Tuesday, September 28, 2010

Tidur Di Dalam Matamu

Aku gementar, ketika kehilangan berdiri lagi di depan cermin.
Segala ketidaktahuan, keterbatasan dan kelemahan
menggoncang diri dan harapnya akan meletus jadi satu
pegangan dan kekuatan merentangi masa kelam-mu.

Buka matamu, izinkan aku tidur di dalamnya,
ketika pohon kemboja meluruhkan dedaunan
di atas perkuburan.

Kerana, mata itu adalah nyawa yang di dalamnya
menghembus udara kepadaku dari dalam
kegelapan dan ketidakyakinan.

Selamat tidur, biduanku.
Aku tetap setia.


-HH, 28 September 2010.

Monday, September 27, 2010

Album Kompilasi Meor


Malam minggu. Ruang tertutup Galeri Annexe awalnya agak meresahkan. Tak ramai orang yang hadir untuk sesi persembahan Meor & Friends di situ. Persembahan direncanakan sempena pelancaran album kompilasi terbaru Meor Yusof Aziddin - Kompilasi Kompilasi.

Ketika Arctop Soul di pentas, tak ada apa yang bakal berubah. Kerusi masih kosong. Tapi, katanya, persembahan masih berterusan. Mujur ada Via dan mungkin juga Hidayah, dua kuntum bungan yang sedikit membuat orang terjerit-jerit, setiap kali kelibat mereka di pentas, sehingga habis persembahan. Tetapi, entah disebabkan apa, ruang itu semakin dipenuhi perlahan-lahan.

Azmyl Yunor, dengan wit dan humornya tetap ceria walau hanya dengan dua anggota sahaja. "Biasalah, ada yang kenduri kahwin, ada yang sakit dan macam-macam..." katanya kepada ahli band Warga Kita (yang selalu mengiringi) yang tak ada malam itu. Tetapi, penyanyi folk ini tetap dengan semangat dan fokus tersendiri. Lagu-lagu dari album Warga menggema ruang dan gegendang orang malam itu.

Cats In Love mengubat jiwa-jiwa rock klasik (menurut mereka, muzik yang dimainkan 'mungkin cheeky rock'), dinikmati terutama oleh orang-orang seperti Peter Hassan Brown, Markiza dan juga Paul (Paul's Place). Kekal energetik, nada-nada ringkas rock masih membuatkan orang berdiri bulu roma. Bassistnya, Zul, mungkin karektor yang paling menarik untuk ditonton.

Dan, set Meor kemudiannya dibantu oleh rakan-rakan. RS Murthi (gitar), Jazlan (bass) dan Paul (dram) mengiringi persembahan santai mereka. Album berkenaan hanya diselitkan dengan satu lagu baru, Selapis Kaca. Lagu oleh Meor dan lirik oleh Jimadie Shah Othman. Kata Meor, dia memilih lagu berkenaan disebabkan ada perkataan 'Jibrail dan Syaitan' di dalamnya. "Untuk lirik bahasa Melayu, perkataan-perkataan macam ini jarang-jarang didengari," tambahnya.

Dari pentas, dengan sepatah dua kata yang tersekat-sekat antara lagu, sesi jamming malam itu melabuh tirai dengan keriuhan - termasuk persembahan impromtu instrumental blues dengan melodian - menggamat, sekali lagi turut berseri dengan penampilan Via dan Hidayah.

Album penuh terbaru Meor dijangka akan disiapkan dan dilancarkan penghujung tahun ini, mengikut perancangan. Disertakan juga dengan pelancaran buku autobiografi Meor yang akan diterbitkan sendiri; buku keduanya selepas Sembang Tepi Jalan.

* Album Kompilasi Kompilasi dijual RM15.







Friday, September 24, 2010

Tiga Penyajak China


Saya membaca beberapa sajak dari tiga penyair klasik China (atau mungkin penyair China Kuno?) malam tadi, dari buku Three Chinese Poets - Wang Wei, Li Bai dan Du Fu.

