Wednesday, March 30, 2011

Bintang

Bintang-bintang Februari yang mengasyikkan, selamat tinggal. Udara-udara sejuk yang menyamankan, kita akan saling mengingati. Saya tetap mengerah tumpuan terhadap beberapa perkara yang memerlukan perhatian segera.

Dari Cape Town, melayang ke Kuala Lumpur. Kemudian terbuang lagi ke Melbourne. Tubuh ini memang sekejap-sekejap perlu dihidupkan semula. Bersambung hujung minggu lalu di Kuching, Sarawak… meninjau-ninjau tempat jatuh badan (dan jatuh hati). Dipeluk oleh keterasingan yang mencebir.

Di dalam tempoh itu juga saya berperang dengan masa, fokus dan tenaga, mengerjakan dua manuskrip yang diharapkan berhasil – di beberapa tempat itu. Yang pertama, kini ditangan dua penerbit. Yang satu sudah memberi jawapan ‘penolakan’. Yang satu entah sedang di baca atau tidak, ditimbang atau di kambus. Buat masa ini, menunggu mungkin dapat mencipta ruang untuk kembali bernafas sedikit-sedikit.

Buku kedua berkait komentar-komentar tentang novel Interlok, yang bakal diterbitkan dalam saiz kecil oleh Matahari Books April nanti. Menarik dan menolak. Kesukarannya adalah untuk mendapatkan tulisan-tulisan yang objektif dan seimbang, kerana, yang menderu di kantung emel kebanyakannya tulisan-tulisan yang melelahkan, melambung dengan puji-pujian. Tetapi, sepuluh yang terpilih itu diharap dapat membuka sedikit pengamatan baru, kalau mahu.Dapatkan nanti naskhah terhad itu, dan kalau ada kritikan, sila panjangkan terus kepada saya.

Juga sedang mengalih-alih beberapa lembar muka surat buku-buku yang sedang di baca. Akan mencuri masa untuk menulis yang panjang-panjang nanti. Memoir Tun Mahathir rasanya amat mengecewakan. Himpunan syarahan terbaru Orhan Pamuk di Universiti Harvard seperti ada hal yang mengasyikkan, tak kurang juga ditempelak dengan kritikan-kritikan keras pemerhati di Barat. Tempo edisi 40 Tahun juga banyak memuatkan catatan-catatan personal/jurnalisme majalah itu sepanjang hayatnya menemui pembaca. Begitu juga dengan majalah Brownbook, yang kumpulan editorialnya berpusat di Timur Tengah, memberi banyak juga anjakan terhadap keghairahan untuk memperincikan permerhatian terhadap medium berkenaan.

Serakah untuk membaca memang menghantu. Semoga kesediaan menulis juga dapat dikembalikan di sini.

Sampai nanti.

Monday, March 07, 2011

Siapakah Dapat Menenterami

(sebuah lagi potret Kuala Lumpur)

siapakah dapat memahami
pejabat pos di kotaku
yang mempunyai lima kaunter
satu dibuka empat ditutup
sementara queue memanjang
hingga ke dalam longkang?

siapakah yang dapat memahami
pemandu bas di kotaku
yang enak merokok sambil
memandu dengan laju
sementara konduktor keras melarang
penumpang-penumpangnya merokok?

siapakah dapat memahami
pejabat imigresen di kotaku
yang mengenakan pasport
ke atas penghuni-penghuninya
sementara tempat yang hendak ditujui
sebahagian dari wilayahnya?

siapakah dapat memahami
pekerja hospital di kotaku
yang enak ngobrol sambil
ketawa dan gurau mesra
sementara pesakit taat menunggu
tenat dibangku?

siapakah dapat memahami
peminta sedekah di kotaku
yang amat cerewet
dengan sedekah yang dihulurkan
yang mengemis di siang hari
dan berfoya di waktu malam?

siapakah dapat menenterami
kotaku yang kacau dan bingung?


1984
T. Alias Taib, Opera.

Wednesday, March 02, 2011

calon

Terjemahan saya berkaitan surat pencalonan Liu Xiaobo sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan 2010 oleh Profesor Kwame Anthony Appiah ada diterbitkan di sini.