresahan. ”Sekurang-kurangnya kita pernah melakukannya. Dan itu bukan aneh, kerana aku gembira.” Dia kembali membawa pandangannya ke piring di depan kami, sekali-sekali ke pinggir jalan, membaca bahasa tubuh orang yang lalu-lalang dengan setiap rahsia yang selalu ingin disembunyikan tetapi tetap terbongkar.

Tidak seperti kami, bersama rahsia-rahsia yang selalu dikongsi. Dan waktu ini adalah untuk melihat kembali rahsia-rahsia yang masing-masing pernah pendamkan. Tetapi semakin berat untuk dituturkan. Entah malu-malu, entah ingin dipadam terus dari ingatan terhadap masa lalu.

”Kalau tidak, apa perlu untuk aku dan kamu berjumpa lagi?” Tanpa senyum, manis pada bibir itu aku lihat hilang sekejap ketika pertanyaan ini terpacul. Aku sebetulnya tak mengetahui apa pun yang mungkin ada sebagai jawapan bagi dirinya. Tetapi aku punya sebab bagi mewakilkan diri sendiri untuk sebuah pertanyaan seperti itu. ”Aku ingin bermain dendam dengan kau yang dulu.” Dia menjawab perlahan. Aku tak pasti yang di dengar di telinga kiri itu adalah kata ‘dendam’ atau ‘geram’.

”Aku sekadar ingin melihat kembali dosa-dosa lama. Dan kalau secantik inilah dosa-dosa itu kini, aku sama seperti kamu... tak pernah menyesal.” Dia hanya tersenyum.


- 9 Mei 2011.

Friday, May 06, 2011



Semangkuk Interlok sudah siap di bikin dan siap untuk di edar secara viral di laman maya. Tak ada cetakan fizikal dirancang setakat ini.

Di dalam proses menghimpun dan menyunting esei-esei berkenaan, kekhuatiran saya hanya satu; kalau-kalau buku itu nanti akan terpukul oleh arus perbincangan di ruang massa yang setakat saya perhatikan, begitu menyesakkan nafas.

Melalui buku ini, saya berusaha mendapatkan satu jarak dari arus itu, memusingkan mata dan tumpuan kepada perkara-perkara yang saya rasakan lebih penting atau lebih patut dipertanyakan.

Mujur, ada beberapa tulisan yang pada saya, yang ketika itu saya fikir bakal menyelamatkan sedikit-sebanyak perbincangan yang dihamparkan dalam buku itu nanti. Saya tak tahu sejauh mana saya berhasil untuk mempertemukan pembaca dengan sisi yang lebih penting bagi pekik lolong Interlok yang kedengaran.

Tetapi, saya selesa dengan draf manuskrip terakhirnya. Yang terlalu memuji-muji di neutralkan oleh beberapa lagi tulisan dengan pandangan berbeza. Yang manis mulut di letakkan juga sekelumit rasa pahit untuk disedari.

Tak ada apa lagi nak disampaikan.

Bacalah. Muat turut secara percuma di sini.