Tuesday, August 16, 2011
Tumblr
Tuesday, August 09, 2011
Henning Mankell
Friday, August 05, 2011
GM
Monday, August 01, 2011
Surat buat sang perindu
Friday, July 22, 2011
Oh, Jakarta.
Wednesday, July 20, 2011
Bon Iver, Fleet Foxes
Tuesday, July 05, 2011
Oe, nuklear
Sunday, June 26, 2011
40 tahun Sweet Charity
jargon
Friday, June 24, 2011
sore di kuala lumpur
Thursday, June 23, 2011
republik kutu
Petang itu, di dalam kamar yang sama, Lisa berkeras mahu melihat foto-foto yang diyakini ada dalam kamera yang aku jinjit. ‘Tak ada, Lisa.’ Tentunya, penolakan seperti itu tidak melahirkan rasa apa pun pada dia. ‘Dengar sini Lisa. Yang terkandung dalam kamera ini adalah keindahan-keindahan yang rahasia, yang terlarang. Kalau pun kamu melihat, belum tentu kamu akan faham.’ Seperti anak kecil yang nakal dan tegar, Lisa memang tak pernah menghiraukan kata-kata aku.Lisa memulangkan semula kamera ke tangan aku. ‘Kalau betul di dalam ini adalah keindahan, rahasia dan larangan-larangan, maka aku juga mahu berada di lingkungan itu.’ Aku tak perlu memahami atau mencari-cari maksud kata-kata Lisa. ‘Potretkan aku.’ Sedetik itu aku memang rasakan seperti semuanya kaku. Sama seperti sebuah foto, subjek-subjeknya diperangkap oleh masa, cahaya dan tempat, tetapi masih lagi bernyawa untuk mempesona mata-mata yang memandang. Tidak terlalu perlu kepada pengertian.Lisa tenang memandang. Dia sekejap itu juga mengangkat t-shirt yang terpampang wajah John Lennon yang dipakai, dari paras pinggang ke atas melepasi kepala dan melastik ke lantai. Dua tangannya kemudian kebelakang. Dalam debar yang seketika, Lisa melucutkan semua yang ada pada tubuh. ‘Sekarang,’ katanya. Yang tersedia ketika itu adalah momen paling intens. Ketenangan Lisa tak dapat menenteramkan. Buat seketika aku hanya terpana memandang kesempurnaan. Kesempurnaan yang sebelum itu tidak pernah aku impikan untuk ditelanjangi.Dia seperti sangat arif tentang elektrik antara subjek dan lensa. Begitu juga perhubungan celaru antara subjek dan tukang potret. Dia hanya melepaskan badan dihujung katil dan tidak berpura-pura. Aku masih ingat, hanya tiga petikan yang menjatuhkan kelopak shutter sahaja yang sempat diperlakukan sebelum Lisa bingkas bangun dan menjerit histerik; ‘masa tamat!’ Ketukan dimuka pintu kemudiannya menamatkan imajinasi keindahan terlarang yang sedang aku nikmati waktu itu. Rina membawa pesan yang tak mahu aku dengari kepada Lisa.Tak engkau ketahui Lisa, betapa getar dari penantian aku memproses foto itu hampir membunuh. Kamar di mana foto ini lahir lebih gelap daripada kamar di mana kita berinteraksi dan bertransaksi secara emosi, tetapi disirami cahaya yang bangkit dari wajahmu. Beberapa lama yang diperlukan untuk melihat engkau di atas cetak kertas itu membuatkan aku bergelinjang dan terasa nakal. Cecair kimia seperti tak mencukupi, kegelapan seperti masih bercahaya. Waktu itu aku hanya mahu hilang sebentar dan kembali untuk melihat matamu siap merenung mataku – walaupun hanya dari dalam gambar.
Tuesday, June 14, 2011
Monday, June 13, 2011
Wednesday, June 01, 2011
kata-kata
Saya memberikan temuramah ringkas untuk terbitan Kata-Kata. Sudah pun mula dijual (Rm3). Boleh emel kepada jargonbooks@gmail.com untuk pesanan atau pertanyaan.
