Tuesday, April 12, 2011

Novel





Februari lalu saya membaca pruf novel Kougar. Bukan perkara yang senang kerana saya berdepan konflik untuk menemukan peranan yang entah bagaimana. Tetapi, dengan waktu yang diperuntukkan, saya menghadkan kegelojohan sendiri. Saya hanya membaca pruf, bukan untuk menyunting akan memperkemas lenggok bahasanya.

Bahasa, agaknya alien yang tak punya jantina. Susun saja huruf, jumpakan dengan lagunya, suntik sedikit melodinya, kadang-kadang akan menjadi. Kadang-kadang tak menjadi. Dan, kalau ingin menulis, jangan takut kalau-kalau tak menjadi. Itu biasa. Itu bukan dosa, agaknya.

Saya tak tahu apa yang saya temukan di dalam novel ini. Saya tak punya apa-apa jangkaan. Dan saya tak punya apa-apa kuasa untuk menentukan apa-apa pun tentang novel ini. Ketika sedang merasakann ada kekuatan padanya, saya ditampar oleh sambil lewa gayanya. Tetapi, seperti yang dicadangkan penerbit Fixi, ini cerita urban. Mungkin saya tidak begitu memahaminya. Tetapi orang lain boleh saja menikmatinya.

Akibat kekangan masa dan komitmen lain, saya terpaksa menolak untuk membaca pruf novel kedua. Tak tahu sama ada Pecah atau Cekik yang sepatutnya sampai ke dalam tangan.

Jumaat ini pelancaran rasmi tiga novel ini di The Annexe, CM. Lapangkan masa, mari bertandang. Saya sendiri menunggu untuk membaca Cekik. Selalu juga didengar nama Ridhwan Saidi dipanggil-panggil kebelakangan ini.

Saya rehatkan perkataan-perkataan saya setakat ini. Beli dan bacalah sendiri nanti, tak akan jadi masalah.

Pesan di sini.

Wednesday, April 06, 2011

Hanoi

Bahagian Vietnam yang satu ini aneh. Tendangnya manja. Cuacanya menggigit. Aku menikmati semuanya sebagai sebahagian daripada keperluan untuk sebuah pemerhatian; bunyi-bunyi hon kenderaan yang tanpa henti, kencing-kencing berdiri di tembok yang sibuk lalu-lalang, debu-debu yang melekat kuat pada hidung, wajah-wajah manis bunga-bunga dan spora hawanya - yang kontradik teruk daripada wajah kotanya - dan malam yang merintis hujan dengan angin tajam.

Sepetang di tengah kota Hanoi. Dedikasi orang-orang Viet menemukan sedikit rezeki amat tinggi. Tak segan-segan mengekor untuk berjual, ditipu dengan nilai RM, kembali mengejar meminta dibayar lebih tinggi. Baju-baju tradisi, yang menunjuk sedikit bahagian tubuh perempuannya, melingkar dengan debar.

Di dalam kedai Propaganda Art, roh Ho Chi Minh bergelimpang di dada-dada kemeja-t, poster, poskad dan alas cawan. Perempuan muda di kaunter berbahasa Inggeris; satu kurniaan besar ditengah-tengah khalayak yang jarang boleh berbicara dengan jelas dan terang. Tidak jika kau memesan yang lain, tetapi dihidangkan kopi royal yang di dalamnya ada wiski perit.

Kaca matanya cantik. Bualnya juga cantik. 20 tahun, siswa Universiti Hanoi jurusan Bahasa Jepun yang memberitahu; "Di sini Facebook disekat. Pemerintah percaya di ruang itu banyak bertembung kritikan terhadap mereka yang tak menyenangkan. Jadi, ia perlu dikekang." Tetapi, walaupun dengan capaian internet siput, dia tetap menemukan selok-selok yang membolehkan dia kembali berhubungan di alam maya. Banyak perisian, lorong-lorong tipu yang digunakan jadi laluan alternatif untuk berdepan dengan sekatan.

Kami tak dapat menghantar mesej 'Kawan' di Facebook, kerana sambungan internetnya gabra. Dia mengeluarkan pen, menulis alamat emel di hujung secebis kertas bahagian belakang pelekat kedai tempat kerjanya dan menggunting untuk direbut oleh tiga lelaki yang tercegat dari tadi di depan dia. Menengok rautnya saja membuatkan aku terlupa untuk mengambil potretnya, yang bila tersenyum, kelihatan gigi depan yang jarang. "Kawan-kawan panggil saya arnab kerana ini," sambil tersenyum menunjuk gigi depan.

Tasik yang besar, pohon-pohon yang gondol dan wajah kota ini yang tergantung dibayang malam, dan suaranya segera didengari. Marilah, aku ingin tidur. Esok kita bercanda lagi.




Sunday, April 03, 2011

Victoria

(buat A.S.)

Adakah kau kurniaan terindah yang pernah diturunkan untuk-ku sepanjang waktu yang ada ini? Moga terampunkan dosa-dosa yang sengaja dipertontonkan pada tembok-tembok berlumut. Aku akan berjalan, bertelanjang dada di antara musim panas dan kedinginan yang tak diundang ini hanya untuk bersama bayang-mu.

Negeri ini, Victoria, tak pernah menjadi sebahagian daripada cerita di malam hari. Tetapi, cinta mekar dan subur di dalam telur-mu. Pembilang pada jari kita pindahkan pada dinding kamar 150. Empat malam berturut-turut dingin datang memeluk tanpa hembusan walau satu apa pun.

Kita berjalan di antara roh-roh katedral lama di kota ini tanpa bertemu sesiapa. Hantu-hantu itu semua bertempiaran, bersembunyi ketakutan kerana hangat tubuh kita berdua melecurkan sumpah setia mereka kepada tuhan . Kita, dengan rasa cinta, menyucikan nista-nista yang terlekat pada asfalt jalan tengah Melbourne. Akankah kita dikurniakan sebuah taman lestari, duduk ditemani anak-anak kecil yang comel, berterbangan dan selalu merindukan susu-mu?

Kota ini mengajarkan umatnya tentang sebuah budaya. Budaya yang jadi nyawa, yang menghunjam mati debu-debu hitam berselut menyebukan, oleh orang-orang yang di dalam hidupnya tak pernah membayangkan yang kurang. Budaya yang menghidupi setiap warga yang beratus-ratus tahun dulu cuba untuk memahami hanya satu perkataan; kesamarataan.

Kerana kita, walau dari mana dan ke mana pun arah bertapak, adalah sebuah perkongsian. Perkongsian hidup untuk sebuah kematian. Perkongsian kematian untuk sebuah musim bunga yang menghidupkan kita semula. Semua, kita semua. Tidak hanya kau dan aku.

Di pinggir jalan-jalan ini muzik-muzik dilagukan. Dinyanyikan untuk setiap pejalan malam yang kekosongan dan ragu-ragu. Tak asing dari yang pernah didengari; mainan sejuk, tangga-tangga ke syurga atau batu-batan pada tembok yang menghalang. Mereka tak akan melupakan kita di sini, kerana kita belum saling mengenali. Tetap ada yang bertari dansa, mengiring lagu dan irama, merayakan sebuah rasa yang tak akan hilang.

Di pinggir Sungai Yarra, kita duduk berdua. Memerhatikan bangunan dan cahaya listrik yang sederhana. Aku menanggalkan kasut, meninggalkan warna merah pada tapak tangan-mu. Aku mencabut nyawa dan menyelam ke dasar sungai, dan kau ikut sama dibelakang. Tetapi, kita menyelamatkan malam dengan baris-baris ayat indah, tak difaham orang. Memanah dengan kentang besar pada burung-burung Seagull putih manja di Federation Square.

Tak punya cukup wang, keadaan tak apa-apa. Tubuh masih melayang-layang di antara setiap blok bangunan yang menyekat. Ditelan di dalam perut cacing-cacing moden dan klasik yang berlingkar, bercanda di celah rak-rak buku digudang-gudang besar penuh ghairah, muzium-muzium yang mencium bibir telinga ketika hujan. Kita seperti sedang diraikan oleh sebuah kota asing yang waktu itu membuka dirinya untuk disetubuhi tanpa segan silu.

Kita jatuh cinta

lemas yang mendadak.


Menjauh tubuh-mu larut

menderu langkah-mu pergi

dan aku akan tetap menghidupi jantung-mu

ketika ia lesu.



- Mac 2011.