Monday, March 03, 2008

intelektual masyarakat membangun (III)

Bebal dalam maksud asalnya bermaksud bodoh, malas dan keras kepala. Bebalisme pula walaupun masih membawa semangat yang sama, lebih cenderung kepada sikap kolektif seperti ketidaktahuan, bersenang-senang, lemah akal dan sebagainya. Ia pula bukanlah berdiri sebagai ‘takdir’, tetapi sebenarnya dirancakkan oleh sikap masyarakat itu sendiri. Ia juga tidak hadir sebagai satu ideologi.

Beliau menjelaskan secara terperinci tentang golongan ini, yang katanya lebih mudah untuk menular di dalam masyarakat membangun. Tiga ekstrak pengamatan utama beliau ke atas golongan ini; pertama – ‘bebalisme mempunyai ciri atau sifat mengharapkan orang lain percaya kepada apa yang dikemukakannya tanpa memberi alasan atau penjelasan apabila merujuk kepada pokok permasalahan yang berada di luar jangkauan penerimaan biasa’. Kedua, bebalisme ‘tidak mempunyai kecintaan kepada hujah yang tertib dan rasional serta tidak menaruh penghargaan kepadanya’. Terakhir ialah ‘bebalisme tidak mempunyai kemampuan untuk menilai masalah secara kontekstual, mendalam dan sinambung – tidak dapat melihat hutan kerana pohon-pohonnya.’

Meneliti pemerhatian dan penghujahan beliau di dalam bab-bab awal ini sudah cukup terang hamparan masalah yang mahu diketengahkan dan sekaligus terkandung kekecewaan yang dalam penulisnya. Di dalam bab lain, beliau banyak menghuraikan lagi peranan-peranan, ciri serta fungsi intelektual ini. Ia berkisar kepada permasalahan yang sama tetapi yang paling utama adalah bagaimana untuk berdepan dan menawarkan penyelesaian kepada persoalan yang dilontarkan.

Selepas 31 tahun ia ditulis, kelibat individu yang seperti digambarkan masih lagi kelihatan. Golongan professional yang tumpul pemikiran, suasana debat parlimen yang mengarut dan tidak teratur langsung, mahasiswa yang lemah intelek, pegawai kerajaan yang tiada fungsi di dalam masyarakat melainkan hanya sebagai pekerja kerajaan yang tiada daya saing dan sebagainya. Kini, cabaran dan permasalahan yang dibangkitkan dalam buku ini semakin getir kerana masyarakat yang ada hari ini masih lagi mahu berada ditakuk lama dan terus mendabik dada dan berbangga dengan keadaan ini – selepas 31 tahun!

Saya sendiri, sebagai seorang individu dari corong waktu yang berbeza dari beliau berasa sungguh kerugian kerana tidak berkesempatan menghayati dan bergelumang dengan kerja-kerja ilmiah seperti ini lebih awal. Seharusnya juga ko-kurikulum di universiti dulu turut menyelitkan teks ini untuk dikaji dan dibahaskan oleh pelajar. Saya akan lebih menghargai ijazah yang diraih jika saya mampu untuk melihat perkara ini dalam silibus rasmi pengajian.

Beberapa teman yang lain – juga produk universiti pasca-milenium – turut sama terkapai-kapai mahu memahami konteks yang dibicarakan oleh Syed Hussein Alatas ini. Antara mereka yang saya agihkan salinan buku ini merasakan ia sesuatu yang berat untuk dihadam dan ditekuni. Ada juga yang mampu melihat permasalahannya, tetapi tidak mampu untuk merefleksi diri sendiri dan terus mencari salah orang lain. Saya kira, golongan muda hari ini tidak boleh lagi berpeluk tubuh berulit dengan ketololan yang diprogramkan. Teks ini tidak boleh lagi dipandang sepi dan momentum idea yang terkandung seharusnya dipanjangkan lagi. Paling penting, teks ini tidak patut dilupa, dilenyapkan atau dipandang enteng.

Dari satu sisi, jika teks seperti ini mampu dibahaskan oleh lepasan universiti – walaupun tahap teks ini tidak segah mana - dan dibaca, difikirkan serta diperhalusi oleh banyak lagi golongan, mungkin tidak ada lagi individu yang akan mengeluarkan komentar seperti yang pernah kita dengari daripada Zainuddin Maidin ketika ditemubual oleh stesen Al-Jazeera ketika kemuncak ‘Gelombang Kuning’ November tahun lalu.

Juga moga tiada lagi cadangan-cadangan mundur seperti yang terbaru diajukan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu menggantikan kerja-kerja Sasterawan Negara (SN) dengan karangan cinta picisan oleh Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid untuk silibus komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) sekolah menengah.

Saya mencoretkan cebisan ini dipetang 23 Januari 2008 sebagai tanda ingatan sempena ulang tahun pertama kembalinya almarhum Syed Hussein Alatas menemui Penciptanya. Semoga akan lebih ramai yang ‘mahu’ berperanan sebagai intelektual masyarakat membangun di Malaysia.
- END-

No comments: