Monday, April 25, 2011

Tuesday, April 19, 2011

Kubur di Lembar Kertas-mu

Kamu menjemput-ku masuk ke
halaman rumah-mu.
Awan menyelubungi, tetapi kata-mu,
matahari yang sedang mencurah sinar.
Kata-kata dari lembar itu
kamu kuburkan.
Tetapi kamu masih menyanyi.
”Kertas ini kembali menghidupkan kelesuan
yang dulu bertandang,” katanya.
Seperti datangnya nyawa kepada ghairah yang lama mati.
(Atau tak pernah ada.)

Aku tak pasti ingin menangis atau menari.

Kemarau masih terus, berani kamu sedarkan diri?
Aku memilih untuk berfikir sejenak.
Dan terus menatap-mu yang mabuk menari.


- 19 April 2011, KL.

Wednesday, April 13, 2011

Knut


Seorang anak muda mendatangi sebuah kota. Dia tiada nama, tiada rumah, tiada kerja: dia datang ke kota itu untuk menulis. Dia menulis. Atau, lebih tepat, dia tidak menulis. Dia kebulur sampai di hadapan kematian.

Kotanya ialah Kristiana (Oslo); tahunnya 1890. Anak muda tadi merayap ke pelusok lorong-lorong: kota itu adalah sebuah labirin kelaparan, dan setiap hari-harinya adalah sama. Dia menulis artikel-artikel yang tak diminta kepada sebuah akhbar tempatan. Dia runsing dengan bayaran sewa, pakaian-pakaian lusuh, kesukaran menemukan makanan seterusnya. Dia menderita. Dia hampir gila. Dia tak pernah begitu jauh daripada selangkah daripada kejatuhan.

Tetap, dia menulis. Ada waktu dia berjaya menjual artikel, untuk menemukan kelegaan sebentar daripada keresahan yang larut. Tetapi dia terlalu lemah untuk menulis terus dan jarang dapat menghabiskan tulisan-tulisan yang dimulakan. Antara kerja-kerjanya yang gagal berjudul ’Jenayah Masa Depan,’ penjelasan falsafah tentang semangat kebebasan, sebuah alegori tentang kebakaran kedai buku (buku adalah otak), dan sebuah lakon dilatari Zaman-zaman Pertengahan, The Sign of the Cross. Proses itu tak dapat dielakkan: dia wajib makan untuk menulis. Tetapi kalau dia tidak menulis, dia tidak akan makan. Dan kalau dia tidak mendapat makan, dia tidak boleh menulis. Dia tak mampu menulis.

Dia menulis. Dia tidak menulis. Dia merayap ke lorong-lorong kota. Dia bercakap dengan diri sendiri di khalayak. Dia menakutkan orang, yang lalu menjauh diri darinya. Bila berpeluang mendapat sedikit wang, dia akan sedekahkannya. Dia dihalau dari kamarnya. Dia makan, dan kemudian memuntahkan semuanya. Di satu tahap, dia berhubungan intim dengan seorang perempuan, tetapi itu tidak menghasilkan apa-apa kecuali memalukan. Dia berlapar. Dia menyumpahi dunia. Dia tak mati. Di akhirnya, di atas sebab yang samar, dia menaiki sebuah kapal dan meninggalkan kota itu.


- Paul Auster tentang novel Hunger, karangan Knut Hamsun.

Tuesday, April 12, 2011

Hanoi (II)

Aku menembusi Hanoi di dalam kedinginan untuk tiga hari. Kota lama ini menyimpan roh-roh tradisi. Berjalan di kaki limanya yang kumuh, mengingatkan kita kepada sebuah kesederhanaan. Wajah-wajah yang menyambut manis-manis semuanya. Mesra, dan saling tidak faham bahasa.

Malam kedua hanya untuk memenuhi sesi makan-minum di sebuah restoran gah. Tiang-tiang dengan ukiran kayu, patung-patung dewa atau tuhan yang diselit di mana saja yang boleh. Persembahan muzik tradisional yang sekejap saja sebelum ditamatkan dan makanan hidangan bufet yang tak jauh lari rasanya, mengenyangkan kalaupun tidak memuaskan selera.

