Monday, March 17, 2008

pru12 dan kehampaan

'Kehampaan' telah membayar harga yang tinggi ketika PRU12 yang baru selesai. Mungkin itulah tempat bermulanya sumbu kepada peralihan drastik keputusan pilihanraya yang rata-ratanya tidak terduga kemenangan yang begitu bergaya oleh pakatan pembangkang sendiri, apa lagi BN.

Rasa hampa kepada BN yang lama-kelamaan semakin tumbuh segar dan menular mengatasi batas waktu, kaum, tempat dan seterusnya mencetus gejolak semangat yang luar biasa dikalangan kelompok umum.

Di sini, kita harus faham sekarang - walaupun bukan faktor sempurna dan solid - bahawa keangkuhan BN dan teori kongkongan media keseluruhannya yang diamalkan selama ini memberi penunjuk yang cukup keras juga kepada mereka sendiri. Peel golongan ini yang gemar meludah ke langit tinggi dengan bongkak yang ketika ini sudah terkedu, air ludah itu sudah jatuh pada muka sendiri.

Ramai orang yang loya dengan paparan media yang dikuasai. Baik tv, suratkhabar dan sebagainya, tanpa sedar BN selama ini menginjak kehormatan individu ini dengan layanan yang terlalu rendah. Ataupun, mereka sebetulnya tahu. Tetapi masih mahu meyakini dengan metod lapuk ini ia akan mampu memberi kesan seperti yang diharapkan.

BN meletakkan tahap yang begitu hina untuk dipersembahkan kepada umum, segala apa jua perkaranya. Paparan medianya pada satu peringkat menjadi sungguh tidak boleh diterima akal oleh orang kebanyakan. Sampai begitu sekali anggapan mereka yang masyarakat umum terlalu kolot dan mahu percaya ceritera media utama.

BN tidak yakin yang alam siber mampu membentuk gelora baru informasi. Mereka mungkin betul dengan pertimbangan itu. Tetapi orang tak selamanya akan setia - jika ditipu, andai selalu diperlekeh. Sabar orang ada batas dan untuk itu, gelora pemilih seperti yang disaksikan Sabtu 8 Mac itu mula garang.

BN boleh terus dengan pendekatan mereka. Namun, zaman berubah, masyarakat menjadi makin kompleks dan penipuan cara lama akan cepat dikesan kini. Media utama tidak selalu menjadi sahih. Orang sudah bosan.

-12 mac 2008

1 comment:

barb michelen said...

Hello I just entered before I have to leave to the airport, it's been very nice to meet you, if you want here is the site I told you about where I type some stuff and make good money (I work from home): here it is