Tuesday, April 17, 2007

diskusi tupai

Paginya saya baru menghabiskan ‘pusingan’ pertama bacaan buku Islam & Pluralisme susunan MEGC (Middle Eastern Graduate Centre). Lewat petang pula – ketika mengisi kekosongan minda selepas hujan – Fao menelefon untuk memaklumkan tentang satu sesi diskusi santai pada malamnya. Dalam kontang rayau Pasar Seni senja Sabtu, saya hadir ke perjumpaan itu.

Di atas meja – ketika saya sampai malam itu– ada satu terbitan buku baru bertajuk Islam, Religion and Progress (kalau tak silap). Ia merupakan terbitan kompilasi pertama rakan-rakan penulis bebas dari Singapura yang mewakilkan kelompok mereka dengan nama The Reading Group (RG). Boleh layari laman siber mereka di www.thereadinggroup.sg.

Saya belum membaca buku berkenaan. Tapi, dari selak-selak awal masa itu, seperti ada persamaan di antara dua buku yang saya nyatakan tadi. Kedua-duanya saya percaya menyentuh persoalan Islam – dalam jalur pemikiran yang mahu dilebarkan lagi. Atau setidak-tidaknya, secara intelektual mahu menyentuh perihal perkembangan Islam, terutama perkembangan aliran pemikiran yang ada di dalamnya.

Banyak isu dan topik yang disentuh. Secara kolektifnya, saya sifatkan sesi itu sebagai salam perkenalan – bertukar pandangan di dalam satu konteks yang berlaku di kelompok berlainan negara bertiga ini.

Antara yang menarik perhatian saya adalah isu-isu sekatan maklumat (atau buku) yang dihadapi di Singapura dan mungkin juga Malaysia. Banyak bahan baca yang semacam mahu dihalang daripada sampai untuk tatapan masyarakat umum. Hanya bahan yang tidak bercanggah dengan kepercayaan pemerintah saja dibenarkan.

Ini proses yang agak mengelirukan. Pada satu tahap, mereka berbicara tentang perihal globalisasi dan keterbukaan dunia, dan di satu titik yang lain seakan takut dengan bayangan sendiri. Perkembangan ini secara sinis memamarkan betapa masyarakat di dalam dipersiapkan untuk menghadapi acuan globalisasi yang entah macam mana bentuknya, cuba disogokkan pula dengan unsur ketakutan. Takut terpengaruh dengan implikasi negative yang bercanggah dengan norma tradisional… kata mereka.

Ini juga memberi gambaran yang masyarakat umum tidak diberi kepercayaan untuk mengharungi konsep keterbukaan yang dianjurkan. Ia seolah-olah mahu terus memeramkan segala tunas-tunas percambahan minda yang mungkin sedang dipersiapkan secara sendiri oleh golongan umum begini.

Seperkara lagi, seperti yang dibangkitkan oleh Azhar Ibrahim (Singapura), iaitu konservatisme bahasa. Dalam bahasa mudah saya, ungkap saja seperti ini – kebekuan bahasa.

Bahasa Melayu contohnya, kebelakangan ini menjadi keliru. Asalnya pun bahasa yang dikenali sebagai bahasa Melayu ini sangat longgar – banyak meminjam istilah-istilah Sanskrit, Arab dan pastinya Inggeris.

Kesan daripada perkembangan ini, pada saya, dapat dilihat masa ini. Penggunaan bahasa Melayu dan perkembangannya menjadi semakin beku. Bahasa Melayu tidak dapat lagi bernafas untuk mewakili kelompok barunya sendiri. Contoh, penggunaan bahasa Inggeris yang di’melayukan’ – yang kemudiannya didaftarkan di dalam kamus – menjadi satu pendekatan baru. Menyamai piawai dunia mungkin. Kata efisyen – ada yang menegur ejaannya salah, sepatutnya efisien (ataupun terbalik!)– adalah cuma pembayang yang tidak ada makna. Daripada menciplak kata berkenaan, elok dibiarkan saja penggunaan kata ‘cekap’ untuk menyampaikan maksud yang sama. Ataupun elok dilanggar saja konstruk bahasa itu agar lebih bebas?

