Friday, July 22, 2011

Oh, Jakarta.

* Loudness, perkarangan Soekarno-Hatta.

Kali kedua menjejak kaki di Jakarta. Bandara Soekarno-Hatta petang tadi basah. Jam 6, tetapi suasana mula suram. Dua jam di dalam pesawat, di barisan paling akhir yang ruangnya sempit, itu betul-betul memenatkan. Dalam tempoh itu, saya terlelap-terjaga berulang2 kali. Segar sekejap untuk membaca Out - Natsuo Kirino yang mengkagetkan.

Berjalan perlahan melepasi setiap pos imigresen tanpa diperiksa (kerana semua sudah siap di atur - jolok duit agaknya). Di luar, terserempak dengan rombongan band metal lagenda Jepun, Loudness yang juga baru tiba dari Kuala Lumpur, kalau tak silap. (Hari sebelumnya mereka menggegar pentas di KL, dan kemudian meneruskan tour ke Jakarta).

Mulanya malu-malu dan sekadar memerhati, tetapi tak tahan untuk merapat juga. Bertanyakan dalam bahasa yang saling tak difahami. Bersalam sedikit dan selebihnya memotret. Untuk ahli-ahli band ini, yang ketika itu sudah berada di atas bas tour mereka, dah memilih untuk turun semuanya hanya untuk memenuhi permintaan bergambar oleh beberapa orang dari Malaysia itu amat mengharukan. Kerana, Loudness adalah sebuah nama besar. Tetapi tak berkepala besar. Terima kasih mat-mat metal cool Matahari Jepun.

Kemudian, mengharungi trafik sesak ke tengah kota. 2 jam di dalam bas kecil.

Malamnya, saya merayap ke Hard Rock Cafe. Kebetulan, satu showcase ringkas berlangsung, sebelum acara muzik independen terbesar katanya - Rockvolution - hujung minggu nanti di Senanyan. Dua band sempat ditonton persembahannya; Tonight Alive (ala Paramore, dari Sydney, Australia) dan kemudian The Datsuns (band rock keras dari New Zealand). Dalam penat kaki-kaki ini tetap bergoyang-goyang juga. Cari dan dengarkan band-band ini di internet.

The Datsuns agak tidak mengecewakan. Tetapi Tonight Alive muziknya terlalu kosong dan kering. Mujur penyanyi perempuannya cantik.

Oh, Jakarta. Kamu penuh dengan warna-warni muzik minggu ini. - 21 Julai 2011.

Wednesday, July 20, 2011

Bon Iver, Fleet Foxes


Sejak minggu lalu, dua CD muzik daripada band luar negara yang sangat menyenangkan saya ketika ini, sampai ke meja ruang kerja. Kehadiran yang banyak meregangkan kepala daripada urusan-urusan lain yang kebelakangan ini amat menyesakkan.

Dua album yang dimaksudkan ialah Fleet Foxes - Helplessness Blues dan Bon Iver (Self-titled), kedua2nya kumpulan pemuzik independen dari Amerika yang mula menempa nama melalui album pertama masing-masing. Fleet Foxes dengan sampul CD dalaman hitam dan sekeping poster kredit saiz besar dengan lakaran tangan yang dicetak semula. Bon Iver seperti dulu, tampil dengan imej bersih, dengan satu booklet untuk lirik, yang juga dengan tulisan tangan yang dicetak digital semula.

Muziknya, bagi saya, cukup menggenggam. Tidak ada persamaan keterlaluan dengan muzik-muzik yang kebanyakan bermunculan di sebelah sana. 'Musang' masih lagi kekal dengan arah muzik asal album terdahulu, tetapi Bon Iver melangkau lagi, dan memperdaya jangkaan saya sendiri. Kali ini mereka dengan muzik aneh cakrawala yang meruntun, beremosi dan hidup; walaupun kini tampil dengan susunan muzik yang dominan dengan peran mesin synthesizer. Modern, tetapi tak seperti muzik yang selalu kedengaran.

Kedua2 band ini membayangkan muzik dengan mata yang lain, tetapi tidak mekanikal dan natural alir bunyinya. Perlahan, mengugut faham muzik dan menghidangkan dengan penuh warna dan seperti ingin memberitahu, muzik ini bentuknya mengalir. Saya akan mendengar berulang-ulang lagi album-album ini dan larut untuk satu tempoh panjang.

Tuesday, July 05, 2011

Oe, nuklear

Pagi. Terjaga dari tidur. Saya membaca sebuah catatan ringkas Kenzaburo Oe, tentang ingatannya terhadap Hiroshima – Hiroshima Memories: On The Lessons of Tragedy. Kota itu adalah sebuah tembok yang dipermukaannya penuh diconteng dengan setiap kecelakaan dari apa yang disebut nuklear. Agaknya, peperangan, atau segala perih-jerih lain perjalanan bangsa Jepun di kota itu tak ada yang lebih diingati berbanding kata ‘nuklear’ itu. Dan Oe, ketika bom itu meledak di dua buah kota di negaranya, merakam setiap kesengsaraan yang mungkin dilihat matanya sendiri, atau didengarinya secara lisan atau mungkin saja di bacanya di merata-rata medium. Sehingga hari ini, dia mencemuh negaranya sendiri, tentu saja kepada pembuat-pembuat dasar, yang membenarkan agen-agen nuklear ini, yang dulu pernah meranapkan kota Hiroshima dan Nagasaki sehingga menjadi kota-kota hantu, untuk kekal di bumi mereka. Dua kata kunci; nuklear dan memori. Yang menurut Oe sepatutnya sudah menghajar bangsa Jepun untuk tidak lagi membuat kesilapan, untuk mempertaruhkan walau hanya satu nyawa penduduknya di hadapan kuasa nuklear. Membaca tulisan pendek itu, membuatkan saya termenung. Kerana, pada kebanyakan masa, menurut saya, bangsa Jepun sudah terlalu banyak belajar dari sejarah mereka. Jatuh untuk kemudiannya bangkit dengan garang. Tetapi, di mata Oe, hal yang satu ini adalah kebodohan yang sengaja diulang. Dan, Mac lalu, telahan Oe, terpaksa saya akui, menjadi igauan yang nyata. Katanya, Jepun tak akan dapat menangkis amarah alam. Dan, kerisauannya itu cukup berasas; kebenciannya kepada nuklear, yang ketika hukum alam mula lari daripada apa yang selalu dijangkakan, membuatkan kemudahan nuklear jadi tak terbendung. Nuklear, menurutnya, melimpah lagi untuk menghancurkan Jepun. Saya terbawa untuk mengenang Malaysia, yang juga dalam hal ini, punya kesamaan dengan Jepun. Negara ini sekarang berghairah menjual diri untuk secebis kuasa nuklear, dengan sebuah nama yang selepas ini wajib diingat semua warga; Lynas. Katanya untuk kemajuan (atau banjiran duit yang tak pernah cukup digilakan). Dan, jangan dilupa. Malaysia juga punya sebuah ingatan terhadap nuklear ini; Bukit Merah, 1980an. Luka ini masih saja berbekas. Kes-kes leukimia misalnya. Saya mendengar Dr. Mahathir, di dalam satu sidang media untuk KLIMS 2010 penghujung tahun lalu, turut menyebut-nyebut tentang insiden ini. Mungkin tak terlalu dijelaskan, kerana, saya fikir ini berlaku ketika dia sendiri menjawat pejabat PM ketika itu. Malaysia waktu ini wajib merasakan kegusaran yang sama seperti Oe. Cuma bezanya, Oe sudah melihat kecelakaan yang selalu dibayangkannya. Malaysia belum lagi.