Monday, January 14, 2008

fahmi reza: menjejak sejarah yang dilupakan

28 Februari 2004. Fahmi Reza berlegar di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama ramai lagi orang awam yang turut bertandang ke sana. Ada bersamanya ialah poster dan beberapa material grafik lain yang direka sendiri untuk tujuan perhimpunan aman membantah keganasan polis Sabtu itu.

Dia kemudiannya bergerak ke sebatang pokok untuk mengikat kain rentang yang ada. Tali untuk mengikat penjuru hujung kain berkenaan terlebih panjang. Dia mengeluarkan pisau kecil pemotong kertas (paper cutter) dari dalam beg sandang yang dikendong untuk memotong tali tadi. Tak berapa lama selepas bertinggung ke bawah, ada jerkah kuat kedengaran seperti ditujukan ke arahnya, "Pisau! Pisau!".

Dalam beberapa saat saja, ada tangan lain yang menggenggam dan menepis tangannya sehingga pisau itu jatuh. Agak normal, reaksi apabila diserang begitu tentu saja akan dibalas dengan pertentangan - resistan. Tambah pula yang menyerang itu hanya berpakaian biasa yang kemudiannya mereka ini dikenal pasti sebagai polis 'plain-clothed', polis berpakaian preman.

Dia dikasari, mungkin juga ada penumbuk yang terlepas sehingga pergelutan tadi menyebabkan kaca matanya pula tercampak. Dia melawan lagi, tetapi kali ini untuk menyelamatkan kaca mata dari atas jalan. Polis 'plain-clothed' yang tadinya hanya seorang, ketika itu sudah bertambah. Semuanya mengepung Fahmi dan menghalangnya dari bergerak. Dia ditangkap dan digari secara kasar sehingga t-shirt hitam yang dipakainya koyak-rabak.

Kredit foto ini: Colin Nicholas

Dia adalah orang pertama ditahan hari itu, yang pertama juga menghuni trak Black Maria polis. "Masa dalam trak, aku tak boleh nak gambarkan perasaan aku. Macam-macam bermain dalam kepala otak aku; apa jadi lepas ini, bila aku boleh keluar dan macam-macam lagilah," jelas Fahmi.

Seramai 17 orang ditahan bersama Sabtu itu dan mereka dibebaskan selepas beberapa jam disoal siasat.

Itu adalah antara rentetan peristiwa yang mungkin memacu semangat pengarah muda ni - yang baru berusia 30 tahun - untuk mendedikasikan usaha dan tenaga sekitar isu-isu sejarah yang politikal sifatnya seperti yang terpapar di dalam filem pendek yang meraih 'Filem Hak Asasi Paling Menyerlah' (Most Outstanding Human Rights Film) ketika Freedom Filmfest 2007 tak lama dulu, 10 Tahun Sebelum Merdeka.

Saya sempat berbual santai dengan dia menyentuh perihal filem serta berkenaan pandangan serta pengalamannya sendiri sebagai seorang rakyat Malaysia dalam konteks generasi yang lahir selepas merdeka dan permasalahan yang dilihat.Di bawah adalah jawapan Fahmi untuk beberapa konteks yang dibicarakan berdasar kepada temubual tempoh hari - 5 Januari 2008 - di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur yang kemudiannya dihurai lanjut oleh beliau melalui emel.

Tentang '10 Tahun Sebelum Merdeka'

"Produksi filem 10 Tahun ambil masa lima bulan, dari April sampai September 2007. Tapi penyelidikan yang aku buat untuk cerita ni makan masa lebih kurang dua tahun sebelumnya. Aku banyak baca buku-buku sejarah pra-merdeka dan buku-buku memoir yang ditulis oleh pemimpin-pemimpin golongan politik kiri macam Pak Sako, Philip Hoalim Sr, Shamsiah Fakeh, Majid Salleh, Ibrahim Chik, Gerald de Cruz, Lim Hong Bee, A. Samad Ismail dan lain-lain. Antara buku pertama yang jadi inspirasi untuk filem 10 Tahun ialah Merintis Jalan ke Punchak oleh Ahmad Boestamam terbitan tahun 1972 yang aku jumpa di Perpustakaan Negara. Dari sumber-sumber inilah minat aku untuk mengkaji semula sejarah perjuangan kemerdekaan mula berkembang.”

“Dari pembacaan aku, ada banyak kisah dalam sejarah politik negara kita yang masih banyak orang tak tahu. Aku sendiri terkejut bila aku dapat tahu kisah-kisah ni. Ini the other side of the story. Bukan sejarah rasmi tulisan pemerintah yang kau baca dalam buku teks kat sekolah, tapi sejarah dari perspektif rakyat. Sejarah rakyat jelata yang berjuang menentang penjajahan. Jadi, aku bikin dokumentari 10 Tahun sekadar nak merekodkan sebahagian dari kisah-kisah ni dan berkongsi dengan semua.”