Ekstrak kecil:
KK
Ada preference kepada memilih bacaan berdasarkan aspek geografikal
penulisnya: Amerikan, Latin, Eropah, Jepun dan lain-lain?
HH
Ya, memang ada. Latar belakang geografi dan suasana latarbelakang masyarakat atau peribadi memang ada pengaruh besar. Umumnya, aku paling sukakan Latin. Lain-lain, ada juga yang menarik. Eksperimental, Eropah dan Jepun. Amerika, kurang sikit kecuali Beat Generation.
Selamat membaca.
Tuesday, May 31, 2011
auburn
Monday, May 30, 2011
salman rushdie
Antara komennya:
Para penulis dan mereka yang di#tampuk kuasa selalu bertembung kerana mereka adalah pesaing dalam menyatakan kebenaran. Rushdie terang-terangan mengatakan bahawa orang politik sering berbohong, mungkin tanggapan yang berakar daripada oleh pergulatannnya sendiri dengan diktator-diktator dunia (dari Ayatollah yang pertama hingga Indira Gandhi). Rushdie bertegas yang para penulis fiksyen perlu menggalas peranan untuk menyatakan kebenaran (dalam maksud apa yang sebenarnya berlaku) ketika sumber maklumat rasmi dan utama hanya mengandungi banyak penipuan. Tindakan menulis bermaksud perlaksanaan aksi memori yang meletakkan seseorang itu di dalam konflik dengan orang politik kerana kelompok politik cuba menghalang memori-memori yang ingin keluar melalui penciptaan produktif para penulis.Baca lanjut di sini.
Rushdie memberikan contoh bukunya, Midnight’s Children: cerita tentang pasca-kolonial India dan keretakan yang membawa kepada penubuhan Pakistan. Walaupun dengan dimensi magis-realisme novel itu (sebuah definisi yang menurut Rushdie diberikan oleh pembaca/pengkritik Barat sebagai reaksi mereka terhadap bentuk dan gaya penceritaan yang mistikal), keganasan dan pertumpahan darah yang berlaku dalam tempoh berkenaan tidak lenyap dan kekal konsisten dalam latar belakang novel itu, menjajari tahun-tahun perperangan yang berlaku di sempadan India-Pakistan.
Thursday, May 19, 2011
Keretapi
Banyak yang didengar tentang kamu. Tentang bagaimana dilembar-mu menghimpun cerita-cerita sakit dan sakti. Bagaimana kata-kata berdiri dengan teguh dibelakang cita-cita. Bagaimana cerita-cerita itu bangkit dan menjelaskan dirinya sendiri. Tetapi kita tak pernah bersua. Cuma baru-baru ini, kita bercanda. Dan luka-luka memang banyak masih berbekas.
Selamat berkenanalan.
Kuda
Sebuah mimpi singgah separa-sedar tadi malam (atau awal pagi). Aku mimpikan sa-ekor kuda. Bukan yang biasa-biasa. Kuda dengan otot dan dekorasi semesta yang cantik. Perisai-perisai yang melindungi tubuh daripada mata-mata sakti. Semacam Unicorn, barangkali. Tetapi, melampaui keindahan estetik normal. Merentasi setiap satu penciptaan alam yang pernah kau bayangkan. Dia memberi tahu namanya, yang aku ingat sama-samar dia menyebut; Indira. Dan dia memilih untuk aku menunggangi dia. Dan, aku gagal. Tak pun mampu untuk mendarat ditubuhnya (kerana aku seperti terawang-awangan kerana kecantikan itu). Aku hanya melihat tubuhnya yang sasa, otot-otot kejap yang mengelembung ketika dia berlari. Aku tak ke mana-mana. Hanya memerhatikan saja. Dan, entah dari mana atau kuasa apa, sebilah pedang turun dan hinggap dilehernya. Itulah kali pertama dalam durasi singkat mimpi itu aku mendengar suaranya. Bukan dari mulut, tetapi dari lohong nafas yang terputus disembelih. Tetap saja dia mengasyikkan di dalam keadaan itu. Bunyi dengusnya juga tak menggerunkan. Tak lama sebelum dia jatuh dari lubang hitam yang dalam. Dan aku mengekori sebentar dengan lirik mata yang tanpa perasaan untuk melihat dia senyum saja sampai akhirnya aku terjaga di dalam kesakitan yang amat sangat. Leher, dibahagian belakang, adalah ingatan kepada Indira, si kuda menawan itu.
Tuesday, May 17, 2011
Islam, Kristian
Di perkarangan gereja inilah saya tumpang berteduh dari terik panas matahari ketika pendidikan jasmani. Kadang-kadang, saya mencuri minum air paipnya kerana haus. Dan, di depan pintu gereja inilah saya berdiri untuk pertama kalinya melihat dengan penuh pengamatan sebuah patung yang menjadi simbol penganut agama semitik itu; patung salib Jesus – Nabi Isa A.S – dengan warna darah dan tusukan paku pada tangan dan kaki serta duri di kepalanya.
Baca lanjut di sini.
Monday, May 09, 2011
Dendam/Geram
Aku perhatikan dia memperhatikan kek yang tumbang di dalam piring, di atas meja. Tangannya masih lembut dan kecil sama seperti dulu aku yakin. Melihat cara sudu dipegang, tentunya sudu itu dengan angkuh berasa dirahmati. Secalit krim pada bibirnya lebih manis berbanding nikmat coklat yang ketika itu sedang meresap di dalam rongga mulut.
Dia mengangkat mata, memandang terus ke mata aku. ”Tak.” Yang ringkas itu bukan bermaksud tak ada keresahan. ”Sekurang-kurangnya kita pernah melakukannya. Dan itu bukan aneh, kerana aku gembira.” Dia kembali membawa pandangannya ke piring di depan kami, sekali-sekali ke pinggir jalan, membaca bahasa tubuh orang yang lalu-lalang dengan setiap rahsia yang selalu ingin disembunyikan tetapi tetap terbongkar.
Tidak seperti kami, bersama rahsia-rahsia yang selalu dikongsi. Dan waktu ini adalah untuk melihat kembali rahsia-rahsia yang masing-masing pernah pendamkan. Tetapi semakin berat untuk dituturkan. Entah malu-malu, entah ingin dipadam terus dari ingatan terhadap masa lalu.
”Kalau tidak, apa perlu untuk aku dan kamu berjumpa lagi?” Tanpa senyum, manis pada bibir itu aku lihat hilang sekejap ketika pertanyaan ini terpacul. Aku sebetulnya tak mengetahui apa pun yang mungkin ada sebagai jawapan bagi dirinya. Tetapi aku punya sebab bagi mewakilkan diri sendiri untuk sebuah pertanyaan seperti itu. ”Aku ingin bermain dendam dengan kau yang dulu.” Dia menjawab perlahan. Aku tak pasti yang di dengar di telinga kiri itu adalah kata ‘dendam’ atau ‘geram’.
”Aku sekadar ingin melihat kembali dosa-dosa lama. Dan kalau secantik inilah dosa-dosa itu kini, aku sama seperti kamu... tak pernah menyesal.” Dia hanya tersenyum.
- 9 Mei 2011.
Friday, May 06, 2011
Semangkuk Interlok sudah siap di bikin dan siap untuk di edar secara viral di laman maya. Tak ada cetakan fizikal dirancang setakat ini.
Di dalam proses menghimpun dan menyunting esei-esei berkenaan, kekhuatiran saya hanya satu; kalau-kalau buku itu nanti akan terpukul oleh arus perbincangan di ruang massa yang setakat saya perhatikan, begitu menyesakkan nafas.
Melalui buku ini, saya berusaha mendapatkan satu jarak dari arus itu, memusingkan mata dan tumpuan kepada perkara-perkara yang saya rasakan lebih penting atau lebih patut dipertanyakan.
Mujur, ada beberapa tulisan yang pada saya, yang ketika itu saya fikir bakal menyelamatkan sedikit-sebanyak perbincangan yang dihamparkan dalam buku itu nanti. Saya tak tahu sejauh mana saya berhasil untuk mempertemukan pembaca dengan sisi yang lebih penting bagi pekik lolong Interlok yang kedengaran.
