Wednesday, April 16, 2008

larung

Larung
Ayu Utami
Kepustakaan Populer Gramedia
2002

Larung bermula dengan kegelapan. Dalam bayang-bayang igau seorang realis, ada perencanaan mahu berbunuhan. Ada rasa yang mahu mengikat mati. Bukan untuk diri sendiri tetapi untuk seorang individu yang lain. Tetapi dalam fikiran menerjah kemungkinan-kemungkinan hitam itu, pertalian paling erat – zuriat dari satu darah yang bertali-kait antara mereka – menjadi benteng paling membingungkan. Bagaimana mahu mendepani itu? Tambah runsing bila ada suara-suara mendesak dari dalam kotak fikiran dan juga kehadiran hantu jembalang dalam susuk tubuh yang mengingkari perintah untuk manusia itu mati.

Di tanah yang lain, terhimpun kisah-kisah selingkar seks yang menjadi geromolan empat wanita – Yasmin, Cak, Shakuntala, Laila – masing-masing dengan keangkuhan, gelisah dan ego tersendiri. Berdirinya tema ‘seks’ itu bukanlah seperti yang tergambarkan oleh perlakuan zakar menusuk masuk vagina, tetapi ia lebih besar maksud dari itu. Ia melekat pada sisi realiti dan permasalahan yang dilalui oleh ramai orang dari mana pelusuk dunia pun jua – yang semua manusia tidak boleh berhipokrasi.

Ada perempuan yang hadir di dalam gugus-gugus perasaan seorang lelaki. Ada seorang isteri yang kini bahagia dan masih mampu terkenang kisah-kisah berahi lama dengan lelaki lain – yang masih mahu diulangi, ada kisah cinta yang cuba menyelam di lubuk paling dalam di mana kata ‘cinta’ itu berdiri dalam-dalam. Semuanya mahu merungkai satu-satu penglaman yang menyasyikkan, tapi dalam waktu-waktu yang ia juga menyeronokkan dan ada kala menyakitkan sekaligus meresahkan.

Sehinggalah rantai yang menyatukan mereka semua mula bertemu. Berlatarkan semangat-semangat imbauan kisah lampau, dengan warna-warni Indonesia – Jalan Diponegoro, Jakarta – pada rusuhan tanggal 27 Julai 1996 atau yang lebih mesra dikenali ‘Sabtu Kelabu’.

Kemudian, Saman – antara watak yang disebut – ketika ini banyak mengundang perhatian. Dia diburu pihak berkuasa kerana terlibat dalam usaha-usaha mempengaruhi massa untuk merusuh. Dia lari, diburu juga oleh ingatan kepada Yasmin. Diselamat dan menyelamat. Dan entah dari mana, nama penyair mereka yang besar - Wiji Thukul - yang hilang sehingga hari ini dan tersenarai di dalam senarai 'Daftar Orang Hilang' seperti diberi peringatan khusus dengan penuh tanda hormat.

Plot-plotnya sehingga ke hujung pengisahan, menjalar tanpa segan-segan. Keliaran imajinasi juga turut sama berdampingan dengan jalan ceritanya. Dalam senario yang ‘celaru’, kisah ini menemukan empat pemuda dalam situasi tegang – dihambat dan dikepung polis.

Panik, lolosan diri dan kemudian seperti menghampiri janji manis malam perawan untuk melangkah kepada sisi bebas, semua keindahan yang hadir dari dalam banyangan itu bertukar menjadi kusut dengan gejolak rasa yang hangar. Tengakaran yang semakin memuncak yang akhirnya mengundang rasuk sehingga mambawa kepada insiden tak sepatutnya – seorang ketua polis yang dihumban semula ke dalam sejarah silamnya merelakan emosi memenangi diri. Lalu, satu das tembakan di kepala menghantar mesej sunyi sepi untuk sekalian alam di ceruk itu. Sebuah kisah tragik untuk umat manusia.

16 april 2008

2 comments:

fadz said...

Pertama kali membaca sebuah ulasan yang jujur akan novel ini oleh seorang Malaysia.

Jelir said...

TQ! Boleh pass novel kamu utk dibelek2 nanti?