Tuhan Manusia (TM) adalah novel pertama tulisan Faisal Tehrani (FT) yang saya baca. Tidak pernah terdetik dihati saya untuk membedah novel-novelnya yang terdahulu. Saya tidak tahun mengapa – tidak pernah tertarik dengan hasil penulisan FT, walaupun di sana sini sibuk orang memperkatan tentang kelebihan penulis muda ini.
Sehinggalah kata ‘tuhan manusia’ ini tersesat dalam pandangan saya di rak kedai buku – dicelah-celah novel Melayu ‘liuk-lentok’. Ditambah dengan promosi diblog penulisnya sendiri serta hiruk-pikuk di Shelfari, saya keluarkan duit sendiri untuk membeli novel ini.
Sehinggalah kata ‘tuhan manusia’ ini tersesat dalam pandangan saya di rak kedai buku – dicelah-celah novel Melayu ‘liuk-lentok’. Ditambah dengan promosi diblog penulisnya sendiri serta hiruk-pikuk di Shelfari, saya keluarkan duit sendiri untuk membeli novel ini.
Oh, seperkara lagi, FT juga menyatakan yang dia melakukan kaji selidik yang mendalam ketika proses penulisan sedang berjalan.
Seputar isu Islam Liberal dan Pluralisme yang menambat perhatian saya pada awalnya – dan sebab ini jugalah yang membuatkan saya mahu membacanya – saya terpanggil juga untuk meniti sendiri apa yang terbuku dalam fikiran FT menyentuh isu ini.
Di laman maya, ramai yang kagum dengan hasilan FT tersebut. Katanya novel Melayu yang membawa wacana berat. Sesudah saya membaca habis novel ini dan dapat mencuri masa untuk duduk berbual dengan teman-teman serta ruang untuk meneliti keseluruhan novel berkenaan, saya merasakan perlu untuk memberi respon balas – menurut pemahaman saya sendiri.
Saya setuju dengan pandangan yang mengatakan novel ini cuba membawa dan membincangan isu berat, tetapi saya tidak setuju dengan gaya penulisnya menggeluti isu tersebut yang akhirnya seolah-olah mahu memaparkan isu berkenaan – kepada pembaca dan peminatnya – hanya dari satu sudut, iaitu dari kaca mana Faisal Tehrani saja. Lebih dari itu, dia juga semacam mahu memaksa pembaca agar ‘wajib’ melihat dari corong yang sama juga berkaitan isu yang dibangkitkan.
Saya yang membaca – dan membaca dengan tenang dan neutral – tidak dapat melihat ‘warna’ lain selain hitam dan putih dari novel ini. Dalam permasalahan ini, penulisnya seperti tidak dapat menerima apa-apa perbezaan pendapat lagi dengan kelompok Islam yang berbeza daripada fahamannya.
Pluralisme mengikut definisi di dalam novelnya adalah semua agama itu sama, membawa kebenaran dan semua akan masuk syurga. Maksud umumnya, agama itu satu – dan kelihatan inilah yang merunsingkan FT. Tetapi, pada pendapat saya, keresahan dan kemarahan FT adalah pada isu murtad. Lihat naratif novelnya. Pokok pencetus semua pergolakan yang muncul – kepada Ali Taqi khususnya – adalah apabila abangnya Talha keluar Islam dan masuk Kristian - MURTAD.
Saya mempersoalkan ini; Jika FT meyakini yang telahannya tentang isu plural dan liberal ini yang menjadi ‘centre of attention’ dalam TM, dia tidak sepatutnya mewujudkan watak Talha seperti itu. Talha adalah individu utama yang dikaitkan dengan kesan ‘anutan’ plural dan liberal. Pemain kedua adalah Aris Iskandar.
Perkara yang saya ingin permasalahkan di sini ialah; mengapa Talha memilih Kristian? Jika idea dan kefahaman FT tentang dua isu induk ini yang menunjangi TM, saya rasakan ini adalah puncak pelencongan maksud yang amat jelas tetapi sukar dikesani daripada TM – terutama kepada peminat-peminatnya yang saya yakin tidak akan banyak berpencak dengan apa saja yang FT sampaikan. Penyampaian mono aliran ini adalah bahaya dan inilah ‘warna’ yang saya sentuh tadi.
