Friday, May 04, 2007

filem: naga tasek chini (1966)

Ini satu usaha realistik; mendekatkan filem tempatan – atau filem lama - dengan masyarakat. Atau mengikut kata Finas – Memasyarakatkan Filem.

Saya pergi menonton filem Naga Tasek Chini di Colliseum tengah hari Sabtu lalu (petangnya ke gig Sil-Khannaz pula!)


Ia adalah tayangan percuma! Pukul 12 tengah hari, Sabtu terakhir setiap bulan. Jika anda berminat menonton filem-filem bagus yang pernah dihasilkan oleh seniman Malaysia, sejak tahun-tahun 60an lagi, di sinilah tempatnya.

Naga Tasek Chini adalah filem hitam putih. Paling menarik hari itu, yang mendominasi panggung adalah kanak-kanak sekolah rendah! Satu rombongan dengan cikgu lembut mereka.

Ini pengalaman pertama saya menonton wayang gambar di Colliseum. Maklumlah, kalau hari-hari lain, siapa yang minat Rajinikant saja yang memenuhi tempat tersebut.

Hero dan heroin filem ini adalah Mustapha Maarof dan Latiffah Omar. Kedua-dua seniman ini masih bernafas lagi hari ini. Saya tidak berniat untuk memberi kritikan tentang filem berkenaan, tetapi lebih menumpu kepada suasananya, rasanya – setidak-tidak pun dari pandangan saya secara bebas dan unilateral.

Saya akui, kalau filem ini saya tonton dirumah dalam keadaan baring dipetang Ahad, sumpah saya akan tidur. Tapi ini Colliseum. Ini nostalgialah! Saya seronok tercanguk dua jam untuk mengikuti filem ini. Oh, kerepek pisang dan air mineral juga ada diberi percuma.

Sehingga hari ini, babak-babak dalam filem tersebut masih segar dalam kotak memori saya. Saya paling suka pada satu ketika, bila mana Mustapha Maarof mengajak Latiffah Omar untuk bercanda bersama diranjang - dibawah bulan purnama bagi menghilangkan sumpahannya. Dialognya lebih kurang begini; “Mari kita baring-baring sementara menunggu saat kita bersatu.” Lalu Mustapha Maarof membaringkan Latiffah Omar di atas ranjang papan dalam keadaan bersetentangan. Apa lagi, bukan main riuh lagi budak-budak sekolah tu, bukan main seronok! Tetapi, jangan risau, tiada adengan pornografi selepas itu…

Saya suka cara filem ini mencerminkan budaya masyarakat pada masa itu. Hidup susah, terpaksa mengikut kehendak si penjaga, kuasa ajaib, sumpahan serta macam-macam lagilah. Semua ini saya rasakan seperti terlalu dekat dengan jiwa nusantara.

Saya faham mengapa filem ini menjadi. Sebab ia sebagai ‘cermin’. Walaupun dipersembahkan dalam keadaan seminima mungkin, ia tetap sarat dengan jiwa. Walaupun naga yang keluar itu membuatkan saya berdekah kuat, saya juga harus sedar yang ia filem lama, tahun 60-an, mana ada CGI.

Saya yakin, lepas ini saya akan menjadi pengunjung tetap program ‘Memasyarakatkan Filem’ ini – kalau tak ada halangan lain. Saya teringin untuk menonton kembali filem Rahsia, Misteri Rumah Tua dan seangkatan dengannya. Pesan petugas petang itu, “kamu kena tunggulah bila sampai giliran filem tu dimainkan di sini.” Ok, saya tunggu, tak ada kalau… jaga…haha!

Ada lagi buah tangan hari itu; menatap wajah kedua-dua hero dan heroinnya. Ya! Mereka berdua ada menonton bersama. Satu poster bertandatangan yang cukup klasik dan nostalgia. Gambar pun ada sikit… tengoklah. Cayalah filem ‘sekolah lama!’ - 3 mei 2007

No comments: