Tuesday, August 16, 2011

Tumblr



Waktu ini, saya asyik bermain-main di laman Tumblr. Jalan ke sana, kalau kelapangan; (jelir.tumblr.com)

Tuesday, August 09, 2011

Henning Mankell



Dia memulakan wawancara di dalam Hardtalk dengan pernyataan yang dikutip oleh yang bertanya; “Pengarang tidak boleh hanya duduk (diam). Mereka perlu berdiri, dan berbuat sesuatu.” Wajahnya diawal sesi sedikit tegang dan serius. Sekali-sekala tersenyum dan ketawa kemudiannya.

Menulis novel-novel jenayah, yang menurut beliau sendiri sebagai pernyataan dan pendiriannya melingkungi soal-soal politik, sosial dan kemanusiaan, dia tidak kelihatan ragu-ragu. Berpuluh tahun membangunkan ingatan dan imajinasi di dalam lingkungannya – tambahan lagi dia mengulas perkembangan-perkembangan sebenar di daerah Scandinavia – yang sinonim dengan kekerasan, perkauman dan sebagainya, dia bersiap sepanjang masa itu untuk mempertahankan tulisan dan pandangannya.

Pro-Palestine, menyokong tekanan ke atas Israel, menentang ekstremis perkauman sempit, dia sebenarnya diminta untuk mengulas, antara lain, kejadian pembunuhan beramai-ramai di Pulau Otaya, Norway baru-baru ini. “Ketika mendengar tentang berita pengeboman bangunan kerajaan itu, saya terfikir, iasudah tentu dilakukan oleh Al-Qaeda. Tetapi, sebaik saja mendapat berita tentang pembunuhan nyawa-nyawa tidak berdosa di pulau Utoya Norway itu, saya mengagak ada hal lain yang tak kena dengan insiden itu,” jelasnya.

Dengan tegas, dia menyokong kepelbagaian budaya. Dengan tegas, dia mencemuh pembunuh itu, Anders Behring Breivik . Dan dengan tegas, dia juga menempelak cara badan kehakiman Norway yang mahu menjalankan perbicaraan kes itu secara tertutup. Menurut kenyetaan rasmi, badan itu bimbang sekiranya Anders akan menggunakan sesi pembicaraan itu untuk menyuarakan pandangan politik peribadinya yang ekstrem dan khuatir ia cara mudah untuk menyebarkan pandangan seumpama itu.

“Jika kita hidup di dalam masyarakat terbuka, perbicaraan kes seperti ini juga perlu dilakukan secara terbuka, kerana, ia memang sudah menyentuh kepentingan dan emosi setiap warga secara terbuka. Untuk khuatir bahawa Anders akan menggunakan sesi itu untuk menyebarkan pandangan politiknya, itu aneh sekali. Pihak pembicaraan sendiri sepatutnya mampu untuk mengelakkan itu secara bersemuka, kerana, masyarakat umum sendiri pastinya ada pendirian dan trauma yang dikongsi,” terangnya.

Yang saya faham dari kalimat itu adalah, jika Anders ingin menggunakan ruang perbicaraan itu untuk bersyarah dan menyebarkan pandangan politik far-right Nazisme-nya (yang menjulang tinggi White Supremacy), pihak pendakwa juga mempunyai gelanggang yang sama untuk menyanggah secara berdepan dan memperlihatkan bahawa pandangan seperti yang dianut Anders itu menyimpang. Dan masyarakat tetap menyimpan keinginan yang dalam untuk melihat perkara yang betul diletakkan di tempat yang sebatutnya. Memang, ia serampang dua mata. Kita tahu. Mereka tahu. Henning Mankell juga tahu.

Tetapi yang membuatkannya untuk menyuarakan pandangan itu hanyalah bertolak daripada keyakinannya kepada masyarakat di sana. Itu menarik sekali untuk di dalami.

Norway dan Nazisme. Penemubual tidak dapat mengelak untuk bertanya kepada Henning tentang pangarang ulung Norway yang seorang ini; Knut Hamsun. “Dia seorang pengarang, dan di dalam riwayat hidupnya dia juga pada masa sama mengkagumi Nazi, memuja Hitler dan Goebbles. Apa pandangan anda tentang Hamsun?”