“Filem 10 Tahun ni sebenarnya cerita yang simple pasal Hartal Se-Malaya 1947. Sebab target audience aku remaja dan budak-budak muda, aku kena pastikan cerita ni tak membosankan. Aku sebenarnya bukan ada pengetahuan dan pengalaman bikin filem. Ini percubaan pertama aku. Main hentam saja. Aku beli kamera video, install editing software, baca buku-buku panduan bikin filem dan belajar sendiri. Betul-betul DIY (Do-It-Yourself). Tapi yang menggerakkan aku ialah passion untuk sampaikan cerita ni. Ini bukan cerita aku, ini cerita rakyat yang terbabit secara langsung dengan perjuangan zaman dulu. Aku hanya datang, temuramah, rakam dan susun untuk dipersembahkan pada umum saja.”

Muzik punk dan anak muda

“Kalau kau tonton filem 10 Tahun, kau akan perasan aku banyak guna lagu-lagu punk sebagai soundtrack. Muzik punk memang antara benda penting dalam hidup aku. Melalui muzik punk lah aku dapat kesedaran politik waktu muda dulu. Mesej-mesej politikal yang diselitkan dalam lirik memang beri kesan yang mendalam terhadap pemikiran aku. Kalau nak rumuskan mesej utama yang aku dapat dari muzik punk… aku rasa ialah question authority dan think for yourself. Authority di sini bukan hanya bermaksud pemerintah, tapi lebih luas lagi… kalau nak kaitkan dengan konteks filem 10 Tahun, persoalkan pengetahuan sejarah yang diajar pada kamu masa sekolah dulu. Jadi lebih kritikal terhadap “ilmu” yang telah diprogram dalam kepala otak kamu dan mula berfikir sendiri. Think for yourself.”

“Satu lagi yang aku dapat dari muzik punk ialah budaya DIY. Ini antara pendorong utama aku buat filem 10 Tahun. Sebab aku fikir… kalau aku tak buat, siapa lagi nak buat? Nak tunggu Yusof Haslam atau Prof. Razak Mohaideen buat filem pasal sejarah kiri? Jadi aku fikir, kenapa tak do it yourself? Bikin sendiri lah. Jadi aku pun buat lah. And the rest is history…”

Sambutan orang ramai

“Aku memang tak sangka sambutan hebat yang aku dapat dengan filem 10 Tahun. Liputan media pun boleh tahan, walaupun media Bahasa Melayu sampai sekarang langsung tak beri ruang. Aku fikir teknologi juga mainkan peranan dalam hal ni. Filem 10 Tahun ni aku share di Youtube dan Myspace, jadi sesiapa yang ada komputer dan internet boleh tonton secara percuma. Dan orang ramai boleh download filem ni secara percuma dari blog aku (http://10tahun.blogspot.com/). Mendemokrasikan informasi aku fikir… sebab aku percaya idea, ilmu dan maklumat tak patut di hakmilik dan di kawal, tapi patut disebarkan secara percuma untuk semua. Dan sekarang dengan adanya teknologi internet, perkara ni tak mustahil…”

Projek selepas ini

"Aku akan sambung projek filem ini kalau tak ada aral. Dalam 10 Tahun, cerita tu tamat selepas Hartal dan pengisytiharan darurat oleh penjajah British pada bulan Jun 1948. Jadi aku ingat nak sambung cerita pasal apa yang berlaku dari tahun 1948 sampai merdeka 1957. Cerita yang kau tak pernah dengar sebelum ni…”

Buat ketika ini, dia sedang membaca banyak buku-buku sejarah mengenai peristiwa darurat. Buku The War of the Running Dogs - The Malayan Emergency 1948-1960 tulisan Noel Barber dan Perang Anti-British dan Perdamaian tulisan Abdullah CD tentang zaman darurat di Malaya sedang dibedah Fahmi Reza.

Sunday, January 06, 2008

komik

Sabtu lalu, di meja Fahmi Reza, saya membeli sebuah buku yang jarang-jarang akan saya beli; komik. Tapi ini bukan yang biasa-biasa, ini komik sejarah Malaya - Di Mana Bumi Di Pijak.

Di dalam prakata buku ini, Amir Muhammad menulis tajuknya begini; Sejarah komik yang bukan jenaka (ataupun saya percaya terjemahan ini sepatutnya berbunyi Komik Sejarah Yang Bukan Jenaka, agaknya).

Buku nipis yang asyik ini ditulis pada tahun 1979 oleh sekumpulan pelajar-pelajar universiti di Malaysia dan Singapura ditengah-tengah gelombang aktivisme pelajar ketika itu (paling selalu dikenang adalah gelombang 1974). Mereka ini hanya dikenali dengan nama Grassroots.

Ia bukan buku baru. Versi Bahasa Melayu yang pertama diterbitkan olen INSAN pada 1987. Kini Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) menyambung lagi usaha penerbitannya dan membolehkan siapa-siapa yang berminat untuk membelek komik sejarah ini lagi.

Bagi yang malas membaca - apatah lagi dalam konteks dan subjek sejarah - buku ini mungkin sesuai untuk anda bermula. Ataupun, jika ia masih gagal untuk menarik minat dan nafsu ingin tahu anda, bayangkan saja anda sedang membelek komik Shin Chan!
---
* Dikesempatan yang lain nanti, saya akan tampalkan teks sembang-sembang saya dengan Fahmi Reza, pengarah muda dengan anak sulung bernama '10 Tahun...' di sini.