Thursday, April 20, 2006

SENI MUZIK MALAYSIA LEMAS DALAM KHAYAL


Suka atau tidak, hakikat sekitar muzik Malaysia kita masih tidak memberansangkan. Kewujudan situasi yang kondusif untuk muzik ini beredar masih lagi terhad, malahan wujud hanya dalam sisa-sisa hampas bagi kebanyakkan kelompok. Masih ditakat lama, kalaupun tidak terus terjerumus menjunam! Yang ada cuma gembar-gembur, angkat bakul, gosip picisan, publisiti maksimum… dan mugkin juga “macam bagus”. Ketelusan kebanyakkan penggerak-penggerak muzik ini masih samar. Apa sebenarnya yang kita cari?

Saya keberatan untuk membandingkan dengan Indonesia dalam tulisan ini. Tetapi saya tidak mampu, ia relevan! Semuanya kerana keunikan majalah mingguan bernama Tempo dari negara sebarang itu. Saya terpaksa kaitkan juga mereka ini.

Mungkin ramai yang tidak mengenali majalah ini. Saya sendiri pun hanya selalu mendengar namanya saja. Namun, tidak beberapa ketika dahulu, saya dapat menatap dan memiliki naskah pertama saya untuk majalah ini.

Dari satu sudut, mungkin pandangan saya ini sempit. Sempit kerana menilai situasi muzik – yang cuba saya kupas – dua negara ini dengan hanya dengan senaskah majalah. Entahlah. Mungkin ini merupakan jajahan baru dalam cermin pandangan saya ketika ini.

Tempo ini saya jadikan sebagai kaca pantulan kepada tahap keterbukaan masyarakat dua negeri ini. Walaupun pada asasnya majalah ini lebih terlihat sebagai sebuah makalah politik di sana, paling dekat yang pernah kita hasilkan seperti ini adalah dengan majalah Massa. Massa sudah berkubur! Tetapi Tempo ini masih terus menghirup udara percuma dengan lebih selesa.

Membelek di ruang dalam, saya sedikit kaku sebenarnya. Hanya cerita-cerita korporat mereka dan politik. Namun, semakin dalam, semakin jauh ketengah, persepsi saya mula berubah. Di celah-celah keseriusan isinya, terselit lembaran-lembaran iklan tentang aktiviti-aktiviti muzik di sana. Dalam bahasa mudah, ada flyer-flyer gig yang di muatkan. Bukannya nama-nama besar, tetapi band-band baru yang independent kebanyakkannya yang menghiasi pampangan advertensi tersebut! Pelik sungguh. Anda faham ditakat mana penerimaan bangsa mereka terhadap muzik sebegini?

Platform itu menjadi sangat terbuka. Saya kagum sebentar. Jika di sini, di mana kita dapat lihat “pencapaian” seperti ini? Pernah gig-gig kecil ini mendapat war-war yang massa? Jarang sekali! Yang ada adalah pementasan muzik besar yang komersil dan ada “politik” kuat dibelakangnya. Mengapa kurang sokongan terhadap muzik-muzik independan, muzik-muzik jalanan dan seni itu sendiri di sini? Yang kita ada hanyalah Muzik-Muzik. Itupun eloklah juga…

Saya kupaskan lagi isi Tempo ini. Lainnya, ada termuat seksyen sastra yang memberi kredit kepada penggiat-penggiat sastra siber. Yang mana acara kecil mereka ini turut mendapat tempat. Karya-karya mereka hasil daripada perkembangan ini, walaupun ada yang menganggapnya separuh masak, masih juga diberi jalan. Ada antologi atau jilid yang terhasil daripada daerah siber ini. Bukan tidak terdapat seperti ini di sini. Permasalahan yang saya timbulkan di sini adalah keterbukaan secara umum komuniti masyarakat setempat terhadap perkara-perkara ini. Perlakuan kita seolah-olah meletakkan darjat seni itu ditempat yang paling rendah, tiada nilai-nilai positif barangkali.

Antara lainnya juga, Tempo turut memuatkan temuramah dengan tahanan-tahanan politik, pesalah rasuah dan apasaja yang berkubang dalam metafora masyarakat di sana. Semuanya mereka ceritakan, tanpa selindung-selindung. Ruang diberikan secara saksama kepada semua dengan sebaik mungkin. Tanpa prasangka, sulamilah pengamatan anda tentang perkara yang cuba saya cetuskan ini.

Di mana nilai seni kita? Mungkinkah ia tidak diletakkan ke tempat sepatutnya? Bila kita dapat melihat seni yang betul-betul berseni, yang tidak diiringi oleh objektif tipikal bertopengkan dunia hiburan yang memualkan? Bila bangsa di sebelah sini mampu mencerna semangat seni lagu dan seni muzik yang dibincangkan di sini dengan penuh penghayatan? Seni adalah abstrak, yang kadangkala tidak mampu dihuraikan… hanya dapat dirasa.

Selamanya kita tidak akan faham apa ini seni. Berapa nilainya pun kita tidak tahu. Kerana kita tidak merasakannya. Kita hanya menanggapnya pada tahap hiburan semata-mata, lantas hanyut dalam kelaihan jiwa lembik kita sendiri. Kita khayal dalam lamunan sengeh muzik hiburan semata-mata, bukan muzik seni. Sekali lagi saya nyatakan, unsure-unsur ini ada dalam perjalanan muzik tempatan, tetapi di mana tahapnya? Kita tidak berada dalam hidup budaya seni itu, tetapi kita tinggal di dalam apa yang terlintas dalam fikiran saya sebagai the hype of art.

Maka itulah, Tempo ini saya jadikan cermin untuk melihat rupa kita semula… dan ianya saya rasakan relevan. Bagi mereka di sana, muzik mungkin sebati dengan lubuk jiwa yang paling dalam. Tetapi bagi kita di sini, muzik juga sebati dengan jiwa, tetapi masih agak cetek agaknya. Sampai bila-bila pun muzik akan dianggap sebagai suatu prospek negatif produk Barat. Tempurung otak kita amat keras acuannya, ditambah dengan segala tekanan-tekanan yang datang dari pelbagai sudut. Terus terbantutlah kreativiti yang sepatutnya berwarna girang itu.

HAZRIL HAFIZ HASSAN
18/04/2006



Sunday, April 16, 2006

Patah Duka Lara : 26 Des

Hari ini, suram mungkin menerjah
Menempelak garang… mengejutkan dari lena
Sekian lama dibuai mimpi, sekali-sekala tersentak apa salahnya?
Siapa kita untuk menolak… tanda sayangnya PENCIPTA kepada kita?

Esok lusa bukan milik kita, bukan juga milik sesiapa
Kita pun bukan milik kita, apalagi yang diharapkan?
Kita milikNYA, biar kita diuji
Dan ujian itu yang akan menguatkan kita… Kerna dalam hidup ini… HIDUP INI… kita tidak mempunyai apa-apa selain segala nikmat yang dipinjamkan… maka manusia itupun silapnya kufur nikmat… Bersyukur kerna kita diperingatkan…

Belum hebat nakhoda kapal ditengah lautan itu jika belum dipukul ombak, belum agung kesatria itu jika belum ke medan perang… bumi mana yang tidak ditimpa hujan?

Jika hari ini kita diuji, terasa diinjak-injak gelora jiwa, terasa kelam sekeliling…
Ingatlah, pandanglah… tinjaulah sekeliling… ada lagi yang lebih malang
Malahan jauh lebih malang daripada kita…

Patah biar patah, tapi semangat jangan patah…
Patah balik… toleh belakang…
Setahun mereka telah ditelan air hitam ombak besar… tapi kelangsungan hidup masih di sana…
Kedamaian kunjung tiba, kesatuan terjalin… Dunia jadi saksi, kita jadi saksi…
Kuasa alam… kita kerdil…

Itu mereka… mereka telah diuji… mereka ada pengajaran hidup yang sungguh berharga… tak ternilai
Tapi kita… lain pula caranya…
Setiap dari kita lain-lain kisahnya… susah senang… buat bekalan…
Bekalan yang tak dijual dengan wang…

Siapa hebat? Kita hebat… yang cekal itu hebat… yang berani itu hebat… kebenaran itu hebat…
Kerna yang Maha Hebat adalah sang PENCIPTA…
Salut! Salut untuk kita! Salut untuk mereka!

- 26 Disember 2005 – untuk Bulat yang patah kaki.

Operator

Aku termanggu di sini
Di tempatku
Kiri ku hilang… kanan ku hilang
Mereka sentiasa hilang
Tinggal aku seorang saja di sini
Masih setia

Bilakala ada deringan talifon
Akulah yang tinggal
Akulah yang jawab
Tetapi mereka-mereka ini bukan mencariku

Maka terjelepuklah aku di sini
Jadi operator
Bukan kerjaku
Tapi itulah dia
Tetap jadi operator
Kebas otak, terbius telinga
Menghadap suara-suara dari insan pelbagai warna
Putih, Hitam, coklat
Aduh…
Bila kau mahu mencariku?