Begini, jika Talha memilih untuk beralih anutan agama dari Islam ke Kristian, maksudnya Talha masih lagi mengakui keperluan beragama dan tidak semestinya bersetuju dengan idea pluralisme seperti yang digambarkan FT. Jika Talha taksub plural, mengapa dia perlu untuk menukar agama? Menurut novel ini, pluralisme menganjurkan semua agama itu sama, jadi saya lihat FT sendiri sudah terkepung dengan obsesnya yang tersendiri dalam pergolakan ini.
Seterusnya, pluralisme juga disebut-sebut sebagai dakyah Barat untuk menghancurkan Islam. Dengan idea plural ini katanya telah berhasil untuk menarik keluar umat Islam dariapada agamanya – idea yang saya tidak setuju seperti dinyatakan tadi. Ia dilihat sebagai ancaman. Pada pandangan saya pula, jika pluralisme dilihat sebagai satu platform untuk pihak Barat / kafir meresap dan ‘menculik’ penganut Islam, mengapa orang Islam sendiri tidak digambarkan sebagai mampu berbuat perkara yang sama? Ke mana pendakwah Islam dalam menghadapi isu ini. Saya lebih senang dengan cara berdepan dengan ancaman itu secara berani daripada mengajak umat Islam berkerumun setempat, berteleku dan memencilkan diri. Semua ini atas diri umat kita sendiri.
Pada saya, permasalahan yang timbul di dalam TM adalah isu murtad, itu yang depan. Kemudian istilah Islam Liberal dan Pluralisme datang menghambat FT. Akibat ketidak senangan dia kepada anasir ini – yang dilihat meracuni Islam – maka dia kelihatan cuba untuk bermain dengan ketiga-tiga isu ini dan akhirnya pada saya menjadi kucar-kacir. FT tidak berlaku adil kepada dirinya dan juga pembacanya disebabkan terlalu gelojoh mahu menjuarai isu-isu ini.
Lihat pula babak forum. Bagaimana Aris tergagap-gagap berdepan soalan Taqi dan bezanya dengan Prof Mahfuz (panel yang seorang lagi – kalau tak silap namanya) yang memberi penjelasan yang ringkas-ringkas dan tidak mendalam.
Adakah sedangkal itu ilmu ikon liberal yang digambarkan dari watak Aris Iskandar? Sebagai seorang editor majalah, pendokong fahaman liberal yang sudah besar namanya dan juga seorang peguam, tidak kena langsung dengan perwatakannya ketika berforum. Jika itulah keperibadian Aris Iskandar, berani saya katakana yang Talha itulah yang bebal kerana mahu mengikut dan mendengar penyampaian faham Aris yang sebgitu, walaupun Aris sendiri tidak kuat prinsip dan lekas goyang.
Prof Mahfuz pula diprojekkan seperti seorang hero. Penjelasan balasnya yang lemah dan tidak mendalam itu diangkat sebagai pandangan yang cukup ideal untuk menempis faham liberal dan plural Aris. Tak kan lah ini saja kualiti yang ada oleh seorang Profesor untuk berdepan dengan isu berat dan besar yang dimainkan? Jika ini gambaran realiti yang cuba dinukilkan FT, rasanya kita @ pembaca wajar rimas! Bahaya jika itu saja yang mampu diluahkan oleh ahli akademik dan golongan yang menyifatkan mahu membela agama. Pada saya, jika watak Aris sedangkal itu dipotretkan, watak Profesor ini juga sama, tiada apa untuk dibanggakan pun.
Lagi tentang watak Aris. Saya merasa lucu ketika sampai dibabak yang mana Aris mendapat tahu bahawa Ali Taqi dan Talha itu adalah anak kepada bekas teman wanita atau wanita idamannya dulu. Dengan tiba-tiba watak itu menjadi lembik, hilang segala prinsip dan ideologinya dan dengan serta-merta bertukar menjadi seorang yang sentimental tak bertempat. Ini secara kiasnya juga adalah sifat humanisme seperti yang dilaungkan FT sebagai antara ciri fahaman plural yang ditentangnya.
Saya melihat, penulisnya secara tidak sedar bersetuju juga dengan ciri ini yang pada kebanyakkan situasi, adalah fitrah kejadian manusia. Peri kemanusiaan – yang jatuh tergolong di bawah istilah humanisme.
