Monday, June 30, 2008

juta-juta

Ke mari kamu-kamu! Duduk apa kat rumah tecangok tak tentu hala!

Wednesday, June 25, 2008

pendapatan rendah


The Sun, 24 Jun 2008. Siapa lagi ahli kelab ini?

Wednesday, June 18, 2008

hal-hal kesihatan dan kewajipan terdampar


Buku yang berjudul ‘Stupid White Men (2001)’ adalah hasil kerja pertama Michael Moore yang membuatkan namanya mula kerap disebut-sebut di rantau ini. Sesuai dengan semangat liberal dan terbuka di Amerika Syarikat, Moore menghentam apa yang lihatnya sebagai pengaruh elit kulit putih – terutama dari negaranya sendiri – yang lebih banyak ‘merosakkan’ daripada membawa ‘perkara-perkara manfaat sejagat kepada dunia’ walaupun dari pandangan mata biasa, perkembangan di sana seolah membawa banyak kebaikan. Namun bagi Moore, itu semua kosmetik.

Moore memperolokkan Presiden George W. Bush sehingga kepada tahap humor paling tinggi, yang jika perkara sama dilakukan di sini sudah dianggap keterlaluan.


Bidang penulisan dan juga filem menjadi pentas utama Moore meresapi masyarakatnya. Dan dengan kelantangan humor beliau, dia lantas dilihat sebagi seorang aktivis yang aktif dan benar-benar bersuara untuk masyarakat kebanyakan. Antara sisi paling keras dia bersuara adalah tentang penghantaran tentera Amerika ke rantau Asia Barat, termasuk Iraq waktu itu.

Dalam maksud lain, sisi pandangan Moore adalah bercanggah dengan apa yang mahu dipertontonkan oleh pemerintahnya kepada warganya. Dan kehadiran Moore benar-benar mengganggu kerana dia juga mahu orang berkongsi sudut penglihtannya berkaitan isu-isu besar yang berselubung di dalam kain sarong Amerika Syarikat. Untuk ini juga, Presiden Bush menyuruhnya untuk ‘mencari kerja yang betul.’

Dua filem dokumentari terawal Moore, jika kita masih ingat dan tahu, banyak memaparkan isu sensitiviti Amerika. Di dalam Bowling for Columbine (2002), Moore menyelami insiden pembunuhan pelajar di Sekolah Tinggi Columbine, Colorado oleh dua remaja yang digelar ‘trenchcoat mafia’ pada tahun 1999. Kemudian insiden 9/11 seperti memberi rahmat kepada Moore. Sekali lagi beliau membikin filem dokumentari – dengan teori dan temuramah – bagi menyangkal versi rasmi penceritaan malapeteka itu di dalam filemnya, Fahrenheit 9/11.

Dalam dokumentari arahan terbarunya – Sicko – Moore masih mengekalkan momentum aktivisme yang kuat. Kini, Moore melalui pendekatan dokumentari yang sama menyelongkar penipuan tentang apa yang disifatkan sebagai industri kesihatan di sana. Moore memulakan filem ini dengan kepedihan realiti. Para pemegang insurans kesihatan dengan sengaja ditolak permohonan mereka untuk mendapat dana bagi tujuan pembedahan, misalnya. Apa yang menjengkelkan, gergasi-gergasi korperat yang kononnya menjaga kebajikan kesihatan rakyat inilah dengan sikap tidak bermaruah menafikan semua janji dan tanggungjawab-atas-kertas dengan macam-macam alasan. Dan mereka ini mendapat sokongan pemerintah – atau orang berkuasa.

Moore merapati pihak-pihak teraniaya ini. Dia mewawancara dan melibatkan semua koresponden ini dalam Sicko. Kemudian, Moore bersama sekumpulan pesakit yang memerlukan perhatian ke Kem Tentera US di Guantanamo Bay. Di sana, seperti yang diketahui Moore ada menempatkan kelengkapan kelas satu bagi tentara Amerika dan tahanan. Tanpa protocol, dengan sebuah bot kecil mereka mendekati tebing Guantanamo. “Kami warga Amerika. Kami ke sini untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan. Tidak perlu layanan lebih, cukup sekadar sama dengan apa yang penghuni kem ini terima.” Suara Moore dari corong hailer tidak bersambut. Bunyi siren kecemasan bergema dan mereka pulang dengan hampa.

