Monday, February 13, 2006

KONTROVERSI KARIKATUR: APA PENDIRIAN MALAYSIA?

Terdetik rasa terkilan dalam diri ketika saya membaca laporan tentang paparan figura Nabi Muhammad SAW dalam media di Barat baru-baru ini. Di pelusuk lain dunia juga sedang berkocak, arus gelombang kebencian umat Islam sedang meluap-luap membakar jiwa.

Barat terus-terusan mempamerkan sikap kurang ajar mereka dan menginjak-injakkan kehormatan umat Islam seluruh dunia. Pendekatannya, akhbar-akhbar harian mereka. Antara akhbar yang dimaksudkan dengan insiden ini ialah Jyllands-Posten (Denmark), France Soir (Perancis), Sarawak Tribune (Malaysia) dan Al-Mehwar (Jordan). Sebelum itu, karikatur tersebut juga difahamkan telah lama berkitar di kalangan penerbitan media Barat.

Pagi ini, ketika membuka email, untuk pertama kalinya saya melihat sendiri kartun-kartun yang dimaksudkan itu. Saya tidak melihat dari sudut pandangan emosional, tetapi tahap penghinaan mereka-mereka ini sememangnya sudah melampaui batas-batas toleransi. Jika anda tidak percaya, cuba layari laman web
http://cartoonjihad.com. Di sini anda akan lihat kebiadaban melampau kaum kafir Barat. Sebenarnya perkara ini telah lama berlaku. Tetapi umat Islam sendiri terlalu daif untuk bangun bersatu!

Kini saya faham kenapa kemuncak sabar umat Islam dunia tidak dapat dibendung lagi. Walaupun telah lama berlarutan, Barat masih lagi tidak tahu menghormati kesucian sesebuah agama! Saya tidak melihat isu ini sebagai krisis agama, tetapi sebagai kuasa pertembungan tamadun Islam dan Barat. Pastinya, bagi puak-puak Barat, mereka mengheret sekali agama kerana mereka tiada asas langsung untuk bermain polemik. Jadi, sensitiviti agama sahaja yang dapat membakar kesedaran masyarakat mereka, dan mereka berseronok dengannya!

Sebab itu, saya berfikir ketika menyaksikan kebangkitan amarah umat Islam seluruh dunia. Libya menutup kedutaannya di Denmark dan Arab memboikot produk-produk keluaran Denmark. Itu belum lagi golongan-golongan yang bangkit dan berdemonstrasi yang sampai ke tahap ganas dan radikal. Kelam-kabut jadinya mat saleh Denmark ini bila kedutaan-keduataan mereka diserang. Lihat sahaja di Pakistan dan jiran terdekat kita, Indonesia. Lari tak cukup tanah dibuatnya orang putih ini! Yang paling saya tabik adalah Iran. ‘Lembut’ sahaja reaksinya. Mereka lantas menganjurkan pertandingan melukis berlatarkan insiden Holocaust. Haha!

Saya langsung tidak menyokong sebarang tindakan ganas oleh umat Islam. Tetapi, itu dalam keadaan normal. Yang berlaku sekarang ini adalah situasi yang saya sifatkan seperti Barat “meniup angin pada bara api”. Saya sedar, sememangnya telah sedia ada jurang antara Islam dan Barat, maka perlulah persefahaman dua hala diamalkan. Islam agama yang bertoleransi. Tetapi bagaimana jika pihak lain hanya tahu menggunakan kesempatan itu dan terus-terus menindas Islam? Sebagai manusia biasa, bagaimana rasanya jika ada orang yang bergurau, katanya, dengan mengencing kepala anda? Adakah anda akan berdiam diri? Jika benar, andalah manusia yang paling mulia!

Dalam seribu kekalutan yang tercetus, Denmark semakin terhimpit. Sehinggakan skuad Olympic mereka diberi ekstra-perlindungan dalam acara musim sejuk Torino 2006. Mengapa perlu rasa takut itu? Berani buat beranilah tanggung! Dalam pada itu, sempat juga Denmark menalifon Syed Hamid Albar agar Malaysia memainkan peranan selaku pengerusi OIC (Organization of Islamic Conference) dalam persidangan tergempar yang bakal diadakan.

Malaysia pun antara entiti yang menghuni kotak fikiran saya berkisar isu ini. Selaku pengerusi OIC, dan Negara yang mengistiharkan dirinya Islam, saya masih ragu-ragu dengan tindakan Malaysia. Saya tidak hanya merujuk kepada kepimpinan negara, tetapi juga masyarakat dan rakyat dalam negara Islam ini. Apa pendirian kita bagi membela maruah suci agama Islam? Saya puji reaksi Malaysia yang mengutuk tindakan media Barat dalam isu ini. Begitu juga dengan persidangan dialog antara pemimpin-pemimpin berpengaruh dunia Islam dan Barat minggu lepas.

Tetapi dari satu sudut yang lain, ia jelas menampakkan sikap sebenar kita sebagai satu negara bangsa yang runsing. Saya berkata runsing kerana kita, kebanyakkannya tidak tahu atau tidak terasa apa-apa dari isu ini. Kita hanya terkebil-kebil melihat arus-arus jahat yang datang melanggar kita tanpa mengetahui apa yang patut dilakukan. Memang kita berada dalam negara Islam, tetapi Islam yang bagaimana? Individu yang bagaimana ingin dilahirkan oleh negara Islam kita? Sikap yang terlalu berlembut masyarakat kita saya yakin akan menampakkan kita sebagai nagara bangsa yang lemah. Satu tindakan tegas pun tidak diambil oleh pemerintah. Rasa saya, ketegasan itu perlu terlebih dahulu berbanding dengan langkah ‘membina jambatan’ untuk persefahaman Islam-Barat itu sendiri. Ini kerana, sudah banyak dialog sebegini dianjurkan tetapi kesannya sama sahaja!

Persekitaran umum Malaysia hari ini adalah refleksi daripada segala sistem yang kita gunapakai setakat ini. Dari sistem politik, sistem pentadbiran, pelajaran dan lain-lain dasar yang seharusnya diteliti dari semasa ke semasa, inilah hasilnya. Masyarakat yang hidupnya dihampar dengan kesenangan berlebihan yang secara drastik mengubah persepsi mereka melihat realiti dunia hari ini. Lahirnya lapisan masyarakat yang mengejar kebendaan, yang secara langsung memupuk sikap individualistik dan tak ambil peduli. Sampai ke tahap orang memperlekehkah kemurnian agama sendiri pun tidak ada apa-apa reaksi dari kita!

Saya melihat masalah ini dengan maksud yang amat besar, meluas dan mendalam terhadap integriti masyarakat pelbagai lapisan di negara Islam kita ini. Bukan dengan niat memburukkan mana-mana pihak. Yang benar akan tetap benar, tetapi percaturan politik sering menidakkan kebenaran. Maka bersedialah kita menanggung akibatnya. Kalau pun tidak di dunia, balasan di akhirat kelak akan tetap setia menanti kita.

Lihat sahaja Sarawak Tribune. Kita masih lagi gagal untuk membentuk kesedaran masyarakat majmuk Malaysia tentang peri pentingnya persefahaman. Tambahan pula dalam isu yang melibatkan sensitiviti agama. Saya percaya ini berlaku disebabkan tindakkan lembik dan terlalu mahubertolak-ansur sehingga orang berani cuba-cuba untuk mempersendakan kredebiliti Islam. Mungkin pihak pemerintah perlu menjelaskan pendirian mereka. Bukan setakat memberi kenyataan akhbar untuk mengutuk tindakkan tersebut, itu saya hargai, tetapi saya percaya umum juga mahu melihat tindakkannya. Ya, TINDAKKAN!

Saya menyeru semua pihak untuk mula membuka minda dan memahami realiti kita hari ini. Kita kini hidup dibawah sedar. Kerana terlalu hendak mengejar dunia, kita sanggup hidup tanpa maruah diri! Individu yang bagaimana yang berdiri di bawah panji Negara Islam Malaysia ini? Saya khuatir nanti kita langsung tidak mampu berdiri lagi… bila agama kita diletakkan dibawah segala kepentingan dan kesesatan rimba dunia!
- 13 FEBRUARI 2006

3 comments:

Anonymous said...

fight fire with water...
ban jer product2 negara barat ni...kalo sume bersatu dalam bende ni... macam2 bleh jadi... tapi aku doubt kite bleh buat mende ni.. we depend to much on their product...

Anonymous said...

yes fight fire with water. mmg yg hak(benar) dan batil(salah) tak boleh bercampur. ruh fikir tentunya mampu berfikir.

Anonymous said...

So mane lagi artikel² yang hendak ku baca..? Lekas pos lekas!!