Saya akan menggunakan kata ‘uniformiti pemikiran’ untuk perenggan ini, pinjam sedikit bahasa Inggeris, mencemar bahasa. Ini juga satu permasalahan yang ditimbulkan dan bukan hanya pokok persoalan bahasa. Untuk penjelasan, uniformiti – atau… saya pun tidak pasti wakil bahasa Melayunya apa – adalah satu terma untuk menggambarkan satu acuan, dalam konteks di sini adalah acuan pemikiran. Sama hubungannya dengan penyekatan bahan bacaan tadi juga. Hanya acuan dan aliran pemikiran seperti yang mahu ditanam di dalam minda masyarakat melalui sistem pendidikan rasmi saja yang dibenarkan untuk menular. Jika ia satu aliran yang berlainan, ia akan dianggap songsang malahan boleh ke tahap cop mohor sesat! Ini bukan saja betul-betul menarik malahan menggerunkan…

Isu yang paling asyik diunjurkan pula adalah sekitar perkembangan Islam. Ini, bab yang saya tidak mampu untuk huraikan. Saya sendiri samar-samar di dalam persolan ini. Maka eloklah dibiarkan saja begitu memberi orang yang lebih arif – atau sekurang-kurangnya mereka yang merasakan dirinya arif – untuk mengulas panjang.
-16 April 2007 - pantai dalam

Monday, April 09, 2007

hidup meniti ranjau

“Sejak di bangku sekolah, dia dianggap budak berotak geliga. Rajin membaca dan pintar. Dia adalah anak Pahang yang pertama lulus peperiksaan Senior Cambridge dan pernah menjadi majistret kelas tiga di Kuala Lumpur.

Sekiranya dia mahu hidup senang dan mewah dengan kelulusan dan kepintarannya sebagai seorang pegawai kerajaan, dia mampu memperolehinya tetapi yang anehnya dia memilih hidup untuk meniti ranjau. Mengapa? Pengalaman suka dukanya dan pahit getir yang pernah dialaminya sejak muda dulu teradun dalam buku ini.”

Dalam sungguh rantaian kata ini untuk dijadikan pembakar jiwa yang kontang. Ia juga terngiang-ngiang dan berdengung di dalam kepala otak, membawa satu bantaian nafas baru yang sebetulnya pernah dialami oleh ramai manusia. Kata-kata ini dikutip daripada kulit belakang buku Hidup Meniti Ranjau – Biografi Ishak Hj. Muhammad @ Pak Sako. Ia terbitan 1991, garap daripada Wahba.
- 8 april 2007 - pantai dalam

Wednesday, April 04, 2007

chris pfeiffer

Aku kurang pasti kalau-kalau aku patut semadikan nama chris pfeiffer di sini. Dia seorang penunggang - juara dunia untuk streetbike - yang baru aku kagumi. Tadi pagi sempat menyaksikan demonstrasi dia. Memang terpukau aku.

Tambah gelabah bila aku sedar yang pentas kecil tempat aku berdiri untuk mengambil gambar aksinya itu tidak berpagar! Nasib baik tak tinggi sangat. Agak-agak nak roboh, aku rasa ok saja kalau nak lompat terus. Nasib baik aku sorang2 saja kat atas tu.

Umur lima tahun dah didedahkan buat stunt atas motor. Aku rasa orang kita patut tiru modul mak bapak chris ni, barulah hantu mat rempit ni tak bangkit. Nak main motor, bagi dia pendedahan yang betul. Jangan nanti jadi kutu-motor-kepeng-melayang dan menyusahkan orang lain.

Nak buat satu-satu benda, buat betul-betul, ikut jalan yang kau rasa betul. Baru orang hormat. Macam jugak Chris ni, rasa-rasa apa benda lagi yang dia tahu?

Tak ada apa, motosikal saja dunia dia. Tapi dah boleh kira habis menyelam makhluk ni, bukan picisan!

- rabu 4 April 2007