Friday, May 11, 2007

geram amarah

Coretan ini terinspirasi daripada satu insiden yang berlaku tiga-empat hari yang lalu. Lebuhraya Persekutuan sesak. Entah bagaimana, didepan ada sebuah kereta Wira-Lancer. Ada dua orang – lelaki dan perempuan Melayu – dan nampak meyakinkan sebagai sepasang suami isteri.

Mereka bertekak. Kelihatan bahasa badan seperti orang bergaduh. Tangan turut mengekspresi berontak jiwa mereka. Mula-mula sekadar menampakkan sikap egois kedua-dua pihak. Tuding sana-sini. Memang tegang keadaan itu, aku dapat rasa.

Tak lama lepas itu, keadaan semakin tak terkawal. Tangan tadi yang hanya muncul sebagai isyarat kini mula hinggap secara fizikal. Yang lelaki menumbuk yang perempuan – dalam keadaan memandu. Yang perempuan membalas dengan menumbuk juga, tapi kebanyakannya menampar sebenarnya. Aku ekori saja kereta berkenaan.

Tak sedar, tiba-tiba aku yang jadi marah. Aku tak tahu apa cerita belakang kain mereka, mungkin perempuan itu jahat, mungkin lelaki itu semalam projek dengan perempuan lain, itu aku tak tahu. Tapi yang aku tak boleh tengok dua-dua makhluk bercakaran. Semestinya aku bersimpati pada si perempuan. Dan aku rasa tindakan si lelaki pun melebih-lebih.

Kalau teruk sangat perempuan itu kena penangan, silap-silap aku nak jadi hero!

Kesian tengok si perempuan – aku nampak menangis – mengalihkan penghadang matahari yang ada cermin dibelakangnya. Meninjau rupa dan membetulkan tudungnya. Itu pagi, dalam perjalanan ke tempat kerja. Pasti permulaan hari yang penuh kesakitan – zahir dan batin.

Aku anggap mereka pasangan suami isteri. Aku belum berkahwin, tapi aku rasa ada elok juga mengelamun pasal perkara ini.

Dalam situasi tegang yang terjadi, tidak sepatutnya kedua-dua pihak naik angin. Aku rasa adengan tumbuk-menumbuk itu terjadi sebab dua-dua dah nak minyak – mungkin juga dah lama pendam, itu tidak diketahui.

Biarlah satu pihak dulu yang menghambur kata-kata hati dia. Yang lagi satu buat dungu cukuplah. Itu pun kalau ada hati masih nak berumahtangga. Buat pekak sudahlah, selagi tak naik tangan dan kaki. Dah jadi macam ini, bergaduh tak ingat tempat, sudahnya buat malu diri sendiri!

Kes cerai pasangan Melayu- Islam tinggi buat masa ini. Hidup zaman pasca-moden ini terlalu banyak tamparan. Dan banyak juga yang terlepas dari pegangan hidup yang sepatutnya. Semua mahu jadi pandai dan ikut cara sendiri – secara babi buta. Inilah ubatnya…

Kepada mereka berdua ini, aku harap keadaan reda. Pagi itu, tidak ada kejadian yang lebih buruk dari tumbuk-tampar mereka – itu pun setakat yang aku dapat perhatikan kereta mereka sebalum ia hilang dari pandangan.

Pagi yang sarat rasa geram. Aku yang tak pasal-pasal penat fikir pasal mereka.
- 11 mei 2007

1 comment:

Anonymous said...

manusia2....