Monday, April 28, 2008

mencari jalan pulang

Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialisme kepada Islam
Kassim Ahmad
ZI Publications Sdn Bhd
2008
.
Entah macam mana, susuk tubuh yang membelakangi rak himpunan buku, dengan ambien hitam-putih itu memberi rasa yang impresif untuk sebuah buku. Dan, mungkin juga disebabkan susuk tubuh itu sendiri – Kassim Ahmad – yang merupakan tokoh intelektual publik sekali gus kontroversi yang pernah Malaysia saksikan.

Bagi yang berusia dalam lingkar 20-an, waktu-waktu polemik perdebatan yang pernah disumbui oleh tokoh ini dulu mungkin tidak sempat diikuti, begitu juga dengan kerja-kerja awal beliau yang pernah dihasilkan. Mencari Jalan Pulang – walaupun bukan rujukan paling lengkap – banyak menyimpan kisah suka-duka perjalanan dan perjuangan tokoh ini. Mungkin juga – buku ini hadir sebagai sesuatu titik tolak permulaan yang ringkas untuk suai-kenal dengan penulisnya.

Kassim Ahmad melalui memoir ini mengakui bahawa beliau telah gagal dalam perjuangan politik – ataupun secara umum, penglibatan beliau dalam politik keseluruhannya. Beliau bercerita, antara lain bagaimana pada mulanya beliau terpaut dengan dengan fahaman sosialisme, terbabit sama dengan gerakan pelajar di Universiti Malaya Singapura. Begitu juga dengan perkenalan awalnya kepada dunia sastra sejak menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, di mana beliau mula asyik dengan karya-karya sastra ketika menyandang jawatan pustakawan sekolah – minat yang entah dari mana datang dan bersarang dalam benaknya.

Ini disusuli dengan melanjut pengajian dan mengajar di UK sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia pada 1966. Antara perkara awal yang diterajuinya di Malaysia ketika itu ialah menjadi pemimpin kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) selama 18 tahun. Kemudian, noda-noda hitam mula hinggap di dalam diari hidupnya apabila ditahan di bawah Akta ISA pada 3 November 1976 (sewaku pemerintahan Tun Hussein Onn) sehinggalah dibebaskan pada 1981, 15 hari selepas Mahathir Mohammad mengambil alih pemerintahan kerajaan Persekutuan.

Selepas dibebaskan, Kassim Ahmad mengejutkan banyak pihak dengan tindakannya untuk menyertai UMNO, yang dilihat sebagai ‘pengkhianatan’ terhadap ideologi sosialisme dan PSRM yang kuat beliau perjuangkan awalnya. Siri kontroversi ini diteruskan lagi dengan penghasilan buku Hadis – Satu Penilaian Semula, yang turut mengundang label negatif – anti-hadis – kepada dirinya.

Memoir ini menceritakan secara ringkas perjalanan hidupnya. Ada juga nama tokoh-tokoh lain yang tercatat, contohnya Shahnon Ahmad, Anwar Ibrahim, Syed Husin Ali, Harun Din – sekadar beberapa nama – yang masing-masing ada pengisahan peribadi kepada Kassim Ahmad, kebanyakannya merupakan teman-teman ketika di sekolah dan juga universiti. Mereka-mereka ini juga ada peranan tertentu pada kejadian, polemik dan perlakuan tersendiri pada waktu-waktu tertentu.

Penceritaan di dalam memoir ini berselerak – tidak disusun mengikut periode atau rangka waktu tertentu yang selari mahupun berperingkat. Jika ada ‘kekecewaan’ pada catatan ini, ia adalah ketika insiden dan kejadian-kejadian penting yang tidak diceritakan dengan detail. Ini mungkin juga disebabkan telah ada buku-buku Kassim Ahmad sebelum ini yang menjelaskan perkara-perkara tersebut*.

Juga, keghairahan untuk terus menelusuri kisah-kisah di dalam ini agak terganggu disebabkan oleh kesilapan ejaan – ‘typo error’. Ia mungkin subjektif kerana mungkin ada orang yang tidak ambil peduli. Tetapi kesilapan-kesilapan ini masih ada pengaruhnya kepada rancaknya pembacaan. Pembaca pruf tidak membuat kerja yang baik dan tidak bersikap adil kepada buku ini.

Kassim Ahmad, turut secara simbolik memberi isyarat bahawa tulisan beliau ‘Bermaknanya Kehidupan’ yang termuat di dalam Majalah Pemikir (Okt-Dis 1997) sebagai kemuncak kepada perjalanannya mencari erti hidup – dan itu ditemakan dan dirujuk kepada Islam. Maksud sebenarnya hanya beliau yang boleh huraikan.

Lewat beberapa ketika sebelum ini, beliau juga merupakan antara suara yang lantang menemplak golongan atheis baru dari Barat yang diwakili dengan vokal sekali oleh biologis Richards Dawkins melalui bukunya – The God Delusion. Dari rantau ini, jika anda pernah mengikuti debat tersebut, suara yang kedengaran untuk menyanggah teori Dawkins itu hanyalah Goenawan Mohamad – atau mungkin itu saja akses yang ada setakat ini – selepas tiada satu pun usaha serius yang dimainkan oleh media perdana di sini untuk memberikan platform sepatutnya. Kelompok media ini lebih senang dengan peranan untuk membekukan perdebatan isu serius – dan hanya mengangguk. Namun, Kassim Ahmad tidak lama dulu turut membalas panjang kepada tulisan Dawkins tersebut melalui artikel bahasa Inggeris yang berjudul ‘Of Evolution and the Existence of God’ yang termuat di laman blognya.

Apa pun halnya, memoir ini perlu dihadam. Nota seteru politik beliau dulu (meminjam ayat beliau sendiri) – Mahathir Mohammad – turut membuka lembaran-lembaran awal. Mungkin, seperti apa yang dapat digambarkan buku ini, sosialisme akan cepat dapat meresap dalam jiwa muda yang rebel dan penuh tenaga kudrat. Tetapi, setelah semakin dewasa dan matang, sosialisme yang sama semacam sudah tidak dapat memberi tahap kepuasan yang sama lagi.

Entah ya atau tidak, pengalaman menggengggam sosialisme tidak pernah pula membuang Islam dan keyakinan beliau terhadap kebenaran. Dan dalam memoir ini, cebisan-cebisan gambar dan maksud itu ada tercatat.

- Buku ini akan dilancarkan secara rasmi pada 2 Mei 2008.

* Bacaan lanjut:

Universiti Kedua (1983)
Hadis – Satu Penilaian Semula (1986)
Hadis – Jawapan Kepada Pengkritik (1992)

28 april 2008

4 comments:

Anonymous said...

Ah... tambah satu lagi buku mesti baca!

Anonymous said...

saya hanya tahu Kassim melalui risalahnya tentang 'hero' Hang Jebat dalam Sejarah Melayu, serta puisi2nya yang 'segar' zaman 60-an. Saya tak pernah dikenalkan tentang riwayat anti-hadisnya.

Anonymous said...

Sila rujuk
http://jiwarasa.blogspot.com/2008/05/kassim-ahmad-mencari-jalan-pulang.html

Anonymous said...

jiwarasa.blogspot.com/2008/05/
kassim-ahmad-mencari-jalan-pulang.html