Hishamuddin Rais
SIRD
2008
Untuk beberapa ketika dan waktu-hari tertentu dalam tahun 1974, jalan-jalan raya di tengah Kuala Lumpur di penuhi oleh tunjuk perasaan besar-besaran. Ini tidak dianggap biasa mungkin waktu itu – atau mungkin kemuncak kepada sesuatu. Tambah merunsingkan, gerakan pelajar – antaranya dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Teknologi Mara (waktu itu) – adalah penggerak utama gelombang ini.
Tidak ada apa-apa krisis di KL. Demonstrasi yang ada itu pun mula memeningkan banyak pihak – terutama pemerintah yang dalam kehairanan. Hanya kerana mahu menunjukkan sokongan mereka kepada perjuangan kaum tani nun jauh di utara – Baling, Kedah. Dan ancaman kebangkitan ini jugalah yang membawa kepada tindakan pihak berkuasa merempuh masuk universiti-universiti pada satu malam dan menangkap berpuluh-puluh aktivis pelajar di bawah ISA.
Cerita-cerita ini, sedikit sebanyak tercatat di dalam buku baru Hishamuddin Rais ini, yang waktu itu bertindak selaku setiausaha Persatuan Mahasiswa UM (PMUM). Pada malam tangkapan itu, dia melarikan diri dari UM – bersembunyi dan hilang ke luar negara – dan memulakan siri kehidupan baru di luar sana untuk 20 tahun seterusnya.
Di dalam himpunan tulisan terbaru beliau – pasca koleksi ‘Pilihanraya Atau Pilihan Jalan Raya (2002)’ – Isham menukilkan sorotan hal-hal semasa yang berlaku di Malaysia dengan sentuhan ‘popular anak muda’, dan ini adalah sesuatu yang menarik. Di setiap baris ayat-ayatnya akan ada ‘komedi’ yang akan membuatkan orang ketawa. Sifat humor di dalam tulisan-tulisan ini meletakkan pembaca buku ini pada satu keadaan sub-concious yang cukup enak untuk dinikmati.
Kekuatan Isham terletak kepada pijakannya pada bumi Malaysia, membawa insiden-insiden bosan – politik – yang kini dipopkan dalam nada yang ringan dan seronok untuk diikuti. Ini dilihat dari corong mata anak-anak muda kebanyakan yang ada di kota kita ini. Mereka biasanya tidak suka ambil pusing hal-hal isu semasa. Dan dengan tulisan serupa ini, Isham berdepan dan menjambatani jurang berkenaan.
Garapan pengalaman-pengalaman hidup beliau yang dipaparkan jelas dan diharap tanpa sensor menyediakan satu santapan cerita semi-biografi cara tak langsung yang pada setengah-setengah tempat amat kuat menggambarkan idealisme seorang anak muda. Dan Isham belum mahu meninggalkan itu semua. Dia masih mahu menjaja untuk sesiapa saja yang mahu meneylongkar rahsia hidupnya.
Ada antara rakan-rakan yang tidak menyukai buku ini. Pada asasnya, mungkin disebabkan personal Isham yang tidak disenangi – mungkin. Dia kiri, sosialis, Marxis, sekular atau apa saja yang mungkin difikirkan mereka. Tetapi untuk menolak daripada membaca buku ini di atas alasan-alasan seperti itu bagi saya adalah satu tindakan tidak matang. Dalam keadaan begitu, emosi mengatasi rasional - dan itu tidak sihat.
Isham, seperti yang tergambar melalui catatan-catatan di dalam buku ini, adalah seorang pemerhati yang akrab dengan persekitarannya. Kritik humor tentang sosio-budaya masyarakat – paling banyak tentang politik - yang disampaikan jelas sekaligus tidak menjengkelkan. Sebagai seorang warga yang kerap merewang dengan berjalan kaki di mana-mana, Isham dapat mencoret perkara-perkara remeh dan sekecil-kecilnya yang diperhatikan dan kemudiannya digaul dengan kisah-kisah semasa dan pengalaman peribadi yang tak ramai antara ahli masyarakat hari ini beri perhatian. Corong pemerhatiannya berbeza daripada yang stereotaip.
Buku ini menghimpun catatan dari seorang lagi anggota masyarakat yang peka dengan perkembangan dan kontroversi setempat. Ia juga menyimpan kisah Malaysia yang sedang dalam proses berubah kepada satu tahap yang lain yang diharap lebih matang. Sepanjang saya membacanya beberapa malam, hampir setiap kali itu juga saya ketagih bergelak sakan sampai mata berair. Woody Allen belum tentu dapat berbuat demikian.
Ini kitab komedi kota baru barangkali, yang didalamnya ada kisah-kisah tentang kebodohan, mistik moden, misteri pembunuhan, skandal dalam kain sarong, kelucahan (tidak melampau) dan sebagainya. Ini buku untuk orang Malaysia, terapi untuk jiwa vakum.
30 April 2008