Ini Hanoi. Ini bukan cetak pada kertas yang kau akan baca di mana-mana. Kemudiannya, dalam rasa kantuk dan lelah yang berselubung, aku diheret sama ke kelab Seventeen Cowboy. Namanya saja meragukan, tapi aku ok saja. Ini kelab malam, tempat orang makan-makan dengan iringan band. Nasib baik yang menyanyi itu suranya sedap, dua gadis Filipina, walaupun sedikit gemuk yang seorang itu, seorang lagi sedikit menyejukkan mata dengan bahagian perut yang sengaja di dedah.

Kota ini bukan untuk selera-selera cikai, walaupun rautnya comot dan gementar. Aku duduk di tingkat atas, menatap wajah amoi dari Malaysia yang mengikut dalam kekhuatiran. Di meja hadapan akhirnya ada persembahan yang menyenangkan. Aku tak main pool, jadi masa hanya dibuang kepada dua tiga perkara; menonton dengan terang aksi-aksi raba dan cium bibir pasangan cinta Viet-Mat Saleh.

Perempuannya ramping, cantik.Si lelakinya skema, berkaca mata rabun. Tak bergaya, tetapi berkantungan duitnya mungkin. “Ini perempuan up-market,” aku bisik dengan suara yang keras kepada amoi baik di depan, diselang bunyi muzik yang berdentum. Dia malu-malu, tetapi tetap menjeling kebelakang untuk mengintai. Aku harap dia membayangkan suaminya, dan bukan orang lain untuk aksi begitu.

Menjelang tengah malam, dengan teksi, pulang ke Tasik Barat, tempat menumpang di kota itu. Melalui tengah bandar yang cantik, bangunan-bangunan koloni Perancis yang dijaga – atau dibiarkan saja – dan tidak dirobohkan, dataran luas yang di dalam kompleksnya disimpan mayat Ho Chi Minh yang di awet (dan pada setiap beberapa tempoh waktu akan di bawa ke Russia untuk dibersihkan, kalau ingin tahu lanjut, tonton dokumentari di NatGeo), kekalutan pemandu kenderaan yang ikut suka hati walaupun sudah larut malam, yang tetap dengan bunyi hon untuk menghiburkan diri. (Kemudiannya aku dapat tahu bahawa suis meter teksi ada pada hon, setiap hon yang dibunyikan di malam-malam buta itu akan mempercepat meter yang bergerak – cukup bijak!).

Aku menghirup udara sejuk dengan rintis hujan terakhir sebelum ke kamar untuk beradu. Tiada kelab malam lain yang menjengkelkan perasaan perlu dilawati, walaupun khabarnya pekerja-pekerja seks berkerumum di kelab malam Sheraton. Lebih nikmat untuk membuka pintu balkoni kamar, membiarkan udara yang bukan calang sejuk merempuh masuk dan duduk membaca cerita-cerita mengesankan dari The Paris Review.

Pagi terakhir sebelum meninggalkan Hanoi, aku merapati pinggir-pinggir jalan berdekatan, sebelum mandi pagi tetapi selepas sarapan, meninjau wajah-wajah pemancing dan pekedai yang sentiasa ramah dan buat tak tahu kepada orang-orang aneh seperti aku. Mungkin kemengangnnya ke atas Amerika di tahun-tahun 1970an mengajarkan mereka tentang tetamu yang tak menggugat. Selamat Hanoi, aku menikmatimu di dalam corong waktu tiga hari itu.


* Sedikit gambar-gambar kota klasik ini akan dinaikkan nanti.


Novel





Februari lalu saya membaca pruf novel Kougar. Bukan perkara yang senang kerana saya berdepan konflik untuk menemukan peranan yang entah bagaimana. Tetapi, dengan waktu yang diperuntukkan, saya menghadkan kegelojohan sendiri. Saya hanya membaca pruf, bukan untuk menyunting akan memperkemas lenggok bahasanya.