Destinasi seterusnya – Cuba. Mereka mendarat dan agak mengejutkan Moore sendiri, mereka disambut dengan mesra oleh warga negara komunis itu. Tambah mengharukan lagi, pemeriksaan kesihatan yang mereka terima itu – sebagai orang luar dan warga negara seteru politik Cuba – adalah percuma!

Kaget dengan ‘penemuan’ ini, Moore menjelajah ke Eropah pula. Di Perancis, Moore terkejut lagi dengan maklum balas yang diperolehnya. Industri kesihatan ditanggung pemerintah secara total dan warga negara termasuk juga pemastautin layak menerima skim kesihatan yang juga percuma!

Dalam satu wawancara dengan sebuah keluarga kecil di tengah Perancis, Moore bertanya dengan perbelanjaan dan kos sara hidup mereka. “Wang kami dibelanjakan untuk makanan dan sayuran serta sewa rumah. Selebihnya kami gunakan untuk melancong.” Di sebuah lagi rumah, seorang ibu dan anak kecil yang sedang merengek didekati Moore. Seorang lagi wanita lain masuk, dan Moore bertanya siapakah dia. Jawapannya, perempuan itu tadi ialah ‘pembantu rumah’ yang dihantar oleh pihak pemerintah untuk membantu si ibu yang mempunyai bayi kecil untuk menguruskan rumah tangga, termasuk memasak – dan tiada caj langsung untuk si ibu itu!

Moore resah dengan penemuan itu. Beliau sedih dengan nasib orang di Amerika Syarikat yang selalu bermegah diri. Mereka dieksploitasi, ditipu dan dipermainkan harapan dan impian mereka untuk hidup tenang. Semua perkara ini dilakukan oleh pihak yang sepatutnya menjaga kepentingan mereka.

Dan kita, selepas menonton filem dokumentari ini akan ditinggalkan dengan satu soalan, bagaiamana sebuah negara komunis dan sosialis lebih mulia layanannya kepada masyarakat mereka berbanding satu negara yang kononnya gah maju dengan ide-ide bebas? Kemudian, disusuli pula dengan percikan ini; di Malasysia pula bagaimana layanan yang kita terima? Negara kita juga kaya.

20 Mei 2008

Monday, June 16, 2008

'the malays' selepas 3 dekad

14 Jun 2008

Petaling Jaya, – Bekas tahanan ISA dan juga figura pemikir ulung tempatan, Dr. Syed Husin Ali minggu lalu telah melancarkan edisi baru bukunya yang berjudul ‘The Malays – Their Problems and Future’.

Buku tersebut yang sebelum ini pernah menemui khalayak sekitar 30 tahun dulu kini diberi semakan semula oleh beliau dan diterbitkan oleh penerbit The Other Press, Kuala Lumpur.

Syed Husin menyatakan bahawa, walaupun buku ini ditulis dalam tempoh tahanan beliau di Kemunting sekitar 1970an, namun kandungannya masih lagi tidak banyak berubah – seputar permasalahan masyarakat Melayu dan persekitarannya. Dengan ini, menurut beliau sendiri, buku yang sama masih lagi mempunyai tapak dan relevansi yang kukuh untuk diperkenalkan dan direnung semula.

Dipasarkan dalam kuantiti terhad dengan kulit tebal buat masa ini, pihak penerbit juga menyatakan yang buku ini bakal terbit dalam versi ‘paperback’ serta edisi Bahasa Malaysia juga akan turut menemui pembaca dalam masa terdekat.

Majlis pelancaran berkenaan diadakan di Hotel Armada, Petaling Jaya dan disempurnakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara ironinya juga merupakan teman ‘tahanan’ beliau di Kemta ketika itu.

Di dalam ucapan pembuka, Dr, Syed Husin mengimbau kembali kenangan pahit manis ketika ditahan dan menjelaskan dengan agak terperinci tentang apa yang disifatkannya sebagai masalah masyarakat Melayu dan mahu atau tidak, ia menyingkap sama kritikan terhadap dasar pemerintahan waktu itu dan berlarutan sehingga hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan Dr. Syed Husin Ali sebagai intelektual publik tempatan yang mengiringi nama-nama besar lain seperti almarhum Prof. Syed Hussein Alatas, almarhum Rustam A. Sani, Prof Naquib Alatas dan ramai lagi angkatan berkenaan yang mahu bergelut dengan masalah setempat dan masyarakat sekeliling.