Henning, dengan tenang menjawab; “Knut Hamsun merupakan seorang pengarang yang hebat. Dia menulis novel-novel yang menakjubkan. Dan, tulisan-tulisannya di dalam novel yang ada itu sebenarnya begitu kontradik sekali dengan pendirian politiknya. Dia menciptakan kontradiksi yang aneh di dalam diri. Yang ditulisnya itu tak ada kena-mengena dengan idea-idea Nazi, misalnya. Tidak di dalam novel-novelnya. Tetapi, kerana pandangan dan penyatuannya dengan Nazisme, dia akhirnya kehilangan diri sendiri. Tetapi, dia tetap saja seorang pengarang yang diingati.”

Penulis-penulis yang tampil yakin ketika berdepan dengan isu-isu serius seperti ini sering mengingatkan kita tentang betapa mulianya kerja-kerja menulis dan berfikir. Kerana satu sebab; ia tanpa sedar, adalah terlalu sukar untuk dilakukan.



Friday, August 05, 2011

GM



Jakarta seperti biasa, selalu cemburu dengan keselesaan. Selalu menyambut dengan kesesakan. Empat hari di kota itu hujung Julai lalu dengan sebahagian besar masa dihabiskan di Jakarta International Expo, Kemayoran untuk Pameran Permotoran Antarabangsa Indonesia 2011.

Di waktu-waktu senggang yang tak banyak, saya berjalan seorang, merayap dicelah-celah segi tiga emas kota itu mencari entah apa-apa. Sabtu pagi ada Muslimah berdemonstrasi di bulatan tugu tengah bandar. Ahad bagi bulatan sama ditutup separuh jalannya; orang berduyun datang ke pasar pagi (yang penuh dengan makanan) dan keriuhan geng basikal yang menghurung tempat sama.

Saya lari ke Grand Indonesia, menangguk beberapa judul di toko buku Gramedia yang cukup besar (tetapi pilihan buku-bukunya juga tak banyak yang menarik perhatian). Antara yang angkut sekali tempoh hari adalah tiga judul buku baru dari Goenawan Mohamad; Tokoh + Pokok, Indonesia/Proses serta Marxisme Seni Pembebasan.

Kalau mengikut tulisan dikulit belakang semua buku itu, 2011 ini bakal menyaksikan penerbitan 'mega' buku-buku beliau. 12 judul direncana mengikut tema khusus, termasuk tiga yang disebut tadi. Selain itu, sembilan jilid Catatan Pinggir akan turut diterbitkan, sekali dengan sebuah buku lagi, 70 Sajak. Penerbitan ini adalah bersempena dengan ulangtahun ke-70 beliau.

Membaca tulisan-tulisan GM di malam-malam sunyi Ramadan adalah sesuatu yang menenangkan. Tak ada marah-marah kepada orang, tak ada caci-maki untuk mempotret diri sebagai malaikat dikala semua orang lain itu seolah-olah pesalah dan pendosa yang tak terampunkan. Nadanya akan mengingatkan kita bahawa semua kita ini masih lagi manusia, belum lagi dinaik darjat ke mana-mana.


Monday, August 01, 2011

Surat buat sang perindu



(untuk Eva Gabrielsson)

Selepas setahun
Aku menunggu panggilan yang tak kunjung tiba
Nombornya ada di dalam telefon genggamku
Aku menunggu sekuntum senyum yang tak pernah di dapat
Gambarnya tergantung di dindingku
Aku menunggu belaian yang tak pernah dirasakan
Jaketnya di dalam almari
Tetapi aku mendengar suaranya menjawabku
Ketika kerinduan ini semakin parah

- Eva Gabrielsson untuk Stieg Larsson, 2005.


Eva,

Menjelang pagi pada suatu hari di tahun 2010, saya menuliskan sepucuk surat yang saya tahu tak akan mendapat kiriman balas. Saya tujukan surat itu kepada Stieg Larsson, menghujani beliau antara lain, dengan banyak soalan tentang kisah hidupnya yang minta dijawab. Dia tentu sekali tak akan membalas surat itu. Pertama, kerana saya menulis di dalam bahasa Melayu – yang tidak dia fahami. Kedua, kerana dia terlebih dulu mati pada 2004. Dan, kerana cukup sedar tentang hal itu, saya biarkan tulisan berkenaan terapung di ruang maya.