- 6 April 2006 @ ruang pejabat

Dari Tingkat Lapan


Aku berdiri di tingkat lapan..
Menara Ambank, Petaling Jaya
Pandangan ku hunuskan ke Lebuhraya Persekutuan

Sesak – Bingit – Semak – Hingar – Siren – Jemu – Sakit – Marah – Hon – Hujan – Radio – Bodoh – Bangang – Penting – Diri – Sendiri – Langgar – Tidur – Tunggang – Langgang – Berterabur – Melayang…

Nah, ambil… semua ada di situ
Natijah warga moden – yang tua dijalanan…

- 6 April 2006 @ ruang pejabat.

Thursday, April 06, 2006

ROCK @ ERA - Layar Rostam

Saya jarang-jarang menjengah slot rancangan radio Rock@Era. Namun, pernah juga curi-curi dengar ‘jiwa’ rancangan tersebut. Tengah malam, nak masuk hari Ahad… itulah waktunya. Kredibiliti program ini juga lantas melonjak, ketika slot ini bersama penyampainya – Rostam – atau lebih selesa dengan panggilan Pak Tam, dianugerahkan Rancangan Hiburan Radio Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa 2005 tidak berapa lama dahulu. Bagi yang menonton, pasti tersengeh melihat seorang mat rock kental naik pentas pakai baju batik… sempoi! Selamba Pak Tam…

Dalam kereta Pak Tam, dari hotel Ritz Carlton, Bukit Bintang… ke pejabat Astro di Bukit Jalil, kami bersembang panjang. Isu-isu sekitar muzik rock, jiwa rocknya, muzik Malaysia – Indonesia, filem dan pelbagai lagi kami soroti. Namun, diruang terbatas ini, tidak semua pertuturan akan dapat tercatat.Hanya sisi-sisi ‘masak’ dan relevan dari temuramah itu cuba saya nukilkan. Selebihnya, biar ia berada di mana saja mahunya…

ROTTW: Muzik baru apa yang Pak Tam dengar sekarang?
Rostam: Kalau yang baru-baru ni, band macam Muse, My Chemical Romance memang okey. Tapi setakat dengar, sebab nak catch up perkembangan muzik. Kena tengok jugalah, yang too light tak best, macam Simple Plan…

ROTTW: Kalau band tempatan?
Rostam: Saya baru dengar Barongan. Album baru ni lagi heavy… musicianship tu saya suka. Lain… mungkin band baru, Six Sense. Band ni ada main lagu cover 'Hari Ini Dan Semalam'. Lagi yang paling saya suka Pretty Ugly. Tapi sayang, orang Malaysia susah nak tangkap muzik macam ni. Saya sendiri memang enjoy dengar lagu diorang… agak revolutionary jugalah!

ROTTW: Bila mula masuk ERA?
Rostam: Dalam dua tahun lepas. Jadi DJ dalam jangka masa tulah. Tapi sebelum tu suara saya memang dah selalu masuk radio, sebab banyak buat iklan dan jadi copywriter untuk ERA. Saya banyak ikut kerja-kerja belakang tabirlah masa baru mula dulu.

ROTTW: Pak Tam punya rock tahap mana agak-agak?
Pak Tam: (Sambil tegelak) Tahap macam mana tu? Kalau pengetahuan tu tak lah luas sangat. Kalau tengok dalam ROCK@ERA pun, lagu-lagu yang saya mainkan pun… banyak lagu-lagu yang saya dengar dulu. Contoh band-band macam Iron Maiden, Metallica (untuk pengetahuan, Pak Tam pernah bersemuka – satu lawan satu – dengan James Hetfield di Leeds, England dua tahun sudah), RainbowGary Moore. Itu contoh-contoh dialah. Era-era 80an masa tu…

ROTTW: Macam mana pula band-band tempatan era tu, mana yang menonjol?
Rostam: Tahun 85, Search baru keluar. Jadi, masa tu, kira Search ni jadi satu landmark baru dalam muzik kita. Banyak lagi band-band sezaman dengan Search, tapi saya tengok band yang betul-betul bagi kesan pada suasanan muzik umum waktu itu. Tapi kumpulan yang paling aku minat masa tu, Belantara. Band ni tak terkenal, tapi muzik mereka menarik, obsecure. Lain-lain… band yang aku minat sound dia masa tu… aku boleh kata Burnmark.

ROTTW: Cerita sikit pasal Rock@ERA ni?
Rostam: Asalnya, program ni Khairil yang buat. Tapi sebab dia kena jaga rancangan Pagi Di ERA, jadi saya ambil alih. Bila saya ambil alih, saya tukar format. Band-band yang selalu keudara pun lain, sebab selera kami lain-lain. Jasi, saya susun baliklah rancangan ni. Itu yang seronok, sebab kita boleh buat apa yang kita suka, kita minat. Tambah maklumbalas pendengar lagi… permintaan lagi. Dalam masa yang sama, saya pun belajar dari pendengar-pendengar ni. Ada band-band yang saya sendiri tak pernah dengar. Tapi bila ada permintaan, saya sendiri yang akan cari dan dengar sekali. Secara tak langsung boleh berkongsi pengetahuan dan luaskan pendengaranlah. Cuma satu saja susah… nak dapat balik material-material lama! Memang payah…

ROTTW: Sebagai orang radio, lagu macam mana yang layak dimainkan?
Rostam: Disebabkan radio ni bergantung kepada tahap peneriamaan pendengar, kenalah kita tengok kualiti lagu-lagu dulu. Maksud saya, kualiti ni dari banyak sudutlah. Rakaman… cara nyanyian, sebutan… banyaknya lagu yang catchy… sebab itu yang pendengar suka.

ROTTW: Keanapa radio banyak mainkan lagu-lagu dari Indonesia?
Rostam: Memang ada kebenaran juga hal ini. Tapi pada pendapat saya, Malaysia kekurangan band-band berkualiti. Bilangan band yang betul-betul aktif pun tak banyak, balik-balik band yang sama, tukar-tukar lagu. Mungkin kena banyak lagilah material kita yang betul-betul berkualiti. Band-band baru pun, kebanyakkannya ada tempias bunyi Indonesia. Ini hakikat…

ROTTW: Apa objektif Pak Tam dengan slot Rock@ERA? Apa sumbangan yang diharapkan?
Rostam: Dengan ROCK@Era ni saya nak perkenalkan material-material lama yang orang mungkin dah lupa. Bukan perkenalkan apa, Cuma lebih kepada berkongsi muzik-muzik zaman saya dengan pendengar-pendengar baru dan orang muda sekarang. Lagi satu, saya tak suka mainkan lagu-lagu yang orang dah tahu. Saya banyak mainkan lagu-lagu yang kurang dikenali tetapi sememangnya ada standard tersendiri. Saya cuba ketengahkan lagu-lagu macam ni…

ROTTW: Okey Pak Tam, apa definisi rock sebenarnya? Rock tu apa?
Rostram: Definisi rock… hmmmm… (lama juga kami berhenti untuk soalan ini, sambil Pak tam mencari jawapan- jawapan yang sesuai… haha.) Susah nak jawab soalan ni, tak pernah orang tanya saya pasal definisi ni … (kami sama-sama gelak sambil saya mematikan dulu perakam suara). Okey, macam inilah. Rock tu pada saya… adalah sesuatu yang boleh bagi kita semangat (merujuk kepada muzik). Bagi saya itu definisi dia…

ROTTW: Rock ni hanya pada lagu ke? Hanya dengan muzik?
Rostam: Tak. Rock itu personality. Bukan luaran semata-mata, tapi benda tu dating dari dalam diri kita sendiri. Itulah… bagi saya, personality, perawakan dan perwatakan seseorang itu juga.

ROTTW: Hanya satu band dalam peta muzik sebagai memberi kesimpulan kepada jiwa muzik Pak Tam, band mana yang boleh bagi gambaran tu? Okeylah, satu tempatan dan satu antarabangsa…
Rostam: Tempatan… Search… dan antarabangsa… hmmm… Deep Purple.

Sebenarnya terlalu banyak yang kami bualkan. Catatan ini saya harap dapat memberi sedikit pengenalan kepada insan disebalik tabir ROCK@ERA ini. Saya bertanyakan tentang pengalaman paling manisnya setakat ini. Dijawabnya, “Saya dapat menemuramah James Hetfield (Metallica) selama setengah jam… one on one masa bawa pemenang ERA ke Leeds, England dua tahun lepas. Sesi tu tak dirangcang pun, dah rezeki saya… haha. Dalam bas sebelum berjumpa tu, jenuh saya sediakan soalan apa nak ditanya… haha” Semoga Pak Tam terus membuka jajahan-jajahan baru untuk rock di corang suara radio arus perdana…

Temuramah: ELLE J HAFIZ. - 29 March 2006