Bahasa, agaknya alien yang tak punya jantina. Susun saja huruf, jumpakan dengan lagunya, suntik sedikit melodinya, kadang-kadang akan menjadi. Kadang-kadang tak menjadi. Dan, kalau ingin menulis, jangan takut kalau-kalau tak menjadi. Itu biasa. Itu bukan dosa, agaknya.

Saya tak tahu apa yang saya temukan di dalam novel ini. Saya tak punya apa-apa jangkaan. Dan saya tak punya apa-apa kuasa untuk menentukan apa-apa pun tentang novel ini. Ketika sedang merasakann ada kekuatan padanya, saya ditampar oleh sambil lewa gayanya. Tetapi, seperti yang dicadangkan penerbit Fixi, ini cerita urban. Mungkin saya tidak begitu memahaminya. Tetapi orang lain boleh saja menikmatinya.

Akibat kekangan masa dan komitmen lain, saya terpaksa menolak untuk membaca pruf novel kedua. Tak tahu sama ada Pecah atau Cekik yang sepatutnya sampai ke dalam tangan.

Jumaat ini pelancaran rasmi tiga novel ini di The Annexe, CM. Lapangkan masa, mari bertandang. Saya sendiri menunggu untuk membaca Cekik. Selalu juga didengar nama Ridhwan Saidi dipanggil-panggil kebelakangan ini.

Saya rehatkan perkataan-perkataan saya setakat ini. Beli dan bacalah sendiri nanti, tak akan jadi masalah.

Pesan di sini.

Wednesday, April 06, 2011

Hanoi

Bahagian Vietnam yang satu ini aneh. Tendangnya manja. Cuacanya menggigit. Aku menikmati semuanya sebagai sebahagian daripada keperluan untuk sebuah pemerhatian; bunyi-bunyi hon kenderaan yang tanpa henti, kencing-kencing berdiri di tembok yang sibuk lalu-lalang, debu-debu yang melekat kuat pada hidung, wajah-wajah manis bunga-bunga dan spora hawanya - yang kontradik teruk daripada wajah kotanya - dan malam yang merintis hujan dengan angin tajam.

Sepetang di tengah kota Hanoi. Dedikasi orang-orang Viet menemukan sedikit rezeki amat tinggi. Tak segan-segan mengekor untuk berjual, ditipu dengan nilai RM, kembali mengejar meminta dibayar lebih tinggi. Baju-baju tradisi, yang menunjuk sedikit bahagian tubuh perempuannya, melingkar dengan debar.

Di dalam kedai Propaganda Art, roh Ho Chi Minh bergelimpang di dada-dada kemeja-t, poster, poskad dan alas cawan. Perempuan muda di kaunter berbahasa Inggeris; satu kurniaan besar ditengah-tengah khalayak yang jarang boleh berbicara dengan jelas dan terang. Tidak jika kau memesan yang lain, tetapi dihidangkan kopi royal yang di dalamnya ada wiski perit.

Kaca matanya cantik. Bualnya juga cantik. 20 tahun, siswa Universiti Hanoi jurusan Bahasa Jepun yang memberitahu; "Di sini Facebook disekat. Pemerintah percaya di ruang itu banyak bertembung kritikan terhadap mereka yang tak menyenangkan. Jadi, ia perlu dikekang." Tetapi, walaupun dengan capaian internet siput, dia tetap menemukan selok-selok yang membolehkan dia kembali berhubungan di alam maya. Banyak perisian, lorong-lorong tipu yang digunakan jadi laluan alternatif untuk berdepan dengan sekatan.

Kami tak dapat menghantar mesej 'Kawan' di Facebook, kerana sambungan internetnya gabra. Dia mengeluarkan pen, menulis alamat emel di hujung secebis kertas bahagian belakang pelekat kedai tempat kerjanya dan menggunting untuk direbut oleh tiga lelaki yang tercegat dari tadi di depan dia. Menengok rautnya saja membuatkan aku terlupa untuk mengambil potretnya, yang bila tersenyum, kelihatan gigi depan yang jarang. "Kawan-kawan panggil saya arnab kerana ini," sambil tersenyum menunjuk gigi depan.