Mereka hidup di sana ketika pemerintahan Dinasti Tang, pada kurun ke-8 Masehi. Buku berkenaan diterjemahkan oleh Vikram Seth, pengarang bangsa India dan terbit pertama kali pada 1992.

Ini mungkin tulisan-tulisan penyair terawal dunia yang pernah ditemui dulu dan masih dibaca di zaman pasca-millenium. Saya tak tahu.

Dengan kontradiksi dan intensiti yang mungkin berangkai dari bahasa China lama itu, terjemahan Seth sekurang-kurangnya tidak melupakan kita kepada orang-orang yang hidup di zaman yang lain, tetapi tetap dengan keinginan yang sama; bersenandung dan menulis dari hati kecil yang bergolak.

Di sini, saya sertakan tiga sajak, satu daripada setiap seorang mereka yang kini sudah hampir 1,300 tahun terpisah dan merentang waktu antara kita dan mereka.

Dan, suara-suara mereka masih bergema di gegendang.

- Wang Wei.

- Du Fu.

- Li Bai.


Thursday, September 23, 2010

Ceritera Bayangan Mimpi



Namaku Epal Kuning
Roslan Jomel
DBP
2010

~
Namaku Epal Kuning. Sebelum itu aku merupakan manusia seperti saudara juga. Sudah tentu saudara tertawa berhadapan imej hodohku ini berbanding ciptaan sempurna Tuhan. Di atas muka bumi, akulah sepsis yang hidup tanpa otak. Jahiliah. Sudah tentu saudara menyindir gelang sekular yang sentiasa tersangkut pada seluruh anggotaku. Tiada identiti kepercayaan sebagai pedoman hidup. – Roslan Jomel, Namaku Epal Kuning.
~

Di dalam mimpi tidur malam, beratus-ratus watak boleh saja bangkit dan membangun
cerita yang bermacam-macam. Kesedihan, kepiluan, kebencian, kenikmatan,
cinta dan apa-apa lagi. Semua orang boleh menjelma untuk menjadi apa saja.

Dan mimpi, dengan sifatnya yang berseri dan menggerunkan, memang menemukan
kita di antara yang nyata dan yang khayal. Ada orang menyebutnya sub-conscious,
mungkin. Lima puluh – lima puluh. Kagilaan alam khayal yang tiba-tiba diperturunkan
sekali dengan emosi yang pekat dan dalam. Memasukinya, atau memikirkannya semula selepas tersedar dari tidur akan mencampakkan orang ke ruang asing yang keliru. Tak ada penjelasan yang nyata untuk semua itu. Ia tak ada, tetapi ia tetap menunggu untuk menelan kita.

Baca lanjut.

47 Tahun Disenjakala

Seorang lelaki bangun dari lena yang panjang.
47 tahun dulu, 16 September 1963 dia mula tidur.
Menutup mata dan tak mahu melihat.
Hanya mimpi yang indah-indah
jadi bantal empuk yang membangun imannya terhadap
sebuah negara dengan nama Malaysia.

Tetapi tidak tahun ini. Yang ada hanya mimpi ngeri.
Mimpi tentang Malaysia yang hilang. Menjelang Subuh - tanpa sempat bersolat -
dia terjaga dalam kepenatan. Meraba-raba poket mencari talifon (jika masih ada)
untuk menghubungi pengarah mimpinya. Mahu bertanyakan di manakah Malaysia?

Malang. Yang ditemukan hanyalah watak-watak menggerunkan. Jalan yang terbentang
di depan semakin menyempit kerana, seingatnya, yang menghuni negara ini adalah
orang-orang yang daging muka mereka menebal dan menjadikan kepala-kepala
semakin besar. Ataupun hidung kembang yang menakutkan.

Dan, otak kembali terhimpit dan mengecil. Kepada watak-watak sebeginilah
dia perlu menyangkutkan nyawanya yang baru saja bersambung.

Ingin sekali rasanya dia kembali untuk terlelap
dalam dakapan biadari yang sudah pulang.
Kerana di depannya ketika itu, tak ada ruang untuk
dia terus menghela nafas dan menjeritkan nama
Malaysia dengan keras.


- 17 September 2010.