Sama seperti buku Mitos Peribumi Malas tulisan Dr. Syed Hussein Alatas, buku ini juga boleh dianggap sebagai sebuah lagi kajian dan renungan yang menjawab kepada magnum opus kelompok UMNO yang pernah mengutarakan isu sama dari pandangan berbeza dengan dua buku lain iaitu Dilema Melayu (Dr. Mahathir Mohamad) dan juga Revolusi Mental (Senu Abdul Rahman) dulu.

Seperti yang dimaksudkan oleh pengarangnya, semoga buku ini dapat membuka lagi sisi baru kepada pembentukan sosial masyarakat Malaysia yang baru.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, M. K. Rajakumar serta barisan tokoh pemikir serta penulis-penulis besar negara.

...

Wednesday, June 04, 2008

Wanita-Lelaki


Beberapa waktu kebelakangan ini, ada teman-teman yang mengeluh. Gusar dengan tingkah wanita. Renyah dengan gelagat teman-wanita atau teman-lelaki masing-masing, membebel hal-hal rumah tangga dalam kain dan kemuncaknya diiringi oleh kisah-kisah cerai berai yang langsung tak berseni. Ego.

Di dalam kancah sebegitu, kita kemudian ditemukan semula dengan apa yang diungkap oleh Kahlil Gibran:

Hal-hal cinta:

“When love beckons to you follow him,
Though his ways are hard and steep.
And when his wings enfold you yield to him,
Though the sword hidden among his pinions may wound you.”
- On Love, The Prophet

Dengan ini kita faham, untuk bermain dengan api, jangan kecoh bila melecur. Bila bermain pisau, jangan radang bila tertusuk. Dan, bila berani bermain cinta, jangan takut untuk kecewa. Juga, bersedia untuk diratah waktu dan kelapangan kepala.

Langsung, dia turut menyambung renungan itu tentang orang berkahwin dan rumah tangga – masih dengan nyawa perhubungan dua makhluk unik Adam Hawa ini. Katanya:

“You were born together, and together you shall be forevermore.
You shall be together when white wings of death scatter your days.
Aye, you shall be forgotten even in the silent memory of God.
But let there be spaces in your togetherness,
And let the winds of the heavens dance between you.
Love one another but make not bond of love:
Let it rather be a moving sea between the shores of your souls.
Fill each other’s cup but drink not from one cup.
Give one another of your bread but eat not from the same loaf.
Sing and dance together and be joyous, but let each one of you be alone.”
- On Marriage, The Prophet

Ia rencam dan rakus, kata-kata itu. Teman-teman, bertenang. Selam dan cari dalam-dalam. Tentang dengan berani dan bukan kecut menunduk. Dan, kerana kalian sudah membuat pilihan, jangan mengeluh.

- 4 Jun 2008

Monday, June 02, 2008

aku ini binatang jalang


Aku Ini Binatang Jalang
Chairil Anwar
PT. Gramedia Pustaka Utama
1990
.
Chairil Anwar meninggalkan satu sajak yang secara peribadi sangat dalam dan lirih:

“bukan kematian benar menusuk kalbu,
keridlaanmu menerima segala tiba,
tak ku tahu setinggi atas debu,
dan duka maha tuan bertakhta”

Kata-kata itu untuk nendanya yang pergi terus. Dan ketika kita selamanya juga ditinggalkan Chairil yang waktu itu matinya dalam kepedihan dunia, kata-kata yang sama kembali mengingatkan manusia lain kepada sang penyair besar ini.

“Chairil tidak puitis,” kata setengah-setengah orang itu. Perlu apa puitis untuk mengungkap rasa pedih, suka-duka dan jijik yang tak langsung mahu dipandang orang?

Dia adalah satu manusia yang sangat bersifat peribadi, tak boleh dikongsi-kongsi. Pengalamannya, pandangannya, tulisannya, hidupnya, penyakitnya… itu personal. Dengan itu, sajak-sajaknya juga sangat personal. Baca ulang-ulang dan tentunya masih belum dapat menangkap. Baca lagi. Hanyut lagi. Ragu lagi. Sampai kita faham.

Aku Ini Binatang Jalang – sebuah koleksi lengkap (mungkin) sajak-sajak yang pernah Chairil tulis. Ada juga yang datangnya dari pelbagai versi lain-lain. Semua kata-kata itu akan terus melayang dan memburu. Tak hilang. Kerana kuat.
.
Membacanya akan membuat kita terikat dengan kejadian-kejadian yang menginspirasikan Chairil untuk mencoret kata-kata luka yang terus, akan menyebabkan kita mahu berada di sisinya untuk mendengar kisah itu dari bau mulutnya sendiri.
.
-2 jun 2008