Tasik yang besar, pohon-pohon yang gondol dan wajah kota ini yang tergantung dibayang malam, dan suaranya segera didengari. Marilah, aku ingin tidur. Esok kita bercanda lagi.




Sunday, April 03, 2011

Victoria

(buat A.S.)

Adakah kau kurniaan terindah yang pernah diturunkan untuk-ku sepanjang waktu yang ada ini? Moga terampunkan dosa-dosa yang sengaja dipertontonkan pada tembok-tembok berlumut. Aku akan berjalan, bertelanjang dada di antara musim panas dan kedinginan yang tak diundang ini hanya untuk bersama bayang-mu.

Negeri ini, Victoria, tak pernah menjadi sebahagian daripada cerita di malam hari. Tetapi, cinta mekar dan subur di dalam telur-mu. Pembilang pada jari kita pindahkan pada dinding kamar 150. Empat malam berturut-turut dingin datang memeluk tanpa hembusan walau satu apa pun.

Kita berjalan di antara roh-roh katedral lama di kota ini tanpa bertemu sesiapa. Hantu-hantu itu semua bertempiaran, bersembunyi ketakutan kerana hangat tubuh kita berdua melecurkan sumpah setia mereka kepada tuhan . Kita, dengan rasa cinta, menyucikan nista-nista yang terlekat pada asfalt jalan tengah Melbourne. Akankah kita dikurniakan sebuah taman lestari, duduk ditemani anak-anak kecil yang comel, berterbangan dan selalu merindukan susu-mu?

Kota ini mengajarkan umatnya tentang sebuah budaya. Budaya yang jadi nyawa, yang menghunjam mati debu-debu hitam berselut menyebukan, oleh orang-orang yang di dalam hidupnya tak pernah membayangkan yang kurang. Budaya yang menghidupi setiap warga yang beratus-ratus tahun dulu cuba untuk memahami hanya satu perkataan; kesamarataan.

Kerana kita, walau dari mana dan ke mana pun arah bertapak, adalah sebuah perkongsian. Perkongsian hidup untuk sebuah kematian. Perkongsian kematian untuk sebuah musim bunga yang menghidupkan kita semula. Semua, kita semua. Tidak hanya kau dan aku.

Di pinggir jalan-jalan ini muzik-muzik dilagukan. Dinyanyikan untuk setiap pejalan malam yang kekosongan dan ragu-ragu. Tak asing dari yang pernah didengari; mainan sejuk, tangga-tangga ke syurga atau batu-batan pada tembok yang menghalang. Mereka tak akan melupakan kita di sini, kerana kita belum saling mengenali. Tetap ada yang bertari dansa, mengiring lagu dan irama, merayakan sebuah rasa yang tak akan hilang.

Di pinggir Sungai Yarra, kita duduk berdua. Memerhatikan bangunan dan cahaya listrik yang sederhana. Aku menanggalkan kasut, meninggalkan warna merah pada tapak tangan-mu. Aku mencabut nyawa dan menyelam ke dasar sungai, dan kau ikut sama dibelakang. Tetapi, kita menyelamatkan malam dengan baris-baris ayat indah, tak difaham orang. Memanah dengan kentang besar pada burung-burung Seagull putih manja di Federation Square.

Tak punya cukup wang, keadaan tak apa-apa. Tubuh masih melayang-layang di antara setiap blok bangunan yang menyekat. Ditelan di dalam perut cacing-cacing moden dan klasik yang berlingkar, bercanda di celah rak-rak buku digudang-gudang besar penuh ghairah, muzium-muzium yang mencium bibir telinga ketika hujan. Kita seperti sedang diraikan oleh sebuah kota asing yang waktu itu membuka dirinya untuk disetubuhi tanpa segan silu.

Kita jatuh cinta

lemas yang mendadak.


Menjauh tubuh-mu larut

menderu langkah-mu pergi

dan aku akan tetap menghidupi jantung-mu

ketika ia lesu.



- Mac 2011.