Tuesday, May 22, 2007

Buku: Kalashnikov

Ini buku terbitan Sindiket Sol-Jah. Saya berjumpa dengan Naga di Pesta Buku dulu dan beli terus dari dia. Sudah habis menggodeknya, dan baru ada kesempatan dan angin mahu mengulas.

Oh, perlu dinyatakan; ini adalah komentar peribadi saya dan anda berhak untuk tidak bersetuju dengannya. Tetapi dengan syarat; anda terlebih dulu perlu mendapatkan naskah ini dan baca. Kalau tidak, jangan bising!

Saya suka buku ini. Ketika membacanya - sampai habis - pada hari yang sama saya membelinya, terasa ada satu aura pada buku kecil ini. Ia perasaan yang sama saya rasakan ketika membaca buku cerpen Wilayah Kutu oleh Neohikayat Press.

Pertama, perkara yang saya suka adalah oleh kerana rekaan kulitnya yang pada saya membawa erti provokasi, ‘komunis’ dan kekirian. Ciri-ciri ini memang ada, tetapi bukanlah dari sudut faham ideologi politik. Ia lebih kepada rentangan idea melalui medium cerita pendek yang ‘kiri’ – dan tidak akan diterbitkan oleh DBP sama sekali. Itu saya pasti.

Ia erotis, bahasanya ringkas dan mungkin belum kental dan boleh juga sampai tahap memualkan – yang mana saya sukakannya. Masih terasa kelopongan di sana-sini, terutama dalam penyampaian kisah-kisah serta susun atur plot pendek yang ada. Saya bukan penulis novel atau fiksyen, jadi bolehlah dipertikaikan apa yang saya catat ini. Saya hanya memerhati dan berkompromi secara individualistik berdasarkan apa saja bahan bacaan yang pernah saya baca.

Tulisan Amir Mukhriz bagus. 'Jon, Jen dan Permata yang Hilang' paling saya minati. Saya suka tulisan ini bukan kerana saya mat porno. Tetapi ia satu deklamasi jiwa yang khayal tetapi sederhana serta sarat. Ayat ini boleh mewakili apa yang saya maksudkan;

“Malam itu, untuk membuktikan cinta, Jen buat pertama kalinya akur pada godaan dan pujuk rayu Jon, maka, Jon dan Jen jadi JonJen, mereka berJonJen sampai tak ingat dunia…”

Ini pada saya kias dalam nada dan irama baru yang sederhana dan kurang keras.

Kedua, karangan Vovin juga saya angkat. Tajuknya Gonzo. Perkataan Gonzo itu sendiri sudah membuatkan saya teruja. Pada saya, Gonzo berkenaan berkait rapat dengan satu susuk penulis yang saya kagumi, Hunter S. Thompson – tapi dia mati tembak kepada sendiri pada 2003/2004 – saya hilang ingatan untuk tarikh itu. Saya tidak tahu apa yang ada dalam kotak fikiran Vovin, tetapi aroma dalam cerpennya ada sedikit ‘bau’ susuk berkenaan – walaupun bukan secara langsung.


Banyak lagi cerita pendek yang meragut hati. Saya amat-amat menyarankannya! Saya tak berhajat untuk mengulas panjang di sini. Anda boleh ke laman Naga kerana di sana ada pautan ulasan yang lain. Boleh rujuk.

Jika anda mahu buku dengan piawai bahasa seperti yang sudah biasa disogokkan ketika mata pelajaran BM di sekolah, lupakan buku ini. Ini buku mewakili generasi muda yang baru. Ada kias sastera, tetapi dosnya dalam sukatan saintifik yang baru.

Saya setuju dengan usaha ini – menerbitkan buku secara sendiri. Bagi saya, ia satu langkah yang relevan untuk menawarkan sesuatu dari sebelah yang ‘kurang di dengari’ dan ‘hampir lenyap dalam kesunyian’. Untuk harga RM15, tak payah fikir panjang. Email Sindiket Sol-Jah dan terus beli.

Namun, saya lebih mengkagumi Wilayah Kutu. Bukan untuk membanding-bandingkan, tetapi lebih kepada penilaian ideal bagi produk bacaan yang pernah dihasilkan golongan muda Malaysia secara bebas. Saya kagum! Kedua-duanya berjaya menambat hati. Saya ingin baca dan baca lagi Kalashnikov

-pantai dalam, 22 mei 2007@11.05pm

1 comment:

Abu Irfan said...

Terima kasih.

Saya juga suka Wilayah Kutu :)