Tetapi, saya selesa dengan draf manuskrip terakhirnya. Yang terlalu memuji-muji di neutralkan oleh beberapa lagi tulisan dengan pandangan berbeza. Yang manis mulut di letakkan juga sekelumit rasa pahit untuk disedari.
Tak ada apa lagi nak disampaikan.
Bacalah. Muat turut secara percuma di sini.
Monday, April 25, 2011
Tuesday, April 19, 2011
Kubur di Lembar Kertas-mu
halaman rumah-mu.
Awan menyelubungi, tetapi kata-mu,
matahari yang sedang mencurah sinar.
Kata-kata dari lembar itu
kamu kuburkan.
Tetapi kamu masih menyanyi.
”Kertas ini kembali menghidupkan kelesuan
yang dulu bertandang,” katanya.
Seperti datangnya nyawa kepada ghairah yang lama mati.
(Atau tak pernah ada.)
Aku tak pasti ingin menangis atau menari.
Kemarau masih terus, berani kamu sedarkan diri?
Aku memilih untuk berfikir sejenak.
Dan terus menatap-mu yang mabuk menari.
- 19 April 2011, KL.
Wednesday, April 13, 2011
Knut
Seorang anak muda mendatangi sebuah kota. Dia tiada nama, tiada rumah, tiada kerja: dia datang ke kota itu untuk menulis. Dia menulis. Atau, lebih tepat, dia tidak menulis. Dia kebulur sampai di hadapan kematian.
Kotanya ialah Kristiana (Oslo); tahunnya 1890. Anak muda tadi merayap ke pelusok lorong-lorong: kota itu adalah sebuah labirin kelaparan, dan setiap hari-harinya adalah sama. Dia menulis artikel-artikel yang tak diminta kepada sebuah akhbar tempatan. Dia runsing dengan bayaran sewa, pakaian-pakaian lusuh, kesukaran menemukan makanan seterusnya. Dia menderita. Dia hampir gila. Dia tak pernah begitu jauh daripada selangkah daripada kejatuhan.
Tetap, dia menulis. Ada waktu dia berjaya menjual artikel, untuk menemukan kelegaan sebentar daripada keresahan yang larut. Tetapi dia terlalu lemah untuk menulis terus dan jarang dapat menghabiskan tulisan-tulisan yang dimulakan. Antara kerja-kerjanya yang gagal berjudul ’Jenayah Masa Depan,’ penjelasan falsafah tentang semangat kebebasan, sebuah alegori tentang kebakaran kedai buku (buku adalah otak), dan sebuah lakon dilatari Zaman-zaman Pertengahan, The Sign of the Cross. Proses itu tak dapat dielakkan: dia wajib makan untuk menulis. Tetapi kalau dia tidak menulis, dia tidak akan makan. Dan kalau dia tidak mendapat makan, dia tidak boleh menulis. Dia tak mampu menulis.
Dia menulis. Dia tidak menulis. Dia merayap ke lorong-lorong kota. Dia bercakap dengan diri sendiri di khalayak. Dia menakutkan orang, yang lalu menjauh diri darinya. Bila berpeluang mendapat sedikit wang, dia akan sedekahkannya. Dia dihalau dari kamarnya. Dia makan, dan kemudian memuntahkan semuanya. Di satu tahap, dia berhubungan intim dengan seorang perempuan, tetapi itu tidak menghasilkan apa-apa kecuali memalukan. Dia berlapar. Dia menyumpahi dunia. Dia tak mati. Di akhirnya, di atas sebab yang samar, dia menaiki sebuah kapal dan meninggalkan kota itu.
- Paul Auster tentang novel Hunger, karangan Knut Hamsun.
Tuesday, April 12, 2011
Hanoi (II)
Aku menembusi Hanoi di dalam kedinginan untuk tiga hari. Kota lama ini menyimpan roh-roh tradisi. Berjalan di kaki limanya yang kumuh, mengingatkan kita kepada sebuah kesederhanaan. Wajah-wajah yang menyambut manis-manis semuanya. Mesra, dan saling tidak faham bahasa.
Malam kedua hanya untuk memenuhi sesi makan-minum di sebuah restoran gah. Tiang-tiang dengan ukiran kayu, patung-patung dewa atau tuhan yang diselit di mana saja yang boleh. Persembahan muzik tradisional yang sekejap saja sebelum ditamatkan dan makanan hidangan bufet yang tak jauh lari rasanya, mengenyangkan kalaupun tidak memuaskan selera.
Ini Hanoi. Ini bukan cetak pada kertas yang kau akan baca di mana-mana. Kemudiannya, dalam rasa kantuk dan lelah yang berselubung, aku diheret sama ke kelab Seventeen Cowboy. Namanya saja meragukan, tapi aku ok saja. Ini kelab malam, tempat orang makan-makan dengan iringan band. Nasib baik yang menyanyi itu suranya sedap, dua gadis Filipina, walaupun sedikit gemuk yang seorang itu, seorang lagi sedikit menyejukkan mata dengan bahagian perut yang sengaja di dedah.
Kota ini bukan untuk selera-selera cikai, walaupun rautnya comot dan gementar. Aku duduk di tingkat atas, menatap wajah amoi dari Malaysia yang mengikut dalam kekhuatiran. Di meja hadapan akhirnya ada persembahan yang menyenangkan. Aku tak main pool, jadi masa hanya dibuang kepada dua tiga perkara; menonton dengan terang aksi-aksi raba dan cium bibir pasangan cinta Viet-Mat Saleh.
Perempuannya ramping, cantik.Si lelakinya skema, berkaca mata rabun. Tak bergaya, tetapi berkantungan duitnya mungkin. “Ini perempuan up-market,” aku bisik dengan suara yang keras kepada amoi baik di depan, diselang bunyi muzik yang berdentum. Dia malu-malu, tetapi tetap menjeling kebelakang untuk mengintai. Aku harap dia membayangkan suaminya, dan bukan orang lain untuk aksi begitu.
Menjelang tengah malam, dengan teksi, pulang ke Tasik Barat, tempat menumpang di kota itu. Melalui tengah bandar yang cantik, bangunan-bangunan koloni Perancis yang dijaga – atau dibiarkan saja – dan tidak dirobohkan, dataran luas yang di dalam kompleksnya disimpan mayat Ho Chi Minh yang di awet (dan pada setiap beberapa tempoh waktu akan di bawa ke Russia untuk dibersihkan, kalau ingin tahu lanjut, tonton dokumentari di NatGeo), kekalutan pemandu kenderaan yang ikut suka hati walaupun sudah larut malam, yang tetap dengan bunyi hon untuk menghiburkan diri. (Kemudiannya aku dapat tahu bahawa suis meter teksi ada pada hon, setiap hon yang dibunyikan di malam-malam buta itu akan mempercepat meter yang bergerak – cukup bijak!).
Aku menghirup udara sejuk dengan rintis hujan terakhir sebelum ke kamar untuk beradu. Tiada kelab malam lain yang menjengkelkan perasaan perlu dilawati, walaupun khabarnya pekerja-pekerja seks berkerumum di kelab malam Sheraton. Lebih nikmat untuk membuka pintu balkoni kamar, membiarkan udara yang bukan calang sejuk merempuh masuk dan duduk membaca cerita-cerita mengesankan dari The Paris Review.
Pagi terakhir sebelum meninggalkan Hanoi, aku merapati pinggir-pinggir jalan berdekatan, sebelum mandi pagi tetapi selepas sarapan, meninjau wajah-wajah pemancing dan pekedai yang sentiasa ramah dan buat tak tahu kepada orang-orang aneh seperti aku. Mungkin kemengangnnya ke atas Amerika di tahun-tahun 1970an mengajarkan mereka tentang tetamu yang tak menggugat. Selamat Hanoi, aku menikmatimu di dalam corong waktu tiga hari itu.
* Sedikit gambar-gambar kota klasik ini akan dinaikkan nanti.
Novel
Februari lalu saya membaca pruf novel Kougar. Bukan perkara yang senang kerana saya berdepan konflik untuk menemukan peranan yang entah bagaimana. Tetapi, dengan waktu yang diperuntukkan, saya menghadkan kegelojohan sendiri. Saya hanya membaca pruf, bukan untuk menyunting akan memperkemas lenggok bahasanya.
Bahasa, agaknya alien yang tak punya jantina. Susun saja huruf, jumpakan dengan lagunya, suntik sedikit melodinya, kadang-kadang akan menjadi. Kadang-kadang tak menjadi. Dan, kalau ingin menulis, jangan takut kalau-kalau tak menjadi. Itu biasa. Itu bukan dosa, agaknya.
Saya tak tahu apa yang saya temukan di dalam novel ini. Saya tak punya apa-apa jangkaan. Dan saya tak punya apa-apa kuasa untuk menentukan apa-apa pun tentang novel ini. Ketika sedang merasakann ada kekuatan padanya, saya ditampar oleh sambil lewa gayanya. Tetapi, seperti yang dicadangkan penerbit Fixi, ini cerita urban. Mungkin saya tidak begitu memahaminya. Tetapi orang lain boleh saja menikmatinya.
Akibat kekangan masa dan komitmen lain, saya terpaksa menolak untuk membaca pruf novel kedua. Tak tahu sama ada Pecah atau Cekik yang sepatutnya sampai ke dalam tangan.
Jumaat ini pelancaran rasmi tiga novel ini di The Annexe, CM. Lapangkan masa, mari bertandang. Saya sendiri menunggu untuk membaca Cekik. Selalu juga didengar nama Ridhwan Saidi dipanggil-panggil kebelakangan ini.
Saya rehatkan perkataan-perkataan saya setakat ini. Beli dan bacalah sendiri nanti, tak akan jadi masalah.
Pesan di sini.
Wednesday, April 06, 2011
Hanoi
Sunday, April 03, 2011
Victoria
(buat A.S.)
Adakah kau kurniaan terindah yang pernah diturunkan untuk-ku sepanjang waktu yang ada ini? Moga terampunkan dosa-dosa yang sengaja dipertontonkan pada tembok-tembok berlumut. Aku akan berjalan, bertelanjang dada di antara musim panas dan kedinginan yang tak diundang ini hanya untuk bersama bayang-mu.
Negeri ini, Victoria, tak pernah menjadi sebahagian daripada cerita di malam hari. Tetapi, cinta mekar dan subur di dalam telur-mu. Pembilang pada jari kita pindahkan pada dinding kamar 150. Empat malam berturut-turut dingin datang memeluk tanpa hembusan walau satu apa pun.
Kita berjalan di antara roh-roh katedral lama di kota ini tanpa bertemu sesiapa. Hantu-hantu itu semua bertempiaran, bersembunyi ketakutan kerana hangat tubuh kita berdua melecurkan sumpah setia mereka kepada tuhan . Kita, dengan rasa cinta, menyucikan nista-nista yang terlekat pada asfalt jalan tengah Melbourne. Akankah kita dikurniakan sebuah taman lestari, duduk ditemani anak-anak kecil yang comel, berterbangan dan selalu merindukan susu-mu?
Kota ini mengajarkan umatnya tentang sebuah budaya. Budaya yang jadi nyawa, yang menghunjam mati debu-debu hitam berselut menyebukan, oleh orang-orang yang di dalam hidupnya tak pernah membayangkan yang kurang. Budaya yang menghidupi setiap warga yang beratus-ratus tahun dulu cuba untuk memahami hanya satu perkataan; kesamarataan.
Kerana kita, walau dari mana dan ke mana pun arah bertapak, adalah sebuah perkongsian. Perkongsian hidup untuk sebuah kematian. Perkongsian kematian untuk sebuah musim bunga yang menghidupkan kita semula. Semua, kita semua. Tidak hanya kau dan aku.