Satu lagi babak yang mengesani pembacaan saya. Layanan oleh keluarga Taqi kepada Aris (golongan plural / liberal) dan juga kepada keluarga Tse yang bukan Islam. Pada peringkat tertentu, apa yang tergambar di dalam novel ini ialah; ‘kelompok liberal harus diganyang habis-habisan – walaupun satu agama – tetapi layanan yang mesra harus ditunjukkan kepada keluarga bukan Islam yang anaknya baru memeluk Islam. Jika kita boleh dan mahu menunjukkan sifat-sifat baik kepada orang bukan Islam, mengapa perkara yang sama tidak boleh dipraktikkan kepada saudara seagama? Watak yang ada – yang kononnya mahu memelihara agama – tergambar seperti terlalu emosional dalam TM.
Sepatutnya watak-watak pencinta agama ini dipotretkan lebin rasional, tenang dan tidak melulu. Perbezaan pendapat di dalam Islam sendiri bukanlah sesuatu yang asing dalam konteks pensejarahan perkembangan Islam itu sendiri. Dan seperti juga mereka-mereka yang terdahulu, akan ada pihak yang melabel pihak lain di dalam Islam, sehingga sampai ketahap menjatuhkan hukum sesat dan kafir kepada yang tidak sependapat.
Mazhab utama yang berempat itu pun meraikan keragaman pandangan, dan mereka lebih sederhana, tidak sampai kepada mengkafirkan orang yang lain.
Padangan saya, novel TM ini jatuh disebelah yang ekstrim. Tidak menawarkan kesederhanaan dalam berpendapat tetapi seperti yang dinyatakan awal tadi, ia seolah memaksa pembaca untuk menerima sisi pandangan penulisnya.
Menggeluti faham plural cara John Hick seperti yang digambarkan dalam novel ini bukanlah satu-satunya pendekatan yang ada. Definisi pluralisme juga boleh dilihat dari banyak sudut, bukan hanya dari kaca mata John Hick atau FT semata.
Kepada yang sudah membaca novel ini dan berasa kagum dengan cara FT mengolah persoalan ini, jangan berhenti pada satu buku ini saja. Terus lagi berjalan dan bereksplorasi dengan menambah bahan bacaan lain yang melingkari isu sama, untuk kemandirian pemahaman sendiri. Islam juga tidak menggalakkan umatnya hanya menurut membabi buta sesuatu perkara.
Tiada kesimpulan dari saya. Cuma ada seperkara lagi yang boleh dikaitkan dengan novel TM. Secara umumnya, ia jelas menampakkan yang FT meraih inspirasi yang salah satunya datang daripada kelompok Jalan Telawi. Idea-ideanya, hujah-hujahnya (walaupun diprojekkan begitu ringkas dan tidak kukuh) serta watak-wataknya dengan langsung – berani saya katakan – menyentuh kepada aliran pemikiran kelompok berkenaan.
Ini juga boleh dilihat sebagai pertembungan ideologi FT (yang hampir gaya dan pendekatan DBP) dengan komuniti Jalan Telawi yang sering lantang mahukan gaya baru dalam rangka elemen yang menyentuh persepsi masyarakat, termasuk dimensi sastera tempatan. Ini - bagi saya – sesuatu yang sihat dan menarik!
- Tuhan Manusia –
+ Mungkin novel Melayu terbaik era ini, ditengah-tengah ketandusan dan kelesuan produk sastera tempatan.
+ Mungkin novel Melayu terbaik era ini, ditengah-tengah ketandusan dan kelesuan produk sastera tempatan.
+ Bergolak dengan isu murtad dan menjadikan liberal dan plural sebagai tunggangan penulisnya untuk sampai kepada maksud asal – tetapi masih rapuh permainannya.
+ Prosanya masih belum dapat memaku pembacaan.
+ Kepada yang membaca dan fanatik FT, baca penulis lain juga dan belajar membuat pertimbangan sendiri.
----
-10 11 07 - bangsar
10 comments:
Salam,
Jelir,
Boleh bantu saya dengan menunjukkan di mukasurat berapa ada dinyatakan bahawa Talha telah memeluk agama Kristian?
Saya hanya menemukan Talha menyakini agama "pluralisme" dalam mukasurat 239.
Terima kasih :)
Wassalam.
apa agama 'pluralisme' itu?
Sofwah,
Apa yang kamu cari ada di muka surat yang hilang.
- Jelir -
Salam,
Anonymous, menurut entri ini,
Pluralisme mengikut definisi di dalam novelnya adalah semua agama itu sama, membawa kebenaran dan semua akan masuk syurga. Maksud umumnya, agama itu satu.