Dari jauh, saya mengkagumi kisah dia. Saya membaca – buku dan rencana – yang banyak bercerita tentang dirinya. Tetapi, tetap saja saya tidak menemukan jawapan, atau paling kurang gambaran yang lebih indah tentang sosok itu.

Di Kuala Lumpur, awal 2011, saya sempat bertemu seorang teman senegara dengan kamu berdua. Maria, kalau saya tak silap mengingat namanya, berasal dari Sweden. Dia berkhidmat untuk pengilang jentera berat dari negara kamu, Scania. Ketika waktu senggang dan sebelum berpisah, kami berbual tentang The Millenium Trilogy. Dia tak menyangka ada orang disebelah dunia sini yang mengambil tahu banyak hal tentang penerbitan itu. “Buku-buku Stieg adalah terbitan paling berjaya, setelah di Sweden sekian lama tidak berdepan dengan kejutan penulisan skala besar seperti itu,” kurang lebih kata Maria.

Saya juga sempat menyebut tentang buku kamu Eva, yang ketika itu khabarnya sedang disiapkan. Dan Maria juga begitu, tak sabar menanti cerita-cerita dari kamu tentang Stieg Larsson. Melihat raut wajah Maria, yang mungkin dalam lingkungan usia 50an, saya teringatkan kamu. Tentunya dari gambar-gambar kamu yang berselerak di internet. Kerana itu sajalah pertemuan dan perkenalan saya yang paling hampir dengan Sweden setakat ini, dengan orang-orangnya yang tak akan melucutkan nama Stieg Larsson dari ingatan bangsanya, saya fikir.

Dan ketika menuliskan surat ini, saya baru saja selesai membaca catatan memoir kamu tentang dia; “There Are Things I Want You To Know” About Stieg Larsson and Me. Dan, seperti yang saya dan Maria jangkakan, kamu banyak menjawab soalan-soalan yang sebelum ini hanya terbit sebagai spekulasi. Kamu menjelaskan, dengan nada dan gaya ringkas, tentang seorang yang namanya kini begitu besar; saya harap nama itu tak akan menjadi beban kepada kamu Eva, atas satu sebab – cinta.

Terima kasih kerana menuliskan setiap perkara yang kamu dan Stieg lalui, sepanjang 32 tahun kalian hidup bersama, walaupun dalam tona suara paling ringkas. Buku kamu banyak menjelaskan tanggapan-tanggapan saya sebelum ini terhadap dia. Saya belajar banyak perkara tentang proses penciptaan trilogi yang menggoncang itu, bukan saja di dalam konteks Sweden semata-mata, tetapi seluruh dunia umumnya.

Tulisan kamu Eva, melangkau jauh dari jangkaan awal saya sendiri. Dengan hanya membaca tulisan ini saja, saya dapat merasakan betapa hubungan intim – atau cinta – kamu terhadap Stieg yang berusia 32 tahun itu terus mekar dan mendalam, tidak mati bersama pemergiannya. Tiga malam berturut-turut saya membaca setiap baris kata dan ayat yang kamu tulis dengan berhati-hati. Saya tak mampu untuk berenggang dengannya, kerana emosi yang kamu alirkan itu cukup bertenaga. Buku ini adalah paksi pertautan imajinasi saya dengan kamu untuk tiga hari itu – tanpa kamu mengetahuinya.

Bagaimana dihari matinya Stieg, dia mendaki tangga untuk sampai ke tingkat tujuh bangunan pejabat majalah Expo hanya untuk kemudiannya sesak nafas dan diserang sakit jantung. Bagaimana, dihari itu juga, kamu berada jauh dari Stockholm, dan tidak sempat bersamanya ketika dia menghempus nafas terakhir. Tentang bagaimana kamu mendengar daripada seorang doktor, bahawa Stieg melafazkan ini; “Kamu mesti maklumkan Eva Gabrielsson”, sejurus sebelum dia tidak sedarkan diri dan pergi untuk selamanya. Saya cuba membayangkan, betapa pentingnya kamu bagi Stieg, sehingga ketika sisa-sisa nyawanya juga nama kamu yang disebutkan. Hanya kamu Eva, bukan The Millenium Trilogy, bukan keluarganya, bukan buku-bukunya dan bukan seluruh dunia. Hanya Eva Gabrielsson!