Di pinggir jalan-jalan ini muzik-muzik dilagukan. Dinyanyikan untuk setiap pejalan malam yang kekosongan dan ragu-ragu. Tak asing dari yang pernah didengari; mainan sejuk, tangga-tangga ke syurga atau batu-batan pada tembok yang menghalang. Mereka tak akan melupakan kita di sini, kerana kita belum saling mengenali. Tetap ada yang bertari dansa, mengiring lagu dan irama, merayakan sebuah rasa yang tak akan hilang.
Di pinggir Sungai Yarra, kita duduk berdua. Memerhatikan bangunan dan cahaya listrik yang sederhana. Aku menanggalkan kasut, meninggalkan warna merah pada tapak tangan-mu. Aku mencabut nyawa dan menyelam ke dasar sungai, dan kau ikut sama dibelakang. Tetapi, kita menyelamatkan malam dengan baris-baris ayat indah, tak difaham orang. Memanah dengan kentang besar pada burung-burung Seagull putih manja di Federation Square.
Tak punya cukup wang, keadaan tak apa-apa. Tubuh masih melayang-layang di antara setiap blok bangunan yang menyekat. Ditelan di dalam perut cacing-cacing moden dan klasik yang berlingkar, bercanda di celah rak-rak buku digudang-gudang besar penuh ghairah, muzium-muzium yang mencium bibir telinga ketika hujan. Kita seperti sedang diraikan oleh sebuah kota asing yang waktu itu membuka dirinya untuk disetubuhi tanpa segan silu.
Kita jatuh cinta
lemas yang mendadak.Menjauh tubuh-mu larut
menderu langkah-mu pergi
dan aku akan tetap menghidupi jantung-mu
ketika ia lesu.
- Mac 2011.
Wednesday, March 30, 2011
Bintang
Dari Cape Town, melayang ke Kuala Lumpur. Kemudian terbuang lagi ke Melbourne. Tubuh ini memang sekejap-sekejap perlu dihidupkan semula. Bersambung hujung minggu lalu di Kuching, Sarawak… meninjau-ninjau tempat jatuh badan (dan jatuh hati). Dipeluk oleh keterasingan yang mencebir.
Di dalam tempoh itu juga saya berperang dengan masa, fokus dan tenaga, mengerjakan dua manuskrip yang diharapkan berhasil – di beberapa tempat itu. Yang pertama, kini ditangan dua penerbit. Yang satu sudah memberi jawapan ‘penolakan’. Yang satu entah sedang di baca atau tidak, ditimbang atau di kambus. Buat masa ini, menunggu mungkin dapat mencipta ruang untuk kembali bernafas sedikit-sedikit.
Buku kedua berkait komentar-komentar tentang novel Interlok, yang bakal diterbitkan dalam saiz kecil oleh Matahari Books April nanti. Menarik dan menolak. Kesukarannya adalah untuk mendapatkan tulisan-tulisan yang objektif dan seimbang, kerana, yang menderu di kantung emel kebanyakannya tulisan-tulisan yang melelahkan, melambung dengan puji-pujian. Tetapi, sepuluh yang terpilih itu diharap dapat membuka sedikit pengamatan baru, kalau mahu.Dapatkan nanti naskhah terhad itu, dan kalau ada kritikan, sila panjangkan terus kepada saya.
Juga sedang mengalih-alih beberapa lembar muka surat buku-buku yang sedang di baca. Akan mencuri masa untuk menulis yang panjang-panjang nanti. Memoir Tun Mahathir rasanya amat mengecewakan. Himpunan syarahan terbaru Orhan Pamuk di Universiti Harvard seperti ada hal yang mengasyikkan, tak kurang juga ditempelak dengan kritikan-kritikan keras pemerhati di Barat. Tempo edisi 40 Tahun juga banyak memuatkan catatan-catatan personal/jurnalisme majalah itu sepanjang hayatnya menemui pembaca. Begitu juga dengan majalah Brownbook, yang kumpulan editorialnya berpusat di Timur Tengah, memberi banyak juga anjakan terhadap keghairahan untuk memperincikan permerhatian terhadap medium berkenaan.
Serakah untuk membaca memang menghantu. Semoga kesediaan menulis juga dapat dikembalikan di sini.
Sampai nanti.