Sdr. Jelir,
1. Sekiranya Talha memilih Kristian, benarlah, segala perbahasan yang dibuat oleh pengarang akan runtuh. Pengarang, bagaimanapun, tidak mengatakan di mana-mana bahawa Talha telah memeluk agama Kristian, bahkan, hanya keluar dari Islam.
Kemurtadan tidak hanya bermakna memeluk agama lain. Kemurtadan boleh membawa maksud bahawa seseorang itu telah keluar daripada Islam kerana tidak lagi berpegang kepada kebenaran yang Haq.
Dalam mukasurat yang tidak hilang, dikatakan bahawa Talha meyakini ideologi pluralisme yang menidakkan ketauhidan hakiki dalam Islam. Dan dengan itu, dia murtad. Dia tidak perlu memeluk agama lain untuk dikatakan "murtad".
Mohon dikaji dulu konsep riddah, murtad, sebelum membuat andaian :)
2. Sdr. mengatakan,
"...tidak dapat melihat ‘warna’ lain selain hitam dan putih dari novel ini. Dalam permasalahan ini, penulisnya seperti tidak dapat menerima apa-apa perbezaan pendapat lagi dengan kelompok Islam yang berbeza daripada fahamannya."
Dalam soal aqidah, memang tidak ada kelabunya. Memang hitamputih - samada kita beriman dengan Allah ataupun kita tidak beriman. Di dalam Islam, tidak ada beriman "separuh-separuh".
Kita boleh membuat negosiasi dengan amalan. Nak pakai kurung melayu ke, nak pakai jubah ke, boleh saja buat pilihan ikut citarasa masing-masing. Tetapi bab aqidah tidak boleh dibuat pilihan.
Persoalan utama dalam TM, bukanlah perspektif/fahaman siapa - tak kira John Hick, ke FT, ke, Aristotle, ke, Soctrates, ke, Karl Marx ke, Emile Durkheim, ke, atau sesiapa saja. Juga bukan samada pluralisme ada definisi lain di sisi lain kerana ya, dalam novel ini, konsep pluralisme dilihat dari aspek agama.
Persoalan teratasnya ialah kemurtadan berlaku. Dan menurut pandangan pengarang, ia berlaku kerana jarum ideologi pluralisme telah mencucuk para intelektual Islam yang goyah ketauhidannya - tak kiralah siapa yang mempelopori ideologi tersebut. Tidak ada yang mengelirukan, gelojoh atau ketidakadilan terhadap pengarang atau pembaca disitu. Pengarang punya hak untuk mengemukakan satu lagi pandangan dalam bukunya sendiri yang meningkatkan pemahaman pembaca mengenai fenomena murtad.
Premisnya mudah - sekali lagi saya rumuskan: kemurtadan boleh berlaku kerana suntikan halus pluralisme dalam pemikiran. Dan jawapan untuk menghadapinya ialah dengan kembali kepada ketauhidan dalam segenap aspek kehidupan. Banyak cara untuk mencapai matlamat itu. Salah satu caranya ialah melatih belia harapan bangsa secara intensif dalam pembinaan fikrah Islam.
Bagi saya, ideologi hanyalah salah satu sebab. Ada lagi sebab-sebab lain kenapa ada golongan kita yang murtad. Namun begitu, perspektif pengarang dalam novel ini memberi dimensi baru dalam pemahaman saya mengenai isu ini dan bagaimana menanganinya.
Akhirkata dari saya sebagai penutup bicara, cuba baca lagi, Jelir :) Mungkin saja ada mutiara yang sdr. terlepas pandang, lebih-lebih lagi, cadangan-cadangan yang dikongsi supaya masyarakat boleh menjadi maju dunia dan akhirat serta bagaimana untuk meningkatkan ketaqwaan, insyaAllah.
Wallahu'alam.
Wassalam.
(PS: Oh, ya. Saya biasa mengkaji falsafah dan ideologi, hatta para-ideologi. Wassalam.)
Salam Sofwah,
Keimanan seseorang manusia itu hanya dinilai oleh Allah SWT, bukan siapa-siapa yang lain.
'Warna-warni' yang saya maksudkan adalah
berkenaan perbezaan pendapat. Kewajaran untuk berlawanan pandangan ini sendiri jika dilihat dari sudut perkembangan pensejarahan ilmu dalam Islam, ia merupakan sesuatu elemen yang penting. Saya yakin kamu faham apa yang saya maksudkan, kerana seperti yang kamu nyatakan,kamu sudah biasa menggeluti soal falsafah dan ideologi.
Saya melihat novel ini duduk ditengah-tengah masyarakat, terpanggil untuk mencermin masyarakat dan itulah yang jelas berlaku dan mahu digambarkan dalam TM.
Murtad memang bukan sekadar keluar Islam dan peluk Kristian. Tetapi dalam TM, apa perkaitan Talha dan Aris yang juga disebut memegang watak hakim dan membantunya untuk keluar Islam? Dari satu konteks lain, adakah ia juga bermaksud Aris juga seorang murtad?
Jika Talha itu menganut 'pluralisme' seperti yang kamu faham, apa yang si Talha ini yakini selepas itu?
Subjek saya di sini adalah TM sendiri. Saya tidak melemparkan pandangan saya yang terkeluar dari lingkungan yang dimainkan TM.
Saya juga setuju, kesukaran untuk memahami isu ini (baik dari versi yang cuba disentuh di dalam TM mahupun realiti diluar) secara tenang juga akan turut memerangkap kita.
Saya hargai komen jujur Jelir dalam membicarakan TM
dalam dimensi lain, dengan kejujuran ini akan membuka ruang kebebasan untuk terus mengeksplorasi novel TM dalam ruang2 yang tidak terang nyata di dalam TM, tapi ditunjukkan jalan keluarnya oleh sdr.
Sy juga nampak sisi FT (dimensi pemikirannya) yg kuat dalam wacana TM yang sarat, dan berpendapat, jika sekiranya FT membuka ruang lebih besar kpd pembicaraan pemikiran, novel ini akan menjadi novel yang tebal dan panjang.
Meski demikian, persoalan emosi yang tersentuh dalam TM, dalam ruang yang agak terhad utk menceritakan latar dan watak, sy berpendapat, ia diceritakan dengan adil, dalam konteks emosi sebagai manusia.
Salam,
Jelir, terima kasih kerana menjawab salam :)
Keimanan seseorang manusia itu hanya dinilai oleh Allah SWT, bukan siapa-siapa yang lain.
Kerana itu saya tidak menggunakan kalimah "keimanan" kerana takut ada kekeliruan dengan "tahap" keimanan. Saya gunakan kalimah "aqidah" dan "ketauhidan" yang tidak boleh dua atau tiga. Aqidah dalam ertikata beriman/yakni meyakini bahawa hanya Allah Tuhan yang layak yang disembah. Tidak boleh tidak. Sangat jelas garisannya. Boleh saja dinilai dengan jelas dan terang.
"'Warna-warni' yang saya maksudkan adalah berkenaan perbezaan pendapat."
Ya, saya mengerti :)
Jika kita kembali kepada TM dan kita menerima bahawa asas kemurtadan adalah kerana hilangnya ketauhidan, dan perbezaan pendapat bagi ketauhidan ini ialah pluralisme, maka, kita akan mendapati kita tidak dapat menerima perbezaan pendapat dalam hal ini kerana memang kita tidak boleh menerima pluralisme langsung.
Jika sdr. maksudkan perbezaan pendapat dalam persoalan sekita sebab-musabab kemurtadan, tentu boleh saja berbeza :)
Pengarang menulis setelah membuat kajian. Kita boleh saja memberikan pandangan sendiri mengikut kajian masing-masing, dari aspek lain :)
Mengenai Talha, saya mahu carikan saudara blog-blog atheis, tapi tak sempat. Mungkin saudara boleh telusuri pemikiran atheism atau agnosticism.
(Menurut pengalaman saya yang singkat suatu ketika dulu, lebih payah lagi parah berbahas dengan si atheis ni berbanding dengan mereka yang beragama katolik dsbg! Kerana mereka tidak meyakini apa-apa melainkan diri mereka...)
Tentang Aris, sdr. bolehlah mengandaikannya sendiri kerana sdr. cerdik :)
Benar, ianya sangat kompleks :) Mudah-mudahan kita mendapat pencerahan kerana telah membaca TM, tergerak untuk berfikir dengan lebih dalam dan dan insyaAllah, ada pembaca yang tergerak untuk melakukan sesuatu demi kemaslahatan ummah.
Wallahu'alam.
Wassalam.
wow, hebatnya ulasan saudara..! Tersungkur saya membaca rebiu saudara! Tapi saya masih banyak sangat buku tak terbaca sebelum menyelusuri Magnum Opus FT ni.
Fadz,
Kalau ada masa, bacalah. Kalau tak dapat mencuri masa untuk membaca, tak perlu gusar sangat.
Post a Comment