Tuesday, November 23, 2010

Ruang

Aku tahu
kau menunggu
di dalam lif.

Aku tetap berjalan masuk.
Mata-mu terlekat pada dinding belakang.
Membaca dan meresap ke dalam jantung-ku.

Berbicara bahasa halus. Bisik-bisik nipis.
Hembus-hembus yang memikat, bertiup di pinggir bibir
dan cuping telinga.

Aku percaya, ketika ini kita saling memahami.
Kau tak mengalah. Tak ada ketakutan yang
menggoyah ketika ini. Kerana kita pernah sama-sama
berdiri di depan pintu neraka.

Kau masih belum mahu melupakan.
Aku tetap akan menaiki lif itu.


- 23 November 2010

karnival






Hujung minggu yang melelahkan. Dua hari di Karnival COTY2U, menolong berdikit-dikit perjalanan acara, mengambil foto-foto asal boleh, berjumpa dengan orang-orang, menemukan anak kecil yang terlepas dari ibu bapa dan lain-lain.

Untuk fotografi selebihnya, lawat FB - Hafiz Jelir.


Monday, November 22, 2010

Qurban

Tidak selepas 20 tahun, aku mengembalikan diri ke hadapan sebuah imej nyawa dengan darah. Selama itu juga, aku tak pernah mengikut kerja-kerja sembelih atau melapah daging untuk Raya Qurban. Aku tak perlukan penghakiman daripada orang lain untuk menilai apa-apa tentang ini.

Aku tak mampu untuk memandang ke arah mereka. Dan untuk melihat ketakutan yang terpancar dari mata lembu-lembu yang ditambat, yang jelas sekali memahami dan sedar apa yang sedang didepani, aku tak punya kekuatan.

Untuk 2010, di Kuala Pilah, aku berjalan menghampiri sebuah kandang yang dikosongkan. Ada dua lembu tersedia untuk dikorbankan tengah hari itu. Setiap dengusan ia menerbitkan rasa gemuruh. Setiap tenungan mata menghantar perasaan dan emosi ke ruang lain.

Tali-tali berselirat dikakinya diluruskan. Memerangkap kedua-dua pasangnya, rapat-rapat untuk menumbangkan satu tubuh gempal yang kemudian dihadapkan ke depan kiblat.

Ketika pisau sembelih diurut dengan tangan dan daun-daun, ketika ia diturunkan ke pangkal leher tanpa melalui depan mata, ketika ia dihunus dan ditolak-tarik; aku tak akan melupakan bunyi-bunyian yang tercipta. Kerana aku menutup mata, aku membayangkan detik itu. Bukan sebagai seekor lembu, tetapi sebagai seorang manusia. Aku merasakan ada garis halus yang sedang membuka kulit leher dengan kepedihan yang makin ketara.

Apa agaknya perasaan anak lelaki Ibrahim ketika dia terlantar untuk dikorbankan, oleh tangan bapanya sendiri, ketika perintah dari Tuhan turun untuk menguji?

Ketika nafas keluar dari tubuh melalui salur udara yang sudah terputus tengah - angin tak lagi sampai ke rongga hidung - bunyi itu tak dapat difikirkan. Merengus mungkin, dengan marah yang berakhir dengan kerelaan.


Aku belajar untuk memahami beberapa perkara. Pertama, kata 'muncrat'; ketika darah dari urat besar pada leher haiwan berkenaan menyembur terkeluar dan membasahi wajah dan tubuh seorang lelaki ditepi. Tak ada kata lain yang lebih tegas memaksudkan keadaan itu, aku kira. Mungkin, 'pancut' juga belum cukup difinitif untuk mengungkapkan keadaan itu. Hanya 'muncrat' mampu berlaku adil, agaknya.

Kedua, perasaan dan emosi yang terbit yang mengajarkan tentang istilah 'penyerahan' (submission). Penyerahan kepada kekuasaan ghaib, yang tak nampak di depan mata tetapi lahir dalam hati dan di setiap liang roma yang ketika itu mula menegak. Rasa rendah hati terhadap sang pencipta. Akur dan tunduk tanpa kesempatan melawan, sekurang-kurangnya untuk lembu-lembu itu. Tetapi mungkin bukan dengan perasaan tewas.

Hanya kita yang tertinggal untuk memohon rahmat. Tentunya dengan usaha dan bukan dengan pengharapan kosong, penyerahan tanpa faham yang lunak. Penyerahan, kepada nasib dan takdir dan pengharapan pada doa, tanpa sebarang gerak. Itu malapetaka, agaknya.



- 22 November 2010,
KP-KL.