Ketika saya membaca tulisan kamu Eva, saya bersendirian di rumah. Ruang menginap saya tak jauh beza daripada apa yang kamu huraikan di dalam buku ini. Saya membaca dengan hati yang sebak tentang kerinduan kamu terhadap Stieg, tentang bagaimana kamu bila-bila masa saja boleh di halau keluar oleh keluarganya yang menuntut setiap harta peninggalan Stieg. Setiap hari sepanjang 32 tahun itu kelibatnya selalu disamping kamu, suaranya yang selalu menyapa kamu di kamar kerja di rumah. Setiap susah senang, masalah dan gembira semuanya yang dulu dikongsi, tiba-tiba lenyap. Dan ruang itu menjadi seperti lubang hitam yang menyedut setiap kebahagiaan yang pernah kamu kongsikan.

Membaca setiap situasi emosi kamu selepas kematian Stieg membuatkan saya tersangat merindui suri hidup saya yang sejak beberapa hari ini tidak berada di rumah atas urusan kerja. Dan, ketika dia sampai di muka pintu nanti, saya akan menyambutnya dengan pelukan erat dan ucapan terima kasih sementara saya masih berpeluang untuk melakukannya. Tanpa dia perlu tahu sebabnya; kerana saya membaca buku kamu Eva, yang menyebut dengan terperinci tentang cinta dan sebuah kehilangan. Entah mengapa, saya seperti memahami perasaan kamu.

Saya kini faham mengapa kamu dan Stieg tidak mahu secara rasminya berkahwin. Mengapa pada setiap pendaftaran, bil-bil dan alamat rumah, hanya nama kamu saja yang ada. Saya juga faham mengapa kamu menyintainya sepenuh nyawa, dan berasa seperti separuh jiwa kamu hilang selepas dia mati. Untuk novel trilogi itu juga, saya faham mengapa ia begitu fenomena; Ia bukanlah siri novel yang ditulis oleh seorang pengarang hebat (seperti yang kamu nyatakan, Stieg ditolak untuk menjadi seorang jurnalis sepanjang hidupnya kerana dia dikatakan ‘tak boleh menulis’), yang hanya perlu duduk di dalam bilik dan bermain dengan imajinasinya sendiri untuk menghasilkan novel. Yang terkandung di dalam trilogi itu adalah kerja keras yang panjang, seperti yang kamu nyatakan, yang sebenarnya merupakan cerminan sebuah kegilaan perjalanan hidup sepanjang 32 tahun kamu bersamanya, kajian-kajian tentang strata sosio-politik Sweden, penentangan terhadap perkauman dan setiap sesuatu yang pernah terjadi di dalam hidupnya. Ketika ini saya hanya mampu membaca dan bersetuju dengan kamu Eva, dan turut sama merasa kehilangannya walaupun saya tak sempat mengenalinya seperti kamu mengenalinya.

Dan, saya kira, kamu juga seorang yang baik hati dan tabah. Ketika ahli keluarga Larsson yang kamu kenali selama menjadi teman hidup Stieg merampas semuanya daripada kamu (kerana tiada dokumen sah perkahwinan), kamu masih mampu bertahan. Kamu masih mampu melawan. Dan, paling penting, kamu masih mampu bersua muka dengan mereka untuk berbincang. Sikap itu bagi saya terlalu mulia, kerana di tempat kami, hal-hal perebutan harta peninggalan si mati sering berakhir dengan caci-maki dan pecah-belah, tak lagi bertegur sapa di kalangan ahli keluarga.

Selebihnya, saya hanya berdoa untuk kebahagiaan dan kesejahteraan kamu. Teruskanlah perlawanan kamu (www.supporteva.com) untuk mendapat hak terhadap harta-harta intelektual kekasehmu itu daripada keluarganya, yang tak langsung pernah diberikan perhatian oleh Stieg seperti perhatiannya terhadap kamu ketika hidupnya.

Dan, usahakanlah dengan cara yang terbaik penerbitan siri keempat novel berkenaan. Selepas membaca memoir kamu dan melihat bagaimana proses penulisan di antara Stieg dan kamu berlangsung, saya fikir kamu adalah satu-satunya individu yang layak dan berhak untuk menghabiskan novel berkenaan. Semoga keluarga Larsson tidak berlaku kejam lagi ke atas kamu.

Sekian dulu,
Hafiz Hamzah – Kuala Lumpur.